diff --git "a/ekonomirakyat.com.jsonl" "b/ekonomirakyat.com.jsonl"
new file mode 100644--- /dev/null
+++ "b/ekonomirakyat.com.jsonl"
@@ -0,0 +1,151 @@
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/1-5-juta-orang-kehilangan-pekerjaan-kadar-pengganguran-dijangka-naik-kepada-13/", "title": "1.5 Juta Orang Kehilangan Pekerjaan, Kadar Pengangguran Dijangka Naik kepada 13%", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nJabatan Perangkaan Malaysia pada minggu lalu mengeluarkan statistik dari tinjauan khas bertajuk \u2018 Impak Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Individu. \u2018 Kajian tersebut menyatakan bahawa 46.6% pekerja yang bekerja sendiri telah kehilangan pekerjaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nManakala pekerja yang bekerja sendiri yang masih mempunyai pekerjaan ( 53.4% ) kebanyakkannya melaporkan penurunan pendapatan. 35.5% dari pekerja yang masih bekerja ini melaporkan kejatuhan pendapatan melebihi 90%.\n\n\nIni bermaksud 1.2 juta pekerja dari 2.59 juta pekerja yang bekerja sendiri ( Own Account Worker ) telah kehilangan pekerjaan mereka. Seramai 491,000 orang lagi pekerja telah mengalami kejatuhan pendapatan melebihi 90%.\n\n\nDefinisi pekerja yang bekerja sendiri ( OAW ) menurut Jabatan Perangkaan Malaysia adalah pekerja yang mengusahakan ladang, perniagaan atau perusahaan sendiri tanpa menggaji pekerja. Contoh pekerja yang bekerja sendiri adalah Mak Cik Kiah, di mana beliau menjual pisang goreng di gerai secara sendirian.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKajian DOSM turut menunjukkan terdapat 197,600 ( 1.8% ) orang pekerja swasta yang kehilangan kerja manakala 124,800 ( 23.8% ) majikan kehilangan kerja.\n\n\n\n\nJika angka ini \nrepresentatif\n dan diterjemahkan ke dalam statistik tenaga buruh. Ini bermaksud angka kadar pengangguran telah meningkat dari 512,000 orang iaitu sekitar 3.2% kepada 2 juta orang iaitu 13% dari tenaga buruh.\n\n\nAngka 13% ini lebih tinggi berbanding kadar pengganguran tertinggi yang dicatatkan di Malaysia iaitu 8.6% pada tahun 1986 sejurus Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 1985 dimana ekonomi negara menguncup 1%.\n\n\nPelanjutan tempoh pelaksanaan PKP akan terus memberikan kesan buruk buat ekonomi rakyat. Meskipun pelbagai bantuan akan disalurkan oleh kerajaan terhadap isi rumah dan individu bujang, namun ia belum cukup untuk mengeluarkan Malaysia dari kemelesetan ekonomi secepat mungkin.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerbelanjaan RM35 bilion oleh kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi hanyalah sekitar 2.3% daripada keseluruhan ekonomi negara. Jiran kita, Singapura membelanjakan 3.5% berbanding KDNK negara mereka bagi menangani Covid-19 manakala New Zealand membelanjakan sehingga 4% KDNK mereka.\n\n\n\n\nBantuan yang diberikan juga bersifat one-off dimana ia tidak cukup untuk membantu isi rumah mengharungi hari-hari mereka selepas PKP ini tamat. Harus diingatkan bahawa keadaan tidak akan kembali seperti biasa ( \nnot back to normal\n ) selepas PKP ini berakhir. Sebaliknya, aktiviti ekonomi di dalam negara akan bergerak perlahan.\n\n\nJusteru, langkah yang sesuai perlu diambil bagi mengatasi masalah ini. Sebagai contoh, individu yang bekerja sendiri sepatutnya diberikan bantuan sekurang-kurangnya enam bulan bagi mereka menyesuaikan diri dengan keadaan pasca Covid-19. Ini apa yang dilakukan di Singapura dimana pemerintah Singapura memperuntukan SG$1,000 sebulan kepada pekerja yang bekerja sendiri selama enam bulan yang terjejas akibat Covid-19.\n\n\nInstitut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) dalam dapatan mereka menyarankan agar kerajaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM75 bilion di dalam pakej rangsangan ekonomi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPERHATIAN : Kiraan diatas dikira berdasarkan dua laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Ke-4 2019 dan Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/1-9-juta-graduan-kerja-dibawah-kelayakan/", "title": "1.9 Juta Graduan Kerja Dibawah Kelayakan", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nJumlah graduan yang bekerja di bawah kelayakan akademik telah meningkat 22% kepada 1.89 juta orang pada suku keempat 2020 berbanding suku keempat 2019 menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Angka terbaru ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 346,000 graduan yang dianggap sebagai \nunderemployed\n ( Guna Tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ) berbanding setahun yang lalu\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApakah itu \nunderemployment\n ataupun guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran?\n\n\nUnderemployment \nmerupakan keadaan dimana pekerja tersebut mempunyai pendidikan tertiari seperti diploma ataupun ijazah namun bekerja di dalam pekerjaan berkategori separuh mahir ataupun berkemahiran rendah.\n\n\nSebagai contoh, seorang pemegang ijazah sarjana muda yang bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka ataupun seorang juruterbang yang bekerja sebagai penghantar makanan. Golongan ini dikategorikan oleh Jabatan Perangkaan sebagai \nunderemployed\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIsu \nunderemployment\n ini jarang sekali dibicarakan dalam khalayak ramai kerana tumpuan sering diberikan terhadap angka-angka pengangguran. Isu ini sudah menjadi barah sejak sekian lama dimana pada tahun 2019, negara kita sudah mempunyai 1.46 juta graduan yang bekerja dibawah kemahiran mereka.\n\n\nIni bermaksud segala bakat, ilmu dan potensi yang diraih oleh graduan tersebut ketika melanjutkan pelajaran tidak digunakan secara optimum ketika mereka memasuki pasaran buruh. Perkara ini telah menjadi semakin teruk apabila ribuan pekerja seperti jurutera, juruterbang dan sebagainya telah diberhentikan akibat pandemik Covid-19.\n\n\nTerdapat 894,000 individu berusia di dalam lingkungan 25 tahun hingga 34 tahun berada di kategori \nunderemployed\n diikuti mereka yang berusia 35 hingga 44 tahun iaitu seramai 445,200 orang.\n\n\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaporan Survei Tenaga Buruh turut mendedahkan masalah besar dalam pasaran buruh kita. Seramai 533,700 orang pekerja dilaporkan bekerja kurang daripada 30 jam seminggu iaitu peningkatan sebanyak 230,000 ataupun bersamaan dengan 75% berbanding pada suku keempat 2019.\n\n\nStatistik ini bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan malahan merupakan petunjuk buruk terhadap pasaran buruh kita. Pengurangan waktu bekerja dari 40-48 jam seminggu kepada kurang daripada 30 jam seminggu boleh diterjemahkan kepada pengurangan pendapatan pekerja tersebut.\n\n\nKadar Pengangguran Tidak Mencerminkan Masalah Sebenar\n\n\nYa. Ramai pihak berpandangan bahawa kadar pengangguran di Malaysia kekal terkawal pada 4.8% dengan hanya 760,700 orang sahaja yang dianggap menganggur. Hakikatnya, masalah di dalam pasaran buruh lebih besar berbanding kadar pengangguran.\n\n\nNegara kita telah mengalami penurunan sebanyak 0.3 mata peratus di dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh kepada 68.4% dimana menyaksikan terdapat ratusan ribu orang keluar dari pasaran buruh terutamanya dalam kalangan wanita.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDakwaan Graduan Memilih Pekerjaan, Tidak Berkemahiran Adalah Mitos\n\n\nAngka-angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia turut menidakkan segala dakwaan liar yang dilemparkan terhadap graduan. Kegagalan graduan mendapat pekerjaan seringkali dimomokkan dengan penjelasan tidak masuk akal seperti graduan tidak pandai berbahasa Inggeris, tidak petah bercakap\n,\n tidak boleh berfikir dengan kritis, minta gaji tinggi dan memilih pekerjaan.\n\n\nNamun seperti yang telah dirungkaikan di dalam dua artikel yang ditulis pada tahun lalu. Hakikatnya graduan-graduan di Malaysia tidak mempunyai pekerjaan kerana peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka tidak ada.\n\n\nKeadaan ini sudah sedia teruk semasa sebelum pandemik. Pada tahun 2019, hampir kesemua pencari kerja adalah graduan. 90 dari 100 orang yang aktif mencari kerja adalah graduan. Malang sekali, peluang pekerjaan yang disediakan untuk graduan hampir tidak wujud. Hanya 8 dari 100 peluang pekerjaan yang disediakan adalah untuk graduan.\n\n\nData Bank Negara Malaysia juga menunjukkan hanya 37% pekerjaan-pekerjaan yang baru dicipta di Malaysia merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi. Dengan jumlah lepasan universiti yang meningkat saban tahun, pasaran buruh di negara ini tidak mampu untuk menawarkan kerja-kerja yang berkemahiran tinggi kepada golongan ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAkhirnya, graduan juga yang dipersalahkan oleh majikan dan pembuat dasar atas isu pengangguran dalam kalangan graduan. Para majikan tidak akan mengaku bahawa mereka gagal untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan. Sebaliknya, mereka mula menuding jari terhadap graduan itu sendiri.\n\n\nTenaga buruh Malaysia pada saat ini merupakan tenaga buruh paling berpendidikan di dalam sejarah Malaysia. Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 33.3% ataupun 5.05 juta dari keseluruhan tenaga buruh kita mempunyai pendidikan tertiari.\n\n\nPeratusan dalam kalangan tenaga buruh wanita juga jauh lebih tinggi. Seramai 2.58 juta ataupun 41.9% tenaga buruh wanita merupakan graduan pendidikan tinggi. Dalam kata lain, untuk mengatakan bahawa graduan ataupun tenaga buruh kita sebagai kurang berkemahiran, tidak fasih berbahasa Inggeris adalah mitos semata-mata.\n\n\nMenyelesaikan Masalah Pengangguran & Underemployment Dalam Kalangan Graduan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLangkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengenalpasti punca masalah. Punca masalah di dalam isu pengangguran dan \nunderemployment\n dalam kalangan graduan ini adalah ketiadaan kerja. Oleh itu, kerajaan perlu mencari satu rumus untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang berkualiti kepada graduan kita.\n\n\nLangkah-langkah untuk meningkatkan kemahiran atau dipanggil \nupskilling\n langsung tidak akan menyelesaikan masalah ini. Kenapa? Kemahiran tidak memberi apa-apa makna jika tiada pekerjaan setimpal yang ditawarkan.\n\n\n\n\nContoh mudah adalah seorang juruterbang yang tidak mempunyai pekerjaan dan diajak masuk ke kelas peningkatan kemahiran. Kerana beliau mempunyai asas untuk menerbangkan pesawat, beliau kini diajar untuk menerbangkan roket. Selepas tiga bulan di dalam kelas \nupskilling\n, beliau kini berkemampuan untuk menerbangkan roket untuk ke angkasa lepas.\n\n\nPersoalannya\u2026.. Adakah beliau akan mendapat pekerjaan? Sudah tentu tidak. Kita tidak ada roket di Malaysia untuk beliau kemudi. Beliau mungkin terpaksa terbang ke Amerika Syarikat untuk memohon pekerjaan di California.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang kian berlarutan ini jika gagal mengenalpasti masalah sebenar. Perubahan pemikiran dalam kalangan pembuat dasar merupakan kunci utama untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan graduan ataupun isu yang tidak berkesudahan seperti ini akan menjadi bom masa yang akan meledak tidak lama lagi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/16-rakyat-malaysia-tolak-vaksin-17-masih-tidak-pasti/", "title": "Tinjauan KKM : 16% Responden Tolak Vaksin, 17% Masih Tidak Pasti", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan ( perkara-perkara ) yang haram. \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nItu antara petikan hadis yang mungkin menjadi antara hujah penolakan vaksin terutamanya dalam kalangan mereka yang digelar anti-vaksin. Penolakan vaksin sudah lama di Malaysia bahkan pernah menjadi topik hangat beberapa tahun lalu berikutan kandungan vaksin serta kaedah pembiakan vaksin yang melibatkan janin dan sebagainya walaupun banyak fatwa dikeluarkan mengenai keharusan vaksin.\n\n\nDi Malaysia, kajian terbaru oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan hanya 67% rakyat Malaysia bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19. Manakala 16% tidak bersetuju untuk menerima vaksin berikutan keraguan mereka terhadap kesan serta bahan yang digunakan di dalam vaksin tersebut.\n\n\nSebanyak 17% pula tidak pasti sama ada ingin menerima ataupun tidak vaksin Covid-19. 83.2% responden di dalam kumpulan ini menyatakan mereka risau dengan kesan sampingan manakala 78% daripada mereka menyuarakan keraguan terhadap keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan Coronavirus.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSeramai 212,006 responden mengambil bahagian di dalam tinjauan ini.\n\n\nAdakah angka ini representatif?\n\n\nJika angka ini representatif, ini bermaksud lebih 10.5 juta rakyat Malaysia berpotensi untuk menolak vaksin yang bakal diberikan kepada rakyat Malaysia bermula hujung Februari ini. Namun bagi pihak KKM, usaha lebih keras perlu diambil untuk memastikan 17% mereka yang berada di atas pagar ini bersetuju untuk menerima vaksin yang akan diberikan kelak.\n\n\nJika kumpulan ini dapat dipujuk, maka tahap penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia akan meningkat kepada 83%, satu angka yang baik bagi mencapai imuniti kelompok.\n\n\nPersoalan sama ada golongan anti-vac ini lebih besar berbanding dapatan kajian KKM juga perlu diteliti. Hal ini kerana tinjauan yang dilakukan KKM dibuat secara atas talian dimana pandangan kelompok tanpa capaian internet mungkin diketepikan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nVaksin Ringankan Beban Kesihatan, Tetapi Tidak Selesaikan Masalah\n\n\nIsrael telah memulakan langkah vaksinasi sejak penghujung Disember lalu dan sehingga kini, sebanyak 3.4 juta dos telah diberikan kepada rakyat mereka. Menurut analisis awal, kadar jangkitan selepas dua minggu adalah 33% lebih rendah buat warga emas yang menerima vaksin berbanding mereka yang tidak menerima.\n\n\nIni meringankan beban sistem kesihatan kerana golongan warga emas merupakan kumpulan yang paling risiko menerima kesan yang kritikal hasil dari jangkitan Covid.\n\n\nDi Malaysia, vaksin dijangka diberikan bermula penghujung Februari ini dengan pekerja kesihatan akan menjadi kumpulan pertama yang menerima suntikan. Sebanyak satu juta dos akan diterima Malaysia dari syarikat Pfizer pada suku pertama manakala 1.7 juta dos lagi akan diterima pada suku kedua.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebanyak 5.8 juta dan 4.3 juta dos vaksin akan diterima pada suku ketiga dan keempat tahun ini.\n\n\nKementerian Kesihatan Malaysia juga telah menandatangani perjanjian dengan Pharmaniaga dan Duopharma bagi mendapatkan bekalan vaksin dari Sinovac, Sputnik V dan AstraZeneca berjumlah 24.8 juta dos.\n\n\nMenteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan jika anda seorang dewasa yang sihat berumur 60 tahun dan kebawah, kebarangkalian tinggi anda akan menerima vaksin tersebut selepas Oktober tahun ini.\n\n\n\n\nWalaupun tahap keberkesanan yang tinggi dilaporkan melalui ujian klinikal vaksin ini. Namun ia bukan bermaksud rakyat Malaysia boleh menjalani kehidupan seperti sebelum Covid. Penggunaan pelitup muka serta penjarakkan fizikal masih diperlukan meskipun orang ramai telah menerima vaksin.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara pula perlu mengambil masa yang lama untuk mewujudkan imuniti kelompok. Menurut laporan The Economist, Malaysia hanya mencapai tahap vaksinasi sebanyak 60% daripada populasi pada suku kedua 2023. Ini bermaksud pemulihan ekonomi secara menyeluruh tidak akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.\n\n\nKehadiran vaksin mungkin menjadi satu-satunya jalan keluar dari krisis kesihatan ini dimana angka harian kini mencatatkan lebih 3,000 kes baru. Namun begitu, tiada siapa yang tahu bilakah proses vaksinasi akan menunjukkan hasil positif tatkala sistem kesihatan dan ekonomi kita semakin tenat hari demi hari.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/2-4-juta-orang-akan-hilang-pekerjaan-ekonomi-malaysia-dijangka-menguncup-2-9/", "title": "2.4 Juta Orang Akan Hilang Pekerjaan, Ekonomi Malaysia Dijangka Menguncup 2.9%", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nInstitut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) pada semalam mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup 2.9% pada tahun ini akibat Covid-19 berbanding tahun lalu. Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilihat telah memberikan impak yang besar buat ekonomi negara yang kini dilanjutkan kepada tempoh 28 hari.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInstitut ini juga menjangkakan seramai 2.4 juta pekerjaan akan hilang dengan kebanyakkan pekerjaan tidak bergaji. 67% dari pekerjaan yang hilang ini adalah pekerjaan-pekerjaan berkemahiran rendah. Pendapatan isi rumah turut dijangka jatuh 12% ataupun kira-kira RM95 bilion sekaligus mengurangkan perbelanjaan pengguna sebanyak 11%.\n\n\nMereka turut menjangkakan bahawa kadar inflasi menurun sebanyak 4.4%. Ini berkemungkinan besar berpunca daripada kejatuhan harga minyak global yang telah menurunkan harga petrol di pam kepada RM1.44 seliter berbanding RM2.08 seliter pada 6 Mac yang lalu. Ini bermaksud harga petrol di Malaysia telah turun sebanyak 31% dalam tempoh beberapa minggu dan dijangka akan terus jatuh dalam tempoh yang akan datang jika kerajaan meneruskan sistem apungan harga petrol sedia ada.\n\n\nSehingga kini, terdapat 2031 kes positif Covid-19 dicatatkan dengan jumlah kematian seramai 23 orang. PKP yang dilanjutkan kepada 28 hari akan memberikan kesan langsung sekurang-kurang RM56 bilion ( dengan andaian pengurangan pengeluaran sebanyak 50% ) berdasarkan purata KDNK negara yang berjumlah RM4 bilion sehari.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPasaran Saham Kuala Lumpur telah jatuh 15.6% dari 1573 mata pada 24 Januari 2020 kepada 1328 mata pada 26 Mac 2020. Nilai matawang Ringgit pula jatuh 6.3% dari RM4.07 bagi setiap dolar Amerika kepada RM4.33 dalam tempoh yang sama.\n\n\nRamai pihak telah menyuarakan kegusaran mereka apabila PKP diumumkan kerana ia memberi kesan kepada punca pendapatan mereka. Data menunjukkan seramai 1.7 juta pekerja memperoleh pendapatan bulanan kurang dari RM5,000 dan bekerja sendiri.\n\n\nGolongan ini sememangnya yang paling terjejas dan kurang dilindungi oleh sistem keselamatan sosial di negara ini. Kebanyakkan mereka tidak mempunyai caruman KWSP yang membenarkan mereka untuk mengeluarkan RM500 sebulan mulai 1 April untuk tempoh 12 bulan. Bahkan, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah turut menyatakan bahawa lebih 40% pencarum KWSP tidak mempunyai lebih dari RM6,000 di dalam akaun 2 KWSP mereka.\n\n\nSehingga kini, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat termasuklah mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh enam bulan yang melibatkan bayaran balik sebanyak RM100 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun begitu, sehingga kini, tiada sebarang langkah diambil kerajaan dalam menangani isu dan permasalahan yang dihadapi oleh golongan bawahan yang paling terdedah ini. Kajian Bank Negara pada 2015 menunjukkan 75% daripada keseluruhan rakyat Malaysia tidak mampu mencari RM1,000 jika mereka berada di dalam keadaan kecemasan.\n\n\nPerkara ini tidak mengejutkan, data penyimpan Amanah Saham Bumiputera pada tahun 2018 turut memberikan petunjuk yang serupa. Sekitar 77% penyimpan ASB hanya mempunyai purata simpanan sebanyak RM554.\n\n\nPenyelidik ekonomi, Zouhair Rosli ketika dihubungi turut menyuarakan rasa bimbang terhadap situasi semasa ;\n\n\n\u201d Setakat ini, 1 dari 4 pekerja di Malaysia adalah mereka yang bekerja di sektor yang berkait-rapat dengan sektor pelancongan bersamaan dengan 3.5 juta atau 25% daripada jumlah pekerja di Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDaripada jumlah ini, 3 dari 4 empat atau 75% bekerja di sektor perkhidmatan penginapan, penyediaan makanan dan minuman, dan perdagangan runcit. Mereka ini bakal terdedah kepada tiga kemungkinan:\n\n\n1) kehilangan pekerjaan;\n\n\n2) dipaksa oleh majikan untuk mengambil cuti tanpa gaji;\n\n\n3) atau juga terpaksa mengambil gaji yang lebih sedikit akibat daripada pengurangan waktu kerja atau operasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSetakat 20 Mac 2020, 1 dari 5 pekerja-pekerja di sektor perkhidmatan penginapan sudah kehilangan pekerjaan dan ada juga yang diminta untuk mengambil cuti tanpa gaji. Ini belum di ambil kira pekerja di sektor perkhidmatan yang lain. Kita mempunyai seramai 7.1 juta pekerja yang bekerja di syarikat-syarikat kecil dan mikro.\n\n\nPerniagaan ini adalah yang bakal terjejas teruk dengan situasi sekarang. Di China, lebih 30% daripada jumlah syarikat PKS mereka telah bungkus sama sekali pada bulan kedua akibat daripada wabak Covid-19 ini. Di Malaysia, jika 5% daripada jumlah PKS kita gulung tikar, hampir 500,000 pekerja bakal kehilangan pekerjaan.\n\n\nKebanyakan mereka yang telah dan akan terjejas adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dan pemilik perniagaan PKS. Ini akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara. Jumlah perbelanjaan swasta di Malaysia telah menyumbang sebanyak hampir 60% kepada ekonomi negara.\n\n\nDalam kata lain, daripada RM100 pengeluaran dalam negara, hampir RM60 dijana oleh perbelanjaan swasta. Setakat ini sekitar 62% daripada jumlah perbelanjaan swasta di Malaysia dijana oleh golongan berpendapatan rendah dan menengah.\n\n\nKerajaan haruslah berbelanja sekitar RM47 billion bersamaan dengan 3.3% daripada jumlah KDNK untuk tempoh tiga bulan akan datang (April-Jun) khas kepada golongan-golongan yang terjejas; golongan berpendapatan rendah dan pemilik perniagaan PKS.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJumlah perbelanjaan ini mampu mengurangkan impak negatif wabak Covid-19 kepada ekonomi rakyat khasnya dan keseluruhan ekonomi amnya.\n\n\nJika ekonomi rakyat terkesan baik dari segi pendapatan atau perbelanjaan, ekonomi juga akan turut terjejas. Keutamaan harus diberikan kepada golongan-golongan ini.\n\n\nSumber perbelanjaan kerajaan dapat diperoleh daripada perbelanjaaan luar belanjawan tanpa perlu merisaukan tentang defisit perbelanjaan negara. Cara ini tidak akan menjejaskan defisit perbelanjaan negara. Perbelanjaan luar belanjawan yang jelas dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat adalah lebih bagus daripada perbelanjaan luar belanjawan yang hanya membelanjakan duit kepada projek-projek mega dan mewah yang tidak memberi manfaat yang besar kepada rakyat.\n\n\n\n\nDi dalam keadaan sebegini, hanya satu institusi yang masih berjalan dan boleh digerakkan semaksimum mungkin, iaitu institusi kerajaan. Institusi lain seperti institusi isi rumah dan syarikat swasta sudah lumpuh dan tidak dapat digerakkan sepenuhnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJusteru, kerajaan haruslah memainkan peranan untuk memastikan institusi lain seperti isi rumah dan syarikat PKS kekal utuh dan tidak teruk terjejas. Ini akan memastikan situasi selepas krisis wabak Covid-19 ini dapat digerakkan semula dalam keadaan yang tidak terlalu teruk, jika tidak seperti sebelumnya.\n\n\nApa yang kerajaan harus lakukan hanyalah dengan dua cara: 1) Bertindak dengan pantas; 2) Lakukan apa sahaja yang boleh. Bukan dengan memeras duit simpanan rakyat yang disimpan untuk digunakan di hari tua. \u201d katanya lagi.\n\n\nKerajaan akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada Jumaat yang dijangka akan memperuntukkan puluhan bilion ringgit bagi membantu rakyat mengharungi beberapa minggu lagi PKP serta sebagai persiapan untuk meredah suasana ekonomi pasca-Covid-19.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/2022-malaysia-vs-inflasi/", "title": "2022 \u2013 Malaysia vs. Inflasi", "body": "\n\nShare it\nInflasi di negara-negara terpilih\n\n\nSetelah dikecewakan dek harapan palsu tahun 2021, dunia menuju tahun 2022 dengan penuh cabaran. Inflasi ataupun peningkatan paras harga barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh isi rumah boleh dianggap risiko buat warga global termasuk Malaysia di dalam mengharungi tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi Amerika Syarikat, inflasi mencanak 6.8% pada November 2021 berbanding November 2020. Peningkatan sedemikian dianggap mendadak dimana ia merupakan rekod tertinggi sejak tahun 1982.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKadar inflasi yang stabil merupakan salah satu objektif ekonomi penting kerajaan di seluruh dunia bagi memastikan aktiviti ekonomi berjalan baik.\n\n\nDi negara ini, inflasi pada November lalu meningkat kepada 3.3% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini dianggap tinggi berbanding paras sebelum Covid dimana Malaysia merekodkan inflasi masing-masing pada 1.0% dan 0.7% pada tahun 2018 dan 2019.\n\n\nHarga petrol RON95 meningkat 42 sen kepada RM2.05 seliter\n\n\nBerdasarkan Indeks Harga Pengguna ( CPI ), inflasi pada November 2021 didorong tinggi oleh peningkatan komponen pengangkutan. Harga bahan api misalnya telah meningkat dari RM1.63 seliter bagi RON95 kepada RM2.05 seliter.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat Malaysia terutamanya golongan menengah dan atasan yang menggunakan minyak secara kerap antara yang paling bertuah dengan polisi Kerajaan Malaysia ketika ini kerana meletakkan harga siling minyak kepada RM2.05 seliter.\n\n\nTanpa harga siling, harga purata RON95 pada bulan November lalu dijangka mencecah RM2.76 seliter.\n\n\nPada tahun ini, Bank Negara Malaysia tidak meletakkan apa-apa angka untuk unjuran inflasi. Ayat yang digunakan di dalam tinjauan ekonomi untuk suku ke-3 2021 yang lalu dalam menggambarkan inflasi pada tahun ini adalah \u201d \nheadline inflation is projected to remain moderate in 2022\n \u201c.\n\n\nPada detik ini, antara faktor yang mungkin memberi risiko kepada isi rumah adalah peningkatan kos logistik. Indeks Fret Kontena Shanghai telah meningkat lima kali ganda dari sekitar 1,000 mata pada Januari 2020 kepada 5,000 mata pada Januari 2022.\n\n\nLangkah ini bakal memberi kesan yang tinggi buat rakyat Malaysia kerana sebahagian besar aktiviti ekonomi tanahair melibatkan barangan yang diimport. Pada tahun 2020 misalnya, RM800 bilion barangan telah diimport ke Malaysia. Nombor ini bukanlah angka yang kecil, ia bersamaan dengan lebih separuh saiz ekonomi Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika isu ini tidak selesai di dalam tempoh yang terdekat, pengeluar mungkin terpaksa menaikkan harga barang sekaligus membebankan pengguna.\n\n\nHarga barang kian meningkat \u2013 SERC\n\n\nLangkah-langkah sedemikian sudah dapat dilihat akhir-akhir ini. Pada Disember lalu, pengeluar roti Gardenia telah meningkatkan harga mereka kepada RM4.00 bagi roti bersaiz jumbo 600g. Tindakan yang serupa turut diambil oleh sebuah lagi pengeluar roti besar di Malaysia iaitu Massimo.\n\n\nPerkembangan ini bukanlah suatu situasi yang baik buat golongan berpendapatan rendah. Hal ini kerana roti merupakan alas perut yang paling murah dan senang dimakan yang merupakan makanan utama buat golongan yang kurang bernasib baik.\n\n\nKebimbangan mengenai kenaikan inflasi yang tinggi turut disuarakan oleh Socio-Economic Research Center. Badan penyelidikan ini menjangkakan inflasi pada tahun 2022 adalah sekitar 3.0%, lebih tinggi berbanding unjuran Kementerian Kewangan sekitar 2.1%.\n\n\nBerapa pun angka inflasi, rakyat Malaysia tetap perlu mengharungi tahun 2022 dengan penuh cabaran setelah pendapatan mereka jatuh mendadak pada tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/25-tahun-belanjawan-defisit-mampukah-defisit-fiskal-dikurangkan/", "title": "25 Tahun Belanjawan Defisit \u2013 Mampukah Defisit Fiskal Dikurangkan?", "body": "\n\nShare it\nKerajaan dijangka kutip RM291.5 bilion hasil pada tahun 2023\n\n\nBelanjawan 2023 baru sahaja dibentangkan baru-baru ini di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembentangan pada 24 Februari lalu merupakan Belanjawan kali kesembilan yang pernah dibentangkan oleh beliau, menyamai rekod Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang jawatan Menteri Kewangan antara tahun 1976 hingga 1984.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebenarnya, Belanjawan 2023 telah pun dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul sekitar Oktober tahun lalu. Namun begitu, Belanjawan tersebut tidak sempat dibahas dan dilulus ekoran pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada Pilihanraya Umum Ke-15.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejumlah RM388.1 billion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula ini, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan serta RM2 bilion bagi simpanan luar jangka. Jumlah peruntukan ini adalah lebih besar berbanding RM372.3 billion yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul tahun lalu.\n\n\nSecara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi dijangka menyederhana kepada 4.5% bagi tahun 2023. Jangkaan ini adalah sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global yang turut dijangka sederhana sekitar 2.9% akibat tekanan-tekanan yang masih melingkari seperti momentum ekonomi global yang perlahan serta dasar kewangan yang masih ketat di kebanyakan negara untuk mengekang kenaikan inflasi.\n\n\nKerajaan Malaysia hanya mengutip 15.4% hasil berbanding saiz ekonomi negara ini, jauh lebih rendah berbanding 22.3% yang direkodkan pada tahun 2023\n\n\nDi sebalik peruntukan besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Kerajaan diunjur mampu mengutip hasil RM291.5 billion tahun ini, turun sedikit sebanyak 1% berbanding RM294.4 billion yang dikutip sepanjang tahun 2022. Penurunan ini berpunca dari ekonomi global yang dijangka perlahan serta harga komoditi yang dijangka menyederhana tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKesinambungan Program-Program Lepas\n\n\nSecara keseluruhannya, kandungan Belanjawan 2023 tampak seperti tiada apa yang baharu kerana kebanyakan program atau insentif yang diumumkan hanyalah kesinambungan daripada apa yang telah pun dijalankan sebelum-sebelum ini.\n\n\nBahkan, ada sesetengah program seperti bantuan tunai Kerajaan Persekutuan hanyalah dijenamakan semula daripada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang dijangka memanfaatkan kira-kira 8.7 juta penerima berpendapatan bawah RM2,500. Kerajaan turut berjanji akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM600 lagi buat isi rumah termiskin yang tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih.\n\n\nAntara isu utama yang dibangkitkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini juga adalah mengenai tahap hutang negara yang dilapor akan mencecah RM1.2 trillion, bersamaan lebih 60% daripada KDNK negara. Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka sekitar RM46 billion, melepasi had maksimum 15 peratus yang ditetapkan selama ini.\n\n\nIsu hutang negara yang tinggi ini turut diulas oleh Bank Dunia Malaysia dalam Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia berjudul \u2018Expanding Malaysia\u2019s Digital Frontier\u2019 yang dilancarkan awal Februari lalu. Hutang Kerajaan Persekutuan yang tinggi akibat dari perbelanjaan besar-besaran yang diamalkan semasa tempoh pandemik COVID-19 dikhuatiri berisiko mengehadkan ruang fiskal negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLantaran itu, Bank Dunia Malaysia menggesa Kerajaan untuk mencari sumber baharu bagi meningkatkan hasil negara, serta mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan besar yang membebankan kewangan negara seperti pemberian subsidi petrol, diesel dan LPG secara universal. Sepanjang tahun lepas sahaja, Kerajaan membelanjakan RM50.8 billion untuk subsidi bahan api berikutan harga minyak global dan arang yang naik mendadak akibat peperangan Rusia-Ukraine.\n\n\nKerajaan menyemak semula kadar cukai pendapatan individu\n\n\nKadar Cukai Pendapatan Baharu: M40 Suka, T20 Sengsara?\n\n\nAntara yang mencuri tumpuan pada pembentangan Bajet 2023 ini ialah pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak 2% buat golongan M40 yang memiliki banjaran pendapatan tahunan antara RM35,000 sehingga RM100,000. Pengurangan cukai ini bertujuan memberi lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dalam kategori M40.\n\n\nDalam masa yang sama, kadar cukai pendapatan dinaikkan antara 0.5% hingga 2% buat golongan T20 yang menerima pendapatan tahunan antara RM100,000 hingga RM1 juta. Pemindahan kadar cukai antara golongan M40 dan T20 ini dikatakan merupakan sebahagian usaha Kerajaan untuk mewujudkan sebuah sistem percukaian yang lebih progresif.\n\n\nPelaksanaan kadar cukai pendapatan baharu ini mungkin memberi sedikit kelegaan kepada golongan M40. Namun, kesan penurunan kadar cukai pendapatan golongan M40 ini juga harus dilihat dari pelbagai sudut kerana hasil cukai bersih Kerajaan dijangka berkurang sebanyak RM900 juta. Walaupun Kerajaan menggantikan kadar cukai pendapatan yang dipotong 2% daripada golongan M40 ini dengan menaikkannya buat golongan T20, kurang daripada 150,000 pembayar cukai T20 yang dijangka terlibat dengan kenaikan ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa yang diharapkan ialah pendapatan boleh guna yang bertambah selepas kadar cukai pendapatan dikurangkan itu akan \u2018dipulangkan\u2019 semula kepada ekonomi menerusi perbelanjaan-perbelanjaan yang dibuat.\n\n\nDalam pada itu, Kerajaan juga akan memperkenalkan cukai barangan mewah bagi pembelian barangan-barangan mewah dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah seperti jam tangan dan barangan fesyen mewah. Deloitte Malaysia meramalkan peningkatan kadar cukai pendapatan buat golongan T20 serta pelaksanaan cukai barangan mewah berpotensi melonjakkan hasil cukai negara sebanyak 4% berbanding tahun lalu.\n\n\nCukai Keuntungan Modal juga turut disebut sedang dikaji untuk diperkenalkan bermula tahun 2024 bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat.\n\n\nDuti eksais juga akan dikenakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, dengan separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.\n\n\nKerajaan sasar untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.2% menjelang tahun 2025\n\n\nBelanjawan Defisit, Norma Baharu?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSedar ataupun tidak, pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini juga merupakan \u2018ulang tahun\u2019 jubli perak yang ke-25 Malaysia berbelanjawan defisit. Lantaran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat Kerajaan untuk menurunkan nisbah defisit kepada KDNK negara daripada 5.6% yang dicatatkan pada tahun 2022 kepada 5% bagi tahun 2023. Kerajaan turut menyasarkan untuk mengurangkan lagi nisbah itu kepada 3.2% menjelang 2025 demi menuju kewangan negara yang lebih mampan.\n\n\nNamun, adakah sasaran ini realistik memandangkan berbaki lebih kurang dua tahun sahaja lagi sebelum 2025? Lebih-lebih lagi, apabila hasil negara turut diramal turun 1% bagi tahun 2023, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan penurunan harga komoditi.\n\n\nSebagai perbandingan, nisbah defisit kepada KDNK negara pernah merekodkan sekitar 5.4% semasa tahun 2010, tidak lama selepas Krisis Kewangan Global melanda. Malaysia mengambil masa sekitar enam tahun untuk menurunkan nisbah defisit menjadi 3.2% kepada KDNK, semasa tahun 2015.\n\n\nDengan prospek ekonomi yang semakin muram, hanya terdapat dua kaedah sahaja dibawah kawalan Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara pada tahun-tahun mendatang. Pertama, mengurangkan perbelanjaan. Namun, langkah ini sudah pasti bakal menimbulkan kemarahan orang ramai kerana berbelanja kurang buat rakyat.\n\n\nTambahan lagi sistem kesihatan negara ini yang semakin berada di dalam keadaan kritikal akibat kekurangan tenaga kerja bagi menyokong perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Sebarang usaha untuk menyelesaikan isu ini sudah semestinya akan memberi implikasi yang besar buat kewangan negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAlternatif lain bagi mengurangkan defisit adalah dengan meningkatkan hasil melalui cukai, yang mana turut bakal membangkitkan kegusaran orang ramai. Apatah lagi cukai-cukai yang memberi impak signifikan terhadap kewangan negara hanya terhad kepada cukai kepenggunaan seperti Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST).\n\n\nDilema inilah menyebabkan Kerajaan Malaysia untuk sekian lama meneruskan tradisi Belanjawan defisit sejak tahun 1998 walaupun teori konvensional menyarankan perbelanjaan Kerajaan harus bergantung kepada kitaran ekonomi dimana belanjawan defisit hanya diamalkan apabila ekonomi bergerak perlahan.\n\n\nSatu-satunya harapan untuk defisit fiskal 3.2% dapat dicapai adalah melalui pertumbuhan ekonomi pantas untuk beberapa tahun hadapan. Namun situasi ini bukanlah dibawah kawalan Kerajaan kerana prospek ekonomi negara kita sentiasa bergantung kepada prestasi ekonomi global.\n\n\nGambar utama oleh FB Anwar Ibrahim\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/51tahunselepasdeb/", "title": "51 Tahun Selepas DEB \u2013 Bagaimanakah Nasib Bumiputera?", "body": "\n\nShare it\nKaum Bumiputera merupakan kaum terbesar di Malaysia, seramai 21.1 juta orang atau merangkumi hampir 70% daripada populasi penduduk di negara ini. Menurut definisi Jabatan Perangkaan Malaysia, Bumiputera merujuk kepada etnik Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Meskipun memegang komposisi penduduk terbesar, kaum Bumiputera sering dikaitkan dengan pelbagai kesulitan ekonomi dan sosial yang tampak seperti tiada penghujungnya walaupun saban tahun diberikan keutamaan oleh Kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSekiranya dilihat semula ke polisi-polisi ekonomi Malaysia seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-1990 dan Model Baru Ekonomi (MBE) 2010-2020, agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera seringkali diangkat sebagai agenda utama melebihi agenda-agenda pembangunan yang lain.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPelbagai tindakan afirmatif dilaksanakan oleh Kerajaan seperti menggalakkan kemasukan orang Melayu ke universiti bagi mewujudkan tenaga kerja yang berdaya saing serta penubuhan Permodalan Nasional Berhad bagi mendorong kaum Bumiputera membina simpanan mereka sendiri. Kesemua polisi ini adalah bagi memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.\n\n\nNamun begitu, persoalan timbul adakah \u2018tongkat\u2019 yang sejak sekian lama diberikan kepada kaum Bumiputera ini tidak cukup untuk membantu melonjakkan tahap sosioekonomi mereka setara dengan kaum-kaum lain, ataupun adakah kaum Bumiputera ini yang tidak bersungguh-sungguh memanfaatkan kelebihan yang dimiliki ini?\n\n\nMengimbas kembali ke era sebelum Kemerdekaan, kaum Bumiputera atau khususnya orang Melayu di negara ini tidaklah begitu bernasib baik dek kerana penjajahan yang mencengkam mereka sejak ratusan tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKuasa-kuasa besar imperalis dunia bersilih ganti menjarah hasil bumi Tanah Melayu untuk di bawa pulang ke empayar masing-masing. Dasar serta polisi yang diamalkan oleh penjajah-penjajah ini sering mengenepikan kaum Bumiputera dalam hampir kesemua aspek kehidupan termasuklah pendidikan, ekonomi serta politik.\n\n\nKetika zaman penjajahan British, dasar \u2018pecah dan perintah\u2019 yang diamalkan telah menyebabkan ramai orang Melayu tidak berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi secara komersial. Orang Melayu yang rata-rata menetap di luar bandar hanya tertumpu kepada aktiviti pertanian sara hidup seperti bercucuk tanam serta menjadi nelayan.\n\n\nBagi kaum Cina, majoriti mereka menetap di bandar serta lebih berpeluang terlibat dalam aktiviti perniagaan kerana memiliki modal. Tauke-tauke Cina membuat pelaburan yang besar dalam memonopoli industri bijih timah beberapa negeri seperti Selangor dan Perak, sehinggakan lombong-lombong mereka membekalkan hampir 78% daripada keseluruhan pengeluaran timah di Tanah Melayu pada tahun 1910. Selain itu, mereka turut menguasai komoditi-komoditi lain seperti gambir dan juga candu yang menyumbang hampir separuh daripada hasil pendapatan Tanah Melayu pada ketika itu.\n\n\nMaka tidak hairanlah apabila negara mencapai Kemerdekaan pada 1957, merekalah mendapat manfaat yang terbesar kerana kaum Cina merupakan wakil tempatan tunggal dalam sektor ekonomi. Sebagai contoh, daripada 94,000 perniagaan yang didaftarkan pada tahun 1957, hampir tiga per empat daripadanya dimiliki oleh kaum Cina. Kaum Melayu hanya memegang lebih kurang 15% sahaja daripada perniagaan yang didaftarkan. Monopoli kaum Cina dalam industri-industri utama negara seperti perbankan juga begitu jelas sekali pada era pasca Kemerdekaan.\n\n\nPerkara ini menyebabkan jurang kekayaan serta pendapatan antara kaum terus melebar, lantas menimbulkan ketidakpuasan hati yang menjadi percikan api membakar sentimen perkauman sehinggalah dikatakan menjadi punca tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, semua itu hanyalah sejarah lampau yang sudah pun lama berlalu. Sepatutnya setelah berpuluh tahun mencapai Kemerdekaan, semestinya nasib kaum Bumiputera adalah lebih baik dan terkehadapan memandangkan fokus pembangunan seringkali diberikan kepada mereka.\n\n\nApabila berbicara mengenai DEB, seringkali kisah kejayaan menurunkan kadar kemiskinan daripada 49.3% (1971) kepada 16.5% (1990) diulang-ulang. Walaupun hakikatnya tidak dinafikan DEB berjaya memperbaiki tahap sosioekonomi Bumiputera, namun tidak semua orang menikmatinya kerana ada sesetengah dasar DEB ini menggalakkan amalan \u2018\nrent-seeking\n\u2019 yang mengkayakan golongan elit Melayu tertentu sahaja tanpa sebarang usaha yang sebenar.\n\n\nDasar sebegini ditentang keras oleh golongan intelektual seperti Syed Hussein Alatas kerana beranggapan polisi DEB meningkatkan penyertaan ekonomi orang Melayu hanyalah menyebabkan lahirnya golongan kapitalis Melayu yang tamak haloba tanpa menyelesaikan isu sebenar kemiskinan orang Melayu secara amnya.\n\n\nLantaran itu perkara ini menyebabkan kaum Bumiputera yang pada asalnya bergelut dengan kemiskinan, ditambah dengan sebuah lagi masalah yang lebih parah, jurang ketidaksamaan yang semakin melebar antara kaum dan sesama mereka. Apa yang lebih parah, masalah-masalah ini terus wujud sehinggalah kini berdasarkan Laporan Statistik Bumiputera 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.\n\n\nJurang pendapatan di antara kaum di Malaysia semakin melebar\n\n\nDaripada sudut pendapatan, kaum Bumiputera hanya memperoleh penengah pendapatan sebanyak RM5,420 pada tahun 2019, lebih rendah berbanding paras nasional (RM5,873). Apa yang lebih membimbangkan, pendapatan yang diperolehi kaum Bumiputera itu juga jauh ketinggalan berbanding kaum Cina (RM7,931) dan kaum India (RM5,981).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSekiranya dilihat dengan lebih mendalam, pendapatan yang diperolehi kaum Bumiputera sentiasa berada di tahap yang lebih rendah berbanding kaum Cina dan India. Pada tahun 1957, dilaporkan purata pendapatan yang diterima kaum Melayu adalah sebanyak M$144, terendah berbanding M$272 dan M$217 bagi kaum Cina dan India.\n\n\nPerbezaan penengah pendapatan kaum Bumiputera dan kaum Cina adalah sebanyak RM2,511 pada tahun 2019. Sebagai perbandingan pada tahun 2012, perbezaan penengah pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina hanyalah sebanyak RM1,363. Situasi ini mencerminkan realiti jurang pendapatan yang semakin melebar antara kaum Bumiputera dan kaum Cina.\n\n\nPendapatan yang sedikit diperoleh oleh kaum Bumiputera menyebabkan rata-rata mereka sukar untuk menyimpan dengan berkesan walaupun mempunyai pelbagai platform simpanan dan pelaburan seperti Amanah Saham Berhad (ASB) dan Tabung Haji.\n\n\n7.8 juta penyimpan ASB hanya mempunyai simpanan sebanyak RM624\n\n\nWalaupun purata simpanan ASB dilaporkan sebanyak RM17,055 pada tahun lepas, realitinya tidak lah begitu indah sama sekali. Hal ini kerana menurut Laporan Tahunan ASB 2021, 76% atau 7.8 juta pemegang unit ASB (simpanan RM5,000 dan kebawah) hanya memegang unit saham bernilai RM4.9 bilion dengan purata simpanan hanyalah RM624.\n\n\nSebagai perbandingan, 83% unit saham yang bernilai RM149.3 bilion dimiliki oleh sekitar 1.01 juta orang (simpanan > RM50,000) dengan purata simpanan RM147,613.\u00a0 Jika dipecahkan lagi, kumpulan penyimpan terkaya di ASB seramai 28,219 orang (simpanan > RM500,000) mempunyai purata simpanan sebanyak RM815,680.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nStatistik ini juga mencerminkan jurang kekayaan yang luas meskipun di dalam kalangan kaum Bumiputera.\n\n\nPersiapan menuju persaraan juga samar-samar buat kaum Bumiputera apabila dilaporkan 74% daripada ahli KWSP yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 adalah terdiri daripada kaum Bumiputera. Hanya 13% dan 7% sahaja daripada mereka merupakan kaum Cina dan India.\n\n\nProfesional bumiputera kekal rendah\n\n\nJumlah kaum Bumiputera yang bekerja sesetengah dalam bidang professional juga dilaporkan lebih rendah berbanding kaum Bukan Bumpitera. Misalnya, hanya 11,699 akauntan berdaftar daripada kaum Bumiputera, jika dibandingkan dengan 23,610 akauntan kaum Cina.\n\n\nJumlah peguam Bumiputera juga sedikit rendah, seramai 8,888 orang berbanding 13,254 peguam berbangsa Cina dan India. Sama juga dengan artitek, hanya 951 arkitek Bumiputera berbanding 1,328 artikek kaum Cina dan India. Namun, kaum Bumiputera dilihat mendominasi pekerjaan doktor gigi, jururawat dan nelayan di negara ini.\n\n\nDaripada sudut pemilikan hartanah, hanya 73.7% kaum Bumiputera tinggal di rumah yang dimiliki mereka sendiri, sedikit tinggi berbanding kaum India (71.4%). Namun, mereka tetap jauh ketinggalan berbanding kaum Cina (86.7%).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAktiviti pemilikan hartanah Bumiputera juga dilihat lemah apabila hanya merekodkan nilai transaksi sebanyak RM30.8 bilion melalui 106,276 transaksi. Kaum Bumiputera yang merangkumi sekitar 30% daripada populasi di negara ini pula melakukan 81,633 transaksi dengan nilai sebanyak RM40.8 bilion pada tahun lalu.\n\n\nKadar kemiskinan mutlak kekal tinggi bagi Bumiputera\n\n\nWalaupun kadar kemiskinan telah turun dengan sangat drastik, daripada 49.3% pada 1970 kepada 5.6% pada tahun 2019, kaum Bumiputera masih dibelenggu masalah kemiskinan apabila mencatatkan kadar kemiskinan mutlak 7.2%, jauh lebih tinggi daripada paras nasional.\n\n\nAngka itu juga lebih tinggi berbanding kaum Cina (1.4%) dan India (4.8%). Kadar kemiskinan kaum Bumiputera yang agak tinggi ini juga menyebabkan mereka menjadi penerima teramai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 383,036 orang berbanding hanya 136,124 Bukan Bumiputera.\n\n\nDaripada aspek sosial juga rekod kaum Bumiputera tidak begitu baik. Apa yang merisaukan sebahagian statistik ini memaparkan kaum Bumiputera \u2018menjuarai\u2019 carta jumlah penghuni di pusat-pusat pemulihan akhlak kanak-kanak dan remaja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMisalnya, nisbah penghuni Asrama Akhlak adalah 6:1 antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Begitu juga dengan Sekolah Tunas Bakti, seramai 399 penghuninya pada 2021 terdiri daripada kaum Bumiputera. Hanya 25 penghuni sahaja daripada kaum Bukan Bumiputera.\n\n\nMelihatkan kepada angka-angka yang dibincangkan di atas, nampak seperti nasib Bumiputera tidak lah begitu baik walaupun sudah berkali-kali lagu Anak Kecil Main Api dinyanyikan. Keutamaan dan pelbagai bantuan Kerajaan kepada Bumiputera dilihat gagal mencapai objektif dalam meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera meskipun ada yang berpendapat dasar ini berjaya mencapai matlamat untuk mengekalkan keharmonian fabrik sosial di negara ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/53200-unit-rumah-bernilai-rm40-bilion-masih-belum-terjual-dimana-silapnya/", "title": "53,200 Unit Rumah Bernilai RM40 Bilion Masih Belum Terjual \u2013 Dimana Silapnya?", "body": "\n\nShare it\nNilai Rumah Tidak Terjual Hampir Mencecah RM40 Bilion\n\n\nPusat Maklumat Hartanah Negara ( NAPIC ) mendedahkan bahawa 53,171 unit kediaman iaitu rumah dan apartment yang diservis ( \nserviced apartment\n ) masih belum terjual pada tahun 2020. Nilai rumah yang masih belum terjual ini dianggarkan bernilai RM40 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\nTerdapat 29,565 unit rumah yang masih belum terjual dengan sebahagian besar unit ini terletak di Johor, Selangor dan Perak dengan nilai purata unit yang tidak terjual sekitar RM640,000.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi kategori apartment, terdapat 23,606 unit bernilai RM20.8 bilion yang masih belum terjual. Johor merupakan negeri dengan paling banyak unit yang tidak terjual iaitu sebanyak 16,442 unit diikuti Kuala Lumpur dan Selangor.\n\n\nBilangan rumah tidak terjual di Malaysia semakin kronik saban tahun. Untuk perbandingan, pada tahun 2016, hanya 18,704 unit rumah yang tidak terjual dengan nilai sebanyak RM11.5 bilion. Kini, nilainya telah meningkat hampir empat kali ganda dengan lebih 50,000 unit kediaman masih tidak terjual.\n\n\nKenapa Banyak Unit Tidak Terjual?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJohor merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan rumah tidak terjual yang tinggi jika dibandingkan dengan saiz populasi negeri. Statistik menunjukkan 18,000 ribu unit kediaman masih belum terjual di negeri tersebut dengan nilai keseluruhan sebanyak RM20.5 bilion.\n\n\nIni bermaksud purata harga jualan unit yang masih tidak terjual di Johor adalah sebanyak RM1.139 juta, lebih tinggi berbanding purata nasional ( untuk unit rumah yang tidak terjual ).\n\n\n53,171 Unit Rumah Masih Tidak Terjual\n\n\nKrisis rumah tidak terjual berlaku apabila kerajaan China telah memperketatkan kawalan modal buat rakyat China pada tahun 2017. Perkara ini telah memberi impak yang besar buat projek mega yang dijalankan di Johor iaitu Forest City yang dibangunkan secara bersama dengan pemaju gergasi China, Country Garden.\n\n\nProjek besar dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM450 bilion ini sememangnya menjadikan rakyat China sebagai prospek utama mereka. Country Garden telah membuka beberapa pusat jualan mereka di China bagi menjual unit-unit kediaman di Johor dengan \ntagline\n \u201d \nNext to Singapore\n \u201d yang kemudiannya ditutup apabila kerajaan China memperketatkan kawalan modal.\n\n\nKekalahan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-14 boleh diumpamakan bagai jatuh ditimpa tangga buat projek ini. Isu pembangunan Forest City antara topik yang diperjuangkan oleh sebilangan pemimpin Pakatan Harapan yang menyifatkan projek ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat tempatan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTiga bulan selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau telah melarang pembelian unit Forest City buat warga asing sekaligus dikatakan mencetuskan ketegangan diantara beliau dan kerabat diraja Johor.\n\n\nHal ini kerana Sultan Johor turut mempunyai kepentingan besar di dalam projek ini melalui Esplanade Danga 88 Sdn Bhd. Dengan krisis Pandemik Covid-19 yang berlanjutan sehingga sekarang, cahaya sinar harapan masih lagi tidak kelihatan buat projek Forest City ini.\n\n\nTak Terjual\u2026. \nSo What?\n\n\nBagi pemaju perumahan, isu rumah tidak terjual ini bukanlah suatu isu yang besar buat mereka. Meskipun kerajaan pernah cuba untuk melaksanakan cukai kekosongan hartanah ( \nproperty vacancy tax\n ) suatu ketika dahulu, namun cadangan ini hanyalah omong kosong.\n\n\nKeuntungan Terkumpul Syarikat Hartanah Terbesar Negara Melebihi RM21 Bilion\n\n\nCukai kekosongan hartanah secara amnya dikenakan kepada unit-unit rumah yang tidak terjual untuk memberi insentif kepada pemaju untuk menjual stok-stok rumah mereka dengan segera. Cukai ini juga bertujuan untuk memastikan setiap projek yang dibangunkan mempunyai permintaan yang mencukupi daripada orang ramai.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPemaju di Malaysia juga rata-ratanya mempunyai keuntungan terkumpul yang tinggi. Keuntungan terkumpul buat lima syarikat hartanah terbesar di Malaysia adalah sebanyak RM21 bilion menurut laporan tahunan terbaru mereka.\n\n\nOleh itu, bukan masalah besar jika unit-unit yang dibangunkan mereka tidak terjual. Berbeza dengan peniaga biasa, dimana mereka mula membuang harga apabila stok-stok jualan mereka tidak terjual bagi memastikan aliran wang perniagaan berjalan dengan baik.\n\n\nBagaimana Dengan Prestasi Industri Hartanah Perumahan Tahun Lalu?\n\n\nTransaksi hartanah pada tahun lalu amat muram susulan pandemik Covid-19 yang menimpa dunia. Jumlah transaksi telah menurun dari 209,295 transaksi pada tahun 2019 kepada 191,354 transaksi dengan nilai RM65.8 bilion.\n\n\nNilai transaksi yang dicatatkan tahun lalu adalah 9% lebih rendah berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM72.4 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun pasaran hartanah suram tahun lalu, namun indeks harga rumah masih menunjukkan trend positif apabila indeks telah meningkat 0.6% kepada 199.3 mata pada tahun 2020. Purata harga rumah meningkat sedikit dari RM427,000 pada 2019 kepada RM430,000 pada tahun 2020.\n\n\nTerdapat juga negeri yang menunjukkan penurunan harga rumah tahun lalu. Di Kuala Lumpur, harga rumah telah jatuh dari RM785,745 kepada RM778,143 manakala di Selangor purata harga rumah jatuh dari RM490,027 kepada RM486,659.\n\n\nNegeri-negeri lain yang turut mencatatkan kejatuhan purata harga rumah adalah Pulau Pinang dan Sabah.\n\n\nDengan krisis kesihatan dan ekonomi yang terus berlanjutan, industri hartanah dijangka terus suram pada tahun ini. Kejatuhan pendapatan orang ramai susulan pandemik ini juga dijangka terus memberikan tekanan buat industri ini buat beberapa tahun terkehadapan.\n\n\nNamun bagi golongan berpendapatan tinggi, ini merupakan masa yang terbaik untuk memiliki hartanah. Tambahan lagi dengan kadar bunga yang rendah membolehkan mereka untuk mendapat pembiayaan yang lebih kompetitif selain bayaran ansuran yang lebih rendah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nArtikel terdahulu : \nHarga Rumah Naik Hampir 100% Dari Tahun 2010 Hingga 2020\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/68-isi-rumah-di-ppr-kuala-lumpur-tidak-mempunyai-sebarang-simpanan-wang-unicef-malaysia/", "title": "68% Isi Rumah di PPR Kuala Lumpur Tidak Mempunyai Sebarang Simpanan Wang \u2013 UNICEF Malaysia", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaporan edisi kedua \u2018 Families on The Edge \u2018 oleh UNICEF Malaysia dan UNFPA mendedahkan bahawa 68% isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang simpanan kewangan. Peratusan ini meningkat 5% dari 63% pada tahun lalu ( sebelum pandemik Covid-19 ) kepada 68% pada September 2020.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerbanding Mei lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan, angka ini\u00a0 jatuh dari 72% kepada 68% pada September.\n\n\nKeadaan isi rumah berpendapatan rendah ini mengalami sedikit pemulihan semenjak PKP ditamatkan namun keadaan tidak kembali normal seperti tahun lalu\n\n\nPendapatan bulanan penengah isi rumah mula meningkat dari RM1,819 pada Mei lalu kepada RM2,233 pada September. Meskipun begitu, pendapatan mereka masih lagi 9% lebih rendah berbanding tahun lalu dimana mereka mencatatkan pendapatan RM2,457 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara kumpulan yang paling terkesan sekali dengan krisis kesihatan ini adalah isi rumah yang diketuai oleh Ketua Isi Rumah Kurang Upaya. Pendapatan penengah mereka jatuh dari RM1,300 tahun lalu kepada RM990 iaitu jauh dibawah pendapatan garis kemiskinan.\n\n\nData menunjukkan 1 dari 2 ( 50% ) daripada isi rumah di PPR Kuala Lumpur berada di dalam kemiskinan mutlak manakala hampir 97% hidup dalam kemiskinan relatif iaitu meraih pendapatan kurang dari RM2,987 sebulan.\n\n\nHarus diingat, kadar kemiskinan mutlak bagi komuniti ini sudah sedia tinggi pada tahun lepas, iaitu pada kadar 44%. Ianya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kadar kemiskinan Mutlak di Kuala Lumpur pada tahun 2019, iaitu pada kadar hampir 0% (0.2%). Peratusan isi rumah PPR ini yang hidup dalam keadaan miskin tegar juga membimbangkan, iaitu pada kadar 17%. Ini bermaksud isi rumah ini tidak dapat akses yang cukup kepada makanan yang sihat.\n\n\nPenyelidikan ini juga mendedahkan keadaan kesihatan isi rumah dimana majoriti daripada mereka mempunyai seorang ahli keluarga yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis ( 46% )\u00a0 atau darah tinggi ( 35% ).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKanak-kanak juga berdepan tekanan yang tinggi selepas PKP dimana 7% pelajar sekolah menengah tidak hadir ke sekolah manakala satu per lima ketua isi rumah melaporkan anak-anak mereka mula kehilangan minat untuk pergi ke sekolah.\n\n\n\n\nIbu bapa turut mempunyai cabaran mereka yang tersendiri dalam menyediakan pendidikan buat kanak-kanak. Separuh daripada ketua isi rumah melaporkan mereka mempunyai kesukaran untuk menyediakan duit poket buat anak-anak ke sekolah dan keadaan ini lebih teruk dalam kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita iaitu setinggi 65%.\n\n\nTidak seperti tanggapan orang ramai, pendidikan atas talian bukan mudah untuk semua terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Laporan ini menunjukkan hampir 80% pelajar tidak mempunyai komputer. Kebanyakkan pelajar menggunakan telefon pintar untuk mengikuti pengajian atas talian di mana mereka harus berkongsi telefon tersebut dengan adik beradik mereka yang lain.\n\n\nMajoriti ibu bapa juga tidak gemar dengan pengajian atas talian. Antara sebab utama adalah kerana anak-anak tidak mempunyai tempat untuk belajar yang kondusif. Kebanyakkan mereka terpaksa belajar di ruang tamu yang mungkin terdedah dengan pelbagai gangguan. Selain itu, akses terhadap internet turut menjadi cabaran utama pengajian atas talian ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenyelidik laporan ini mencadangkan untuk kerajaan terus-menerus memberikan bantuan kepada mereka yang terkesan selain meluaskan liputan bantuan. Sebagai contoh, hanya 2% mereka yang bekerja sendiri memperoleh Geran Khas Prihatin dan hampir separuh (48%) daripada mereka yang sepatutnya menerima BPN, tidak menerima bantuan tersebut.\n\n\n\n\nBantuan-bantuan seperti moratorium bayaran balik pinjaman bank dan pengeluaran wang persaraan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) juga kelihatan tidak banyak membantu golongan ini. Menurut mereka, bantuan yang banyak membantu menghadapi krisis ini adalah bantuan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional serta pengecualian bayaran sewa rumah.\n\n\nZouhair Rosli, salah seorang penyelidik yang menyediakan laporan ini turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap situasi isi rumah berpendapatan rendah ini;\n\n\n\u201d Perkataan \u2018normal\u2019 bagi isi rumah ini tidak seharusnya dirujuk kepada keadaan yang \u201cpulih seperti sedia kala\u201d. \nKeadaan mereka sudah sedia teruk sebelum pandemik\n. Justeru, tindakan yang sewajarnya daripada kerajaan adalah diperlukan dengan kadar yang segera. \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSeramai 500 isi rumah di PPR sekitar Kuala Lumpur telah ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini melibatkan 2,832 ahli isi rumah. Walaupun purata saiz isi rumah agak besar iaitu sekitar 5.7 orang, namun purata bilangan anak hanyalah 2.3 orang. Selebihnya ialah emak atau ayah yang tinggal bersama. Ini juga menunjukkan persepsi masyarakat tentang orang miskin yang dikatakan mempunyai anak yang ramai adalah tidak benar.\n\n\nLaporan ini disediakan oleh DM Analytics yang diketuai oleh Dr Muhammed Abdul Khalid dan dibiayai oleh UNICEF Malaysia dan UNFPA dengan sokongan kerajaan Denmark.\n\n\nLaporan penuh boleh diakses di \nhttps://www.unicef.org/malaysia/families-edge\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/71-pekerja-penghantaran-makanan-di-malaysia-pernah-kemalangan-majoriti-kerja-sehingga-84-jam-seminggu/", "title": "71% Pekerja Penghantaran Makanan di Malaysia Pernah Kemalangan, Majoriti Kerja Sehingga 84 Jam Seminggu", "body": "\n\nShare it\nSektor pekerjaan gig kini semakin popular di serata dunia setelah akses internet yang meluas berjaya mentransformasikan sebahagian industri perniagaan. E-hailing (e-panggilan) antara segmen ekonomi gig yang berjaya membuka lembaran baru buat perniagaan teksi mahupun penghantaran makanan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nHanya di hujung jari, pengguna boleh mendapatkan teksi untuk menghantar mereka ke destinasi yang dituju. Atau pengguna juga dapat menempah makanan mereka untuk dihantar terus ke pejabat mereka pada waktu makan tengah hari tanpa perlu menghirup udara panas dibawah terik sang suria.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerkhidmatan-perkhidmatan ini bukanlah baru. Servis teksi ataupun penghantaran makanan telah pun bertapak di negara ini untuk sekian lama. Namun revolusi internet telah berjaya mengubah landskap perniagaan ini ke tahap yang seterusnya.\n\n\nRamai golongan muda mengambil keputusan untuk menjadi pekerja gig. Waktu kerja yang fleksibel dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada pemilihan pekerjaan ini. Namun disebalik populariti pekerjaan ini, data kajian oleh agensi Kerajaan menunjukkan realiti yang menggerikan.\n\n\nJam bekerja yang lama\n\n\nMenurut Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), 70.8% pekerja penghantaran makanan (P-hailing) bekerja diantara 49 jam sehingga 84 jam seminggu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHanya 22.3% daripada pekerja penghataran makanan ini bekerja kurang daripada 49 jam seminggu. Dalam erti kata lain, penghantar-penghantar makanan di Malaysia bekerja pada tempoh waktu yang lebih tinggi berbanding pekerja-pekerja biasa.\n\n\nMengikut Akta Kerja yang baru, bilangan jam bekerja seminggu di Malaysia telah diturunkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.\n\n\nTempoh masa kerja yang ekstrem sudah pasti mendedahkan pekerja-pekerja penghantaran ini kepada risiko kesihatan. Hal ini kerana fokus untuk seorang manusia adalah terhad dan bekerja melebihi lapan jam sehari membuka ruang kepada kelekaan dan kecuaian yang boleh mengundang kecelakaan.\n\n\n71% pekerja penghantaran makanan pernah mengalami kecederaan dan kemalangan sewaktu bekerja\n\n\nLaporan \n\u2018Kajian Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan P-Hailing (Penghantar Makanan) Di Kalangan Bumiputera Semasa Pandemik Covid-19\u2019\n turut menunjukkan bahawa 71.0% daripada mereka pernah mengalami kecederaan dan kemalangan ketika bekerja.\n\n\nApa yang lebih menyedihkan, 77% daripada mereka yang mengalami kemalangan dan kecederaan ini tidak menerima sebarang faedah kecederaan/kemalangan daripada syarikat P-hailing.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nStatistik ini bukanlah satu berita yang baik buat sebuah negara seperti Malaysia yang bercita-cita ingin mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.\n\n\nJaringan keselamatan sosial yang lemah tanpa perlindungan sewajarnya menghukum golongan rentan. Sudahlah pekerjaan P-hailing ini terdedah dengan risiko kemalangan, apabila berlaku kemalangan pula, tiada sebarang faedah yang boleh membantu mereka mengharungi detik-detik sukar itu.\n\n\nPendapatan bulanan pekerja penghantaran makanan\n\n\nUpah per jam yang diterima pekerja-pekerja penghantaran makanan juga masih boleh dianggap rendah. Menurut kajian yang dibuat, sebanyak 82.9% penghantar makanan meraih pendapatan bersih kurang dari RM3,600 sebulan.\n\n\nHanya 17.1% yang melaporkan bahawa mereka menerima pendapatan bersih lebih dari RM3,600 sebulan.\n\n\nJika dibandingkan dengan waktu bekerja yang direkodkan, data menunjukkan anggaran pendapatan per jam kumpulan ini adalah amat rendah. Sebahagian besar daripada mereka meraih pendapatan yang tinggi hasil daripada tempoh jam bekerja yang panjang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHanya 10% jurutera baru menerima gaji permulaan melebihi RM3,000 sebulan\n\n\nNamun dari sisi lain, pendapatan keseluruhan yang diraih pekerja gig ini boleh dianggap lebih tinggi berbanding gaji permulaan sebilangan graduan baru di Malaysia. Kajian Lembaga Jurutera Malaysia misalnya melaporkan hanya 10% daripada jurutera baru yang menerima gaji melebihi RM3,000 sebulan.\n\n\n37% daripada mereka pula melaporkan menerima gaji dibawah RM2,000 sebulan, hanya lebih sedikit berbanding gaji minimum di Malaysia.\n\n\n*Bukan gaji yang wajar bagi graduan setelah empat tahun bergelut dengan kiraan-kiraan kompleks yang dipenuhi dengan huruf dan angka\n\n\nManakala bagi pekerja penghantaran makanan, 53.1% melaporkan bahawa mereka meraih pendapatan lebih dari RM3,200 sebulan.\n\n\nMeskipun industri ini membuka banyak ruang rezeki kepada warga kita, namun penambahbaikan perlu dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan kebajikan pekerja-pekerja gig ini terjamin.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIsu keselamatan, perlindungan sosial, hak-hak sebagai pekerja (meskipun pekerja gig tidak dianggap sebagai pekerja oleh syarikat penyedia platform) serta upah yang adil antara aspek-aspek penting yang diteliti secara menyeluruh oleh semua pihak berkepentingan.\n\n\nArtikel berkaitan: \n\u201d Ekonomi Gig Bukan Penyelesaian, Cara ia Beroperasi Lebih Kepada Eksploitasi \u201d \u2013 Dr Nungsari Radhi\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/adakah-gaji-menteri-malaysia-terlalu-tinggi/", "title": "Adakah Gaji Menteri Malaysia Terlalu Tinggi?", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nGaji ahli politik sering kali menjadi topik perbualan di dalam kalangan rakyat Malaysia. Baru-baru ini, portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan pendapatan yang diperoleh oleh ahli pentadbiran kerajaan dimana Perdana Menteri mengungguli carta sebagai ahli pentadbiran dengan pendapatan tertinggi iaitu pada RM94,000.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenteri Wilayah, TS Annuar Musa pula berada di tangga kedua dengan pendapatan RM88,000 sebulan diikuti menteri dari Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan pada RM85,000.\n\n\nPendapatan terendah yang diisytiharkan oleh ahli pentadbiran kerajaan kepada SPRM adalah RM25,700 sebulan. Dalam kata lain, majoriti ahli politik di Malaysia memperoleh pendapatan di luar lingkungan pendapatan majoriti rakyat Malaysia dimana gaji penengah pekerja di Malaysia adalah sekitar RM2,308 sebulan\n\n\nMenurut laporan lalu, menteri di Malaysia dibayar gaji sebanyak RM14,907 sebulan manakala Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri dibayar masing-masing pada RM18,168 dan RM22,827. Gaji ini tidak termasuk pendapatan yang diraih mereka sebagai Ahli Parlimen dan elaun-elaun lain yang disediakan oleh kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya\u2026.. Adakah gaji Ahli Politik di Malaysia ini Berpatutan?\n\n\nEkonomi Rakyat cuba membandingkan gaji menteri di Malaysia dengan menteri di negara-negara lain bagi melihat adakah ahli pentadbiran kerajaan dibayar pada kadar yang munasabah. Dapatan kami menunjukkan menteri di Malaysia menikmati gaji yang jauh lebih tinggi berbanding menteri di negara-negara lain.\n\n\nSebagai contoh, menteri di Malaysia memperoleh gaji 12.4 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan. Gaji tahunan menteri di negara ini adalah sebanyak RM178,000 setahun manakala gaji minimum pula hanya sekitar RM14,400.\n\n\nNisbah gaji menteri dan gaji minimum di Malaysia ini jauh lebih tinggi berbanding negara-negara maju lain. Menteri di UK sebagai contoh hanya memperoleh GBP79,750 setahun dimana hanya 4.6 kali lebih tinggi berbanding gaji minimum ( GBP17,077 ) rakyat mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun KDNK per kapita UK empat kali lebih besar berbanding Malaysia, namun jurang gaji menteri mereka dengan gaji minimum yang dinikmati oleh rakyat jauh lebih kecil berbanding apa yang diperoleh oleh menteri di Malaysia Malaysia.\n\n\nJiran kita, Indonesia turut membayar gaji menteri mereka pada kadar yang lebih munasabah. Gaji tahunan mereka hanyalah sekitar Rp233,680,000 manakala rakyat pula menikmati gaji minimum sebanyak\u00a0 Rp50,400,000 setahun berdasarkan gaji minimum di Jakarta. Ini bermaksud menteri di Indonesia hanya memperoleh gaji sekitar lima kali ganda lebih besar berbanding gaji minimum.\n\n\nTurunkan Gaji Menteri atau Tingkatkan Gaji Minimum!\n\n\n\n\nDapatan di atas jelas menunjukkan bahawa menteri di Malaysia memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi berbanding rakan sejawat mereka di luar negara. Terdapat dua pendekatan bagi mengurangkan jurang di antara dua kelas yang berbeza darjat ini. Satu, gaji menteri perlu diturunkan. Alternatif lain adalah gaji minimum perlu ditingkatkan. Pilihan kedua lebih praktikal berbanding pilihan pertama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPekerja-pekerja di Malaysia ini sememangnya memperoleh upah atau gaji yang tidak setimpal. Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan baru-baru ini menunjukkan pampasan pekerja pada 2019 di Malaysia hanyalah sekitar 35.9% berbanding keseluruhan KDNK, jauh lebih rendah berbanding apa yang disasarkan melalui Rancangan Malaysia ke-11 iaitu 40% menjelang 2020\n\n\nPekerja di negara lain memperoleh pampasan pekerja yang lebih setimpal. Sebagai contoh, pekerja di Australia memperoleh pampasan pekerja sebanyak 47.0% manakala pekerja di United Kingdom memperoleh pampasan pekerja sekitar 50%.\n\n\nMenjelang pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan perlu menaikkan gaji minimum ke paras yang lebih tinggi selepas kali terakhir dinaikkan pada 2019. Ini seiring dengan konsesus yang dicapai melalui Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Minimum dimana paras gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun.\n\n\n\n\nMekanisme yang digunapakai ini jauh ketinggalan berbanding negara lain. Indonesia sebagai contoh menyemak gaji minimum secara tahunan sekaligus membolehkan rakyat memperoleh gaji minimum yang lebih tinggi. Malaysia pula hanya meningkatkan gaji minimum pada awal tahun ini untuk bandar-bandar besar saja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan yang ada dengan menyuarakan hak mereka untuk menuntut gaji minimum yang setimpal untuk tahun hadapan. Kerajaan dijangka akan membentangkan Belanjawan 2021 pada November ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/adakah-perdagangan-bebas-benar-benar-bebas/", "title": "Adakah Perdagangan Bebas Benar-Benar Bebas?", "body": "\n\nShare it\nSeptember 1945 merupakan tarikh penting yang menyaksikan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Pada ketika itu, dua negara besar dalam Kuasa Paksi, iaitu Jepun dan Jerman menyerah kalah kepada Kuasa Bersekutu yang terdiri daripada kuasa besar Amerika Syarikat, Empayar British, Perancis dan Rusia.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenamatan Perang Dunia Kedua turut menyaksikan perubahan ketara dalam polisi luar yang diamalkan negara-negara kuasa besar dunia pada ketika itu. Jika sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan negara ini mengambil sikap imperialisme dengan menjajah serta mengeksploitasi hasil bumi negara-negara lain demi mengaut keuntungan semata-mata.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, negara-negara kuasa besar ini mula melaksanakan apa yang disebut sebagai \u2018perintah dunia baru\u2019 atau \nnew world order\n bagi memulihkan ekonomi pasca peperangan serta memastikan keamanan global dapat terus dipertahankan.\n\n\nPada ketika inilah pertubuhan-pertubuhan global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mula dibentuk selepas Persidangan Bretton Woods 1944 untuk menjayakan agenda \u2018perintah dunia baru\u2019 ini.\n\n\nPersidangan Pertubuhan Perdagangan Dunia Pertama yang dijalankan di Singapura pada tahun 1996\n\n\n23 buah negara juga telah menandatangani Perjanjian Umum Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) pada tahun 1947 untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa dengan mengurangkan atau menghapuskan halangan-halangan untuk berdagang seperti tarif atau kuota. GATT menjadi asas kepada pembentukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun 1995.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLiberalisme: Era Baharu Dunia Pasca Peperangan\n\n\nPolisi negara-negara kuasa besar ini mula berubah daripada pendekatan imperialisme kepada liberalisme. Mereka mula perlahan-lahan melepaskan cengkaman dan mula menyokong usaha-usaha ke arah kemerdekaan negara-negara yang dijajah.\u00a0\u00a0\n\n\nMalaysia, atau Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, turut tidak terkecuali apabila \nEmpayar British mula membenarkan urusan pentadbiran negara dijalankan oleh pemimpin-pemimpin tempatan pada ketika itu. Sebuah pilihan raya peringkat Persekutuan Tanah Melayu telah dijalankan pada tahun 1955 untuk memilih anggota Majlis Perundangan Persekutuan.\n\n\nNamun, peperangan yang disangka-sangka sudah berakhir bertukar wajah menjadi peperangan bersifat halus, atau lebih popular sebagai \u2018Perang Dingin\u2019 antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, kedua-dua kuasa besar ini berlumba-lumba dalam segenap aspek politik, ekonomi, sains, teknologi bahkan sukan untuk menunjukkan siapakah paling jaguh dalam menyebarkan panji ideologi masing-masing.\n\n\nDunia pada ketika itu seakan-akan terpisah antara ideologi kapitalisme (Amerika Syarikat) vs sosialisme (Kesatuan Soviet). Apa yang lebih menyedihkan, pertembungan ideologi ini turut mengakibatkan peperangan saudara atau pemisahan sempadan di beberapa buah negara seperti Korea, Vietnam dan Jerman.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDari sudut positifnya, dunia pasca Perang Dunia Kedua adalah secara relatifnya lebih aman dan tenteram. Kestabilan politik global yang perlahan-lahan dikecapi membantu merancakkan kembali ekonomi, terutamanya dari sudut perdagangan. Sebagai contohnya, jumlah perdagangan antarabangsa meningkat dari AS$56.4 billion (1950) kepada AS$127.2 billion (1960), menurut data WTO.\n\n\nPelbagai perjanjian perdagangan bebas menyusul pasca Perang Dunia Kedua, bertujuan mencipta sebuah dunia yang saling berhubung, selaras dengan konsep globalisasi dan keterbukaan perdagangan (trade openness) yang begitu popular pada ketika itu. Ada antara perjanjian ini yang bersifat dua hala (bilateral) atau pelbagai hala (multilateral).\n\n\nSecara konsepnya, perjanjian perdagangan bebas atau \nFree Trade Agreement\n (FTA) merujuk kepada kerjasama yang terjalin antara dua atau lebih negara untuk membentuk sebuah kawasan bebas dagang. Lazimnya, halangan-halangan perdagangan seperti kuota, tarif atau cukai import akan dikurangkan atau dimansuhkan antara negara-negara ini bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti perdagangan.\u00a0\n\n\nPerjanjian Perdagangan Bebas: Sebuah Wayang Negara Kuasa Besar?\u00a0\n\n\nNamun, persoalannya, sejauh manakah perdagangan bebas ini benar-benar bebas? Ataupun adakah ia hanyalah satu bentuk penjajahan baharu atau neo-colonialism yang digerakkan negara-negara kuasa besar ini bagi menjamin penguasaan mereka dalam ekonomi global?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHal ini kerana jika diteliti kebanyakan perjanjian perdagangan bebas ini dipelopori oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, UK dan Jepun, yang sering menggunakan kelebihan ekonomi yang dimiliki mereka untuk \u2018memancing\u2019 penyertaan negara-negara ekonomi lebih kecil.\u00a0\n\n\nKebiasaannya, pelbagai janji manis akan ditabur seperti harga import yang lebih murah, akses kepada barangan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti, perkongsian tenaga buruh mahir serta kepakaran teknologi. Negara-negara kecil ini turut dijanjikan bahawa ekonomi mereka akan bertambah maju hasil penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas bersama negara-negara kuasa besar ini.\n\n\nMeskipun perdagangan bebas ini menjanjikan peluang dan akses perdagangan yang lebih terbuka buat negara-negara peserta, hakikatnya kelebihan sudah tentu akan lebih banyak diperolehi oleh negara-negara kuasa besar ini berbanding negara-negara kecil.\n\n\nMemetik kajian daripada Arnold (2006), beliau berkata bahawa polisi Amerika Syarikat seolah-olah \u2018mengikat\u2019 rakan dagang mereka untuk menyertai perjanjian perdagangan bebas. Taktik yang biasa digunakan Amerika Syarikat ialah dengan mencipta sebuah persepsi bahawa negara-negara ini akan rugi dan terlepas peluang sekiranya mereka tidak mahu menyertai perjanjian perdagangan bebas ini. Akibatnya, ada sesetengah negara ini yang menjadi terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat.\n\n\nDennis Arnold yang turut berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di University of Amsterdam memetik contoh Mexico yang menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada tahun 1994 bersama Kanada dan Amerika Syarikat. Melalui NAFTA, eksport Mexico meningkat tiga kali ganda daripada AS$67.5 billion (1993) kepada AS$187.4 billion (2002). Sejumlah AS$124 billion pelaburan langsung asing (FDI) diterima Mexico dalam tempoh yang sama, majoritinya dari Amerika Syarikat.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun tidak dinafikan Mexico berjaya menikmati prestasi ekonomi yang lebih baik hasil perjanjian ini, Mexico menjadi terlalu bergantung terhadap Amerika Syarikat. Sebagai contoh, 65% import Mexico datang dari Amerika Syarikat menurut kajian Arnold ini. Manakala, hampir 89% eksport Mexico dihantar ke Amerika Syarikat.\u00a0\n\n\nLebih malang, kebergantungan yang tinggi terhadap Amerika Syarikat menyebabkan taraf sosioekonomi Mexico gagal ditambah baik. Hal ini kerana perjanjian perdagangan bebas sebegini secara tidak langsung menjadi sebuah bentuk eksploitasi moden oleh negara-negara maju.\u00a0\n\n\nSecara kebiasaannya, pengeluaran syarikat-syarikat negara maju ini akan dipindahkan ke negara-negara yang mundur atau sedang membangun ini bagi memaksimumkan keuntungan mereka menerusi kos buruh yang murah. Akibatnya, gaji di negara-negara ini kekal rendah, serta menyebabkan industri mereka terus terperangkap dalam pengeluaran \u2018\nlabour-intensive\n\u2019 yang berteknologi rendah.\n\n\nPerkara ini dibuktikan apabila KDNK per kapita sebenar Mexico pada tahun 2003 (127,519 peso Mexico) adalah hampir sama sahaja berbanding lebih dua dekad yang lepas, iaitu 113,381 peso Mexico pada tahun 1980. Purata kadar pertumbuhan ekonomi tahunan sepanjang tempoh NAFTA dalam kajian Arnold ini hanyalah didapati sekitar 1% sahaja.\n\n\nSetelah hampir 20 tahun berada dalam NAFTA, Mexico gagal mencapai tahap ekonomi yang dijanjikan semasa awal penyertaan mereka dahulu. Perjanjian ini yang lebih memihak kepada Amerika Syarikat menyebabkan rakyat Mexico berasa kurang senang, lantas memaksa perjanjian NAFTA ini diubah suai beberapa tahun yang lepas.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara-negara maju di Barat yang sejak sekian lama menjadi jaguh dalam mempromosikan perdagangan bebas juga nampaknya semakin meninggalkan konsep ini apabila merasakan kedudukan ekonomi mereka terancam, terutamanya dengan kehadiran kuasa ekonomi besar baharu seperti China.\u00a0\n\n\nSebagai contoh, Amerika Syarikat melancarkan siri perang dagang dengan mengenakan tarif terhadap barangan yang diimport dari China ketika pentadbiran Presiden Donald Trump. Malah sehingga ke saat ini, Amerika Syarikat masih mengenakan sekatan eksport terhadap beberapa jenis barangan ke China, terutamanya produk teknologi seperti cip, atas alasan \u201ckeselamatan negara\u201d. Begitu juga dengan UK yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) melalui langkah Brexit pada awal 2020 kerana merasakan tidak beruntung untuk terus kekal lama berada dalam EU.\u00a0\n\n\nMeskipun keterbukaan perdagangan wajar diteruskan bagi manfaat-manfaat yang bakal diperolehi, ini tidak bermakna sesebuah negara itu perlu sewenang-wenangnya memasuki perjanjian perdagangan bebas bersama negara-negara maju lain. Hal ini kerana jika diteliti terdapat beberapa buah negara yang mengamalkan dasar perdagangan perlindungan (\ntrade protectionism\n), namun masih berjaya mencapai status negara maju. Antara negara-negara tersebut ialah Korea Selatan dan Jepun, yang mengamalkan dasar perdagangan perlindungan sekitar tahun 1960an.\u00a0\n\n\nAntara tujuan utama dasar ini dijalankan ialah untuk menyokong pertumbuhan industri tempatan. Tanpa dasar perdagangan perlindungan, produk-produk yang dihasilkan syarikat tempatan akan berhadapan dengan persaingan yang hebat, lebih-lebih lagi daripada negara maju yang sudah tentunya memiliki kemahiran dan kepakaran untuk menghasilkan produk yang lebih baik. Sekiranya ini berlaku, produk tempatan tidak berpeluang untuk berkembang serta mencapai kualiti yang baik sehingga dapat dikomersialkan di peringkat antarabangsa.\n\n\nSekitar sedekad yang lepas, Malaysia pernah digegarkan dengan kontroversi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak. Perjanjian TPPA ini pada asalnya dianggotai oleh 12 buah negara termasuklah Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerjanjian ini penuh kontroversi kerana dikatakan mampu mengancam banyak elemen melibatkan kos perubatan, paten, harta intelek, alam sekitar, hak pekerja, pertanian, pemilikan Kerajaan dalam syarikat korporat dan sebagainya.\n\n\nHimpunan Bantah TPPA yang berlangsung pada tahun 2014\n\n\nPada ketika itu, tokoh ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram telah menggesa Malaysia menolak dari menyertai Perjanjian TPPA. Beliau berpandangan perjanjian ini tidak akan mendatangkan manfaat yang signifikan kepada negara. Menurut beliau, unjuran impak ekonomi yang dibuat oleh Model Polisi Global PBB terhadap Perjanjian TPPA mendapati bahawa perjanjian ini akan membawa kepada kehilangan pekerjaan yang besar serta peningkatan ketidaksamarataan dalam negara.\n\n\nPerjanjian ini bagaimanapun tidak berjaya diteruskan setelah Presiden Donald Trump membuat keputusan untuk menarik penyertaan AS. Namun, idea perjanjian ini tidak terhenti di situ kerana saki baki negara yang tinggal bersepakat untuk meneruskannya menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Meskipun CPTPP ini turut ditolak sesetengah pihak, termasuk oleh Prof Jomo sekali lagi, ia tetap diteruskan juga.\n\n\nApa yang berlaku terhadap Mexico sepatutnya menjadi sebuah pengajaran bagi Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan menyertai mana-mana perjanjian perdagangan bebas. Hal ini bagi mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam masalah ekonomi yang lebih besar kelak, sepertimana yang melanda Mexico.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/anda-bukar-sekadar-kerjaya-anda/", "title": "Anda Bukar Sekadar Kerjaya Anda", "body": "\n\nShare it\nKerjaya. Satu perkara yang amat rapat dengan diri anda. Jika kita ingin berkenalan dengan seseorang, soalan pertama yang diajukan adalah \u201d anda kerja apa? \u201d . Soalan seperti ini bukanlah khusus dalam masyarakat kita tetapi bersifat universal. \u201d \nWhat do you do?\n \u201d adalah ungkapan \nice-breaking\n paling mudah dalam membuka ruang perbualan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerja yang dilakukan sering dianggap sebagai kejayaan dan pencapaian buat seseorang. Jika anda seorang doktor, memperkenalkan diri anda sebagai seorang doktor memberi indikasi bahawa anda seorang yang terpelajar. Kerjaya juga mempengaruhi status sosial seseorang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika dahulu, dan mungkin juga masih terpakai sekarang, berkhidmat di sektor awam dipandang tinggi oleh mak-mak saudara yang berada nun di ceruk kampung. Dengan gaji yang relatifnya tinggi, anda yang bekerja sebagai penjawat awam mungkin menjadi pilihan pertama sebagai calon menantu.\n\n\nIsunya, meletakkan kerjaya sebagai satu-satunya simbol penting peribadi bukanlah sesuatu yang baik.\n\n\nMisalannya, jika anda kehilangan kerja, anda bukan sahaja kehilangan mata pendapatan, tetapi anda juga mungkin merasakan bahawa anda kehilangan sebahagian daripada diri anda.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJusteru, kita harus membentuk semula watak dan cara kita menggambarkan diri kita.\n\n\nKita ada pelbagai minat yang membentuk identiti diri. Kita mungkin juga ada perjuangan ataupun kepercayaan ideologi yang menjadi sebahagian daripada hidup kita. Siapa diri kita tidak wajar hanya digambarkan dengan jawatan yang kita disandang. Kita lebih daripada itu.\n\n\nPengangguran belia meningkat kepada 11.7%\n\n\nPengangguran dan Kemurungan\n\n\nIsu kerjaya ini berkait rapat dengan masalah yang dihadapi oleh golongan muda di negara ini. Kadar pengangguran belia di Malaysia kini berada di paras yang tinggi iaitu 11.7%. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum krisis Covid-19 iaitu sebanyak 10.2%.\n\n\nBanyak kajian mendapati pengangguran turut memberi kesan kepada kesihatan mental. Kajian di Amerika Syarikat pada tahun 2010 mendapati bahawa pengangguran telah menyumbang kepada masalah kemurungan terutamanya dalam kalangan remaja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagaimana Pengangguran Menyumbang Kepada Kemurungan?\n\n\nPekerjaan bukan sahaja menjana pendapatan kepada seseorang, namun lebih daripada itu. Pekerjaan membenarkan seseorang itu keluar daripada rumah dan berinteraksi dengan orang lain selain mewujudkan rasa stabil di dalam minda.\n\n\nIa juga memberikan struktur kepada kehidupan seharian anda melalui rutin pergi balik kerja dan sebagainya.\n\n\nNamun apabila seseorang itu hilang pekerjaan, individu tersebut bukan sahaja kehilangan sebuah pekerjaan tetapi ia melibatkan aspek-aspek lain juga di dalam kehidupan seharian seseorang. Pertubuhan Kesihatan Mental Kanada memberikan penjelasan lanjut mengenai situasi ini ;\n\n\n\n\n\u201d Apabila anda kehilangan pekerjaan, bukan sahaja pendapatan anda terjejas, tetapi juga hubungan kerja peribadi, struktur harian, dan tujuan hidup. Pengangguran kebiasannya memberi kejutan terhadap keseluruhan sistem. Anda akan mengalami perasaan yang sama dan stres seperti anda benar-benar sakit, melalui penceraian ataupun meratapi pemergian orang yang tersayang. \u201c\n\n\n\n\nDengan stigma masyarakat yang membelenggu, isu kesihatan mental sering kali dianggap sebagai perkara yang taboo untuk dibicarakan. Namun semua pihak terutamanya kerajaan perlu mengambil peranan yang lebih besar dalam menangani permasalahan yang saling berkait ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n37.7% Siswazah di Malaysia Bekerja Di Bawah Kelayakan Mereka\n\n\nDan bukan saja isu pengangguran perlu ditangani, tetapi krisis \nunderemployment\n yang semakin meninggi saban hari juga perlu diberi perhatian.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/anda-perlukan-rm2-1-juta-untuk-sertai-kumpulan-terkaya-1-di-malaysia/", "title": "Anda Perlukan RM2.1 juta Untuk Sertai Kumpulan Terkaya 1% di Malaysia", "body": "\n\nShare it\nAnda memerlukan RM2.1 juta Untuk Menyertai Kumpulan Terkaya 1%\n\n\nFirma hartanah global, Knight Frank di dalam laporan terbaru mereka menyatakan rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan elit terkaya 1% pada tahun lalu perlu memiliki aset sekurang-kurangnya RM2.1 juta ataupun $540,000.\n\n\n\n\n\n\n\n\nManakala di Singapura, anda memerlukan sekitar RM11.75 juta untuk berada di dalam kelompok tertinggi ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaporan Knight Frank ini turut mendedahkan terdapat jurang yang lebar di dalam kalangan kelompok terkaya secara global. Di Monaco, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM32 juta untuk menyertai kumpulan \nTop 1%\n manakala di Kenya anda hanya memerlukan sekitar RM80,000.\n\n\nHad ambang di Malaysia agak tinggi dalam kalangan negara serantau untuk berada di dalam kumpulan terkaya. Di Indonesia dan Filipina, aset sebanyak RM240,000 diperlukan menyertai \nTop 1%\n manakala di Vietnam, anda memerlukan RM640,000.\n\n\nMeskipun dunia mengalami krisis pada tahun lalu, individu super kaya yang mempunyai kekayaan melebihi $30 juta ( RM120 juta ) telah meningkat 2.4% kepada lebih 520,000 orang. Kadar faedah yang rendah telah mengakibatkan harga hartanah melambung naik lantas meningkatkan jumlah individu yang mempunyai kekayaan melebihi RM120 juta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTerdapat 16,442 individu di Malaysia yang mempunyai aset melebihi RM4 juta\n\n\nTerdapat peningkatan sebanyak 16% golongan super kaya di China pada tahun 2020 diikuti Sweden dan Singapura pada kadar 11% dan 10%.\u00a0Laporan ini turut menyatakan bahawa golongan super kaya di Asia akan meningkat 39% di dalam tempoh lima tahun akan datang.\n\n\nKebanyakkan pasaran saham utama dunia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun lalu. China CSI300 sebagai contoh telah meraih peningkatan sebanyak 27% manakala US S&P 500 tumbuh 16%.\n\n\nMeskipun begitu, terdapat pasaran saham yang turut menjunam pada tahun lalu seperti Europe Stoxx 50 dan UK FTSE 100. Di Malaysia, indeks pasaran saham kita meningkat sedikit pada kadar 2.4% pada tahun lalu selepas jatuh 6.0% pada 2019.\n\n\nTinjauan yang dijalankan terhadap pengurus dana dan pegawai bank peribadi turut menunjukkan reaksi positif dalam kalangan golongan kaya ini. 49% daripada responden menyatakan bahawa klien mereka iaitu golongan kaya meraih peningkatan kekayaan pada tahun lalu manakala hanya 24% menyatakan kekayaan klien mereka merosot.\n\n\nSeramai 27% responden pula menyatakan bahawa kekayaan klien mereka tidak berubah. Perkara ini menunjukkan bahawa pandemik Coronavirus ini tidak memberikan kesan yang besar terhadap kelompok elit.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMajoriti responden berpendapat klien mereka akan menambah kekayaan pada tahun ini\n\n\nMeskipun begitu, krisis Coronavirus yang berlanjutan menjadi kebimbangan besar golongan kaya di dalam usaha mewujudkan dan memelihara kekayaan mereka. Rata-rata menyatakan peluang pasca-pandemik pula menjadi satu tarikan utama buat mereka untuk terus menambah kekayaan.\n\n\nGolongan kaya juga kekal optimis mengenai prospek kekayaan mereka pada tahun ini. 71% daripada responden menyatakan kekayaan klien mereka bakal meningkat manakala hanya 8% menyatakan aset kekayaan klien mereka bakal jatuh.\n\n\nJumlah individu yang mempunyai kekayaan melebihi $1 juta ataupun RM4 juta adalah seramai 48 juta di seluruh dunia pada tahun 2020, menurun lapan peratus dari 53 juta orang pada tahun yang sebelumnya.\n\n\nDi Malaysia, individu yang mempunyai aset bernilai RM4 juta dan ke atas adalah seramai 16,442 orang. Angka ini lapan peratus lebih rendah berbanding pada tahun 2019 dimana terdapat 17,936 orang mempunyai kekayaan melebihi RM4 juta.\n\n\nLaporan ini turut mendedahkan bahawa Malaysia mempunyai 606 individu yang mempunyai aset melebihi RM120 juta. Jumlah ini tidak jauh beza berbanding jumlah golongan kaya pada tahun 2019 iaitu seramai 628 orang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUntuk tempoh lima tahun akan datang, individu yang mempunyai aset melebihi RM4 juta dianggarkan meningkat 36% kepada 22,354 orang di Malaysia. Manakala individu yang mempunyai kekayaan melebihi RM120 juta pula dijangka meningkat kepada 801 orang.\n\n\nPandemik Covid-19 yang berterusan merupakan kebimbangan utama golongan elit\n\n\nSeramai lebih 600 pengurus dana dan pegawai bank disoalselidik oleh Knight Frank untuk menyediakan laporan ini. Responden-responden ini dilaporkan menguruskan dana berjumlah $3.3 trilion untuk golongan kaya. Laporan Knight Frank ini membuktikan bagi golongan elit,\n \u201d all is good \u201c\n meskipun jutaan manusia terkesan akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di \nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/anda-perlukan-rm2570-sebulan-untuk-hidup-bermaruah-di-lembah-klang/", "title": "Anda Perlukan RM2,570 Sebulan Untuk Hidup Bermaruah di Lembah Klang", "body": "\n\nShare it\nAnggaran Perbelanjaan Bulanan Individu Bujang Berkereta\n\n\n*Sewa rumah merujuk kepada sewa bilik bagi anggaran perbelanjaan individu bujang\n\n\n\n\n\n\n\n\nIsu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. Peningkatan harga barangan disamping kenaikan gaji yang rendah mengakibatkan isu ini terus berlanjutan buat sekian lama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya, berapakah pendapatan yang mencukupi bagi seorang individu bujang untuk hidup dengan bermaruah di kota raya Kuala Lumpur? Banyak perkiraan yang dikongsikan secara anekdotal di Facebook mahupun Twitter namun angka-angka yang timbul sukar untuk digeneralisasikan kepada warga umum.\n\n\nPusat Kajian Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) ada membuat penyelidikan mengenai kos yang perlu dibelanjakan setiap orang bagi mengharungi kehidupan yang bermaruah di Malaysia.\n\n\nDi Lembah Klang misalnya, individu bujang yang mempunyai sebuah kenderaan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,570 sebulan pada tahun 2021 bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka menurut Laporan Belanjawanku.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAnggaran Perbelanjaan Mengikut Kategori Isi Rumah\n\n\nBagaimana RM2,570 ini dipetik? Pihak penyelidik mengambil kira beberapa item perbelanjaan isi rumah seperti makanan, perumahan, utiliti, pengangkutan, kesihatan, tabungan dan lain-lain. Beberapa kaedah digunakan oleh pihak penyelidik untuk mendapatkan anggaran perbelanjaan yang diperlukan.\n\n\nPihak penyelidik menjalankan perbincangan berkumpulan secara tertumpu selain melakukan bancian harga barangan di pasar raya ataupun pasar basah. Borang soal selidik juga diedarkan bagi mengetahui corak perbelanjaan orang ramai.\n\n\nApa yang menarik dengan Laporan Belanjawanku ini, pelbagai anggaran perbelanjaan dikira bagi mencerminkan kos yang diperlukan oleh isi rumah mengikut status isi rumah mereka sendiri sama ada bujang, berpasangan, ataupun mempunyai anak-anak.\n\n\nBagi pasangan suami isteri tanpa anak-anak, laporan ini menjangkakan kos yang diperlukan untuk hidup bermaruah di Lembah Klang adalah sekitar RM4,590 sebulan. Manakala bagi pasangan suami isteri dengan seorang anak, isi rumah dijangka memerlukan sekitar RM5,510 sebulan untuk hidup dalam keadaan yang bermaruah.\n\n\nKenapa menjalani kehidupan bermaruah sesuatu yang mustahak buat seseorang individu?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIni kerana seseorang individu itu bukan saja perlu mempunyai kewangan yang cukup untuk membeli barangan asas tetapi juga perlu mempunyai kemampuan untuk terlibat di dalam aktiviti bermasyarakat untuk melalui kehidupan yang sewajarnya.\n\n\nSituasi ini penting untuk dijelaskan kerana manusia tidak hanya menjalani kehidupan semata-mata bekerja bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan diri. Kehidupan manusia melangkaui makan minum, kerja dan tidur.\n\n\nMisalnya, pada hujung minggu, anda mungkin akan keluar melepak bersama rakan-rakan anda sambil menonton bola. Aktiviti ini memerlukan wang. Anda juga mungkin perlu menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda bagi mewujudkan tabungan yang boleh digunakan ketika kecemasan.\n\n\nItem-item yang diambil kira\n\n\nTanpa tabungan ini, kemungkinan keadaan mental anda akan berasa tidak tenteram. Jika tayar anda pancit esok pagi atau terpaksa ke klinik kerana demam, anda mungkin akan berhadapan dengan masalah kewangan tanpa simpanan kecemasan yang mencukupi.\n\n\nMakanya, indikator yang diwujudkan oleh Belanjawanku ini mengambil kira aspek-aspek ini pada kadar yang minimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya? Berapa ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan melebihi daripada kos perbelanjaan untuk hidup secara bermaruah.\n\n\nJika diteliti laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, di Lembah Klang ( Selangor + Kuala Lumpur ) misalnya, gaji penengah dianggarkan hanya sekitar RM2,881 sebulan pada tahun 2020 iaitu 12% lebih tinggi berbanding kos perbelanjaan yang digariskan oleh Laporan Belanjawanku.\n\n\nJika kiraan kasar dibuat, boleh dikatakan sekitar 40% pekerja yang makan gaji di sekitar Lembah Klang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk hidup dalam keadaan yang sewajarnya.\n\n\nHarga makanan & minyak mentah meningkat\n\n\nBukan Sekadar Isu Pendapatan\u2026\u2026\n\n\nIsu pendapatan yang tidak berganjak bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Kini, isu inflasi yang dijangka meningkat naik juga akan menjadi satu lagi cabaran besar buat Malaysia untuk tempoh beberapa bulan yang mendatang sekaligus menghakis kuasa beli pengguna.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertubuhan Makanan & Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beberapa hari lalu mendedahkan bahawa indeks harga makanan berada di paras tertinggi ketika ini susulan konfilik Ukraine-Rusia. Peningkatan harga makanan yang tinggi ini sudah semestinya akan memberikan bebanan besar buat golongan berpendapatan rendah.\n\n\nIni kerana sebahagian besar pendapatan yang diraih mereka digunakan untuk membeli barangan basah.\n\n\nInflasi diunjur berlegar sekitar 2.2% hingga 3.2% pada tahun ini\n\n\nMakanan bukan satu-satunya ancaman inflasi. Isu harga minyak yang melangkaui $100 setong ketika ini juga mungkin bakal menyebabkan Kerajaan menarik kembali subsidi minyak. Berdasarkan sejarah-sejarah lampau, langkah kurang popular seperti ini mungkin dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan.\n\n\nBelanja \nfreight\n yang tinggi juga memberi tekanan kos kepada pengeluar di Malaysia.\n\n\nBank Negara Malaysia beberapa minggu lalu menyatakan inflasi untuk tahun ini diunjurkan sekitar 2.2% hingga 3.2%, julat anggaran yang lebih tinggi berbanding inflasi 2.5% yang direkodkan pada tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/apa-naratif-kempen-pru-15/", "title": "Apa Naratif Kempen PRU-15?", "body": "\n\nShare it\nPada saat ini, tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum para pengundi menentukan siapakah yang layak untuk menerajui negara melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenariknya, suasana politik di Malaysia ternyata telah berubah sejak PRU-14 yang lalu. Jika dahulu, sebelum PRU dijalankan lagi rakyat Malaysia sudah boleh meneka siapakah yang akan memenanginya dek kerana kurangnya persaingan antara parti-parti kerajaan dan pembangkang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, semuanya berubah apabila parti-parti politik di Malaysia sudah mula pandai mencari kawan serta lawan. Pelbagai kerjasama politik telah dijalinkan, baik di blok kerajaan mahupun pembangkang untuk lebih berpeluang menang PRU.\n\n\nSemasa PRU-14, bukan sahaja Barisan Nasional (BN) yang terkejut, malahan seluruh negara terkejut melihat keputusan PRU. Mana tidaknya, BN yang telah memerintah selama hampir lebih 60 tahun ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH). Pemimpin-pemimpin PH yang selama ini hanya pandai membangkang di Parlimen telah bertukar watak menjadi kerajaan.\n\n\nNamun, riwayat PH sebagai kerajaan tidak kekal lama apabila Langkah Sheraton dijalankan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya, adakah persaingan politik ini membawa kebaikan kepada rakyat, atau hanya memperjudikan kestabilan politik negara?\n\n\nYang pasti, PRU-15 pada tanggal 19 November ini tentunya berbeza berbanding PRU sebelum-sebelum ini. Dalam masa empat tahun ini sahaja pelbagai kejadian tidak diingini telah melanda Malaysia. Bermula dengan tercetusnya pandemik COVID-19, rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan \u2018drama\u2019 pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali. Tidak lama selepas itu Parlimen telah menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun yang menjadi \ngamechanger\n di PRU-15\n\n\nPada PRU-15 ini, tiga gabungan politik terbesar, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan berentap sesama mereka. Setiap gabungan politik ini semestinya ada strategi dan naratif politik tersendiri yang akan dimainkan untuk \u2018memancing\u2019 undi rakyat.\n\n\nBN: \u2018Kestabilan dan Kemakmuran\u2019 \n\n\nBN merupakan gabungan politik yang paling lama wujud dalam sejarah politik Malaysia. Mereka juga memegang rekod sebagai kerajaan yang paling lama memerintah, bermula sejak negara merdeka sehinggalah ditewaskan pada PRU-14.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTerbalik dengan kes PH tadi, riwayat BN sebagai pembangkang tidak kekal lama apabila mereka kembali menjadi kerajaan selepas Langkah Sheraton seperti mana yang diimpikan oleh Zahid Hamidi suatu ketika dahulu.\n\n\nUntuk PRU-15, BN mengangkat kestabilan politik, dengan mengumumkan \u2018Kestabilan dan Kemakmuran\u2019 sebagai tema utama manifesto mereka. Hal ini kerana menurut mereka, rakyat sudah merasa muak dengan percaturan politik yang menyaksikan tiga Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh kurang lima tahun ini.\n\n\nMengangkat slogan ini sebagai naratif utama dalam menghadapi Pilihan Raya adalah sesuatu yang ironi buat BN. Hal ini kerana merekalah antara aktor utama di dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan TS Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri. Dan mereka jugalah yang menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin bagi menggantikan beliau dengan calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional.\n\n\nDengan slogan yang tidak menepati kehendak nurani rakyat, BN berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi terutamanya dalam kalangan pengundi bandar dan pengundi muda.\n\n\nPun begitu, BN dijangka akan terus mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi di kawasan luar bandar yang rata-ratanya pengundi Melayu. Namun jika inilah satu-satu strategi memenangi Pilihan Raya, BN mungkin berdepan jalan sukar untuk ke Putrajaya andai sokongan terhadap mereka tidak meningkat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPH: Reformasi Institusi\u2026.\u00a0\n\n\nSatu-satunya gabungan politik yang pernah menjadi kerajaan menerusi PRU selain BN, PH menekankan reformasi politik dan ekonomi melalui pentadbiran yang cekap dan berintegriti.\n\n\nTidak dinafikan secara amnya PH mempunyai rekod pentadbiran yang bersih (mungkin kerana tempoh pemerintahan yang pendek). Namun, untuk mentadbir sesebuah negara tidak cukup dengan integriti semata-mata. Apa yang diperlukan juga adalah kecekapan.\n\n\nTempoh 22 bulan PH memerintah kerajaan bukanlah sebuah momen indah yang berbaloi untuk dikenang. Masalah bermula seawal manifesto PRU mereka yang menjanjikan bulan dan bintang buat rakyat Malaysia dalam masa 100 hari. Namun, apabila mereka naik menjadi kerajaan, barulah PH sedar betapa susah dan tidak realistiknya janji-janji mereka seperti pemansuhan tol dan hutang PTPTN.\n\n\nSehinggakan Dr Mahathir terpaksa mempertahankannya dengan berkata \u201cManifesto Bukan Bible\u201d.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIsu-isu ekonomi antara isu utama yang dimainkan di dalam Pilihan Raya kali ini. Posisi PH sebagai pembangkang membolehkan agenda ini diketengahkan dengan lebih berkesan dalam menarik undi-undi golongan muda.\n\n\nHarga barang yang semakin tinggi, gaji yang rendah serta isu-isu sktruktur lain yang membelenggu jutaan warga Malaysia dijangka bakal menjadi senjata dan zikir harian buat mereka, lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen ini.\n\n\nNamun demikian, PH tetap berdepan tugasan sukar untuk menembusi pemikiran kumpulan Melayu konservatif. Apatah lagi kini masyarakat Melayu mempunyai dua pilihan dominan, BN atau PN, untuk memilih wakil rakyat yang \u2018lebih Melayu\u2019 berbanding gabungan politik PH yang didominasi oleh bukan Melayu.\n\n\nTetapi dari sudut yang lain, strategi mereka untuk berkempen isu-isu ekonomi dipercayai mampu menarik sokongan pengundi muda, terutamanya pengundi-pengundi baru, berbeza dengan BN dan PN yang lebih memfokuskan sokongan mereka terhadap pengundi-pengundi Melayu di luar bandar.\n\n\nPN: Perpaduan Melayu-Islam, Tolak DAP Komunis\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTopik Melayu-Islam bukanlah sebuah modal politik yang baru memandangkan kaum Melayu memiliki jumlah pengundi teramai. Tidak keterlaluan untuk dikatakan kadangkala isu Melayu-Islam ini sering ditunggang untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan memancing sokongan orang Melayu.\n\n\nPAS misalnya, sering meratib betapa bahayanya sekiranya orang Melayu menyokong DAP. Kata mereka, DAP yang rata-ratanya diwakili oleh kaum Cina adalah penyebar ideologi komunis yang hanya mahu menjatuhkan raja dan keistimewaan orang Melayu. Ironinya, PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP ketika bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.\n\n\nParti Bersatu lain pula ceritanya. Dahulu mereka bersama PH, namun kini mereka dicop sebagai \u2018pengkhianat\u2019 kerana terlibat dengan Langkah Sheraton. Ada juga yang berpendapat Bersatu hanya menumpang \u2018aura\u2019 Tun Mahathir semasa PRU yang lepas. Cabaran besar buat Bersatu semestinya untuk mengekalkan kerusi-kerusi milik pada PRU-15.\n\n\nDari sudut yang lain, naratif kempen Perikatan Nasional lebih rapat dengan Barisan Nasional dimana kedua-dua gabungan politik ini akan bersaing bagi mendapatkan sokongan maksimum daripada pengundi Melayu.\n\n\nPengundi bukan-Melayu sudah semestinya bukan \ntarget market\n buat mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSiapa Yang Bakal Menang?\n\n\nKempen dan naratif di dalam Pilihan Raya merupakan instrumen penting parti-parti politik bagi mendapatkan undi. Strategi kempen yang dirangka haruslah \u2018kena\u2019 dan \u2018masuk\u2019 dengan sentimen jutaan pengundi-pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan di luar sana.\n\n\nHal ini kerana merekalah \u2018kingmaker\u2019 sebenar di dalam Pilihan Raya. Setakat artikel ini ditulis, hampir 31% pengundi menyatakan mereka masih belum membuat keputusan mengenai parti manakah yang bakal disokong di PRU-15, menurut tinjauan Merdeka Centre. Bahkan tidak terkejut sekiranya ada di antara mereka yang hanya akan membuat keputusan pada saat terakhir memangkah kertas undi.\n\n\nIni bukanlah jumlah kecil kerana jika angka ini bersifat representatif, bilangan pengundi yang masih belum membuat keputusan adalah bersamaan dengan 4.43 juta orang pengundi. Ini merupakan \nmarket\n yang perlu diburu oleh ketiga-tiga gabungan politik dominan di negara ini dan bukan hanya memfokuskan kepada \nexisting customers\n ataupun pengundi tegar mereka semata-mata.\n\n\nPersoalan siapakah yang bakal menang PRU-15 mungkin sukar dijawab melihatkan kepada senario politik semasa. Mungkin tiada mana-mana gabungan politik yang akan mendapat majoriti dan kemenangan mutlak untuk membentuk kerajaan, sekaligus menyebabkan Kerajaan Minoriti atau Kerajaan Gabungan terpaksa dibentuk bagi mencukupkan kuota minimum 112 sokongan Ahli Parlimen.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/apa-rahsia-new-zealand-tewaskan-covid-19/", "title": "Apa Rahsia New Zealand Tewaskan Covid-19?", "body": "\n\nShare it\nNew Zealand telah menamatkan arahan \u2018Alert Level 4\u2019 pada 27 April 2020 yang boleh diibaratkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Arahan ini mengambil masa selama 33 hari berkuatkuasa bermula 26 Mac 2020 dimana penduduk New Zealand diarahkan untuk duduk di rumah dan hanya keluar untuk melakukan perkara penting seperti membeli barang dapur ataupun melakukan rawatan kesihatan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nLangkah New Zealand dalam mengendalikan krisis Covid-19 ini mendapat pujian ramai pihak dimana kerajaan New Zealand berjaya melandaikan lekuk dengan efektif. Pada hari yang ke-33 ( hari terakhir Alert Level 4 ), bilangan kes baru yang dicatatkan hanya 5 kes. Angka ini menunjukkan New Zealand berjaya mengurangkan 93% bilangan kes baru dari 78 kes pada hari pertama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai perbandingan ringkas, Malaysia pada hari pertama menerima 117 kes baru dan hanya berkurang 28% kepada 84 kes pada hari ke-33\n\n\n\u00a0\n\n\nSehingga 27 April 2020, New Zealand mencatatkan 1,469 kes dengan 19 kematian.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk New Zealand juga amat pendek iaitu selama 33 hari. Malaysia pula telah melanjutkan PKP kepada 8 minggu ataupun bersamaan dengan 55 hari namun pelbagai sektor ekonomi dibenarkan bermula 4 Mei 2020. Satu tindakan yang janggal kerana bercanggah diantara satu sama lain. Jiran kita, Singapura pula melaksanakan arahan \ncircuit breaker\n selama 56 hari bermula 7 April 2020 hingga 1 Jun.\n\n\nApakah rahsia kejayaan New Zealand?\n\n\nKedudukan geografi New Zealand terletak bersendirian di barat daya Lautan Pasifik Selatan, memberikan kelebihan buat New Zealand dalam menangani Covid-19 ini. New Zealand tidak mempunyai sebarang sempadan darat dengan mana-mana negara sekaligus menjadikan cara termudah untuk memasuki New Zealand hanyalah melalui pengangkutan udara. Ini membolehkan New Zealand menumpukan seluruh tumpuan mereka untuk saringan di pintu-pintu masuk utama iaitu di Auckland dan Christchurch.\n\n\nPopulasi dan taburan penduduk New Zealand turut memudahkan kerja New Zealand dalam memerangi Covid-19. Populasi New Zealand hanya satu perenam populasi Malaysia iaitu sekitar 5 juta orang, lebih kecil berbanding populasi rakyat Malaysia di Lembah Klang. Hanya satu bandar di New Zealand yang mempunyai lebih dari 1 juta penduduk iaitu Auckland manakala bandar-bandar lain mempunyai jumlah penduduk yang kecil.\n\n\nKelebihan natural ini memberikan New Zealand untuk berada setapak di hadapan dalam menentang virus global ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKomunikasi yang Cekap\n\n\nTeknik komunikasi kerajaan New Zealand amat efisien dalam menyampaikan mesej kepada rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan rajah \u2018 sistem Alert \u2018 pada 16 April bagi memberikan rakyat New Zealand gambaran apa yang akan dilalui rakyat New Zealand dalam menghadapi Covid-19. Sebaliknya di Malaysia, pengumumkan PKP dilakukan tanpa sebarang makluman awal kepada rakyat.\n\n\nLiputan internet yang tinggi melebihi 90% dalam kalangan rakyat New Zealand turut dimanfaatkan oleh kerajaan New Zealand. Sejak awal, kerajaan NZ telah memulakan kempen \u2018 Unite Against Covid-19 \u2018 dimana platform Youtube digunanakan. Kompilasi video yang menyeru untuk rakyat New Zealand duduk di rumah turut dikeluarkan dengan menampilkan personaliti terkenal New Zealand seperti Taika Waititi ( pengarah Jojo Rabbit ), TJ Perenera ( bintang All Blacks ) dan Benee ( penyanyi ).\n\n\nBagi memudahkan urusan mencari maklumat berkaitan Covid-19, kerajaan New Zealand telah mewujudkan satu laman web khas berkaitan Covid-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut laporan berita tempatan, kerajaan New Zealand memperuntukkan $15 juta ( RM40 juta ) di dalam pakej rangsangan ekonomi untuk membiayai aktiviti kempen \u2018 Unite Against Covid-19 \u2018.\n\n\n\n\nKepimpinan yang Mantap dan Demokrasi yang Kukuh\n\n\nSeperti Dr Noor Hisham di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield turut menerima pujian rakyat New Zealand atas kecekapan beliau mengendalikan krisis ini.\n\n\nNamun apa yang membezakan Malaysia dan New Zealand adalah kestabilan politik. Meskipun Parti Buruh New Zealand mengemudikan kerajaan atas kerjasama dengan NZ First dan bersandarkan sokongan \u2018 \nconfidence and supply\n \u2018 dari Parti Hijau, pemerintahan Buruh Keenam kekal utuh tanpa pergolakan politik di tengah-tengah penggal.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerbeza dengan di Malaysia, tatkala negara sedang bergelut dengan krisis dahsyat ini, Malaysia telah kehilangan hampir seminggu akibat kemelut politik yang melanda Malaysia pada penghujung Februari. Perkara-perkara ini sememangnya membantutkan usaha-usaha dalam menangani Covid-19\n\n\nDari segi respon ekonomi, New Zealand mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai $12.1 bilion seminggu sebelum arahan duduk rumah dikeluarkan. Ini membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin yang mana masalah \u2018tiada wang\u2019 ketika menghadapi Alert Level 4 dapat diselesaikan.\n\n\nSebagai contoh, pada hari pertama \u2018 Alert Level 4 \u2018, kerajaan New Zealand telah membayar $1.5 bilion subsidi upah kepada majikan untuk diagihkan kepada pekerja. Di Malaysia, meskipun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan lebih awal oleh Tun Mahathir, namun ia tidak merangkumi langkah dalam menghadapi PKP. Pakej rangsangan ekonomi kedua pula hanya dilakukan 10 hari selepas PKP dilaksanakan. Sehingga hari ini, Menteri Kewangan melalui laporan LAKSANA belum mendedahkan kepada umum berapa jumlah susbidi upah yang telah dibayar kepada majikan.\n\n\nBancian atas talian dibuat oleh sebuah media New Zealand turut menunjukkan bahawa 61% pengguna Facebook di New Zealand bersetuju untuk perintah Alert Level 4 dilanjutkan. Ini menunjukkan kecekapan kerajaan New Zealand dalam menyalurkan bantuan sekaligus menyebabkan rakyat tidak gusar untuk terus berada di rumah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat yang Berdisiplin\n\n\nNew Zealand juga terkenal sebagai sebuah negara yang terbaik dalam segenap aspek. Sebagai contoh, New Zealand sentiasa berada di kedudukan teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Selain itu, New Zealand juga diiktiraf sebagai negara paling islamik berdasarkan nilai-nilai yang ditekankan oleh Islam. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa masyarakat di New Zealand mempunyai nilai disiplin yang tinggi.\n\n\nMeskipun tiada ancaman denda dikeluarkan oleh kerajaan New Zealand, penduduk di negara ini patut dengan arahan kerajaan untuk tidak melakukan aktiviti-aktiviti sosial di luar rumah. Pengusaha-pengusaha pasaraya menyediakan hand sanitiser untuk pelanggan manakala pelanggan pula kelihatan faham dengan kepentingan untuk menjaga jarak.\n\n\nSelain itu, konsep gelembung atau \nbubble\n yang diperkenalkan oleh kerajaan New Zealand turut difahami oleh rakyat secara amnya. Penduduk di New Zealand perlu tinggal dan hanya berinteraksi dengan gelembung mereka saja, dan tidak boleh memecahkan gelembung mereka dengan berinteraksi dengan orang lain.\n\n\nJauh berbeza di Malaysia, bukan sahaja sebilangan rakyat tidak patuh dengan arahan PKP ini, terdapat juga gambar-gambar berkeliaran di media sosial yang menampilkan beberapa orang pemimpin yang dengan jelas melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi New Zealand, Menteri Kesihatan yang melanggar arahan ini dengan segera menghantar surat peletakan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab terhadap kesalahan tersebut. Namun atas dasar budi bicara Perdana Menteri, beliau telah diturunkan pangkat sebagai menteri paling junior.\n\n\nPerdana Menteri, Jacinda Ardern pada 27 April telah menyatakan bahawa New Zealand telah berjaya memenangi peperangan menentang Covid-19 apabila tiada lagi penularan komuniti dilaporkan. Bermula 28 April, New Zealand akan memasuki tahap \u2018 Alert Level 3 \u2018 dimana perniagaan dibenarkan beroperasi dengan interaksi yang minimum.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/apakah-itu-kumpulan-wang-amanah-negara-kenapa-pindaan-akta-dipersoalkan/", "title": "Apakah Itu Kumpulan Wang Amanah Negara? Kenapa Pindaan Akta Dipersoalkan?", "body": "\n\nShare it\nSaiz Aset Kumpulan Wang Amanah Negara\n\n\nPejabat Peguam Negara telah mewartakan pindaan melalui Ordinan Darurat terhadap Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 semalam dimana telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPindaan yang dibuat membolehkan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tujuan pembelian vaksin Covid-19 ataupun perbelanjaan-perbelanjaan yang berkaitan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejarah Kumpulan Wang Amanah Negara\n\n\nDana ini diwujudkan pada tahun 1988 bagi memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumbangan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.\n\n\nPetroliam Nasional Berhad ( PETRONAS ) antara pihak yang dinyatakan secara spesifik agar membuat sumbangan ke dalam tabung ini selain mana-mana pihak yang memperoleh royalti dari hasil petroleum ataupun hasil-hasil menyusut yang lain. Pada tahun 2018, PETRONAS telah membuat sumbangan sebanyak RM100 juta ke dalam tabung ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut seksyen enam Akta Kumpulan Wang Amanah Negara, terdapat dua situasi dimana wang ini wajar digunakan sebelum berlaku pindaan yang diwartakan semalam iaitu untuk kegunaan tabung pembangunan dan memberi pinjaman ataupun pendahuluan kepada kerajaan.\n\n\nBerdasarkan penyata kewangan 2018, saiz aset Kumpulan Wang Amanah Negara adalah berjumlah RM16.13 bilion. Skop pelaburan untuk dana ini hanya terhad kepada bon, deposit, emas, ekuiti dan REITS sahaja.\n\n\nSejak penubuhannya pada tahun 1988, PETRONAS merupakan penyumbang tunggal terhadap tabung ini dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM9.3 bilion.\n\n\nKenapa Pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara Dipersoalkan?\n\n\nObjektif asal dana ini diwujudkan adalah untuk membolehkan generasi akan datang meraih manfaat apabila hasil bumi negara telah pun susut kelak. Dana ini hampir serupa dengan Tabung Minyak Norway dimana hasil-hasil minyak di negara itu dilaburkan bagi memberikan pulangan berterusan kepada rakyat Norway.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPindaan akta yang membenarkan penggunaan dana ini untuk tujuan mengawal penularan Covid-19 kelihatan bertentangan dengan matlamat asal penubuhan dana ini meskipun krisis Covid-19 kian meruncing.\n\n\nKerajaan Memperuntukan RM17 Bilion Untuk Tabung Covid-19 Pada Belanjawan 2021\n\n\nNamun demikian, terdapat beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh sebilangan pihak terhadap pindaan akta ini. Hal ini kerana kerajaan telah pun membuat peruntukan yang besar di dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin dan membiayai perbelanjaan menentang Covid-19.\n\n\nMenurut Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM17 bilion untuk Tabung Covid-19 bagi tujuan merangsang ekonomi negara sehingga penghujung tahun 2022.\n\n\nSelain itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ( MOSTI ), Ahmad Amzad Hashim turut menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM3 bilion bagi tujuan pembelian vaksin di dalam Belanjawan 2021.\n\n\nBahkan pada bulan lalu, akhbar melaporkan peruntukan pelaksanaan vaksin telah ditingkatkan kepada RM5 bilion. Oleh sebab itu, sebilangan pihak mempersoalkan kewajaran untuk kerajaan menggunakan wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tujuan tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKetelusan di dalam perolehan vaksin juga dipertikaikan kerana parlimen masih lagi tidak bersidang sekaligus tiada sesi soal jawab diantara wakil rakyat dan ahli pentadbiran kerajaan. Dalam erti kata lain, proses semak dan imbang yang menjadi tunjang demokrasi sudah lagi tidak mengambil tempat.\n\n\nPersoalan asas lain seperti berapakah kos sebenar pembelian vaksin juga masih tidak didedahkan kerajaan sehingga kini.\n\n\nKerajaan kelihatan terus berdepan dengan krisis keyakinan dalam menguruskan pandemik Covid-19. Kuasa luas yang diberikan kepada kerajaan melalui pengisytiharan darurat telah menimbulkan syak wasangka terhadap dasar dan tingkahlaku kerajaan termasuklah mereka yang kini berada di dalam kerajaan. Dengan pilihan raya semakin hampir, rakyat semakin gusar dengan kebarangkalian dana-dana awam digunakan untuk tujuan lain.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bagaimana-bernard-arnault-bos-lvmh-menjadi-manusia-terkaya-di-dunia/", "title": "Bagaimana Bernard Arnault (Bos LVMH) Menjadi Manusia Terkaya di Dunia?", "body": "\n\nShare it\nKylian Mbappe sebagai duta jenama jam tangan TagHeuer\n\n\nJika anda diminta untuk menyebut jenama-jenama barangan mewah yang ada pada ketika ini, sudah pasti anda tidak akan terlepas untuk menamakan label-label seperti Louis Vuitton, Christion Dior ataupun Hublot.\n\n\n\n\n\n\n\n\nLabel-label tersebut merupakan sebahagian daripada 75 koleksi jenama barangan mewah yang dimiliki oleh LVMH Mo\u00ebt Hennessy Louis Vuitton (LVMH) yang merupakan sebuah syarikat gergasi barangan mewah yang berpangkalan di kota Paris.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLVMH terbentuk pada tahun 1987 apabila Louis Vuitton bergabung dengan syarikat pengeluar minuman keras champane dan cognac, Moet Hennenssy sekaligus menjadikan entiti berkenaan sebagai peneraju barangan mewah dunia.\n\n\nDari detik itu, LVMH melakukan beberapa siri pengambilalihan bagi mengukuhkan d0ominasi mereka terhadap industri barangan mewah. Givenchy, TagHeuer, Fendi, Loro Piana, Christian Dior dan Tiffany & Co. merupakan antara jenama-jenama barangan mewah yang telah dibeli oleh LVMH.\n\n\nSephora pula dibeli oleh LVMH pada tahun 1997 bagi menguasai rantaian peruncitan sekaligus memudahkan LVMH menjual sebahagian produk mereka seperti minyak wangi dan produk kosmetik secara terus kepada pengguna.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSetelah 35 tahun syarikat ini beroperasi, LVMH yang disenaraikan di Euronext kini bernilai $500 bilion (RM2.2 trilion) dengan hasil tahunan sebanyak $87 bilion (RM426.1 bilion). Arkitek di sebalik kejayaan ini, Bernard Arnault yang menguasai 48.2% pemilikan LVMH dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia, mengatasi Elon Musk pada tahun 2023 dengan nilai kekayaan sebanyak $212 bilion (RM940.1 billion).\n\n\n*Elon Musk pada tahun 2023 mempunyai kekayaan sebanyak $165 bilion (RM732.2 bilion)\n\n\nPecahkan Dominasi Teknologi, Prestij Bermaharajalela\n\n\nUntuk sekian lama, pemilik-pemilik syarikat teknologi mendominasi carta teratas orang paling kaya di dunia. Dari tahun 2014 hingga 2017, pengasas Microsoft, Bill Gates dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia, diikuti oleh Jeff Bezos (Amazon) pada tahun 2018-2021 dan Elon Musk (Tesla/SpaceX) pada tahun 2022.\n\n\nTeori \nvalue-creation\n menerangkan mengapa individu-individu seperti Bill Gates, Jeff Bezos dan Elon Musk layak dinobatkan sebagai orang paling kaya di dunia. Nilai tambah hasil produk-produk yang diperkenalkan syarikat-syarikat teknologi ini dikatakan memudahkan urusan kehidupan harian orang ramai, lantas mencerminkan nilai syarikat mereka yang tinggi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nYa, tidak boleh dinafikan, Microsoft telah membantu komputer di seluruh dunia beroperasi. Begitu juga dengan Amazon yang telah mengubah cara pengguna membeli barang yang kini semuanya di hujung jari. Namun bagaimana pula dengan LVMH? Apakah nilai tambah sebenar yang dicipta syarikat barangan mewah ini sehingga mampu mencecah nilai $500 bilion?\n\n\nHakikatnya\u2026.syarikat ini tidak mewujudkan nilai tambah sebenar. Jam tangan Hublot Big Bang bernilai RM57,000 memberikan ketepatan masa yang sama sahaja dengan telefon pintar Xiaomi buatan China. Beg tangan yang dibeli di Bonia turut dapat memuatkan seberapa banyak barangan yang ingin disumbat di dalam beg tangan Christian Dior.\n\n\nPrestij dan Reputasi\n\n\nKedua-dua kalimat di atas inilah strategi LVMH di dalam mewujudkan nilai terhadap label-label jenama mereka, sehinggakan produk mereka menjadi dambaan golongan elit seluruh dunia.\n\n\nLVMH rekodkan margin keuntungan kasar sebanyak 68.4% pada tahun 2022\n\n\nPada tahun 2022, LVMH membelanjakan $31 bilion (RM137.6 bilion) untuk tujuan pemasaran, lebih tinggi berbanding kos jualan atau penghasilan produk mereka yang bernilai $27.53 bilion (RM122.1 bilion). Langkah strategi pemasaran dan penjenamaan LVMH mereka sememangnya bukan \nkaleng-kaleng\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersonaliti terkemuka seperti Anne Hathaway, Kylian Mbappe, Zendaya, Charlize Theron, Beyonce, Rihanna dan Natalie Portman antara wajah-wajah yang menjadi\u00a0\nposter boy\n atau\u00a0\nposter girl\n\u00a0jenama-jenama mereka pada tahun lalu.\n\n\nPenyata kewangan LVMH juga menunjukkan bahawa syarikat barangan mewah ini merekodkan margin keuntungan kasar yang begitu tinggi iaitu sebanyak 68.4%. Dalam erti kata lain, bagi setiap RM1 yang dijual oleh LVMH, syarikat ini meraih keuntungan kasar sebanyak 68 sen, satu angka yang besar jika dibandingkan dengan margin keuntungan di sektor-sektor lain.\n\n\nNamun margin keuntungan besar ini tidaklah begitu menghairankan. Hal ini kerana jika diteliti dengan lebih mendalam, produk-produk mereka seperti liquor ataupun beg tangan kulit tidak memerlukan sebarang teknologi \nrocket-science\n untuk dihasilkan sekaligus membolehkan LVMH mengekalkan kos pengeluaran yang rendah.\n\n\nAnne Hathaway memperagakan koleksi barangan kemas Bulgari\n\n\nOrang Kaya Terus Berbelanja\u2026..\n\n\nLVMH yang merekodkan keuntungan bersih sebanyak $15.52 bilion (RM68.9 bilion) pada tahun 2022 dijangka akan terus mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan pada tahun-tahun mendatang. Pembukaan semula ekonomi global pasca-Covid 19 sememangnya memberikan \nbooster\n buat LVMH yang menyaksikan hasil mereka meningkat 23% pada tahun 2022 berbanding tahun 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nGenerasi kaya baru yang terhasil di China dikatakan akan terus memacu jualan syarikat barangan mewah ini. Mengikut statistik yang dikongsikan oleh LVMH, pasaran Asia menyumbang 37% daripada keseluruhan jualan mereka pada tahun 2022 mengatasi pasaran Amerika Syarikat (27%) mahupun Eropah (24%).\n\n\n*Hasil LVMH untuk suku pertama 2023 naik 17% dari $19.8 bilion kepada $23.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022.\n\n\nSentimen pelabur terhadap LVMH juga kekal positif. Kini, LVMH menjadi syarikat pertama dari Eropah yang berjaya memecah nilai modal pasaran melebihi $500 bilion setelah nilai saham LVMH naik 218% dari \u20ac284.40 pada lima tahun yang lalu kepada \u20ac904.10. Satu pencapaian yang membanggakan bagi syarikat yang menjual prestij dan reputasi.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bagaimana-pekerja-asing-dieksploitasi-di-malaysia/", "title": "Bagaimana Pekerja Asing Dieksploitasi di Malaysia", "body": "\n\nShare it\n6.7 juta pekerja asing di Malaysia\n\n\nIsu kebanjiran pekerja asing di Malaysia sudah sejak sekian lama menjadi topik perbualan masyarakat kita. Gambaran terhadap pekerja asing juga rata-rata negatif, ada juga yang menyalahkan buruh-buruh asing ini terhadap masalah struktur yang dihadapi di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMisalnya dengan tuduhan pekerjaan-pekerjaan untuk orang tempatan kini telah dimonopoli oleh pekerja asing. Ataupun kebanjiran warga asing dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah di sesuatu kawasan itu. Hakikatnya, dakwaan-dakwaan sedemikian tidak disertakan dengan hujah yang kukuh.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan pekerja asing yang berada di Malaysia adalah seramai 2.3 juta orang. Walaubagaimanapun, angka ini tidak mengambil kira bilangan pekerja asing yang tidak berdaftar secara sah.\n\n\nBilangan Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI ) di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana data yang tidak komprehensif. Namun kenyataan Menteri Sumber Manusia, Richard Riot beberapa tahun lalu menganggarkan bahawa terdapat sekitar 6.7 juta pekerja asing sah dan tidak sah di Malaysia.\n\n\nJumlah ini jauh lebih tinggi berbanding bilangan pekerja asing yang berdaftar. Angka ini juga menunjukkan bilangan pekerja asing di Malaysia bersamaan dengan 40% daripada keseluruhan tenaga buruh di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKebanjiran pendatang asing di negara ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga kita. Sudah pasti, jika disebut pendatang ataupun pekerja asing, yang digambarkan di benak fikiran adalah mereka yang datang daripada Bangladesh, Indonesia, Nepal ataupun Myanmar. Bukannya mereka yang berkulit putih yang dilabel sebagai \u2018ekspatriat\u2019.\n\n\nPekerja asing dikerah bekerja lebih masa\n\n\nMeskipun perkara ini merunsingkan majoriti rakyat Malaysia, namun hakikatnya, bagi kelompok elit di negara ini, warga asing merupakan sumber keuntungan perniagaan mereka. Penggunaan buruh asing tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding pekerja tempatan kerana tidak perlu membayar gaji yang setara dan kos lain seperti caruman KWSP.\n\n\nPekerja-pekerja asing boleh dikerah bekerja lebih masa dan berat dengan lebih mudah kerana mereka tinggal secara berkelompok. Isu tempat tinggal pekerja asing yang sesak juga telah mendapat liputan meluas sebelum ini apabila terdapat penularan jangkitan Covid-19 pekerja asing di sebuah syarikat sarung tangan tempatan sekaligus mewujudkan kluster terbesar di negara ini.\n\n\nSudah pasti, segala kemarahan terhadap isu membabitkan warga asing hanya ditujukan kepada warga asing itu sendiri, bukannya majikan mereka yang tidak memberikan layanan yang baik dan mengeksploitasi pekerja-pekerja mereka.\n\n\nLebih malang buat pendatang asing tanpa izin kerana mereka dikerah bekerja tanpa upah dan pembelaan yang sewajarnya. Bagi pihak majikan, \u201d Nothing to Lose \u201c, kerana pekerja-pekerja asing yang tinggal secara tidak sah ini tidak akan mampu menuntut hak-hak mereka dan mengemukakan aduan secara rasmi atas sebab status mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa yang lebih menyedihkan bagi sebilangan pekerja asing tanpa izin di Malaysia, status tanpa izin mereka wujud bukannya semata-mata kerana mereka telah menyelinap masuk ke negara ini secara tidak sah. Tetapi adakalanya majikan mereka tidak memperbaharui permit pekerjaan mereka sekaligus menjadikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin.\n\n\nDan apabila pihak berkuasa membuat operasi kelak, mereka inilah yang bakal ditangkap sambil pihak media membuat rakaman operasi untuk disiarkan pada sesi berita jam 8 malam. Manakala bagi pihak majikan, \u201d business as usual \u201c.\n\n\nMasalah Yang Tidak Akan Selesai\n\n\nMasalah kebanjiran pekerja asing ini tidak akan selesai selagi tidak ada kesanggupan politik dan ekonomi daripada kerajaan. Pelbagai pihak meraih keuntungan susulan lambakan pekerja asing di Malaysia.\n\n\nBagi majikan, mereka mampu menggajikan pekerja pada kadar yang jauh lebih murah. Bagi sebilangan penguatkuasa korup, pekerja asing juga menjadi lubuk mereka membuat duit. Manakala bagi kerajaan, kemasukan pekerja asing secara sah memberikan mereka hasil melalui levi yang dikenakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat Malaysia perlu menyalurkan rasa amarah mereka kepada tempat yang betul bukannya secara terus kepada pekerja asing.\n\n\nLayanan terhadap pekerja asing di Malaysia juga perlu ditambahbaik terutamanya dari segi tempat tinggal dan suasana kerja. Perkara ini jika tidak ditangani akan memberikan masalah kepada keseluruhan masyarakat seperti mana yang terjadi sebelum ini.\n\n\nRakyat Malaysia perlu sedar bahawa layanan terhadap pekerja asing merupakan cerminan struktur sosial di negara ini. Jika pekerja asing tidak mendapat layanan yang sewajarnya, layanan warga tempatan yang berada di tingkat piramid yang paling bawah sekali juga tidak jauh beza daripada layanan yang diterima mereka.\n\n\nMereka juga bakal ditindas kelak.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bagaimana-peraturan-78-menguntungkan-bank-namun-merugikan-peminjam/", "title": "Bagaimana Peraturan 78 Menguntungkan Bank, Namun Merugikan Peminjam?", "body": "\n\nShare it\nBagi setiap individu yang mempunyai pendapatan tersendiri di negara ini, boleh dikatakan majoriti pasti pernah membuat pinjaman kewangan daripada bank. Sebagai contohnya, pinjaman untuk membeli kenderaan, hartanah, memulakan perniagaan, mahupun pinjaman peribadi untuk kegunaan tertentu.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSecara asasnya, menambah hutang dengan membuat pinjaman dari institusi kewangan yang sah seperti pihak bank itu bukanlah sesuatu yang salah. Hal ini kerana tidak semua orang mampu untuk membeli aset seperti rumah atau kereta pertama dengan kaedah bayaran tunai, terutamanya mereka yang baru sahaja beberapa tahun melangkah masuk ke alam pekerjaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun apa yang membimbangkan, insiden keberhutangan dalam kalangan rakyat Malaysia ini diburukkan oleh gabungan beberapa faktor luaran dan dalaman. Antaranya termasuklah tahap pengetahuan kewangan yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia secara amnya. Menurut laporan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, 1 daripada 3 merasakan diri mereka mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah.\n\n\nDalam masa yang sama, kebanyakan pekerja di Malaysia masih tersangkut dalam tangga gaji yang begitu rendah, meskipun memiliki kelayakan akademik yang tinggi dan pengalaman bekerja yang panjang.\n\n\nSebagai contoh, seorang pekerja yang berusia dalam lingkungan 30-34 tahun di Malaysia hanya menerima penengah gaji sebanyak RM2,392 sahaja. Gaji yang diterima mereka ini lebih rendah daripada gaji kehidupan wajar sebanyak RM2,700 yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2018, meskipun mereka mempunyai pengalaman bekerja hampir 10 tahun (dengan andaian mereka mula bekerja ketika umur 24 tahun sejurus tamat pengajian).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTidak cukup dengan itu, mereka turut diuji dengan krisis kenaikan kos sara hidup yang saban tahun mencengkam \u2018survival\u2019 anak-anak muda ini. \n\n\nIsu-isu sebeginilah yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpaksa membuat pinjaman, lantas dibelenggu hutang-hutang yang berisiko menjejaskan kewangan mereka sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Nisbah hutang dalam kalangan isi rumah di Malaysia kepada KDNK negara pada ketika ini adalah sekitar 81.2%, menurut BNM.\n\n\nUmum diketahui, apabila sesebuah pinjaman dilakukan, terdapat dua komponen yang perlu dibayar oleh seseorang peminjam, iaitu bayaran prinsipal serta bayaran faedah. Amalan yang biasa digunakan oleh bank-bank di kebanyakan negara, termasuklah di Malaysia dalam membuat pengiraan bayaran faedah bagi pembiayaan sewa beli (hire purchase) ialah dengan mengenakan Peraturan 78.\n\n\nSecara mudahnya, Peraturan 78 ini dikira berdasarkan jumlah bulan dalam masa setahun, iaitu 1 ditambah 2, 3, 4 \u2026 sehinggalah 12, lalu menyamai angka 78. Disebabkan ini Peraturan 78 turut dikenali dengan nama lain iaitu \u2018the sum of the digits\u2019.\n\n\nPeraturan 78 = 1 + 2 + 3 + 4 + 5 + 6 + 7 + 8 + 9 + 10 + 11 + 12\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenerusi Peraturan 78 ini, bank-bank terlebih dahulu membuat pengiraan bayaran faedah lebih awal berdasarkan tempoh pinjaman yang diambil. Bayaran faedah akan dikira sebanyak 12/78 daripada prinsipal bagi bulan pertama, 11/78 bagi bulan kedua, 10/78 bagi bulan ketiga, sehinggalah di bayaran ansuran terakhir, peminjam perlu membayar faedah sebanyak 1/78 daripada prinsipal.\n\n\n\n\nPeraturan 78 ini sememangnya menguntungkan pihak bank, namun berisiko merugikan peminjam yang ingin melunaskan pinjaman lebih awal dari tempoh perjanjian. \n\n\nSecara teorinya, pembayaran faedah yang dikira menggunakan Peraturan 78 ini tidak ada bezanya dengan bayaran faedah yang dikira secara dengan kaedah faedah mudah (simple interest), dengan syarat peminjam membayar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di akhir pembayaran ansuran, kedua-dua kaedah ini mempunyai jumlah bayaran faedah terkumpul yang sama.\n\n\nNamun begitu, masalah akan timbul sekiranya peminjam mahu menamatkan hutang mereka dengan melangsaikan pinjaman lebih awal dari yang sepatutnya. Hal ini kerana mereka sudah pun membuat bayaran faedah yang lebih tinggi semasa awal-awal ansuran. Peraturan 78 ini seolah-olah memaksa peminjam untuk membuat bayaran faedah yang lebih mahal di peringkat awal, lantas merugikan peminjam yang ingin menamatkan hutang mereka dengan lebih awal.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenggunakan contoh yang sama seperti di atas, katakanlah peminjam tersebut berhasrat untuk membayar kesemua pinjaman yang diambil lebih awal pada bulan kedua tempoh pinjaman, berbanding bulan kedua belas seperti yang sepatutnya. Maka, pemberi pinjaman (pihak bank) dalam situasi ini sudah pun meraih keuntungan berdasarkan 23/78 (bulan pertama 12/78 + bulan kedua 11/78) daripada bayaran faedah, atau sebanyak RM1474.36 yang sudah pun dibayar oleh peminjam semasa bulan pertama dan kedua bayaran ansuran.\n\n\nMasalah pada Peraturan 78 ini turut ditekankan dalam sebuah kertas kajian oleh James H. Hunt, bekas Pesuruhjaya Bank dan Insurans Vermont yang berjudul \u201cThe Rule of 78: Hidden Penalty for Prepayment in Consumer Credit Transactions\u201d. Beliau menyifatkan kaedah pengiraan berdasarkan Peraturan 78 ini ibarat mengenakan \u2018denda\u2019 kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang mereka lebih awal.\n\n\nPeraturan 78 juga seakan-akan tidak memberikan pemangkin atau motivasi buat para peminjam yang berkemampuan agar segera melangsaikan hutang mereka. Menamatkan hutang dengan segera wajar digalakkan bagi membolehkan mereka mengurangkan komitmen bulanan yang perlu ditanggung serta memberi ruang untuk membina simpanan masing-masing dengan lebih terancang.\n\n\nMaka disebabkan ini tidak hairanlah sesetengah negara maju seperti UK, Australia dan New Zealand mengharamkan penggunaan Peraturan 78 ini dalam pengiraan pembayaran faedah pinjaman.\n\n\nBaru-baru ini, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah badan berkanun dan kawal selia di bawah Kementerian Kewangan, menyarankan agar pelaksanaan Peraturan 78 dalam industri perbankan komersial di negara ini dimansuhkan. Pemansuhan ini disebut sebagai satu usaha bagi menaik taraf Akta Sewa Beli 1967 supaya lebih selari dengan perkembangan pasaran kewangan semasa yang lebih moden.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nCCOB turut cadangkan supaya Peraturan 78 ini digantikan dengan kaedah baki berkurangan (reducing balance method) yang lebih adil buat para peminjam. Menerusi kaedah baki berkurangan ini, bayaran faedah dikira dengan mengambil kira baki pinjaman yang masih tinggal setelah pembayaran dilakukan setiap bulan. Kaedah ini lebih adil berbanding Peraturan 78 yang terlebih dahulu membuat perkiraan bayaran faedah lebih awal tanpa langsung mengambil kira faktor baki pinjaman yang semakin lama semakin berkurangan.\n\n\nMengambil contoh dari laporan CCOB tersebut, katakan seseorang itu membuat pinjaman sebanyak RM100,000 selama tempoh 108 bulan (sembilan tahun), dengan kadar faedah 10%. Apabila masuk tahun ketiga (bulan ke-36) dalam tempoh pinjaman, beliau membuat keputusan untuk menamatkan pinjaman lebih awal. Maka, dia harus membayar jumlah yang tertunggak sebanyak RM86,456.51, iaitu RM5,582.24 lebih mahal berbanding sekiranya menggunakan kaedah baki berkurangan (RM80,874.27).\n\n\nPerbezaan bayaran penyelesaian awal antara Peraturan 78 vs Kaedah Baki Berkurangan\n\n\n\n\nCadangan daripada CCOB ini harus dipandang serius, dengan menyemak semula rasional di sebalik pelaksanaan Peraturan 78 ini samada hanyalah sebagai satu \u2018trick\u2019 dari institusi perbankan untuk mengaut keuntungan tanpa disedari.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun terdapat rebat yang ditawarkan pihak bank kepada peminjam yang melunaskan baki pinjaman pada tempoh yang lebih awal, namun kiraan rebat ini sering kali tidak dimaklumkan kepada peminjam dengan jelas apabila mereka menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman.\n\n\nSebuah akta yang dinamakan sebagai Akta Kredit Pengguna (CCA) juga dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini bagi melindungi pengguna di Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila ketika ini terdapat banyak institusi kewangan bukan bank yang menawarkan pinjaman kredit serta pembelian atas talian dalam bentuk hutang menerusi konsep \u201cBuy Now Pay Later\u201d, yang berisiko menjejaskan kewangan rakyat Malaysia sekiranya tidak berhati-hati.\n\n\nKerajaan kini sedar bahawa mereka perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia industri perbankan di negara ini bagi menjamin kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang membuat pinjaman dari bank-bank.\n\n\nApatah lagi ruang akses terhadap kredit telah semakin meluas seiring dengan perkembangan ekonomi digital. Kekurangan kawal selia daripada pihak berkuasa boleh menimbulkan huru-hara, seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat dan Switzerland dimana bank-bank besar seperti Silicon Valley Bank dan Credit Suisse terperosok di dalam krisis pasaran kewangan.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bajet-2023-menuju-pilihan-raya-umum-ke-15/", "title": "Bajet 2023 \u2013 Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15", "body": "\n\nShare it\nKerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM272.6 bilion pada tahun hadapan\n\n\nBajet 2023 merupakan perencah penting buat pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi. Spekulasi pembubaran Parlimen yang berlegar pada Khamis akhirnya tenggelam setelah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 pada petang Jumaat yang lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan merancang untuk membelanjakan RM372.3 bilion pada tahun hadapan dengan RM94.3 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan. RM5 bilion lagi diperuntukkan Kerajaan melalui Kumpulan Wang Covid-19 bagi tujuan sokongan bantuan sosial kepada kumpulan yang mudah terjejas dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTahun hadapan, Purajaya menganggarkan akan menjana hasil sebanyak RM272.6 bilion, sedikit rendah berbanding RM285.2 bilion yang bakal diterima tahun ini. Pengurangan hasil ini didorong oleh pengurangan dividen PETRONAS yang bakal diterima Kerajaan sebanyak RM35 bilion berbanding RM50 bilion yang akan diterima pada tahun ini.\n\n\nDokumen Kementerian Kewangan mengunjurkan defisit fiskal negara bakal berkurang dari 5.8% pada tahun ini kepada 5.5% pada tahun hadapan berbanding saiz ekonomi. Namun dari sudut angka sebenar, defisit negara kekal berada melebihi RM98 bilion sejak tahun 2020 rentetan daripada perbelanjaan besar Kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19\n\n\nProgram Bantuan Sosial Diteruskan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeberapa program utama bantuan sosial seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diteruskan Putrajaya untuk tahun hadapan. Isi rumah berpendapatan RM2,500 sebulan kebawah dengan lima anak atau lebih dijangka menerima sehingga RM2,500 bantuan tunai melalui BKM.\n\n\nRM272.3 bilion diperuntukkan untuk tujuan perbelanjaan operasi\n\n\nManakala bagi kumpulan isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, mereka dijangka menerima diantara RM500 hingga RM1,250 bantuan daripada Kerajaan bergantung kepada bilangan anak.\n\n\nMenurut ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan Tengku Zafrul, peruntukan keseluruhan BKM pada tahun hadapan adalah sebanyak RM7.8 bilion, sedikit rendah berbanding peruntukan RM8.2 bilion pada Bajet 2022 yang dibentangkan pada tahun lalu.\n\n\nKumpulan M40 turut bakal menerima manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak 2% bagi individu yang mempunyai banjaran pendapatan bercukai diantara RM50,000 hingga RM100,000 setahun.\n\n\nSelain daripada itu, lapan juta individu yang mempunyai pendapatan tahunan kurang dari RM100,000 setahun juga bakal menerima kredit e-dompet bernilai RM100. Insentif ini diberikan bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeberapa program melibatkan kanak-kanak juga mendapat peruntukan yang lebih tinggi. Bayaran Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan dari RM100 kepada RM150 bagi setiap kanak-kanak bersekolah. Manakala peruntukan program Rancangan Makanan Tambahan ditingkatkan dari RM2.50 kepada RM3.00 di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 kepada RM3.50 di Sabah dan Sarawak.\n\n\nKerajaan akan membelanjakan RM95 bilion untuk tujuan perbelanjaan pembangunan\n\n\nKadar cukai untuk perusahaan mikro, kecil & sederhana (PMKS) turut diturunkan kepada 15% berbanding 17% bagi pendapatan bercukai RM100,000 pertama. Menurut Tengku Zafrul, insentif ini dijangkakan menjimatkan sehingga RM2,000 kepada lebih 150,000 pembayar cukai PMKS.\n\n\nPenjawat awam juga antara yang mendapat habuan melalui Bajet kali ini. Bantuan Kewangan bakal disalurkan sebanyak dua kali membabitkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1,300 buat penjawat awam gred 56 dan kebawah. Kenaikan gaji tahunan juga bakal ditingkatkan dengan penambahan RM100 sekaligus menjadikan tunai tambahan yang bakal diterima tahun hadapan berjumlah RM2,500.\n\n\nBelanja Semakin Tinggi, Hasil Tumbuh Perlahan\n\n\nHutang Kerajaan Persekutuan meningkat melangkaui RM1 trilion\n\n\nData anggaran hasil dan perbelanjaan Kerajaan untuk tahun 2023 mendedahkan kekangan hebat yang dihadapi oleh Putrajaya setelah bergelut selama dua tahun dalam memerangi wabak Covid-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut kiraan Ekonomi Rakyat, sejak tahun 2012 yang lalu, hasil yang dijana Kerajaan hanya meningkat pada kadar 3.2% setahun dari RM207.9 bilion kepada RM285.2 bilion pada tahun ini. Namun dalam tempoh yang sama, perbelanjaan negara naik padar kadar 4.4% setahun dari RM249.9 bilion kepada RM384.7 bilion.\n\n\nDefisit yang tinggi ini mengakibatkan Malaysia mengalami peningkatan hutang yang mendadak bersamaan dengan 61.0% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini. Angka ini melebihi had siling hutang yang ditetapkan Kerajaan iaitu sebanyak 55% dahulu sebelum disemak semula kepada 65% setelah Covid-19 melanda.\n\n\nPeningkatan hutang Kerajaan ini mendorong kepada kenaikan bayaran khidmat hutang (caj faedah) yang terpaksa diperuntukkan Kerajaan. Kini, Kerajaan terpaksa membelanjakan 15.1% (RM43.1 bilion) daripada keseluruhan hasil untuk membiayai kos faedah, jauh lebih tinggi berbanding 9.4% (RM19.5 bilion) yang dibelanjakan sepuluh tahun yang lalu.\n\n\nPada tahun hadapan, kos khidmat hutang dijangka meningkat kepada RM46.1 bilion yang bersamaan dengan 16.9% daripada kutipan hasil.\n\n\n*Perbelanjaan operasi Kerajaan hanya boleh dibiayai melalui kutipan hasil. Hutang hanya boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan bertujuan untuk memastikan Kerajaan mengamalkan disiplin fiskal yang baik\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelain daripada bayaran khidmat hutang, Kerajaan juga berdepan tekanan dalam mengawal perbelanjaan terhadap emolumen (pembayaran gaji penjawat awam) dan bayaran persaraan kepada bekas kakitangan Kerajaan yang masing-masing mencecah RM90.1 bilion dan RM29.1 bilion pada tahun hadapan.\n\n\nTrend Tidak Mampan\u2026.. Potong Perbelanjaan atau Tambah Pendapatan?\n\n\nMelihat kepada kenaikan perbelanjaan mendadak, Kerajaan hanya mempunyai dua pilihan dalam mengurangkan defisit fiskal. Pertama, potong perbelanjaan. Kedua, jana hasil tambahan.\n\n\nPemotongan perbelanjaan mungkin bakal dilaksanakan selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 dilangsungkan. Perbelanjaan subsidi yang tidak efisien seperti subsidi minyak, elektrik mungkin bakal disemak semula kepada kaedah pemberian subsidi yang lebih bersasar lebih \ncost-effective\n.\n\n\nPerbelanjaan pembangunan juga antara komponen yang boleh dikurangkan meskipun tidak baik untuk perkembangan sosio-ekonomi negara untuk jangka masa panjang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPilihan kedua adalah dengan menambah ruang kutipan hasil buat Kerajaan. Bermula awal tahun hadapan, cukai barangan bernilai rendah (RM500 kebawah) bakal dikenakan terhadap barangan yang dibeli secara atas talian.\n\n\nWalaupun begitu, kutipan hasil daripada pengenalan cukai ini tidak signifikan kerana hanya akan menjana sekitar RM200 juta buat Putrajaya.\n\n\nCukai-cukai lain seperti cukai barangan & perkhidmatan (GST), cukai keuntungan luar biasa, cukai keuntungan modal sudah semestinya berada di dalam minda pemikir-pemikir Kerajaan bagi memastikan negara mempunyai hasil yang mencukupi untuk tahun-tahun yang mendatang.\n\n\n2023 \u2013 Tahun Mencabar\n\n\nKerajaan naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 6.5%-7.0% pada tahun ini\n\n\nBerbaki kurang tiga bulan lagi, prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dijangka cemerlang setelah Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.0% dan 8.9% pada suku pertama dan kedua tahun ini. Kerajaan juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini dari 5.5%-6.5% kepada 6.5%-7.0%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRentetan kenaikan kadar bunga yang mendadak terutamanya di Amerika Syarikat dan zon Eropah, Kerajaan Malaysia meramalkan pertumbuhan ekonomi bakal menyederhana kepada 4.0%-5.0% pada tahun hadapan. Ini bukanlah perkembangan yang baik buat PM Ismail Sabri dalam menghadapi PRU15 kelak jika diadakan pada tahun hadapan.\n\n\nSelain isu ekonomi perlahan, beliau juga bakal menghadapi tekanan ekonomi dari sudut kemerosotan nilai Ringgit, inflasi, isu peluang pekerjaan yang dijangka menjadi modal politik pihak lawan. Bukan itu sahaja, politik dalaman UMNO juga dijangka bakal mewujudkan rintangan buat beliau dalam memastikan kedudukannya sebagai PM terjamin pasca-PRU15.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bank-di-malaysia-akan-putuskan-pelanjutan-moratorium-pinjaman/", "title": "Bank di Malaysia Akan Putuskan Pelanjutan Moratorium Pinjaman", "body": "\n\nShare it\nBank dijangka membuat keputusan tersendiri mengenai sama ada memperpanjangkan moratorium pembayaran pinjaman atau tidak setelah moratorium berakhir pada bulan September ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenganalisis Affin Hwang Capital Research, Loong Chee Wei berkata, pihak yang terjejas disebabkan wabak Covid-19 sehingga kehilangan pekerjaan akan diberikan moratorium, tetapi ia bukanlah perintah menyeluruh.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201cSebilangan orang masih menghadapi kesulitan hingga saat ini, oleh itu moratorium yang diberikan harus bersasar \u201d katanya dalam taklimat media maya mengenai tinjauan makro dan ramalan sektoral Malaysia untuk separuh kedua 2020 hari ini.\u201d\n\n\nSelain itu, ketua ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan berkata, rumah penyelidikan itu mengekalkan ramalan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.5% untuk Malaysia tahun ini, diturunkan oleh ketidakpastian ekonomi kerana kebimbangan yang semakin meningkat mengenai pandemik Covid-19. Beliau berkata penguncupan paling ketara dijangka dapat dilihat pada suku kedua tahun ini.\n\n\n\u201cNamun, kami berpendapat pertumbuhan akan pulih hingga enam peratus tahun depan sementara eksport dijangka pulih tujuh peratus,\u201d katanya.\n\n\nMengenai \nOvernight Policy Rate\n (OPR), Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar semasa hingga akhir 2021 sebelum menormalkannya kembali kepada tiga peratus.\n\n\n\u201cIni kerana ekonomi telah kembali kuat ke kapasiti penuh setelah kemerosotan selama perintah kawalan pergerakan dilakukan untuk mengekang penyebaran Covid-19,\u201d katanya.\n\n\nOPR pada masa ini berada pada kedudukan dua peratus dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dijangka akan mengadakan sidang keempat di bulan hadapan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMengenai Ringgit, Tan mengatakan bahawa matawang Malaysia dijangka pulih berbanding dolar AS yang didorong oleh sentimen ekonomi tempatan yang positif.\n\n\n\u201cPasaran juga akan lebih baik daripada Amerika Syarikat kerana pelabur asing kini didorong untuk melabur di pasaran domestik yang digabungkan dengan pelemahan dolar AS kerana langkah-langkah pelonggaran kuantitatif,\u201d katanya.\n\n\nKadar faedah AS pada masa ini hampir sifar dan Rizab Persekutuan AS tidak merancang untuk menaikkan kadar sehingga ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas Covid-19.\n\n\nBank Dunia sebelum ini meramalkan KDNK global menguncup 5.2 peratus tahun ini, kemelesetan global terdalam dalam beberapa dekad.\n\n\n-Bernama\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bantuan-tunai-selama-enam-bulan-harus-diberikan-kepada-isi-rumah-b60/", "title": "Bantuan Tunai Selama Enam Bulan Harus Diberikan Kepada Isi Rumah B60", "body": "\n\nShare it\nCOVID-19 mendedahkan pelbagai masalah yang wujud untuk sekian lama di negara ini. Pembuat dasar terutamanya menteri perlu belajar daripada krisis Covid-19. Jika kita tidak mengambil iktibar dari pandemik ini, golongan kurang bernasib baik akan terus hidup merempat pada masa hadapan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan harus berbelanja dan tidak sepatutnya menyuruh rakyat mengeluarkan simpanan untuk meneruskan kehidupan mereka. Setakat ini, kerajaan hanya memperuntukkan 5% daripada keseluruhan KDNK ( RM72.6 bilion ) di dalam pakej rangsangan ekonomi. Angka ini jauh lebih rendah berbanding peruntukan jiran-jiran kita seperti Singapura ( 19.8% ), Thailand ( 9.6% ) dan Filipina ( 7.4% ).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk tempoh enam bulan akan datang adalah\n\n\n1. Bantuan Tunai selama enam bulan kepada isi rumah B60\n. Langkah ini akan memanfaatkan 4.4 juta isi rumah di seluruh Malaysia. Isi rumah di dalam kumpulan B20 ( pendapatan kurang dari RM3,000\u00a0 sebulan ) akan menerima RM1,200 sebulan. RM1,200 adalah jumlah yang wajar kerana ia memastikan isi rumah tidak jatuh ke lembah kemiskinan tegar. Langkah ini dianggarkan menelan belanja sekitar RM23.7 bilion.\n\n\n2. Bantuan Tunai selama enam bulan kepada pekerja yang bekerja sendiri\n. Mereka yang bekerja sendiri kebiasaannya terlibat di dalam perusahaan kecil dan sederhana. Bantuan tunai secara konsisten adalah amat penting buat kumpulan ini. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan 8 daripada 10 graduan yang menjalankan perniagaan sendiri meraih pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nOleh itu, bantuan tunai sebanyak RM1,000 sebulan diperlukan. Ini berbeza dengan bantuan Geran Khas Prihatin yang diberikan hanya sekali. Anggaran kos bagi langkah ini adalah sekitar RM14.3 bilion\n\n\n3. Melaksanakan Liputan Keselamatan Sosial Kepada Pekerja Yang Bekerja Sendiri\n. Inisiatif ini bakal memanfaatkan satu juta pekerja yang bekerja sendiri. Kerajaan perlu membantu membiayai 70% caruman keselamatan pekerja untuk tempoh enam bulan yang pertama.\n\n\nManakala untuk tempoh enam bulan yang selebihnya, kerajaan hanya perlu membantu membiayai caruman mereka sebanyak 50% iaitu pada kadar RM25 sebulan. Inisiatif ini boleh dijalankan selama setahun dengan anggaran kos sekitar RM356 juta.\n\n\n4. Mewujudkan Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat\n. Iniatif yang dilakukan ketika ini perlu diperluaskan lagi. Sebagai contoh, program MyJob@Wilayah yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah hanya menyediakan peluang pekerjaan yang terhad iaitu sebanyak 4,000 pekerjaan. Ini hanya bersamaan dengan 9% daripada keseluruhan penganggur di Kuala Lumpur.\n\n\nGaji permulaan untuk graduan juga adalah terlalu rendah dan tidak masuk akal, iaitu pada kadar RM2,000 sebulan. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding gaji wajar yang sepatutnya diperolehi bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Program ini harus diperluaskan dengan memberi peluang pekerjaan sekurang-kurangnya kepada sekitar 14,500 (40%) orang yang menganggur di Kuala Lumpur.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nGaji permulaan harus diberikan sebanyak RM2,500 sebulan kepada pekerja bukan graduan dan RM3,000 sebulan bagi graduan. Ketika menghadapi krisis, sektor swasta tidak akan mampu untuk mewujudkan pekerjaan. Kerajaan lah yang sepatutnya masuk ke pasaran dan melaksanakan langkah ini.\n\n\nProgram ini boleh dijalankan secara kontrak untuk tempoh enam bulan. Inisiatif ini dijangka memerlukan belanja sebanyak RM229 juta ataupun bersamaan dengan 6% pendapatan yang dijana oleh DBKL pada tahun 2019. Pihak berkuasa tempatan di kawasan lain juga boleh melaksanakan program ini.\n\n\nKos keseluruhan inisiatif ini adalah sekitar RM38.5 bilion. Jumlah suntikan fiskal hasil daripada cadangan di atas adalah sekitar 8% daripada KDNK, lebih kurang sama dengan peruntukan di negara lain seperti Thailand dan Filipina.\n\n\nHutang fiskal negara dijangka akan meningkat kepada 61% berbanding KDNK, lebih sedikit berbanding had hutang kerajaan. Perkara ini boleh dilakukan kerana had hutang kerajaan boleh dipinda apabila parlimen bersidang kelak seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan yang sama pada tahun yang lalu.\n\n\nKerajaan tidak harus terlalu fokus terhadap KDNK dan petunjuk-petunjuk ekonomi lain yang tidak memberi apa-apa makna yang berguna kepada rakyat kebanyakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara boleh mempunyai KDNK yang baik tetapi rakyat masih sengsara. Tiada gunanya kita melaksanakan projek mega seperti MRT3 bagi meningkatkan KDNK melalui pengganda ekonomi yang hanya memberi manfaat kepada pihak majikan dan pemilik modal sedangkan rakyat tidak menerima apa-apa manfaat daripada projek tersebut.\n\n\nMalahan, apa yang rakyat perlukan sekarang ialah bukannya projek-projek mega yang hanya cantik di mata. Mengapa kerajaan seolah-olah gemar menambah hutang negara melalui projek mega tetapi amat bimbang untuk membelanjakan wang bagi menyelamatkan kehidupan rakyat?\n\n\nApa yang rakyat perlukan sekarang ialah perlindungan yang utama iaitu dari segi kesihatan. Kedua, perlindungan dari segi kewangan. Kerajaan yang bertanggungjawab akan melindungi kedua-dua keutamaan ini.\n\n\nTiada guna kerajaan melakukan penutupan ekonomi jika rakyat dibiarkan mati kelaparan. Justeru, penutupan semula ekonomi yang akan dijalankan dalam masa terdekat wajib disertakan dengan bantuan yang cukup dan konsisten kepada rakyat.\n\n\nZouhair Rosli\n merupakan penyelidik kanan di DM Analytics. Beliau sebelum ini pernah terlibat di dalam menyediakan dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta beberapa kaji selidik kemiskinan di Kuala Lumpur.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bekas-ceo-tabung-haji-datuk-nik-hasyudeen-cadang-laporan-rci-th-didedahkan-kepada-umum/", "title": "Bekas CEO Tabung Haji, Datuk Nik Hasyudeen Cadang Laporan RCI TH Didedahkan Kepada Umum", "body": "\n\nShare it\nDatuk Nik Hasyudeen Ketika Diwawancara Ekonomi Rakyat di Kediamannya pada 4 Disember lalu\n\n\nBekas CEO Kumpulan Tabung Haji, Datuk Nik Hasyudeen mencadangkan Kerajaan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada umum yang sepatutnya telah siap dimuktamadkan pada Julai lalu. Menurut beliau yang memegang jawatan CEO Tabung Haji di antara tahun 2019 sehingga 2021, langkah ini mungkin boleh menjadi jalan keluar terhadap segala dakwaan dan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap Tabung Haji.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Kalau ikut perancangan, RCI ini sepatutnya sudah dimuktamadkan pada bulan Julai tahun ini lagi. Sekarang kita sudah bulan Disember. Jadi bagi saya, sekiranya perlu, Kerajaan boleh membuat keputusan sama ada mahu berkongsi dengan rakyat tentang apakah hasil daripada RCI itu. Saya sebenarnya pun tak tahu apa sebenarnya kedudukan RCI itu. Tapi disebabkan banyak pihak telah membuat pelbagai dakwaan, mungkin jalan keluarnya ialah dengan menzahirkan apakah penemuan RCI ini. \u201c\n\n\n\n\nTabung Haji alami defisit aset sebanyak RM4.1 bilion pada tahun 2016\n\n\nTerdahulu semasa tahun 2018, kedudukan kewangan Tabung Haji mendapat perhatian ramai setelah Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran di Putrajaya. Isu berkenaan Tabung Haji juga hangat diperkatakan sekali lagi apabila menjadi bahan politik semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTabung Haji dilaporkan mengalami defisit disebabkan oleh tanggungan, iaitu deposit penyimpan yang telah meningkat melebihi aset bersih antara tahun 2014 hingga 2016. Dalam tempoh itu, defisit telah meningkat daripada RM352 juta kepada RM4.131 bilion.\n\n\nKeadaan ini menyebabkan pengurusan Tabung Haji turut ditegur oleh Gabenor Bank Negara (BNM) pada Disember 2015 kerana paras rizab Tabung Haji pada ketika itu rendah akibat amalan pengagihan dividen dan bonus yang melebihi kadar keuntungan semasa.\n\n\nLaporan Tahunan Tabung Haji 2018 juga mendapati Tabung Haji mengalami defisit sekitar RM10.9 bilion susulan kejatuhan besar nilai sebahagian besar aset-aset Tabung Haji terutamanya di dalam sektor ekuiti yang mengalami kerugian purata sebanyak 55%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi menyelamatkan kedudukan kewangan Tabung Haji, Kerajaan mengambil keputusan untuk memindahkan sebahagian aset-aset Tabung Haji yang tidak menguntungkan pada nilai premium iaitu sebanyak RM19.9 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd.\n\n\n\n\nMekanisme penstrukturan semula aset Tabung Haji\n\n\nSebagai balasan, Urusharta Jamaah yang merupakan syarikat tujuan khas (SPV) milik Kerajaan menerbitkan dua sukuk yang dilanggan Tabung Haji bernilai RM19.6 bilion yang memberi pulangan 4.05%-4.10% setahun. Tabung Haji juga menerima suntikan tunai sebanyak RM300 juta bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan.\n\n\n*Kerajaan memperuntukkan RM500 juta pada tahun 2020 dan RM1.73 bilion setahun kepada Urusharta Jamaah sehingga tahun 2030\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPelan penstrukturan ini membolehkan Tabung Haji mempunyai lebihan aset sebanyak RM1 bilion berbanding defisit RM10.9 bilion pada Disember 2018.\n\n\nKetika ditanya Ekonomi Rakyat mengenai punca berlakunya isu ini, Datuk Nik menjelaskan bahawa polisi pelaburan Tabung Haji dahulu yang memfokuskan terhadap pulangan tinggi telah menyebabkan institusi itu terdedah kepada kerugian dalam pelaburan.\n\n\nAset-aset yang kurang berdaya saing dipindahkan pada nilai RM19.9 bilion kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd\n\n\nHal ini kerana sebahagian besar pelaburan Tabung Haji dibuat terhadap aset-aset ekuiti yang mampu memberikan pulangan tinggi tetapi terdedah kepada risiko yang lebih besar. Beliau juga berkata pelaburan-pelaburan strategik yang dibuat oleh institusi kewangan boleh mengakibatkan institusi tersebut mengalami kerugian besar jika mereka tidak mempunyai kepakaran dalam menjalankan perniagaan.\n\n\n\n\n\u201d Kita semua tahu ekuiti ini risikonya lebih tinggi daripada pendapatan tetap. Jadi sekiranya ada tekanan untuk mana-mana institusi memberi pulangan yang lebih tinggi, biasanya pelaburan ekuiti akan dibesarkan. Dan dalam pelaburan ekuiti ada dua jenis iaitu pelaburan portfolio yang mana dia jual beli, satu lagi dipanggil ekuiti strategik, dimana sesuati institusi itu bukan saja setakat melabur tetapi dia nak mengawal dan menjalankan perniagaan.\n\n\nPada pandangan saya lah, biasanya ekuiti strategik ini boleh menimbulkan masalah kerana sekiranya insititusi berkenaan tidak ada kepakaran, kemahiran, orang-orang yang faham tentang industri itu, jadi mereka mungkin tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal perniagaan-perniagan yang dilaburkan secara strategik \u201c\n\n\n\n\nDatuk Nik juga berpendapat bahawa Tabung Haji perlu kembali kepada tujual asal penubuhannya sebagai sebuah institusi tabungan dan penyimpanan bagi umat Islam menunaikan Haji, dan bukannya sebagai sebuah institusi pelaburan.\n\n\nJelasnya lagi, pelaburan-pelaburan Tabung Haji perlu dibuat di dalam portfolio-portfolio yang selamat dan berisiko rendah, namun tetap kompetitif bagi menjanjikan pulangan yang lebih tinggi berbanding inflasi agar pelabur tidak rugi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Kalau kita tengok balik, Tabung Haji ini sebenarnya bukan institusi pelaburan. Tabung Haji ialah institusi penyimpanan kerana tujuan asal Tabung Haji adalah supaya umat Islam yang mahu melaksanakan ibadah Haji dapat menabung dan menyimpan. Jadi oleh itu, pelaburan yang dibuat Tabung Haji sepatutnya pelaburan-pelaburan yang lebih selamat dan biasanya pelaburan yang lebih selamat ini tidak memberi pulangan yang tinggi. Cuma kalau boleh mungkin sekadar lebih tinggi daripada inflasi. Jadi sekurang-kurangnya pendeposit tidak rugi. Jadi bagi saya itulah sepatutnya falsafah pelaburan Tabung Haji \u201c\n\n\n\n\nMenurut data yang diperolehi, 106 saham yang dipindahkan Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah mengalami purata kerugian sebanyak 55%. Urusharta Jamaah terpaksa membeli aset-aset ini pada harga premium iaitu pada nilai RM16.85 bilion berbanding nilai sebenar pada ketika itu iaitu pada RM7.6 bilion.\n\n\nKerajaan membayar premium lebih RM10.0 bilion untuk menyelamatkan Tabung Haji\n\n\nAntara pelaburan-pelaburan TH yang merugikan adalah melalui pegangan di dalam Felda Global Ventures Holdings dimana TH mengalami kerugian atas kertas sebanyak RM1.1 bilion apabila nilai pasaran semasa saham pada 31 Disember 2018 hanya tinggal RM202.3 juta berbanding kos asal pelaburan sebanyak RM1.31 bilion.\n\n\nTurut mengalami kerugian besar adalah TH Heavy Engineering yang merekodkan kerugian atas kertas sebanyak RM370 juta apabila nilai saham yang dipegang Tabung Haji jatuh kepada RM10 juta berbanding pelaburan asal sebanyak RM380 juta.\n\n\nKerajaan beri komitmen jaminan terhadap Urusharta Jamaah bagi memastikan Tabung Haji dapat menebus kembali sukuk yang dilanggan\n\n\nDatuk Nik yang pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Suruhanjaya Sekuriti turut berharap agar Kerajaan memperkenalkan akta-akta spesifik bagi mengawalselia agensi-agensi pelaburan berkaitan Kerajaan seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain.\n\n\nKatanya, akta-akta sedia ada yang terpakai ketika ini tidak mengambilkira aspek urus tadbir korporat moden memandangkan konsep itu hanya mula popular setelah Krisis Kewangan Asia melanda pada tahun 1998.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Kalau kita tengok Akta KWSP, Akta Tabung Haji, Akta KWAP dan seumpamanya, isu-isu tadbir urus yang kita bincang tadi tidak jelas dalam akta-akta yang menubuhkan institusi-institusi berkenaan. Dia tidak ada elemen-elemen tadbir urus moden yang digunapakai untuk syarikat-syarikat yang tersenarai sedangkan syarikat-syarikat pelaburan Kerajaan ini menguruskan dana berbilion Ringgit. Jadi sepatutnya sudah sampai masalnya kita mewujudkan akta khusus berkenaan tadbir urus di institusi pelaburan berkaitan Kerajaan. \u201c\n\n\n\n\nBeliau menekankan bahawa tadbir urus di dalam syarikat-syarikat adalah penting bagi memastikan setiap organisasi-organisasi ini mencapai matlamat penubuhannya. Langkah ini menurutnya membolehkan organisasi itu berjalan lancar melalui susun atur dan sistem yang telah ditetapkan.\n\n\nEkonomi Rakyat juga sempat mengutarakan persoalan mengenai budaya lantikan politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada Datuk Nik. \nMenurut laporan IDEAS dan BERSIH, pentadbiran Perikatan Nasional yang terdahulu melantik 39 Ahli Parlimen bagi mengisi kedudukan di dalam lembaga pengarah di syarikat berkaitan Kerajaan dan badan berkanun.\n\n\nPentadbiran Pakatan Harapan juga ketika berkuasa pada penggal pertama dahulu turut dilaporkan melantik 25 wakil politik ke dalam entiti-entiti berkenaan.\n\n\nDatuk Nik Hasyudeen berpendapat bahawa jawatan-jawatan tersebut sewajarnya diisi oleh golongan profesional.\n\n\n\n\n\u201d Pada pandangan saya, kalau boleh eloklah yang diletakkan itu benar-benar profesional. Ada kelayakan, pengalaman dan yang lebih penting jantung hatinya itu mempunyai ketelusan dan kejujuran kerana banyak institusi ataupun perniagaan ini memegang dana berbilion Ringgi yang dimiliki rakyat\n\n\nSekiranya jawatan-jawatan itu dijadikan habuan politik, maka kita tidak pasti sama ada orang-orang yang diletakkan itu mempunyai kelayakan yang sepatutnya. Jadi ini merupakan satu perkara yang penting dalam pentadbiran dan pengurusan. Kalau kita tidak letakkan orang yang sesuai, maka tentunya hasilnya tidak akan seperti yang kita kehendaki. \u201c\n\n\n\n\nApabila ditanya mengenai penglibatan tokoh-tokoh korporat yang berpengalaman di dalam beberapa skandal kewangan besar di negara ini yang mengakibatkan rakyat kerugian berbilion Ringgit, Datuk Nik menjelaskan bahawa kepakaran tidak bermaksud golongan ini mempunyai keberanian untuk melakukan perkara-perkara yang betul.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Ramai orang tahu apa yang betul. Tetapi persoalannya adakah mereka berani melakukan apa yang betul\u2026.. Isunya, ada keberanian atau tidak. Sebab dari segi nak tahu apa yang betul dan apa yang salah, saya rasa tidak begitu susah. Dalam membuat keputusan pelaburan misalnya, kita mesti ada maklumat tentang mengapa pelaburan itu baik. Tetapi sekiranya tidak ada maklumat langsung, tapi kita nak teruskan juga, itu sudah menjadi satu perkara yang nampak aneh.\n\n\nJadi sebenarnya bukan isu tahu atau tidak tahu, bukan isu faham atau tidak faham, tapi isunya keberanian untuk membuat keputusan dan keberanian untuk menanggung hasil daripada keputusan itu. Disitu lah ujian yang sebenarnya. Dan saya rasa tidak ramai orang yang telah menunjukkan bahawa mereka berani melalui perkara-perkara yang betul. \u201c\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/belanjawan-2021-kerajaan-terlalu-optimis/", "title": "Belanjawan 2021 \u2013 Kerajaan Terlalu Optimis", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan Malaysia telah mengumumkan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu yang menyaksikan negara akan berbelanja RM322.5 bilion pada tahun hadapan. Belanjawan ini merupakan belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan oleh kerajaan bagi mengharungi krisis Covid-19 yang tidak berkesudahan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebanyak RM236.5 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan operasi seperti membayar gaji penjawat awam, faedah hutang, pencen pesara dan sebagainya. Manakala RM69 bilion lagi diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan seperti membina sekolah ataupun membuat pembelian aset-aset.\n\n\nSejumlah RM17 bilion lagi diperuntukan untuk Dana Covid-19 bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi menangani Covid-19.\n\n\nKerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Bantuan Prihatin Rakyat sebagai contoh memanfaatkan isi rumah B40 dan M40 yang bakal menerima sehingga RM1,800 pindahan tunai daripada kerajaan dengan jumlah peruntukan RM6.5 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan juga turut meneruskan program subsidi upah secara bersasar kepada sektor pelancongan dan peruncitan selama tiga bulan lagi. Pekerja yang berpendapatan RM4,000 kebawah akan menerima subsidi upah sebanyak RM600 sebulan daripada kerajaan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.\n\n\nNamun disebalik inisiatif-inisiatif baik yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2021 ini, terdapat kelemahan yang nyata di dalam fundamental Belanjawan kali ini.\n\n\n\n\nApa yang terserlah adalah kerajaan begitu optimis dengan angka-angka pertumbuhan dan jangkaan ekonomi pada tahun 2021. Sebagai contoh, kerajaan mengunjurkan hasil dari cukai pendapatan sebanyak RM42.4 bilion pada tahun hadapan.\n\n\nAngka ini adalah tidak realistik dan tidak masuk akal kerana ia 10% lebih tinggi berbanding jumlah hasil yang diperoleh pada tahun 2019 ( RM38.6 bilion ) iaitu sebelum Covid-19 melanda. Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk memotong satu mata peratusan cukai pendapatan bagi mereka yang berpendapatan RM50,001 sehingga RM70,000.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagaimanakah kerajaan ingin menambah 10% hasil dari cukai pendapatan sedangkan kerajaan sendiri memotong kadar peratusan cukai pendapatan. Ini tidak mengambil kira kehilangan pekerjaan-pekerjaan berpendapatan tinggi seperti juruterbang dan jurutera kapal terbang yang memberi kesan langsung kepada bilangan pembayar cukai pendapatan.\n\n\nUnjuran cukai korporat turut menunjukkan kerajaan begitu optimis bahawa pemulihan dan perkembangan ekonomi bakal berlaku dengan pantas pada tahun 2021. Kerajaan mengunjurkan untuk meraih RM64.6 bilion cukai korporat pada tahun hadapan, iaitu lebih tinggi berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM63.7 bilion.\n\n\nKeadaan seperti ini memerlukan keajaiban untuk berlaku kerana umum mengetahui bahawa ekonomi negara diramalkan terus suram untuk tempoh beberapa bulan yang akan datang. Dengan jumlah kes Covid baru mencecah empat angka saban hari, aktiviti ekonomi tidak diramalkan tidak akan pulih seperti biasa dalam masa yang tedekat.\n\n\n\n\nKegiatan pelancongan yang memberi sumbangan RM100 bilion kepada ekonomi negara pada tahun-tahun lalu tidak dapat memberikan sumbangan yang serupa pada tahun hadapan. Sempadan negara kelihatan seperti akan terus ditutup dari kunjungan luar manakala aktiviti pelancongan domestik juga kini semakin terhad sejak gelombang ketiga melanda.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nOleh itu, hampir mustahil bagi kerajaan untuk mengutip cukai korporat setinggi yang diharapkan dengan prospek dari Industri Kecil dan Sederhana yang kian suram.\n\n\nSelain daripada itu, kerajaan juga mengulangi kesilapan yang serupa seperti dilakukan awal tahun ini dengan memberikan bantuan RM600 kepada kesemua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.\n\n\nHarus diingatkan bahawa penjawat awam merupakan pekerja dan individu yang paling tidak terkesan dengan Covid-19 ini. Tidak ada seorang pun kakitangan kerajaan yang dibuang kerana kerajaan terpaksa mengecilkan saiz perkhidmatan.\n\n\nKakitangan kerajaan juga akan menerima gaji bulanan mereka pada masa yang telah ditetapkan. Ini berbeza dengan keadaan pekerja-pekerja yang makan gaji dimana berkemungkinan besar gaji mereka lambat dibayar disebabkan keadaan ekonomi yang amat genting ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi pekerja yang bekerja sendiri seperti Mak Cik Kiah, mereka mungkin tidak dapat berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan semula. Jika mereka dapat berniaga sekali pun, pendapatan mereka pasti berkurang kerana ramai yang bekerja dari rumah.\n\n\nGolongan seperti Mak Cik Kiah ini, sering kali dipinggirkan. Jika dahulu, mereka dapat memohon Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000. Kini, tiada lagi bantuan sedemikian terhadap mereka.\n\n\nOleh itu, peruntukan yang ada patut digunakan dengan cermat dan sebaiknya. Jumlah bantuan RM600 patut dialihkan kepada golongan seperti Mak Cik Kiah atau mereka yang kehilangan kerja. Jumlah bantuan ini mungkin tidak besar tetapi bagi mereka yang berada di dalam keadaan terdesak, ia lebih bermakna berbanding jika diberikan kepada penjawat awam yang mana pekerjaan mereka terjamin serta tiada kebimbangan gaji masuk lewat.\n\n\nPeruntukan lain seperti RM85 juta kepada JASA juga perlu diteliti semula bagi memastikan Belanjawan ini diluluskan oleh majoriti ahli parlimen. Harus diingatkan, Belanjawan kali ini merupakan Belanjawan berisiko tinggi kerana terdapat kemungkinan ia akan ditolak oleh ahli parlimen termasuk yang berada di dalam kerajaan.\n\n\nKegusaran ini bukan sekadar propaganda politik tetapi realiti yang dihadapi oleh kerajaan semasa. Menteri Kewangan sendiri menyuarakan kebimbangan mengenai risiko Belanjawan 2021 tidak diluluskan yang mana perkara ini tidak sepatutnya menjadi sebuah isu jika kerajaan tersebut benar-benar mempunyai sokongan kukuh majoriti dari ahli parlimen.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengundian usul Belanjawan 2021 dijadualkan bakal berlangsung pada 23 November ini bukan sahaja mengenai perbekalan tetapi bakal menjadi pengukur dan petunjuk sokongan ahli parlimen terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/belanjawan-2022-cukai-makmur-bakal-jejaskan-dividen-rakyat/", "title": "Belanjawan 2022 \u2013 Cukai Makmur Bakal Jejaskan Dividen Rakyat", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nBelanjawan 2022 yang dibentangkan Jumaat minggu lalu mendapat reaksi bercampur baur dalam kalangan pemerhati ekonomi. Dengan saiz Bajet sebesar RM322.1 bilion, kerajaan sudah pasti berharap ia dapat merancakkan ekonomi negara pada masa hadapan untuk mendapatkan pertumbuhan positif yang maksimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKedudukan fiskal kerajaan sudah pastinya lebih terikat dengan defisit hampir RM100 bilion pada tahun hadapan. Kerajaan mengunjurkan defisit fiskal akan berkurangan pada tahun-tahun mendatang kepada purata 4.5% berbanding 6.0% untuk tahun 2022.\n\n\nBelajar dari kesilapan lalu, kerajaan pada tahun ini agak konservatif di dalam meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pertumbuhan ekonomi tahun 2022 diunjurkan sekitar 4.5% hingga 5.5% pada tahun hadapan berbanding Bajet 2021 dimana Kementerian Kewangan pada awalnya mengunjurkan pertumbuhan diantara 6.5% hingga 7.5% sebelum menurunkan unjuran kepada 3.0% hingga 4.0%.\n\n\nHasil kerajaan untuk tahun hadapan dianggarkan sekitar RM234 bilion, lebih rendah berbanding hasil yang dikutip pada tahun 2019 dimana kerajaan merekodkan hasil sebanyak RM264 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerbelanjaan berkembang yang dilaksanakan kerajaan ini dijangka tidak akan berlanjutan untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang. Hal ini kerana sebahagian besar perbelanjaan kerajaan dibiayai melalui hutang yang telah memberi tekanan terhadap pengurusan fiskal dalam jangka masa panjang.\n\n\nMeskipun hutang negara berada di bawah paras statutori 65% ( RM890.7 bilion ) pada akhir Jun tahun ini, Namun dari sudut perbelanjaan khidmat hutang, kadar perbelanjaan untuk tujuan ini telah meningkat melangkaui 15% berbanding keseluruhan perbelanjaan operasi.\n\n\n\u00a0\n\n\nPerbelanjaan Operasi Kerajaan Malaysia\n\n\nPada tahun 2019, Malaysia hanya membelanjakan sekitar RM32.9 bilion ( 12.5% ) daripada keseluruhan perbelanjaan operasi untuk tujuan membayar faedah hutang. Pada tahun hadapan, bayaran khidmat hutang akan melonjak kepada RM43.1 bilion ( 18.5% ).\n\n\nIni bermaksud di dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kerajaan perlu mencari jalan lain untuk menambah sumber hasil kerajaan ataupun terpaksa mengurangkan perbelanjaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKomponen lain yang memberi tekanan fiskal kepada kerajaan adalah pembayaran pencen yang menelan belanja sebanyak RM28 bilion ( 12% berbanding perbelanjaan operasi ) pada tahun hadapan, meningkat berbanding RM25.9 bilion ( 9.8% ) pada tahun 2019.\n\n\nCukai Makmur\n\n\nSetelah menolak sebarang pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa pada tahun lalu, kerajaan akhirnya mengambil keputusan untuk memperkenalkan cukai makmur, sebuah cukai \none-off\n yang dikenakan buat syarikat-syarikat besar.\n\n\nKadar 33% cukai korporat bakal dikenakan bagi pendapatan bercukai melebihi RM100 juta, lebih tinggi berbanding kadar cukai korporat semasa iaitu pada 24%.\n\n\nHutang Kerajaan Persekutuan\n\n\nMenurut Timbalan Menteri Kewangan II, pelaksanaan cukai makmur akan menambah pendapatan negara sekurang-kurangnya sebanyak RM3 bilion. Rekod di Bursa Malaysia menunjukkan pada tahun lalu, terdapat sekitar 125 syarikat yang meraih keuntungan kasar melebihi RM100 juta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLangkah ini sudah pasti akan memberi kesan terhadap agihan dividen pada tahun hadapan yang mungkin memberi kesan kepada orang ramai. Syarikat terbesar di Malaysia seperti Maybank misalnya dimiliki sebahagian besar ( 67% ) oleh GLIC melalui Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan.\n\n\nSyarikat-syarikat gergasi lain seperti Public Bank, CIMB Group dan Tenaga Nasional juga tidak terkecuali daripada pegangan besar institusi-institusi kewangan ini.\n\n\nReaksi pasaran turut negatif dengan pengenalan cukai ini. Pada Isnin lalu, indeks KLCI telah menjunam 30 mata ataupun bersamaan kira-kira RM30 bilion nilai modal pasaran susulan pengumuman pelaksanaan cukai ini. Sudah pasti bukan \ntrade-off\n yang baik buat kerajaan di dalam usaha mengorek sekitar RM3 bilion hasil daripada cukai ini.\n\n\nSyarikat Berkaitan Kerajaan Mempunyai Pegangan Ekuiti Yang Besar Di Dalam Syarikat Gergasi di Malaysia\n\n\nAlternatif lain\u2026..\n\n\nKerajaan sudah pasti boleh memikirkan alternatif lain yang lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang merekodkan keuntungan luar biasa. Industri sarung tangan misalnya telah meraih keuntungan berlipat ganda. Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan bahawa industri sarung tangan telah merekodkan keuntungan bersih sebanyak \nRM13.3 bilion\n pada tahun lalu, meningkat 12 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika kerajaan mengenakan cukai sebanyak RM3 bilion buat industri ini, keuntungan mereka masih jauh lebih besar berbanding apa yang direkodkan pada tahun sebelumnya iaitu \nRM1.1 bilio\nn pada tahun 2019.\n\n\nRujuk artikel ini :\n Syed Saddiq Desak Kenakan Cukai Keuntungan Luar Biasa Kepada Syarikat Pengeluar Sarung Tangan\n\n\nGaji Minimum Tidak Disemak Semula\n\n\nGaji minimum Malaysia yang kekal tidak berubah untuk tempoh lebih dua tahun masih lagi dikekalkan oleh kerajaan. Bagi pemilik modal, langkah ini memberi ruang untuk terus menggajikan pekerja tanpa tambahan kos selain menggalakkan perusahaan untuk mengambil pekerja baru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.\n\n\nWalaubagaimanapun, dari sudut jangka masa panjang. Langkah membiarkan gaji minimum kekal bertakung sudah pasti akan mengagalkan usaha Malaysia untuk menaikkan pendapatan isi rumah kepada lebih RM10,000 sebulan seperti mana yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBegitu juga dengan sasaran untuk menaikkan pampasan pekerja kepada 40% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar.\n\n\nMenaikkan gaji minimum tatkala dunia dilanda krisis bukanlah sesuatu yang asing. Negara-negara lain seperti New Zealand, Turki dan Australia antara negara yang meningkatkan gaji minimum buat pekerja mereka pada tahun lalu.\n\n\nIsu gaji juga perlu dilihat secara bergandingan dengan soal simpanan masa tua rakyat. Tambahan lagi setelah Ketua Pegawai Strategi KWSP mendedahkan hanya 3% pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara pada masa depan kelak setelah kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan persaraan.\n\n\nEkonomi Malaysia Dijangka Berkembang Diantara 5.5% Hingga 6.5% Tahun Hadapan\n\n\nProspek 2022\n\n\n2022 bakal menjadi tahun pemulihan yang sebenar buat Malaysia selepas pemulihan yang tertangguh akibat penularan luar biasa Covid-19 pada tahun ini. Jika dilihat pada angka-angka perdagangan, perusahaan-perusahaan besar telah merekodkan prestasi yang memberangsangkan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSehingga September tahun ini, nilai perdagangan Malaysia telah merekodkan pertumbuhan 23% kepada RM1.6 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Tidak mustahil negara bakal mencapai nilai dagangan melebihi RM2 trilion menjelang akhir tahun dan akan meneruskan momentum pada tahun hadapan.\n\n\nNamun bagi golongan pekerja, tahun 2022 mungkin akan mula memberi sinar kepada mereka. Gaji dijangka kekal rendah sementara menunggu aktiviti ekonomi kembali bergerak pada kadar maksimum sebelum lebih ramai pekerja digajikan.\n\n\nSektor-sektor hiburan seperti kelab malam, konsert dan sebagainya mungkin akan terpaksa menunggu untuk sedikit masa lagi sebelum dibenarkan beroperasi.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/benarkah-rakyat-tidak-patuh-sop-ayuh-lihat-data-bercerita/", "title": "Benarkah Rakyat Tidak Patuh SOP? Ayuh Lihat Data Bercerita", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nTuduhan rakyat tidak patuh\n Standard Operating Procedure\n ataupun SOP sudah kerap kali bergema dari pelbagai pihak berautoriti. Bukan itu saja, rakyat juga kadang kala dipersalahkan atas peningkatan mendadak kes-kes baru Covid-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenasihat Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pula menggesa rakyat mengubah tingkah laku dalam usaha memerangi pandemik ini.\n\n\nPerubahan tingkah laku dapat dilihat secara kasar dalam kalangan masyarakat. Pemakaian pelitup muka sudah menjadi kemestian manakala solat berjemaah kini dijarakkan. Meskipun begitu, boleh dilihat kadang kala rakyat agak sukar menjaga jarak fizikal bersama orang lain terutamanya di kawasan yang padat seperti pasar raya.\n\n\nNamun begitu ayat-ayat di atas hanyalah sebuah kenyataan berdasarkan pemerhatian peribadi dan bukannya berasaskan fakta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi membolehkan kita mengukur tahap kepatuhan rakyat terhadap SOP, Ekonomi Rakyat meneliti data-data yang dikeluarkan oleh Google, Apple dan SELANGKAH.\n\n\n\n\nData Google sebagai contoh mengukur pergerakan pengguna telefon pintar melalui lokasi. Menurut Google, pergerakan ke kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi telah menurun 50% berbanding garis asas pada 19 Januari 2021 apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.\n\n\nGaris asas yang ditetapkan oleh Google adalah berdasarkan data yang dipungut pada 3 Januari sehingga 6 Februari 2020 dimana negara belum terkesan dengan impak Covid-19 ini.\n\n\nBerbanding sebelum PKP2.0 dimana negara melaksanakan PKP Bersyarat, kadar pergerakan ke atas kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi jatuh dari sekitar 15% kepada 50% sekaligus menunjukkan PKP memberikan impak yang besar kepada pergerakan rakyat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nData yang dikeluarkan Google melalui Covid-19 Mobility Report menunjukkan tahap kepatuhan rakyat yang tinggi. Sehingga 31 Januari, pergerakan kekal rendah iaitu dibawah 50% berbanding garis asas. Namun laporan terbaru yang dikeluarkan pada 9 Februari menunjukkan berlaku peningkatan pergerakan sebanyak 8% dari -50% kepada -42% berikutan langkah kerajaan membenarkan pelbagai aktiviti ekonomi untuk beroperasi.\n\n\nPergerakan ke pejabat juga menunjukkan penurunan sebanyak 30% berbanding garis asas manakala pergerakan ke taman-taman pula jatuh sehingga 60%.\n\n\nKesan PKP2.0 jauh lebih kecil berbanding PKP1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu. Data menunjukkan pergerakan ke kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi jatuh 78% pada PKP1.0. Pergerakan ke tempat kerja pula jatuh melangkaui 50%.\n\n\nApple turut memberikan petunjuk yang serupa mengenai langkah PKP2.0 dimana data mereka menunjukkan terdapat pengurangan pemanduan sebanyak 27% manakala terdapat kejatuhan lebih 40% oleh mereka yang berjalan kaki.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\nAplikasi SELANGKAH yang menyimpan data perjalanan rakyat Selangor turut melakukan tinjauan dalam mengukur persepsi dalam kalangan masyarakat.\n\n\nHampir 92% responden menyatakan bahawa individu di hadapan mereka memakai pelitup muka dengan betul manakala selebihnya mengatakan tidak. Responden bagi soalan ini agak tinggi dimana terdapat lebih 940,000 orang telah menjawab soalan.\n\n\nLebih kurang 89% responden juga berpendapat bahawa pengunjung lain yang memasuki premis ( perniagaan ) turut memakai sanitiser sebelum memasuki premis. 91% responden turut menyatakan bahawa pengunjung di premis ketika mereka berada mengamalkan penjarakan fizikal.\n\n\nDalam kata lain, data-data tinjauan yang dikeluarkan menunjukkan terdapat perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat dari segi pergerakan dan tatacara ketika keluar dari rumah. Rakyat juga berpendapat bahawa majoriti besar rakyat di negara ini patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\nAhli pentadbiran serta individu-individu yang berautoriti perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar ia tidak menjatuhkan motivasi rakyat Malaysia dalam mengekang penularan wabak ini. Mungkin seruan untuk mengubah tingkah laku ini perlu dibuat terhadap segelintir pemimpin yang kerap kali \nkantoi\n berada di dalam keadaan tidak patuh SOP.\n\n\n\u00a0\n\n\n\n\nData SELANGKAH boleh diakses di [ \nsini\n ]\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/berapa-kos-membesarkan-seorang-anak-di-kl-kajian-kata-rm1300-sebulan/", "title": "Berapa Kos Membesarkan Seorang Anak? Di KL, Kajian Kata RM1,300 Sebulan", "body": "\n\nShare it\n\u201d Anak-anak adalah rezeki \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\nItulah ungkapan yang kita sering kali diungkapkan sejak dari dulu lagi. Gelak dan tangisan cahaya mata memberi seribu satu makna buat ibu dan bapa.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun di sebalik cubaan untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak, ibu bapa berhadapan dengan cabaran hebat dalam membesarkan zuriat mereka. Kos untuk membesarkan anak semakin lama semakin mahal sehingga memberi tekanan yang besar terhadap kehidupan seharian ibu bapa.\n\n\nAda sebahagian para ibu yang terpaksa mengorbankan karier mereka demi menjaga anak-anak. Ada juga ibu yang terpaksa meneruskan bekerja bagi mencari duit di samping suami bagi membesarkan anak-anak. Kesemua pilihan itu kebiasaannya dibuat untuk memberikan yang terbaik untuk masa depan cahaya mata mereka.\n\n\nMenurut artikel yang dikeluarkan oleh syarikat insurans AIA, kos membesarkan anak bermula dari lahir sehingga tamat universiti di Malaysia boleh mencapai RM1.1 juta. Manakala di Amerika Syarikat, Brookings Institute menganggarkan sesebuah keluarga perlu membelanjakan $310,605 untuk membesarkan anak sehingga berusia 18 tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerbelanjaan untuk anak-anak tidak kekal sama sahaja di semua peringkat usia kehidupan mereka. Secara kebiasaannya, kos terbesar yang perlu ditanggung ibu bapa ialah ketika anak mereka perlu melanjutkan pelajaran di insitusi pengajian tinggi.\n\n\nNamun begitu, isu yang lebih kritikal mengenai kos membesarkan seorang anak ini bukannya terletak ketika mereka mahu melanjutkan pengajian, akan tetapi apabila anak-anak itu masih kecil. Ketika di peringkat ini, ibu bapa mungkin berada di fasa awal karier mereka pada usia lewat 20-an ataupun awal 30-an, sekaligus menyebabkan mereka tidak mempunyai pendapatan yang besar.\n\n\nDi Lembah Klang, kos kehidupan pasangan berkahwin dengan seorang anak adalah sekitar RM5,910 sebulan\n\n\n\u201d But babies are expensive \u201c\n. Ibu bapa terpaksa mengeluarkan wang bagi membeli bekalan susu formula yang berharga ratusan ringgit buat anak-anak kecil mereka. Di samping itu, sebahagian besar lagi perbelanjaan anak-anak akan digunakan untuk membayar pengasuh sekiranya kedua-dua ibu bapa itu bekerja.\n\n\nMenurut Laporan Belanjawanku yang dikeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) & Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) pada tahun 2021, kos membesarkan seorang anak di Lembah Klang adalah sekitar RM1,320 sebulan. Di seluruh Malaysia, secara puratanya perbelanjaan bagi sebuah keluarga yang mempunyai seorang anak adalah sebanyak RM5,102 sebulan. Jika dibandingkan, angka itu RM1,145 ataupun 28.9% lebih tinggi daripada perbelanjaan pasangan yang sudah berkahwin, namun belum memiliki anak (RM3,957).\n\n\nMampukah Ibu Bapa Membesarkan Anak-anak?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara faktor utama yang menyebabkan ibu bapa di Malaysia sukar untuk membesarkan anak-anak mereka dengan punca kewangan yang stabil ialah kerana mereka sering menerima gaji yang rendah. Masalah struktur ekonomi di Malaysia telah menyebabkan sebahagian besar pekerja di negara ini meraih gaji yang begitu rendah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah untuk pekerja di Malaysia pada tahun 2021 hanyalah RM2,250 sebulan.\n\n\nJika kedua-dua ibu bapa bekerja, boleh dikatakan pendapatan sebahagian besar ibu bapa di Malaysia hanyalah sekitar RM4,500 sebulan. Angka ini lebih rendah berbanding anggaran pendapatan penengah isi rumah di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sekitar RM5,209 sebulan yang turut mengambil kira-kira pindahan semasa seperti bantuan Kerajaan ataupun bantuan zakat yang berjumlah sekitar RM737 sebulan.\n\n\nPurata perbelanjaan di Malaysia mengikut struktur isi rumah\n\n\nPerkara ini semestinya memberi tekanan buat ibu bapa dalam membesarkan anak-anak. Kos susu formula premium sahaja boleh mencecah sehingga RM2,400 setahun ataupun sekitar RM200 sebulan. Belanja membeli lampin pakai buang pula dianggarkan sekitar RM70 sebulan. Kos terbesar, iaitu kos menghantar anak ke pusat asuhan dianggarkan sekitar RM600 sehingga RM1,200 sebulan.\n\n\nDengan pendapatan yang rata-rata rendah, ibu bapa terpaksa mencari jalan bagi menjimatkan perbelanjaan terhadap anak-anak. Menghantar anak ke pusat-pusat asuhan tidak berdaftar antara pilihan yang diambil mereka.\n\n\nWalaubagaimanapun, keputusan ini bukanlah sesuatu yang ideal buat ibu bapa. Namun, apa pilihan yang mereka ada? Pusat-pusat asuhan yang tidak berdaftar seperti ini pada kebiasaannya tidak mempunyai sistem pemantauan yang lengkap seperti CCTV, sekaligus membuka ruang kepada kes-kes penderaan terhadap kanak-kanak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengasuh yang berada di pusat asuhan tidak berdaftar (bahkan yang berdaftar) juga rata-ratanya tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam mengasuh kanak-kanak. Hakikatnya, kebanyakan pengasuh yang diambil tidak mempunyai sebarang kelayakan sewajarnya untuk mengasuh. Bagi meminimumkan kos, pengasuh dibayar pada paras gaji minimum dan adakalanya dibawah gaji minimum.\n\n\nStandard nisbah pengasuh dan kanak-kanak mengikut Jabatan Kebajikan Masyarakat\n\n\nNisbah seorang pengasuh terhadap kanak-kanak yang dijaga mereka juga tinggi sekaligus mewujudkan suasana yang tidak kondusif untuk kanak-kanak membesar. Mengikut Jabatan Kebajikan Malaysia, seorang pengasuh hanya dibenarkan menjaga sehingga tiga orang kanak-kanak jika mengasuh kanak-kanak pada julat usia sehingga satu tahun.\n\n\nBagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun pula, nisbah pengasuh kepada kanak-kanak adalah lima orang manakala untuk usia tiga hingga empat tahun adalah sebanyak 10 orang.\n\n\nKerajaan Perlu Fokus Perkembangan Awal Kanak-Kanak\n\n\nDi negara-negara maju, Kerajaan menyediakan liputan bantuan yang luas untuk membantu ibu bapa membesarkan anak-anak mereka. Di Australia umpamanya, Kerajaan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak sehingga 85% kepada keluarga berpendapatan rendah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi New Zealand pula Kerajaan menyediakan subsidi penjagaan kanak-kanak selama 50 jam seminggu pada kadar $5.69 sejam (bersamaan $284.50 seminggu).\n\n\nMalaysia secara khususnya tidak mempunyai bantuan tunai terhadap penjagaan kanak-kanak walaupun Kerajaan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikenali sebagai TASKA/TABIKA KEMAS dengan caj bulanan yang minimum.\n\n\nUsia awal kanak-kanak merupakan fasa penting yang memberi kesan jangka panjang buat kanak-kanak tersebut apabila menginjak dewasa. Asas-asas penting kesihatan, kognitif dan perkembagan kanak-kanak berlaku pada 1,000 hari pertama kanak-kanak tersebut. Kegagalan mewujudkan persekitaran tumbesaran yang selesa di awal usia kanak-kanak boleh menjejaskan masa depan mereka.\n\n\nKadar kesuburan di Malaysia menurun dari 4.9 bayi pada tahun 1970 kepada 1.7 bayi pada tahun 2021\n\n\nMenurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan di Malaysia telah menurun kepada 1.7 bayi bagi setiap wanita pada tahun 2021 berbanding 4.9 pada tahun 1970. Jika trend ini berterusan, ini bermaksud populasi rakyat Malaysia akan berkurang kerana jumlah kelahiran adalah lebih rendah berbanding kadar gantian sebanyak 2.1.\n\n\n*Kadar gantian diletakkan pada paras 2.1 bagi menggantikan ibu dan bapa (+2.0) manakala 0.1 lagi ditambah bagi mengambil kira situasi kelahiran mati (bayi meninggal dunia).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDengan bilangan kanak-kanak yang semakin berkurangan, Kerajaan boleh mempertimbangkan pelbagai inisiatif tambahan seperti bantuan tunai universal buat kanak-kanak dan program sarapan percuma untuk meringankan beban ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/biasiswastatus/", "title": "Biasiswa Sebagai Simbol Status", "body": "\n\nShare it\nDi kala muda\u2026. Mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan antara salah satu cita-cita setiap pelajar. Pada kebiasaannya, pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan meletakkan sasaran untuk meraih keputusan yang cemerlang agar dapat melepasi kelayakan yang ditetapkan untuk memohon biasiswa.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSeperti kebanyakan pelajar yang lain, biasiswa yang diidam-idamkankan sudah semestinya yang dapat menempatkan mereka ke universiti-universiti ternama di luar negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Kanada mahupun New Zealand.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAda juga sebilangan kecil pelajar yang mengharapkan untuk melanjutkan pengajian di negara-negara\u00a0 non E\nnglish-speaking countries\n seperti di Korea Selatan, Jepun, Perancis ataupun Jerman.\n\n\nBagi sebahagian besar pelajar, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah, biasiswa boleh diibaratkan sebagai satu tiket yang boleh membantu mereka mengejar cita-cita melanjutkan pengajian tinggi dek kerana kekangan kewangan yang dialami. Namun bagi sekumpulan pelajar yang lain, terutamanya mereka yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi, biasiswa tidaklah dipandang sebagai sebuah bantuan yang diperlukan mereka. Sebaliknya, biasiswa dianggap satu anugerah berprestij yang perlu diraih sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam akademik.\n\n\nMeraih biasiswa-biasiswa berprestij seperti biasiswa Yayasan Khazanah, Bank Negara ataupun Maybank merupakan pencapaian yang boleh dikatakan membanggakan buat mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya, adakah pelajar dari latar belakang status sosioekonomi (SES) yang tinggi wajar untuk bersaing dalam merebut bisiswa dengan pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik?\n\n\nMengulas isu ini, Puan Shakira Teh berpendapat tidak wajar untuk pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi untuk bersaing merebut biasiswa dengan pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, ujar beliau ketika diwawancara Ekonomi Rakyat pada 6 Mei lalu di Sasana Kijang.\n\n\nShakira yang merupakan seorang calon Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dari Institute of Education, University College London menjelaskan dari sudut definisinya, biasiswa merujuk kepada bantuan yang diberikan untuk membiayai kos pengajian bagi seseorang pelajar.\n\n\n\n\n\u201d Kalau kita tengok maksud biasiswa itu sendiri, ia bermaksud wang yang diberikan kepada pelajar untuk membiayai atau membantu pelajaran pelajar-pelajar tersebut. Maka, ia adalah sebuah bantuan. Jadi sewajarnya, diberikan kepada mereka yang memerlukan berbanding mereka yang layak \u201c\n\n\n\n\nBiasiswa Yang Dianugerahkan Secara Meritokrasi Banyak Memanfaatkan Pelajar Dari Keluarga Berpendapatan Tinggi\n\n\nShakira turut membuat analogi peruntukan perbelanjaan terhadap biasiswa yang berasaskan meritokrasi ini dengan perbelanjaan subsidi minyak yang mana banyak memberi manfaat kepada golongan-golongan berpendapatan tinggi. Fenomena sebegini sekaligus menyumbang kepada jurang kelas.\n\n\n\n\n\u201d Perbelanjaan untuk biasiswa ini pada saya sama dengan konsep dengan perbelanjaan subsidi minyak. Kalau kita tengok subsidi minyak di Malaysia ini, kebanyakannya diterima oleh golongan-golongan berpendapatan tinggi. Sama juga jika kita memberikan biasiswa secara meritokrasi, akhirnya kebanyakan pelajar yang akan menerima biasiswa adalah golongan pelajar-pelajar yang sudah pada asasnya mampu untuk membiayai pelajaran mereka sendiri di peringkat universiti. Ini juga menyumbang kepada jurang kelas \u201c\n\n\n\n\nDi Malaysia, statistik mengenai pecahan penerima biasiswa mengikut pendapatan amat terhad. Namun petikan kajian yang dibuat oleh Mehmet & Yip pada tahun 1985 menunjukkan 25.5% pelajar yang menerima biasiswa datang dari keluarga berpendapatan tinggi, iaitu isi rumah yang berpendapatan melebihi $1,000 sebulan meskipun saiz populasi keseluruhan kumpulan ini hanyalah 10.3%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nManakala hanya 12.3% penerima biasiswa datang dari keluarga berpendapatan rendah (kurang dari $300 sebulan), walaupun saiz populasi kumpulan ini hampir menyamai separuh (49.4%) populasi Malaysia pada ketika itu.\n\n\nTerdapat banyak kajian dari seluruh pelusuk dunia menunjukkan pelajar-pelajar yang datang dari keluarga berstatus sosioekonomi yang tinggi memperoleh banyak kelebihan berbanding pelajar-pelajar dari keluarga dengan status sosioekonomi yang rendah.\n\n\nNutrisi makanan yang berkhasiat, akses pendidikan di rumah serta kualiti sekolah yang baik merupakan antara faktor-faktor yang memberikan kelebihan kepada anak-anak keluarga berpendapatan tinggi dalam mencapai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka.\n\n\nSistem Meritokrasi Dikritik Kerana Mendorong Kepada Budaya Pentingkan Credentialism\n\n\nShakira menjelaskan bahawa sistem meritokrasi turut dikritik sebilangan pihak kerana ia terlalu memberi penekanan terhadap aspek \ncredentialism,\n yang membawa maksud kepercayaan atau kebergantungan terhadap prestasi akademik ataupun kelayakan yang dimiliki bagi mengukur tahap kebijaksanaan serta kemampuan seseorang itu dalam melakukan sesuatu pekerjaan.\n\n\n\n\n\u201d Bila ada sistem meritokrasi, salah satu kritikan adalah dia memberi penekanan terhadap \ncredentialism\n. Disebabkan itu, ia menerangkan sebab mengapa sedikit sebanyak ramai orang nakkan kelayakan tersebut. Jadi kelayakan \ncredentialism\n ini termasuklah sama ada kita pernah pergi ke sekolah berprestij atau sama ada kita penerima biasiswa ataupun sama ada kita belajar di universiti-universiti elit. Itu semua adalah hasil daripada masyarakat meritokrasi. \u201c\n\n\n\n\nSituasi ini sering berlaku terutamanya di alam pekerjaan. Di Amerika Syarikat misalnya, bank-bank pelaburan dilaporkan banyak mengambil graduan lepasan universiti-universiti elit bekerja bersama mereka. Menurut syarikat perundingan sumber manusia, SHL pada tahun 2021, 21.16% pekerja-pekerja Goldman Sachs di Amerika Syarikat merupakan graduan lepasan univeristi-universiti \nIvy League\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi Malaysia juga, ada sesetengah syarikat yang dikatakan memberi keutamaan kepada graduan-graduan luar negara, terutamanya dari universiti-universiti \nIvy League\n\u00a0dan \nRussel Group\n untuk bekerja bersama mereka.\n\n\nMengulas lanjut mengenai isu meritokrasi, Shakira walaubagaimanapun memahami mengapa sebilangan penaja, terutamanya penaja korporat, menekankan aspek meritokrasi di dalam pemberian biasiswa terhadap pelajar-pelajar yang ditaja mereka.\n\n\nMenurut beliau, sebilangan syarikat korporat menganugerahkan biasiswa agar dapat melahirkan pelapis-pelapis baru untuk menerajui organisasi mereka apabila tamat pengajian kelak. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pelapis-pelapis ini dipilih dari kalangan mereka yang terbaik mengikut sistem meritokrasi, jelas Shakira.\n\n\n\n\n\u201d Biasiswa-biasiswa ini tidak kiralah sama ada biasiswa Kerajaan ataupun biasiswa tajaan korporat, lazimnya digunakan sebagai satu alat pengurusan Sumber Manusia (HR). Jadi kalau di sektor korporat, memang biasanya selepas pelajar itu tamat belajar, mereka akan masuk dan bekerja dengan syarikat tersebut \u201c\n\n\n\n\nInternship\n/Latihan Industri Turut Menyumbang Kepada Ketidaksamaan\n\n\nKetika ditanya mengenai isu jurang ketidaksamaan dalam masyarakat di Malaysia, Shakira menjelaskan bahawa isu perpecahan kelas ini bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi juga di dalam peringkat \ninternship\n/latihan industri itu sendiri. Menurut beliau, kelebihan yang dimiliki dari sudut ekonomi dan geografi (tempat tinggal) akan menentukan sama ada seseorang pelajar itu berpeluang untuk mendapatkan internship ataupun tidak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Kebanyakan peluang-peluang (\ninternship\n/latihan industri) ini berada di bandar-bandar besar seperti di KL, Pulau Pinang, ataupun Johor. Jadi kita tahu secara amnya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar ini secara agregatnya lebih baik dari segi sosioekonominya berbanding mereka yang tinggal di luar bandar. \u201c\n\n\n\n\nBeliau juga memetik beberapa kajian yang meneliti pengalaman \ninternship\n yang dirasai pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di dalam institusi-insitusi pembelajaran bertaraf elit. Menurut Shakira, pengalaman \ninternship \nyang dialami oleh pelajar-pelajar ini adalah tidak serupa meskipun mereka berada di dalam institusi pembelajaran yang sama dengan pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi lebih tinggi.\n\n\n\n\n\u201d Di universiti yang berprestij itu sendiri, peluang latihan industri tidaklah sama rata kepada semua pelajar. Pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah seperti di Harvard misalnya, pada waktu cuti mereka perlu bekerja untuk membayar yuran-yuran pengajian. Kena balik tolong keluarga. Jadi peluang latihan industri (\nyang relevan dengan bidang mereka\n) itu tidak ada kepada mereka walaupun mereka sudah berada di dalam tempat-tempat pembelajaran yang elit\n\n\n\u201cAda buku oleh Anthony Jack yang menunjukkan memang kalau di dalam universiti berprestij di Amerika Syarikat, pengalaman yang dialami oleh pelajar-pelajar adalah berbeza. Dan apa yang membezakan adalah latar belakang sosioekonomi pelajar itu sendiri \u201c\n\n\n\n\nDi serata dunia, tempat dimana seseorang pelajar itu menjalankan latihan industri merupakan satu aspek penting yang akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap setelah tamat belajar. Perkara ini ditambah lagi dengan penggunaan Linkedin yang semakin meluas ketika ini.\n\n\nWalaubagaimanapun, fasa latihan industri yang perlu dilalui oleh pelajar-pelajar, terutamanya di Malaysia, bukanlah fasa yang mudah buat kebanyakan dari mereka. Hal ini kerana latihan industri yang dilaksanakan di negara ini secara amnya sering memberikan elaun yang rendah, malah kebanyakannya lebih rendah dari gaji minimum RM1,500.\n\n\nDalam keadaan yang lebih ekstrem, ada sesetengah pelajar yang terpaksa melalui fasa latihan industri tanpa mendapat sebarang elaun untuk menyara kehidupan mereka sepanjang tempoh latihan industri tersebut. Tiada apa-apa yang mampu dilakukan para pelajar ini kerana latihan industri merupakan salah satu prasyarat yang diwajibkan buat mereka untuk menamatkan pengajian.\n\n\nShakira yang ditanya lanjut mengenai isu ini berkata hak-hak pelajar yang menjalankan latihan industri perlu dilindungi dengan mewujudkan kontrak atau terma-terma rujukan (\nterm of reference\n) agar mereka tidak terdedah kepada eskploitasi yang tidak sepatutnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeliau juga berpendapat bahawa elaun minimum perlu diperkenalkan oleh Kerajaan agar kos-kos berkaitan, seperti perbelanjaaan pengangkutan, sewa bilik dan pelbagai kos sara hidup lain boleh dibiayai oleh pelajar itu sendiri sepanjang tempoh latihan industri.\n\n\n\n\n\u201d Perlu ada kontrak ataupun terma-terma rujukan (\nterm of reference\n) untuk setiap latihan industri yang dibuat oleh pelajar. Ada dua sebab kenapa perlu ada kontrak, pertama kita nak beri peluang yang sama kepada semua pelajar-pelajar universiti tanpa mengira latar belakang. Kedua, untuk mengelakkan sebarang eksploitasi\u2026\u2026 Kita tidak mahu pelajar dikerah kerja sampai lewat malam ataupun hujung minggu, ataupun melakukan kerja-kerja yang berisiko ataupun berbahaya. \u201c\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/bos-top-glove-lim-wee-chai-bakal-terima-rm707-juta-dividen-pada-23-mac-ini/", "title": "Bos Top Glove, Lim Wee Chai Bakal Terima RM707 Juta Dividen Pada 23 Mac ini", "body": "\n\nShare it\nKeuntungan Selepas Cukai Top Glove\n\n\nSyarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove mencatatkan keuntungan besar pada suku kedua bagi tahun kewangan 2021. Syarikat tersebut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.9 bilion, 24 kali ganda lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\nHasil Top Glove juga mencanak naik kepada RM5.3 bilion susulan permintaan luar biasa sarung tangan disebabkan pandemik Covid-19, meningkat lebih empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengasas Top Glove, Lim Wee Chai yang memegang 35% saham Top Glove dijangka bakal menerima dividen sebanyak RM707 juta pada 23 Mac ini setelah Top Glove mengisytiharkan dividen 25.2 sen sesaham.\n\n\nPada Disember lalu, beliau yang mempunyai kekayaan bernilai hampir RM15 bilion telah menerima dividen sebanyak RM460 juta. Ini bermaksud jumlah dalam tempoh enam bulan yang lepas, beliau menerima keseluruhan RM1.16 bilion pulangan dividen.\n\n\nTop Glove pada tahun kewangan ini diunjurkan meraih keuntungan sebanyak RM9.3 bilion, 455% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Pendapatan juga dianggarkan meningkat melebihi RM20 bilion pada tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTop Glove Belanja RM438 Juta Untuk Beli Balik Saham Syarikat Mereka\n\n\nBeli Balik Saham\n\n\nModal Pasaran syarikat ini kini bernilai RM41 bilion sekaligus meletakkan Top Glove sebagai syarikat ketujuh terbesar yang tersenarai di dalam Bursa Malaysia. Dalam kata lain, nilai pasaran Top Glove hampir menyamai nilai gabungan kedua-dua syarikat RHB Bank Berhad dan Genting Malaysia Berhad.\n\n\nSyarikat ini juga telah menjalankan operasi membeli balik saham dengan aktif apabila membeli balik saham Top Glove kira-kira sebanyak RM438 juta sejak 20 November tahun lalu. Ini bermaksud Top Glove kini memegang saham syarikat mereka sebanyak 202 juta unit ataupun bersamaan RM1.1 bilion setelah berbelanja ratusan juta ringgit untuk aktiviti membeli balik saham tahun lepas.\n\n\nAktiviti membeli balik saham oleh syarikat yang tersenarai sering dikritik kerana langkah tersebut dianggap sebagai kurang produktif berbanding membuat pelaburan ataupun meningkatkan gaji pekerja.\n\n\nLim Wee Chai Terima RM1.167 Bilion Dividen Dalam Tempoh Kurang Enam Bulan\n\n\nTop Glove sebelum ini dilanda pelbagai kontroversi apabila lebih 5,000 orang disahkan positif Covid-19 yang berpunca dari kluster Teratai. Selain itu, pentadbiran Amerika Syarikat juga melarang dua anak syarikat Top Glove untuk mengimport barangannya masuk ke AS atas dakwaan layanan buruk terhadap pekerja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat-syarikat pengeluar sarung tangan yang meraih durian runtuh gara-gara krisis kesihatan ini juga menjadi sasaran beberapa pihak untuk mengenakan cukai durian runtuh susulan keuntungan besar yang dinikmati mereka.\n\n\nDua minggu lalu, laporan Nikkei Asia menyatakan bahawa Top Glove berminat untuk menyenaraikan saham syarikat teresbut di Hong Kong meskipun proses vaksinasi sedang berlangsung. Menurut Top Glove, mereka positif terhadap prospek pasca-Covid dan berharap dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/covid-19-buktikan-pasaran-saham-tidak-cerminkan-realiti-ekonomi/", "title": "Covid-19 Buktikan Pasaran Saham Tidak Cerminkan Realiti Ekonomi", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPasaran saham sering kali menjadi indikator bagi sesetengah pihak untuk mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara. Indeks Bursa Malaysia yang menjunam sejurus Pakatan Harapan mengambilalih Putrajaya menjadi \u2018peluru\u2019 buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam mengkritik pentadbiran PH.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut beliau di dalam hantaran Facebooknya, pasaran saham Malaysia telah merekodkan \ntrend\n menaik sejak tahun 2009 menjadikan Bursa Malaysia sebagai \u201d \nthe world\u2019s longest bull run\n \u201c.\u00a0 Indeks Bursa Malaysia telah naik dari sekitar 900 mata pada tahun 2009 kepada hampir 1,900 mata pada April 2018 dengan jumlah nilai pasaran sekitar RM1.9 trilion.\n\n\nBursa Malaysia mula menjunam dari sekitar 1,850 mata pada Mei 2018 kepada 1,588 mata pada penghujung tahun 2019. Kejatuhan Indeks Bursa Malaysia sebanyak 14% ini menjadi keluhan ramai pihak apabila ia telah menjejaskan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Bumiputera mereka. Parti-parti pembangkang menjadikan isu ini sebagai modal dalam mengkritik kerajaan dalam menguruskan ekonomi ketika itu.\n\n\nKWSP masing-masing mencatatkan dividen sebanyak 6.15% dan 5.45% pada tahun 2018 dan 2019. Pulangan ini jauh lebih rendah berbanding dividen 6.90% yang diagihkan pada tahun 2017. Manakala ASB pula mengagihkan dividen dan bonus sebanyak 7.0% pada 2018 dan 5.50% pada tahun 2019.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun 2020, ASB mengumumkan pengagihan dividen terendah di dalam sejarah dengan hanya 4.25%. Sempena ulangtahun ke-30 ASB, agihan ehsan diberikan sebanyak 0.75% kepada 30,000 unit pertama buat penyimpan ASB.\n\n\n\n\nNamun begitu, tatkala ratusan ribu pekerja terjejas dengan krisis Covid-19, pedagang-pedagang saham mula berkongsi keuntungan yang dibuat mereka di media-media sosial. Saham-saham syarikat sarung tangan seperti Top Glove, Supermax dan HartaLega menjadi lubuk mereka membuat duit.\n\n\nFenomena yang disebut \nGlovemania\n ini memberi impak yang besar buat pasaran saham kita. Pada Oktober lalu, Top Glove dan HartaLega mempunyai modal pasaran setinggi RM77 bilion dan RM62 bilion. Modal pasaran mereka jauh lebih tinggi berbanding Tenaga Nasional yang merupakan satu-satunya pengeluar tenaga di Malaysia dengan modal pasaran sebanyak RM57.5 bilion.\n\n\nKrisis Covid-19 telah mengakibatkan Bursa Malaysia turun ke paras terendah pada Mac 2020 kepada 1,200 mata yang menyaksikan penurunan indeks sebanyak 25% berbanding awal tahun 2020. Namun begitu, pasaran mula rancak selepas itu dan sehingga kini, indeks Bursa Malaysia telah naik 33% dan telah kembali ke paras sebelum krisis.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKenaikkan pasaran saham ini juga seiring dengan peningkatan kes Covid baru di Malaysia.\n\n\n\n\nDalam masa yang sama, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan ekonomi kekal suram. Pada suku kedua tahun ini, ekonomi menguncup 17.1% berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala pada suku ketiga pula KDNK jatuh 2.7%.\n\n\nNamun berita-berita kurang enak ini langsung tidak mengakibatkan pasaran saham jatuh.\n\n\nFenomena ini tidak hanya berlaku di Malaysia. Bahkan di Amerika Syarikat, Indeks Standard & Poor 500 ( S&P 500 ) telah naik ke paras tertinggi sepanjang zaman dengan kini berada pada 3,735 mata. Berbanding paras terendah pada Mac lalu, indeks ini telah meningkat 66% tatkala lebih 11 juta orang dilaporkan menganggur di Amerika Syarikat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBilionair-bilionair seperti Jeff Bezos dan Elon Musk turut mencatatkan peningkatan di dalam kekayaan mereka. Kekayaan Elon Musk sebagai contoh telah meningkat dari $20 bilion pada penghujung tahun 2019 kepada kira-kira $147 bilion pada Disember 2020 manakala kekayaan Jeff Bezos pula meningkat dari $114 bilion kepada $191 bilion dalam tempoh yang sama.\n\n\nYang Kaya Semakin Kaya\n\n\n\n\nDi Amerika Syarikat, data yang dikeluarkan oleh Federal Reserve menunjukkan golongan elit Tertinggi 1% mendominasi pasaran ekuiti dengan aset bernilai $15.9 trilion. Manakala kumpulan Terbawah 50% pula hanya mempunyai $0.18 trilion aset di dalam pasaran ekuiti berdasarkan data suku ketiga tahun ini.\n\n\nDalam erti kata lain, golongan Tertinggi 1% di Amerika Syarikat mengawal 50% pasaran ekuiti berbanding Terbawah 50% pula hanya mempunyai 0.6% pegangan di dalam pasaran ekuiti.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun di Malaysia kita tidak mempunyai data seperti ini. Namun data yang dikeluarkan ASB dan KWSP boleh dijadikan sebagai proksi bagi menunjukkan bahawa hanya golongan berada saja yang meraih manfaat daripada kenaikkan pasaran saham ini. ASB sebagai contoh pada tahun 2018 melabur sekitar 74% dari keseluruhan aset mereka di pasaran ekuiti manakala KWSP pula melabur 39% di dalam pasaran ekuiti berdasarkan data terbaru mereka.\n\n\n\n\nLaporan Tahunan ASB pada tahun 2018 menunjukkan bahawa 7.7 juta pemegang akaun ASB hanya mempunyai purata RM553 di dalam akaun mereka. Ini bermaksud jika mereka memperoleh dividen untuk tahun 2020, mereka hanya meraih dividen sebanyak RM28.\n\n\nManakala terdapat 23,304 orang pemegang akaun ASB ataupun bersamaan dengan 0.24% dari keseluruhan penyimpan mempunyai simpanan sebanyak RM798,434. Dalam kata lain, jika tahun ini mereka menerima dividen ASB, mereka memperoleh sekurang-kurangnya RM33,900.\n\n\nTidak sampai 10% daripada keseluruhan 10 juta penyimpan ASB mempunyai lebih dari RM50,000 simpanan di ASB.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi KWSP, golongan Terbawah 10% hanya mempunyai kira-kira RM1,062 purata simpanan di dalam akaun persaraan mereka. Sementara itu, golongan Tertinggi 10% mempunyai simpanan 388 kali lebih besar dengan purata simpanan RM421,961.\n\n\n\n\nKiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan simpanan KWSP mempunyai pekali Gini setinggi 0.646. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding pekali Gini untuk jurang pendapatan yang berada pada paras 0.407.\n\n\nJurang Ketidaksamaan Akan Semakin Melebar Selepas Covid-19\n\n\nJurang Ketidaksamaan diantara golongan kaya dan golongan miskin bakal melebar selepas krisis Covid-19 ini berakhir. Langkah-langkah pencegahan Covid seperti perintah kawalan pergerakan telah memberi impak yang besar kepada golongan bawahan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIndividu seperti Mak Cik Kiah yang menjual nasi lemak di hadapan rumah mengalami kekurangan pendapatan kerana orang ramai tidak keluar rumah. \nBartender\n di hotel-hotel terkemuka pula kehilangan pekerjaan kerana hotel tidak menerima pelancong-pelancong luar.\n\n\nManakala mereka yang berkemahiran tinggi seperti eksekutif pula kurang terkesan dengan krisis ini. Kebanyakkan mereka mampu untuk bekerja dari rumah.\n\n\n\n\nData yang dikeluarkan oleh Bloomberg menunjukkan kekayaan golongan bilionair di Malaysia telah kembali pulih seperti keadaan sebelum Covid. Laporan The Malaysian Reserve beberapa hari lalu juga menunjukkan golongan elit di Malaysia seolah-olah kebal dari sebarang krisis apabila jumlah kapal terbang peribadi yang dijual pada tahun 2020 telah meningkat 100% kepada empat unit berbanding dua unit pada tahun 2019.\n\n\nCovid-19 juga mengajar kita pasaran saham bukanlah petunjuk yang baik untuk menilai prestasi ekonomi sesebuah negara. Bak kata pepatah Orang Putih, \u201c\n The Stock Market Is Not The Economy\n \u201c. Hanya segelintir individu yang sudah kaya saja yang berjaya meraih keuntungan dari pasaran ekuiti ini ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSementara itu, golongan marhaen di Malaysia terpaksa mengikat perut dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Bahkan, wang simpanan persaraan mereka di hari tua juga terpaksa dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan mereka ketika ini.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/cukai-kekayaan-bakal-jana-3-trilion-kepada-pentadbiran-amerika-syarikat/", "title": "Cukai Kekayaan Bakal Jana $3 Trilion Kepada Pentadbiran Amerika Syarikat", "body": "\n\nShare it\nAnggaran Cukai Yang Bakal Dikutip Dari Golongan Kaya\n\n\nCubaan terbaru Senator Elizabeth Warren dari Massachusetts yang mewakili Demokrat untuk mengusulkan Rang Undang-undang bagi mencukaikan golongan kaya di Amerika Syarikat kini semakin popular dalam kalangan rakyat Amerika.\n\n\n\n\n\n\n\n\nCadangan ini turut memberikan reaksi yang positif dalam kalangan penyokong Republikan setelah hampir 10 juta orang di Amerika Syarikat kehilangan pekerjaan akibat pandemik Coronavirus. Tinjauan Hill-HarissX menunjukkan lebih dua per tiga responden di sana bersetuju agar bilionair dikenakan cukai kekayaan bagi mengurangkan ketidaksamaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAhli ekonomi dari University of California Berkeley, Emmanuel Saez dan Gabriel Zucman di dalam suratnya kepada Senator Elizabeth Warren menganggarkan $3 trilion bakal dijana oleh Pentadbiran Amerika Syarikat dalam tempoh 10 tahun melalui cukai kekayaan.\n\n\nCukai sebanyak 2% dirancang untuk dikenakan kepada mereka yang mempunyai kekayaan melebihi $50 juta manakala tambahan 1% cukai kepada individu yang mempunyai kekayaan melebihi $1 bilion.\n\n\nMenurut kedua-dua ahli akademik ini, sebanyak 100,000 keluarga di Amerika Syarikat bakal dicukaikan jika usul ini diluluskan. Anggaran sebanyak $250 bilion ataupun sekitar 1% dari keseluruhan ekonomi Amerika bakal dikutip oleh kerajaan secara tahunan pada tahun-tahun awal cukai ini diperkenalkan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKekayaan Kumpulan Terkaya 0.1% Meningkat Manakala Kekayaan Kumpulan 90% Semakin Rendah\n\n\nKetidaksamaan kekayaan di Amerika Syarikat semakin melebar sejak tahun 70-an. Kekayaan golongan terkaya 0.1% meningkat dari sekitar 7% pada tahun 70-an kepada sekitar 20% dari keseluruhan kekayaan isi rumah belakangan ini manakala kekayaan kumpulan terbawah 90% telah jatuh dari 35% pada tahun 80-an kepada 25% pada hari ini.\n\n\nKajian Saez, Zucman dan Piketty pada tahun tahun 2018 menunjukkan beban cukai golongan terkaya 0.1% ini hanyalah 3.2% daripada keseluruhan kekayaan mereka. Angka ini lebih rendah berbanding beban cukai kumpulan 99% terbawah dimana jumlah beban cukai mereka berada di paras 7.2%. Dalam kata lain, golongan terkaya di Amerika Syarikat secara relatifnya membayar cukai yang lebih rendah berbanding kumpulan lain.\n\n\nBeban cukai yang rendah dalam kalangan kumpulan terkaya ini disebabkan sistem cukai bersifat regresif dimana kebanyakkan cukai dikenakan terhadap pendapatan buruh seperti gaji dari aktiviti bekerja.\n\n\nManakala bagi kumpulan terkaya, pendapatan yang diraih mereka adalah daripada kekayaan atau aset mereka seperti pulangan dividen dari pasaran saham yang mana tidak dicukaikan oleh kerajaan. Pengenalan cukai kekayaan di Amerika Syarikat dijangka akan meningkatkan beban cukai kumpulan terkaya dari 3.2% kepada 4.3% berbanding kekayaan mereka.\n\n\nJumlah Kekayaan 400 Orang Terkaya di Amerika Syarikat Melangkaui 20% Berbanding Jumlah Pendapatan Negara AS\n\n\nIdea-idea ekonomi berhaluan kiri kini semakin mendapat tempat di Amerika Syarikat setelah Joe Biden berjaya menewaskan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pro golongan kaya. Demokrat juga kini dalam usaha untuk meningkatkan gaji minimum di seluruh Amerika Syarikat kepada $15 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk perkembangan terkini di \nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/cuti-bersalin-98-hari-rahmat-atau-musibat/", "title": "Cuti Bersalin 98 Hari: Rahmat atau Musibat?", "body": "\n\nShare it\nKadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita di Malaysia Hanya Pada Kadar 55.5%\n\n\nTidak dapat disangkal, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi memasuki era moden pada masa kini kini. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, wanita sering ditugaskan bagi mengurus hal-hal domestik di rumah seperti menjaga anak, memasak dan mengemas rumah. Sementara itu, lelaki pula berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak di rumah. Namun begitu, peranan wanita yang tertumpu kepada hanya kerja-kerja domestik semata-mata lama-kelamaan telah berkurangan apabila semakin ramai wanita yang memasuki pasaran buruh di serata dunia.\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi Malaysia misalnya, terdapat 5.9 juta pekerja wanita pada tahun 2021, berbanding hanya 1.8 juta pekerja wanita yang direkodkan pada tahun 1982. Walaupun secara mata kasarnya nampak seolah-olah semakin ramai wanita yang sedang bekerja dalam pasaran buruh negara ketika ini, hakikatnya kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) wanita adalah begitu rendah sekali. Sebagai perbandingan, LFPR lelaki adalah setinggi 80.9% pada tahun 2021, jika dibandingkan dengan hanya 55.5% bagi wanita. Angka ini jika ditafsirkan bererti bahawa daripada keseluruhan penduduk wanita yang berada dalam kategori umur bekerja (15-64 tahun), hanya 55.5% sahaja yang benar-benar menyertai pasaran buruh secara aktif.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa yang lebih membimbangkan, trend LFPR wanita di Malaysia seakan-akan tidak berganjak sedikit pun apabila angka itu kekal rendah sejak tahun 1980an lagi. Jika LFPR wanita dicatatkan sebanyak 55.5% pada tahun 2021, angka yang dicatatkan pada tahun 1982 ialah sebanyak 44.5%. Sebagai perbandingan antara jantina, LFPR lelaki di Malaysia kekal konsisten dalam lingkungan 80% antara tempoh 1982 hingga 2021.\n\n\nKadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita di Malaysia antara yang terendah di ASEAN\n\n\nLFPR wanita di Malaysia juga merupakan antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN seperti Singapura (59%), Thailand (59%), Vietnam (70%), Kemboja (74%) dan Laos (75%), menurut data Bank Dunia.\n\n\nMelihatkan kepada statistik-statistik di atas, sudah tentu timbul persoalan apakah yang berlaku dalam pasaran buruh negara sehingga menyebabkan wanita sukar untuk menembusi pasaran buruh di Malaysia. Adakah disebabkan faktor individu seperti wanita sendiri yang kurang berminat untuk bekerja? Ataupun terdapat faktor struktural dalam pasaran buruh seperti diskriminasi majikan yang lebih cenderung untuk memilih pekerja lelaki, ditambah dengan suasana pekerjaan yang tidak menyokong wanita kekal bekerja untuk tempoh jangka masa panjang?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHal ini kerana apa yang lebih mengejutkan, ramai wanita sebenarnya memasuki alam pekerjaan sejurus tamat pengajian di institusi pengajian tinggi, namun terpaksa keluar beberapa tahun kemudiannya akibat komitmen keluarga yang semakin bertambah. Sekiranya diteliti dalam statistik Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah graduan wanita tempatan (177,781) sebenarnya lebih ramai berbanding graduan lelaki tempatan (140,253 ).\n\n\nJika dilihat dalam statistik Laporan Survei Tenaga Buruh 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, terdapat 1.12 juta pekerja wanita, atau mewakili 43% daripada keseluruhan pekerja dalam lingkungan umur 25-29 tahun. Walaubagaimanapun, jumlah pekerja wanita jatuh kepada hanya 894.1 ribu, atau 39% sahaja daripada keseluruhan pekerja berumur 30-34 tahun.\n\n\nPeratusan wanita bekerja menurun tatkala umur meningkat\n\n\nAnalisis lebih mendalam juga mendapati perbezaan nisbah guna tenaga kepada penduduk adalah sebanyak 13.4% antara lelaki (87.1%) dan perempuan (73.7%) bagi kategori umur 25-29 tahun. Namun memasuki kategori umur 30-34 tahun, perbezaan itu meningkat dua kali ganda kepada 26.7% antara lelaki (91.1%) dan perempuan (64.4%). Angka ini bermaksud daripada keseluruhan penduduk wanita yang berumur antara 30-34 tahun di Malaysia, hanya 64.4% sahaja yang kekal bekerja. Di saat semakin ramai golongan lelaki yang memasuki pasaran buruh selaras dengan peningkatan umur, lain pula ceritanya buat golongan wanita di negara ini.\n\n\nDalam masa yang sama, purata umur seorang ibu ketika melahirkan anak yang pertama di Malaysia ialah 28 tahun. Maka tidak menghairankan apabila memasuki umur 30an, komitmen keluarga mereka semakin bertambah kerana mungkin ketika itu para ibu sudah mendapat anak yang kedua pula.\n\n\nHampir 3.1 juta wanita tidak bekerja, beri komitmen terhadap tanggungjawab keluarga\n\n\nDalam laporan yang sama, hampir 3.1 juta atau 6 daripada 10 wanita memberi alasan \u2018kerja rumah/tanggungjawab keluarga\u2019 sebagai alasan mereka tidak berpeluang untuk turut serta dalam pasaran buruh.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nData itu turut diperkuatkan lagi apabila daripada hampir 800.6 ribu penduduk luar tenaga buruh yang pernah mempunyai pengalaman kerja, 64% atau 508.4 ribu daripadanya terdiri dalam kalangan wanita.\n\n\nBaru-baru ini, Kerajaan telah meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 di Parlimen. Antara pindaan yang paling mencuri tumpuan ialah cuti bersalin yang dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, berkuatkuasa 1 Januari 2023. Pindaan akta itu adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Maternity Protection Convention, 2000 (No. 183) yang menetapkan tempoh cuti tidak kurang daripada 14 minggu (98 hari).\n\n\nPindaan tersebut rata-rata mendapat reaksi positif, terutamanya dalam kalangan pekerja wanita di negara ini yang merasa lega kerana dapat bercuti lebih lama sekiranya mengandung. Pindaan tersebut juga memberi peluang kepada pekerja wanita yang mengandung untuk menerima elaun bersalin daripada majikan sepanjang tempoh cuti 98 hari tersebut, tanpa mengira had gaji. Jika sebelum ini, pekerja wanita terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sekiranya mereka mahu mengambil cuti tambahan selepas 60 hari yang diperuntukkan tersebut.\n\n\nKeberadaan sang ibu di usia awal kanak-kanak merupakan detik penting buat kedua-dua ibu bapa yang melalui fasa baru alam kehidupan mereka. Cuti bersalin yang lebih lama memberikan peluang untuk ibu yang baru mendapatkan cahaya mata untuk beradaptasi dengan kehidupan yang baru sebelum kembali bekerja.\n\n\nDari sudut kesihatan juga, kajian mendapati bahawa tempoh cuti bersalin yang lebih lama memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal kepada kedua ibu dan anak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun disebalik reaksi positif pelbagai pihak, terdapat beberapa kerisauan timbul berkaitan pelaksanaan pindaan cuti bersalin ini, terutamanya terhadap masa hadapan pekerja wanita di Malaysia.\n\n\nBeban Kepada Para Majikan\n\n\nPertambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari berpotensi memberi kesan negatif buat para majikan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Hal ini kerana pertambahan cuti bersalin itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos membayar elaun sepanjang cuti bersalin 98 hari tersebut, berbanding 60 hari sebelum ini. Dalam tempoh tersebut, produktiviti serta pengeluaran syarikat juga berisiko terganggu dengan ketidakhadiran pekerja wanita tersebut sepanjang tempoh cuti yang dilanjutkan kepada 98 hari tersebut.\n\n\nMemburukkan Lagi Diskriminasi Terhadap Pekerja Wanita\n\n\nApa yang lebih merisaukan, para majikan dikhuatiri akan cenderung untuk mengamalkan diskriminasi dengan melantik pekerja lelaki berbanding pekerja wanita kerana tidak mahu menanggung kos elaun bersalin serta ketidakhadiran pekerja untuk tempoh berbulan-bulan lamanya. Bahkan sebelum pindaan Akta Kerja 1955 ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada awal tahun ini, terdapat desakan-desakan daripada pihak industri yang berulang kali meminta Kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan ini yang sepatutnya sudah dijalankan lebih awal pada 1 September 2022.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun 2021, terdapat hampir 3.5 juta pekerja wanita yang sudah berkahwin di negara ini. Maka jika pertambahan cuti bersalin ini menyebabkan majikan akan membuat diskriminasi terhadap pekerja wanita, terutamanya yang sudah pun berkahwin atau akan berkahwin tidak lama lagi, sudah tentu perkara ini tidak bagus untuk masa depan golongan wanita di negara ini.\n\n\nSubsidi Gaji dan Pelepasan Cukai bagi Kurangkan Beban Majikan\n\n\nTerdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan bagi mengurangkan beban para majikan dalam menanggung kos sepanjang cuti bersalin ini.\n\n\nPertama, Kerajaan boleh memberikan insentif subsidi gaji untuk membantu majikan-majikan membayar elaun bersalin kepada pekerja wanita mereka yang mengandung. Pendekatan sebegini sudah pun dijalankan di negara jiran, Singapura menerusi skim Government-Paid Maternity Leave (GPML). Di Singapura, pekerja wanita yang sedang mengandung layak untuk menerima cuti bersalin sebanyak 16 minggu, atau sebanyak 112 hari. Sepanjang cuti bersalin 16 minggu tersebut, majikan akan membayar gaji pekerja (elaun bersalin) tersebut seperti biasa. Namun, mereka boleh menebusnya kepada pihak Kerajaan bergantung kepada kategori kelahiran bayi.\n\n\nBagi bayi pertama sehingga bayi kedua, majikan akan membayar separuh atau lapan minggu pertama elaun bersalin pekerja. Pihak Kerajaan akan membantu majikan dengan membayar separuh lagi atau lapan minggu terakhir elaun bersalin pekerja tersebut. Manakala untuk bayi ketiga dan seterusnya, Kerajaan akan menanggung keseluruhan kos elaun cuti bersalin sepanjang tempoh 16 minggu. Lebih menarik, skim ini terpakai bukan sahaja kepada para pekerja, tetapi juga buat mereka yang bekerja sendiri, dengan syarat mereka sudah bekerja sendiri tidak kurang dari tempoh tiga bulan berturut-turut serta kehilangan pendapatan akibat cuti bersalin.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInsentif sebegini juga boleh dilaksanakan secara bersasar hanya kepada syarikat-syarikat PMKS sahaja sekiranya Kerajaan rasa terbeban untuk menanggung kos elaun cuti bersalin bagi semua syarikat di Malaysia. Di UK misalnya, elaun cuti bersalin menjadi tanggungjawab sepenuhnya para majikan. Namun begitu, Kerajaan UK memberikan insentif penebusan antara 92%-103% kos elaun cuti bersalin yang ditanggung oleh syarikat-syarikat kecil, sederhana dan besar.\n\n\nKedua, pihak Kerajaan juga boleh membantu dengan memberikan pelepasan cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja mereka yang ketika tempoh cuti bersalin. Pelepasan cukai ini sedikit sebanyak akan membantu syarikat-syarikat mengurangkan beban kos yang ditanggung mereka. Di US contohnya, majikan yang memberikan cuti bergaji kepada pekerja yang melahirkan anak layak untuk mendapatkan pelepasan cukai setinggi 25% bagi tempoh cuti sehingga 12 minggu.\n\n\nMenuju Masa Hadapan yang Lebih Cerah Buat Pekerja Wanita\n\n\nRancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) menyasarkan LFPR wanita sebanyak 56.4% pada tahun 2020. Namun, LFPR wanita hanya berjaya mencatatkan angka sebanyak 55.5% pada tahun 2020. Mungkin ada yang berhujah pandemik COVID-19 menyebabkan sasaran itu gagal dicapai. Namun hakikatnya, LFPR wanita di Malaysia langsung tidak pernah melebihi paras 56% sekali pun dalam sejarah. Sebuah sasaran baharu telah diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang menyasarkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh setinggi 59% menjelang 2025. Secara jujurnya, boleh dikatakan sasaran yang ditetapkan ini bersifat \u2018play-safe\u2019 kerana 59% itu begitu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Bahkan pada tahun 2025 nanti mungkin mereka sudah jauh meninggalkan kita.\n\n\nMelihat kepada situasi ini, pembuat dasar perlu lebih agresif dalam merangka polisi yang menyeluruh bagi memastikan tenaga kerja wanita dapat terus menyumbang kepada keseluruhan sistem ekonomi dan kekeluargaan kelak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNaratif perbincangan isu-isu seperti ini harus berganjak dari hanya mengukur kesan wang Ringgit seperti yang acap kali dimainkan oleh pihak majikan namun perlu mengambil kira kesan tidak langsung terhadap institusi kekeluargaan itu sendiri.\n\n\nSekiranya pembuat dasar dan pemain industri gagal bekerjasama dalam mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih terbuka dan menyokong golongan wanita, maka kita akan mengalami kerugian besar kerana potensi wanita-wanita ini tidak dapat dimanfaatkan.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/dasar-penswastaan-tingkatkan-ekuiti-bumiputera-namun-sangat-dicemari-politik-dr-lee-hwok-aun/", "title": "\u201d Dasar Penswastaan Tingkatkan Ekuiti Bumiputera, Namun Sangat Dicemari Politik \u201d \u2013 Dr Lee Hwok Aun", "body": "\n\nShare it\nPemilikan Ekuiti Bumiputera di Malaysia Semakin Jatuh \u2013 Grafik oleh Wawasan Kemakmuran Bersama 2030\n\n\nFelo Kanan Institut Penyelidikan Asia Tenggara, Dr Lee Hwok Aun berpendapat bahawa dasar penswastaan yang dijalankan pada era pemerintahan Perdana Menteri keempat telah meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, namun hanya memanfaatkan segelintir pihak yang berpengararuh.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeliau yang ditemubual melalui e-mel turut menyatakan bahawa peningkatan ekuiti Bumiputera dari 12.5% pada tahun 1980 kepada lebih 19% pada tahun 90-an turut disumbangkan oleh kewujudan skim pelaburan Amanah Saham Bumiputera yang membantu menguruskan pelaburan Bumiputera.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Kesan dasar penswastaan amat ketara, di mana ekuiti Bumiputera meningkat pada tahun 90-an. Saya rasa penubuhan Amanah Saham Bumiputera juga telah menyumbang kepada hasil tersebut. Penswastaan telah diketengahkan sebagai teras projek Masyarakat Industri dan Komersial Bumiputera (BCIC, Bumiputera Commercial and Industrial Community), yang bertujuan mengagihkan semula ekuiti dan juga menubuhkan kapitalis Bumiputera untuk mengetuai syarikat-syarikat yang diswastakan.\n\n\nKebanyakan syarikat dan kapitalis itu tenggelam akibat krisis ekonomi 1997-1998. Dasar penswastaan gagal mencapai matlamatnya. Ia juga sangat dicemari politik, di mana manfaat diperuntukkan berdasarkan pengaruh atau pertalian politik, bukan keupayaan atau pengalaman. \u201c\n\n\n\n\nSelain itu, Dr Lee turut mengkritik obsesi sebilangan pihak yang terlalu menekankan terhadap sasaran 30% pemilikan ekuiti ketika berbicara mengenai Dasar Ekonomi Baru. Menurut beliau, penekanan yang terlalu tinggi terhadap pemilikan ekuiti telah memesongkan polisi ke arah keuntungan jangka pendek sekaligus gagal meningkatkan keupayaan dan daya saing Bumiputera.\n\n\n\n\nPada masa yang sama, kita juga perlu menghentikan tabiat pemikiran yang terlalu memusatkan pemilikan ekuiti di dalam dasar awam, khususnya dasar pembangunan Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru kerapnya disamakan dengan sasaran 30% ekuiti Bumiputera yang merupakan hanya salah satu daripada pelbagai objektif DEB. Penerusan DEB dijustifikasikan atas sebab masyarakat Bumiputera belum mencapai 30%.\n\n\nWalaupun pemilikan saham sememangnya penting, tetapi penekanan yang melampau akan memesongkan polisi ke arah keuntungan jangka pendek sekaligus kurang meningkatkan keupayaan dan daya saing Bumiputera.\n\n\nDEB pada asalnya telah menyarankan agar dasar pembangunan Bumiputera, atau tindakan afirmatif (\naffirmative action\n), yang lebih meluas, yang bertunjangkan perkongsian ekonomi penuh (\nfull economic partnership\n) Bumiputera.\n\n\nHasrat ini sewajarnya merangkumi penyertaan dan pencapaian Bumiputera di arena pendidikan tinggi, pekerjaan kemahiran tinggi khususnya professional dan pengurusan, keusahawanan (termasuk PKS dan syarikat besar/korporat), dan pemilikan kekayaan (termasuk ekuiti).\n\n\n\n\n88% Perusahaan PKS Bumiputera Berada di Dalam Kategori Mikro\n\n\nBeliau turut mencadangkan agar penekanan terhadap penyertaan Bumiputera di dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ( PMKS ) diberi keutamaan. Hal ini kerana statistik menunjukkan bahawa penyertaan Bumiputera di dalam sektor PMKS lebih tertumpu di dalam kategori mikro iaitu perusahaan yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang.\n\n\nData yang dikongsikan menunjukkan pemilikan Bumiputera di dalam keseluruhan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana hanyalah 38% meskipun hampir 70% penduduk di negara ini merupakan Bumiputera.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n88% perusahaan yang dimiliki oleh Bumiputera juga adalah perusahaan Mikro manakala 11% lagi diklasifikasikan sebagai perusahaan kecil dan hanya 1% berada di dalam kategori perusahaan bersaiz sederhana.\n\n\nBerbeza dengan pemilikan bukan Bumiputera dimana hanya 69% berada di dalam kategori perusahaan mikro manakala terdapat 28% dan 3% berada di dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana.\n\n\n\n\n\u201d Saya rasa amat wajar indikator PKS Bumiputera \u2013 dari segi pecahan mikro/kecil/sederhana, serta prestasi PKS \u2013 diketengahkan supaya dasar-dasar digemblengkan menujui objektif-objektif ini yang lebih produktif dan kurang berunsurkan kemewahan segera atau keuntungan jangka pendek. \u201d tambah beliau lagi\n\n\n\n\nKetika ditanya sama ada dasar afirmatif perlu diteruskan ataupun tidak. Beliau berpendapat bahawa dasar afirmatif akan berterusan dan tidak wajar dihentikan serta merta. Dr Lee turut berharap agar terdapat perubahan di dalam menjalankan dasar ini agar fungsi dan skop dapat diteliti kerberkesanannya.\n\n\n\n\n\u201d Dasar tindakan afirmatif sememangnya akan berterusan, ia tidak boleh dan tidak wajar dihentikan serta merta. Tetapi penerusan dasar ini perlu dihujahkan secara lebih bernas dan menyeluruh. Penerusan tidak bermaksud tiada perubahan. Malah, dasar ini mesti ditambahbaik dan diubah, bersesuaian dengan matlamat muktamadnya, iaitu peningkatan keupayaan dan daya saing Bumiputera, dan pengagihan manfaat yang saksama di dalam masyarakat Bumiputera. \u201c\n\n\n\n\nHentikan Obsesi Terhadap Pemilikan Ekuiti 30%\n\n\nDr Lee Hwok Aun merupakan ahli ekonomi yang mempunyai kepakaran luas di dalam isu ketidaksamaan dan tindakan afirmatif. Beliau meraih ijazah sarjana muda Ekonomi dari University of British Colombia dan menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di School of Oriental and African Studies di dalam bidang Pembangunan Ekonomi Politik.\n\n\nDr Lee turut mempunyai PhD Ekonomi dari University of Massachussets dan baru menerbitkan buku bertajuk \nAffirmative Action in Malaysia and South Africa, Preference for Parity\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nArtikel bahagian pertama : \nPemilikan Ekuiti Bumiputera Semakin Rendah, Hanya Tinggal 16.2%\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/disebalik-cukai-ada-ketirisan/", "title": "Disebalik Cukai, Ada Ketirisan", "body": "\n\nShare it\nHasil Kerajaan Berbanding Saiz Ekonomi Semakin Berkurangan\n\n\nSetiap kali Belanjawan dibentangkan, ahli-ahli ekonomi dan penyelidik di seluruh pelusuk negara akan membangkitkan isu kekurangan hasil oleh Kerajaan Malaysia. Pembatalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST ) dikatakan menjadi punca mengapa hasil yang dijana oleh Kerajaan semakin berkurangan tatkala negara terpaksa berbelanja besar tambahan lagi ketika menghadapi pandemik.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun hadapan, Malaysia yang akan berbelanja sekitar RM332 bilion dijangka mengalami defisit fiskal sebanyak 6.0%. Hasil Malaysia pada tahun ini diunjurkan berkurang dari RM225 bilion pada 2020 kepada RM221 bilion susulan krisis kesihatan yang berlanjutan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun hadapan, kerajaan Malaysia diramalkan meraih hasil sebanyak RM234 bilion iaitu bersamaan dengan 14.3% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara. Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding peratusan hasil yang dijana Kerajaan pada tahun 2009 iaitu bersamaan dengan 22.3% daripada saiz ekonomi.\n\n\nIsu ini mendapat perhatian daripada Bank Dunia di dalam laporan \u2018 \nAiming High, Navigating the next stage of Malaysia\u2019s Development\n \u2018. Badan ini menyatakan bahawa pendapatan yang dihasilkan oleh Putrajaya terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan tinggi yang lain.\n\n\nKutipan Hasil Kerajaan Malaysia Agak Kecil Jika Dibandingkan Dengan Negara-Negara Berpendapatan Tinggi\n\n\nSeperti contoh, Kerajaan Kanada meraih pendapatan sebanyak 39% daripada keseluruhan saiz ekonomi manakala Kerajaan New Zealand pula menjana 38% daripada keseluruhan ekonomi mereka. Menurut Bank Dunia, purata hasil Kerajaan oleh negara-negara berpendapatan tinggi adalah sebanyak 36%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeningkatkan hasil kerajaan adalah satu langkah penting bagi pentadbiran sesebuah negara itu melaksanakan program-program sosial dan pembangunan buat rakyat mereka. Negara-negara yang disebut diatas misalnya mempunyai jaringan keselamatan sosial yang luas terhadap rakyat mereka.\n\n\nNew Zealand umpamanya mempunyai subsidi penjagaan kanak-kanak selain elaun tunai kepada pelajar universiti. Bantuan pengangguran serta pencen turut disediakan. Begitu juga dengan Kanada yang menyediakan pelbagai skim bantuan seperti bantuan perumahan serta bantuan-bantuan am yang lain.\n\n\nKesemua ini dibiayai melalui hasil cukai yang dipungut kerajaan. Kanada mengenakan cukai GST sebanyak 5% manakala New Zealand pula sebanyak 13%. Cukai pendapatan pula dikenakan tinggi meskipun memperoleh gaji pada kadar upah minimum ( kerana upah minimum yang sudah pun tinggi ).\n\n\nManakala di Malaysia, anda hanya mula membayar cukai pendapatan jika bergaji lebih RM3,500 sebulan. Menurut kenyataan di Parlimen, hanya 15% daripada keseluruhan pekerja di Malaysia yang membayar cukai pendapatan.\n\n\nSeparuh Daripada Pekerja di Malaysia Memperoleh Gaji Kurang Dari RM2,062 Sebulan\n\n\nIni bermaksud, sebahagian besar daripada pekerja Malaysia memperoleh pendapatan yang begitu rendah. Data terbaru menunjukkan separuh daripada 13.5 juta pekerja di Malaysia memperoleh gaji kurang dari RM2,062 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMelangkaui GST\n\n\nRamai ahli ekonomi menyarankan Kerajaan untuk memperkenalkan semula GST bagi meluaskan sumber percukaian negara setelah pentadbiran Pakatan Harapan memansuhkan cukai ini sejurus mereka merampas Putrajaya.\n\n\nNamun disebabkan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan, pengenalan cukai GST bukanlah satu langkah yang dialu-alukan. Hal ini kerana perubahan struktur cukai lebih afdal dibuat ketika ekonomi berada pada fasa kitaran yang sihat.\n\n\nGST di Malaysia umpamanya diperkenalkan pada tahun 2015 iaitu tujuh tahun setelah Malaysia terjerumus di dalam Krisis Kewangan Global.\n\n\nSatu lagi perkara yang kian kali dibangkitkan adalah isu ketirisan. Kebimbangan ini ada asasnya, Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menunjukkan bahawa prestasi Malaysia semakin buruk saban tahun. Pada tahun 2020, kedudukan Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAhli Politik Paling Kurang Dipercayai Dalam Kalangan Rakyat Malaysia\n\n\nKeputusan ini selari dengan dapatan Ipsos dimana hanya 19% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ahli politik boleh dipercayai. Manakala tahap kepercayaan terhadap menteri kerajaan hanyalah sebanyak 24%.\n\n\nKajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula mendapati berlaku ketirisan di dalam agihan kontrak terhadap kontraktor Bumiputera. 10% hingga 15% daripada nilai kontrak diagihkan kepada pelobi atau orang tengah manakala 13% hingga 15% lagi diagihkan kepada kumpulan politik dan birokrat.\n\n\nLaporan Ketua Audit Negara ( LKAN ) 2020 yang terbaru menunjukkan bertapa besarnya ketirisan yang berlaku di dalam negara kita. Sebanyak RM620 juta kerugian wang awam dapat dikenalpasti di dalam LKAN 2020 yang merangkumi sebahagian kecil sahaja perbelanjaan Kerajaan.\n\n\nSebagai contoh, sebanyak RM499 juta dibayar kepada kontraktor projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan meskipun tidak memenuhi KPI yang ditetapkan. Kerajaan juga dilaporkan telah membayar kos pekerja syarikat konsesi meskipun 12 daripada 38 pekerja yang dinamakan bukanlah pekerja syarikat konsesi tetapi anak syarikat yang lain.\n\n\nKos Perolehan SJK(T) Ladang Semenyih Jauh Lebih Berbanding Harga Semasa\n\n\nDi dalam audit yang lain, LKAN mendapati bahawa berlaku ketirisan yang besar di dalam perolehan di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Semenyih. Menurut audit, kontrak rundingan terus bernilai RM871,500 di sekolah tersebut mempunyai kos anggaran semasa sebanyak RM170,342 sahaja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSekolah terbabit dilaporkan membayar RM140,000 bagi kos memasang bidai tingkap kepada kontraktor dimana kos anggaran sebenar hanyalah sekitar RM18,614 sahaja. Kos mengecat bangunan juga dicaj pada harga yang mahal sebanyak RM190,200 sedangkan LKAN menganggarkan kos sebenar hanya sekitar RM22,162.\n\n\nIsu-isu ketirisan seperti ini yang menjadi barah dalam perolehan kerajaan menyebabkan rakyat menentang pengenalan cukai-cukai baru. Bagi mereka, cukai-cukai yang dikutip akhirnya akan dibazirkan dan hanya menguntungkan sebilangan pihak sahaja.\n\n\nSedangkan matlamat asal percukaian adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui program dan inisiatif Kerajaan.\n\n\nDi dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah memberi komitmen bahawa negara akan melaksanakan amalan fiskal yang mampan. Sudah pasti meluaskan sumber percukaian adalah satu aspek penting dalam memastikan kewangan negara berada di dalam keadaan sihat.\n\n\nBirai RM140,000\n\n\nNamun di sudut lain, Kerajaan juga perlu memastikan bahawa ketirisan seperti ini dapat dielakkan agar setiap ringgit wang yang dikutip Kerajaan dapat dikembalikan kepada rakyat Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/dua-perkara-yang-perlu-dilakukan-kerajaan-ketika-pkp3-0/", "title": "Dua Perkara Yang Perlu Dilakukan Kerajaan Ketika PKP3.0", "body": "\n\nShare it\nSAYA ingin mencadangkan dua perkara yang harus dilakukan serta merta dengan berkuat kuasanya sekatan penuh ke atas semua kegiatan ekonomi dan sosial pada 1 Jun 2021. Perkara pertama ialah penyediaan bantuan yang menyeluruh. Perkara kedua ialah keperluan mengatur pasukan yang cekap, pantas dan yang sayangkan rakyat dan negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertama, Kerajaan harus memberi bantuan sepenuhnya kepada rakyat, terutamanya yang bekerja sendiri seperti Makcik Kiah, syarikat kecil dan sederhana, dan mereka dalam golongan B40 dan M40.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSudah setahun Covid-19 melanda, dan segala simpanan semuanya telah kering. Usah kita lupa, rakyat telah mengeluarkan duit mereka sendiri hampir RM80 bilion dari EPF, dan menangguhkan bayaran hutang melalui \u2018loan moratorium\u2019 sejumlah RM151 bil.\n\n\nIni jauh lebih tinggi dari bantuan yang diterima dari kerajaan, untuk pembandingan, suntikan fiskal kerajaan sejak krisis ini berlaku sejak awal tahun lepas adalah hanyalah RM 72 bilion. Saya ingin mencadangkan supaya semua pekerja sendiri dan isi rumah dalam golongan B40 and M40 diberikan bantuan bulanan sebanyak RM1500 sebulan untuk tempoh 3 bulan.\n\n\nManakala, subsidi upah diberikan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana seperti mana yang diberikan pada tahun lepas, juga untuk tempoh tiga bulan. Pinjaman daripada bank dan agensi kredit harus diberikan moratorium untuk tempoh 3 bulan, secara automatik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBank tidak akan jatuh muflis. Hakikatnya tidak ada satu bank pun yang rugi tahun lepas walaupun moratorium pinjaman diberikan.\n\n\nKenyataan pihak Bank Negara Malaysia bahawa moratorium pinjaman bukan penyelesaian terbaik untuk semua peminjam dan bukanlah kepentingan terbaik ekonomi negara amatlah memeranjatkan sekali.\n\n\nApa gunanya ekonomi berkembang jika setiap hari berpuluh rakyat Malaysia mati, dan beribu-ribu hidup dalam tekanan dan kebimbangan kerana tidak mampu menyara keluarga? Ekonomi boleh dipulihkan, tetapi nyawa yang sudah tiada, mustahil dapat dikembalikan.\n\n\nAlasan bahawa kita tiada ada wang untuk membantu rakyat adalah zalim yang didasari pemikiran cetek. Kerajaan boleh meminjam. Kadar hutang kini lebih kurang 60% dari KDNK negara, namun negara pernah berhutang lebih 100% dari KDNK.\n\n\nPeminjaman ini berlaku pada tahun 1980an apabila krisis ekonomi melanda negara dan kadar pengangguran naik mendadak ketika itu. Tetapi, kadar hutang ini dapat dikurangkan dengan pantas apabila ekonomi berkembang kembali.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLebih baik berhutang untuk menyelamatkan rakyat, daripada menyimpan duit tetapi rakyat sengsara atau berdepan kematian. Prihatinkah Kerajaan kita?\n\n\nKedua, kita perlukan pasukan baru, yang bijak, berani, dan benar-benar sayang kepada rakyat dan negara. Malangnya, pasukan yang ada ketika ini gagal mentadbir negara.\n\n\nKetika darurat dimulakan pada 12 Jan 2021, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 141,533 kes, dan jumlah kumulatif kes kematian adalah 559 kes. Kini, jumlah keseluruhan jangkitan wabak naik empat kali ganda kepada 558,534 kes, dan jumlah korban melonjak hampir 5 kali ganda kepada 2,650.\n\n\nBagaimana ini boleh dibiarkan berlaku, apabila kita diyakinkan berulang kali bahawa Parlimen digantung untuk mengurangkan kes dan jumlah kematian?\n\n\nIngat apa yang dilakukan oleh Tun Razak selepas rusuhan kaum tahun 1969. Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin dari Terengganu ketika itu, dengan bijaksananya, bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIanya dianggotai hanya oleh sepuluh orang sahaja, tidak perlu ahli seramai 72 orang. Ya, tiada Jemaah Kabinet pun ketika itu.\n\n\nYang mentadbir negara dengan jayanya hanyalah 10 orang sahaja, diketuai oleh Tun Razak, dan dibantu oleh Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Kadir Samsudin (Ketua Setiausaha Negara), Tunku Osman Jiwa (Panglima Angkatan Tentera), Tan Sri Saleh Ismail (Ketua Polis Negara), Tan Sri Ghazalie Shafie ( Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri) dan Lt. Gen. Dato\u2019 Ibrahim Ismail sebagai Ketua Eksekutif MAGERAN.\n\n\nKesepuluh ahli MAGERAN telah berjaya menstabilkan negara dalam masa yang amat pantas sekali.\n\n\nMereka menubuhkan hanya dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Ekonomi, dan Majlis Perundingan Nasional (MPN).\n\n\nAhli panel yang dilantik terdiri daripada penjawat awam, profesional sektor korporat, ahli akademik, agamawan dari pelbagai agama, wartawan, wakil majikan dan pekerja, dan wakil parti politik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAlmarhum Tun Razak mengamalkan sikap terbuka dan inklusif. Ianya berbeza dengan pasukan sekarang yang mengamalkan sikap terpencil dan berselindung dengan kurang berunding bersama pimpinan masyarakat dan mereka yang pakar dalam menangani krisis ini.\n\n\nAnda tahu di mana MAGERAN bermesyuarat? Ya, di bangunan Parlimen. Hasilnya, pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13, Rukunnegara dilancarkan, dan setahun kemudian, Dasar Ekonomi Baru diterima pakai di dalam Rancangan Malaysia Kedua, dan Parlimen kembali bersidang.\n\n\nPasukan yang baru, seperti MAGERAN, dan ahli ahlinya harus diberi mandat yang jelas \u2013 tangani krisis kesihatan dan ekonomi, dan untuk memastikan \u2018check and balance\u2019, dan Parlimen harus dibuka untuk memastikan pentadbiran yang telus. Apabila mandat ini berjaya kelak, pasukan ini harus dibubarkan serta merta.\n\n\nMalangnya negara bertuah ini jika mereka yang memerintah sekarang, dan individu yang terpaksa bersetuju menandatangani darurat, masih berpeluk tubuh apabila mayat rakyat Malaysia bergelimpangan di dalam kontena, dan ramai pula yang kebuluran.\n\n\nNegara akan musnah, dan pemimpin jadong dan bebal seperti yang diingatkan kepada kita oleh Profesor Syed Hussein Alatas, akan dilaknati Allah. Menurut beliau antara ciri-ciri bebal adalah tidak mampu melihat dan menyelesaikan masalah dengan tidak mencerap apa yang berlaku dan tidak mengakui kebodohannya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInstitusi utama negara haruslah bertindak dan bersama rakyat. Suara rakyat suara keramat. Belajarlah sejarah, banyak negara menjatuhkan institusi monarki mereka apabila raja dilihat membelakangkan kepentingan rakyat.\n\n\nLupakah pimpinan negara akan sejarah rakyat kita sendiri yang pernah memberontak, menolak pemimpin yang zalim?\n\n\nOrang Melayu pernah menggertak untuk menggulingkan Sultan mereka sendiri jika Sultan tidak menolak rancangan Malayan Union.\n\n\nPemimpin bukannya Dewa Raja atau Tuhan yang mesti disembah dan dituruti hasratnya setiap masa terutamanya jika mereka kejam, korup, dan tidak berlaku adil. Insaflah, kita harus membuang pemimpin sebegini.\n\n\nSultan Perak pernah mengingatkan kita beberapa bulan lepas bahawa orang yang tidak ikhlas, menyalahguna kuasa, bermoral rendah tidak harus diberikan amanah ataupun kuasa oleh rakyat, dan masa hadapan negara jangan dimusnahkan kerana kepentingan peribadi, atau sifat tamak dan haloba untuk mengumpulkan kekayaan diri tanpa mengenal batasan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMasa untuk bertindak adalah sekarang. Bantuan haruslah diberikan sekarang. Pemimpin yang baru diperlukan sekarang. Mereka yang memerintah haruslah sedar, kepentingan negara melebihi kepentingan individu. Kuasa harus digunakan untuk kebaikan negara, bukan untuk memusnahkannya.\n\n\nMoga Allah melindungi kita semua, dan memberi petunjuk dan hidayah untuk ke arah jalan yang lurus.\n\n\nDr Muhammed Abdul Khalid\n merupakan Pengarah Urusan DM Analytics.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-101-baik-dan-buruk-disebalik-monopoli/", "title": "Ekonomi 101 \u2013 Baik dan Buruk Disebalik Monopoli", "body": "\n\nShare it\nJika sebut tentang monopoli, mungkin antara perkara pertama yang terlintas di kepala ialah permainan papan popular \u2018Monopoly\u2019 yang dikeluarkan oleh syarikat gergasi mainan Hasbro. Bagi yang pernah bermain papan permainan \u2018Monopoly\u2019 tersebut, sudah tentu masih ingat bahawa matlamat utama permainan ini ialah untuk memonopoli kekayaan dalam bentuk aset hartanah serta pemilikan perkhidmatan utiliti (air dan elektrik) sebanyak yang mungkin. Kemenangan akan diberikan kepada pemain yang bertahan sehingga ke akhir permainan setelah pemain-pemain lain diisytiharkan bankrap.\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun begitu, soal menang atau kalah dalam permainan \u2018Monopoly\u2019 juga bergantung kepada nasib. Ada pemain yang berjaya mengumpul kekayaan terbanyak di hujung permainan hanyalah disebabkan mereka bernasib baik kerana mendapat giliran awal untuk membaling dadu bagi memulakan permainan, menyebabkan mereka berpeluang membolot sebanyak mungkin harta yang ada sebelum dimiliki orang lain. Mereka juga mungkin bernasib baik kerana tidak tertangkap masuk ke dalam penjara, lalu membolehkan mereka terus mengumpul kekayaan di saat ada pemain lain sedang meringkuk dalam penjara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam dunia kehidupan yang sebenar juga situasi yang sama mungkin dapat dilihat di dalam industri-industri yang berkembang pesat hari ini. Ada sebahagian individu ataupun syarikat yang menjadi kaya-raya kerana diberikan kelebihan untuk memonopoli perkhidmatan dan produk tertentu dalam pasaran. Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sebahagian besarnya dimiliki Kerajaan misalnya memonopoli perniagaan menyalurkan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.\n\n\nMalaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pula memonopoli operasi hampir keseluruhan lapangan terbang komersial di Malaysia kecuali Lapangan Terbang Senai di Johor. Manakala Astro Malaysia Holdings untuk sekian lama telah memonopoli perkhidmatan kabel TV berbayar di negara ini.\n\n\nTidak menghairankan apabila monopoli seringkali diberikan persepsi yang negatif, lebih-lebih lagi buat mereka yang berpegang teguh dengan falsafah pasaran bebas. Hal ini kerana monopoli seolah-olah memberi gambaran bahawa sebuah pasaran yang bersaing secara sihat dan inovatif tidak perlu wujud bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan atau produk yang dijual dalam pasaran.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut pemenang hadiah Nobel Ekonomi 2001, Professor Andrew Michael Spence, beliau berhujah produk yang dijual oleh syarikat monopoli kadangkala tidak berkualiti kerana tiada desakan yang kuat datang dari kalangan pengguna sebagaimana dalam pasaran kompetitif yang beroperasi secara terbuka.\n\n\nDalam sesebuah pasaran monopoli, pengguna boleh dikatakan tidak mempunyai suara bagi meminta kualiti produk yang terbaik, lebih-lebih lagi jika kedudukan syarikat monopoli itu disokong oleh pihak Kerajaan. Maka disebabkan ini orang awam terpaksa menanggung kualiti perkhidmatan atau produk yang teruk kerana mereka tidak mempunyai pilihan yang lain.\n\n\nDalam era pasaran ekonomi moden, pasaran bersifat monopoli boleh dikatakan sudah berkurangan berbanding waktu dahulu. Di Malaysia misalnya, kemasukan pelbagai pelaburan dari negara luar serta dasar penswastaan yang dilaksanakan ketika awal 1980-an memberikan ruang bagi mewujudkan pasaran yang lebih sihat di negara ini dengan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam pasaran. Antara tahun 1983 hingga 2003, terdapat 474 buah projek yang diswastakan di Malaysia menerusi Dasar Persyarikatan Malaysia.\n\n\nNamun begitu, disebalik niat murni dasar penswastaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, timbul persoalan sejauh manakah dasar tersebut memanfaatkan rakyat atau hanya mengkayakan golongan tertentu sahaja dengan memindahkan syarikat-syarikat milik Kerajaan bagi diuruskan pihak swasta.\n\n\nPerkara sebeginilah yang tanpa sedar menjadi punca kepada jurang kekayaan yang semakin lama semakin melebar antara orang miskin dan orang kaya di negara ini apabila sebilangan konsesi yang memberikan pulangan ratusan juta ringgit diberikan kepada kroni-kroni tertentu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam pada itu meskipun kebanyakan syarikat monopoli milik Kerajaan sudah pun diswastakan, kebanyakan industri terus dibelenggu oleh masalah monopoli beberapa syarikat yang besar, atau disebut juga sebagai pasaran jenis oligopoli.\n\n\nPasaran oligopoli berbeza dengan pasaran monopoli dari sudut jumlah syarikat. Dalam pasaran monopoli, bekalan sesuatu produk atau perkhidmatan dikuasai oleh satu syarikat sahaja. Manakala dalam pasaran oligopoli, penguasaan dalam sesebuah industri itu dibahagi antara sekumpulan kecil syarikat-syarikat besar.\n\n\nAntara contoh industri yang mempunyai pasaran jenis oligopoli paling ketara ialah industri penerbangan. Di Malaysia misalnya, industri penerbangan dimonopoli oleh dua nama besar Air Asia dan Malaysia Airlines (MAS) dengan bahagian pasaran (market share) masing-masing berjumlah 71% pada tahun 2018 menurut data CAPA \u2013 Centre for Aviation.\n\n\nOligopoli boleh dikatakan merupakan cerminan kepada monopoli versi moden. Jika sebelum ini, apabila disebut syarikat monopoli pasti akan terbayang satu syarikat sahaja yang menguasai segala-galanya. Namun sedar ataupun tidak, oligopoli lebih berbahaya kerana secara luarannya tampak seolah-olah seperti mereka ini mempunyai persaingan yang lebih sihat sesama mereka berbanding monopoli. Namun, apakah yang akan berlaku sekiranya syarikat-syarikat besar ini bekerjasama untuk menekan pengguna demi mengaut keuntungan semata-mata? Sebagai contoh, pada awal tahun lalu, MyCC pernah mendenda beberapa syarikat perkhidmatan feri RORO di Langkawi kerana berkomplot sesama mereka untuk menetapkan harga tambang kenderaan.\n\n\nAmalan anti-persaingan ini adalah sesuatu yang buruk kepada pengguna kerana pengguna terpaksa membayar pada harga yang tinggi kerana pengusaha-pengusaha perniagaan bekerjasama dalam menetapkan harga kepada pengguna bagi mengurangkan persaingan dan perang harga sesama mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun, ini tidak lah sama sekali bermaksud monopoli ini semuanya buruk belaka tanpa ada sebarang kebaikan langsung buat orang awam. Di Malaysia misalnya, terdapat beberapa perkhidmatan asas yang terus dimonopoli seperti bekalan elektrik dan air. Monopoli semula jadi ini lebih praktikal kerana mudah bagi Kerajaan untuk memantau bekalan elektrik supaya dapat disalurkan dengan cekap serta memantau harga supaya kekal murah kepada orang awam berbanding jika dibekalkan oleh beberapa syarikat yang berbeza.\n\n\nDalam masa yang sama, perkhidmatan utiliti sebegitu juga lebih sesuai dibekalkan secara monopoli kerana kos pembinaannya yang terlalu mahal. Kos pembinaan bagi sebuah pencawang elektrik sahaja menelan harga jutaan ringgit. Jika perkhidmatan elektrik dibekalkan secara monopoli, TNB mempunyai kelebihan dari sudut \u2018ekonomi skala\u2019 yang mereka ada.\n\n\nKeadaan ini bermaksud TNB mampu menyediakan perkhidmatan elektrik secara meluas di seluruh negara dengan kos yang lebih rendah, jika dibandingkan sekiranya mereka terpaksa bersaing dengan beberapa syarikat lain. Maka disebabkan itulah adalah lebih mudah dan akan menjamin harga yang lebih stabil sekiranya perkhidmatan sebegini diuruskan oleh satu syarikat monopoli sahaja.\n\n\nDari sudut lain, Kerajaan seringkali menjustifikasikan monopoli sebilangan syarikat yang kebiasaannya dimiliki oleh mereka adalah untuk tujuan strategik. Umpamanya, Malaysia Airports Holdings Berhad yang dimiliki secara tidak langsung oleh Kerajaan melalui Khazanah Nasional memonopoli perkhidmatan lapangan terbang mereka bagi memastikan lapangan-lapangan terbang yang tidak menguntungkan seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak juga boleh beroperasi atas tujuan-tujuan tanggungjawab sosial.\n\n\nDaripada aspek kawal selia undang-undang di negara ini, Akta Persaingan 2010 telah dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2012 menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Menerusi akta ini, tindak-tanduk pemain industri dikawal selia bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti-aktiviti anti-persaingan yang boleh membantutkan persaingan yang sihat dalam pasaran di Malaysia seperti aktiviti kartel, penetapan harga secara tidak adil dan sebagainya. Pada tahun 2019, MyCC membuka 163 siasatan berkaitan aduan aktiviti anti-persaingan dalam kalangan pemain industri.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun monopoli sering mendapat tanggapan yang negatif secara amnya, perkara sebegini tidak boleh dilihat secara mudah dengan pandangan hitam vs putih sahaja. Hal ini kerana dalam sebuah pasaran ekonomi yang wujud dalam dunia yang sebenar, situasinya adalah lebih rumit tidak seperti teori-teori ekonomi yang seringkali dibina bersandarkan tanggapan rasional semata-mata. Sedangkan, dunia ini dipenuhi dengan pelbagai \u2018variable\u2019 yang kadangkala sungguh tidak rasional dan masuk akal.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-101-tiga-faktor-utama-mempengaruhi-turun-naik-nilai-ringgit/", "title": "Ekonomi 101: Tiga Faktor Utama Mempengaruhi Turun Naik Nilai Ringgit", "body": "\n\nShare it\nAntara isu ekonomi yang kadang kala mendapat tumpuan umum secara \u2018bermusim\u2019 ialah turun naik nilai matawang ringgit. Bagi perniagaan-perniagaan yang bergantung besar kepada aktiviti import atau eksport, turun naik nilai ringgit berbanding dolar AS akan menentukan prestasi keuntungan mereka. Begitu juga dengan para pelabur, mereka sering memerhati rapat pergerakan ringgit bagi menentukan keputusan pelaburan yang ingin dibuat kelak.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi rakyat Malaysia secara amnya, mungkin kebanyakan mereka tidaklah sebegitu tekun dalam mengikuti turun naik ringgit di pasaran, cukup sekadar mendengar berita-berita pergerakan matawang yang dilaporkan dalam media arus perdana. Namun begitu, apa yang penting untuk disedari ialah isu nilai ringgit ini kadang kala mudah untuk dimanipulasikan golongan tertentu. Kejatuhan nilai ringgit sering dijadikan modal politik untuk menyalahkan Kerajaan. Manakala di saat nilai ringgit mengukuh pula dikatakan menjadi petunjuk keyakinan yang mantap terhadap pentadbiran Kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDengan adanya pengetahuan yang mencukupi berkenaan faktor yang mempengaruhi turun naik nilai ringgit akan membantu untuk memahami dengan lebih jelas mengenai pergerakan matawang negara ini.\n\n\nMalaysia Import Barangan Berjumlah $238.2 Bilion Pada Tahun 2021\n\n\nHal ini kerana meskipun rata-rata rakyat Malaysia mungkin tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan seperti yang disebutkan di atas, implikasi daripada turun naik ringgit ini turut mempengaruhi kuasa membeli mereka di dalam pasaran, terutamanya melibatkan barangan import. Pada tahun lepas misalnya, jumlah import naik 31.3% ke paras tertinggi dalam sejarah, mencecah RM1.3 trillion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Manakala dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merekodkan sejumlah AS$238.2 billion import pada tahun 2021, lebih tinggi berbanding Indonesia (AS$196.2 billion) dan Filipina (AS$134.0 billion).\n\n\nMeskipun Malaysia saban tahun mencatatkan lebihan dagangan, terdapat beberapa barangan yang terpaksa diimport daripada luar negara demi menampung permintaan domestik. Antaranya ialah bahan makanan, terutamanya sayur-sayuran. Malaysia mengimport sejumlah RM55.5 billion makanan pada tahun 2020, berbanding RM33.8 billion bahan makanan yang dieskport. Dalam tempoh hampir tiga dekad, kebergantungan Malaysia terhadap import komoditi pertanian meningkat dari 7.3% (1987) kepada 13.7% (2015). Sekiranya matawang negara tidak stabil, perkara ini akan menjejaskan kos barangan makanan yang diimport, serta turut berisiko mengakibatkan kadar inflasi menjadi tidak terkawal.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSecara umumnya, turun naik nilai matawang adalah sebuah situasi yang normal, bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran. Terdapat beberapa faktor yang seringkali mempengaruhi nilai ringgit dalam pasaran, termasuklah kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara, kadar inflasi, keputusan kadar faedah bank pusat, sentimen pasaran dan keyakinan para pelabur, prestasi dagangan serta kekuatan matawang dolar AS. Ada antara faktor ini yang berasal dari dalam (\ninternal\n), mahupun luar negara (\nexternal\n).\n\n\nDisebabkan ini, kadang kala agak sukar untuk menentukan samada sesuatu peristiwa yang berlaku di dalam atau luar negara itu yang menjadi punca turun naik nilai matawang ringgit kerana terdapat begitu banyak faktor yang memainkan peranan dalam masa yang sama.\n\n\nPertama, kestabilan politik dan prestasi ekonomi negara berkait rapat dengan keputusan para pelabur samada untuk meneruskan pelaburan mereka dalam ekuiti atau bon di Malaysia. Sekiranya Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik dan prestasi ekonomi yang baik, perkara ini akan memberi petunjuk yang positif serta jaminan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan mereka di negara ini. Permintaan terhadap matawang ringgit akan meningkat, lantas menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit.\n\n\nMenurut kajian yang dilakukan oleh Bahmani-Oskooee et al. (2019) melibatkan 31 buah negara sedang dan pesat membangun termasuklah Malaysia, mereka mendapati bahawa sesebuah negara yang mempunyai masalah penyelewengan yang teruk serta landskap politik yang tidak stabil akan lebih cenderung mengalami penyusutan kadar tukaran matawang sebenar. Hal ini kerana ketidakstabilan politik akan menyebabkan para pelabur berasa tidak selamat untuk melaburkan wang mereka, lantas mereka lari keluar dari negara berkenaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKedua, kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memberikan implikasi secara langsung terhadap nilai matawang ringgit dan dolar AS. Seperti dijelaskan dalam sebuah artikel yang dimuatkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016 berjudul \u2018\nExchange Rate Volatility and Disconnect: Structural or Cyclical?\n\u2019, perbezaan antara polisi kewangan yang dijalankan oleh Fed dan negara-negara maju yang lain sering menyebabkan perubahan ketara terhadap aliran modal serta pergerakan turun naik matawang di negara-negara membangun.\n\n\nPenetapan kadar faedah merupakan salah sebuah instrumen polisi kewangan yang digunakan oleh bank-bank pusat untuk mengawal aliran wang dalam ekonomi, demi mencapai sasaran kadar inflasi yang diinginkan.\n\n\nKetika pandemik COVID-19 mula-mula melanda, kebanyakan bank pusat di seluruh dunia mengambil keputusan untuk menurunkan kadar faedah bagi memberi peluang kepada lebih banyak pinjaman dibuat bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi dan pelaburan.\n\n\nDi Malaysia misalnya, kadar dasar semalaman (OPR) diturunkan sebanyak 25 mata asas empat kali berturut-turut, daripada 3.0% pada November 2019 kepada 1.75% pada Julai 2020. Manakala di Amerika Syarikat juga lebih kurang sama apabila kadar dana persekutuan dipotong sebanyak 100 mata asas pada 16 Mac 2020, menjadikan kadarnya antara 0% hingga 0.25%.\n\n\nWalaubagaimanapun, apabila pandemik COVID-19 beransur pulih sekitar tahun 2022, bank-bank pusat ini mengambil keputusan untuk menaikkan semula kadar faedah, terutamanya bagi membendung tekanan inflasi yang berisiko menjejaskan pemulihan ekonomi negara masing-masing. Kenaikan kadar faedah ini juga sebahagian dari proses normalisasi yang dijalankan untuk mengembalikan kadar faedah ke paras normal pra-pandemik, selaras dengan kedudukan ekonomi yang semakin pulih ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejak Mei tahun lalu, BNM telah giat menaikkan OPR berjumlah 125 mata asas secara keseluruhannya, kepada 3.0% yang terkini. Begitu juga dengan Fed, kadar dana persekutuan telah dinaikkan berjumlah 450 mata asas kepada 5.25% antara Mac 2022 hingga Mei 2023. Persoalannya, bagaimanakah turun naik kadar faedah ini mempengaruhi turun naik ringgit?\n\n\nDaripada perspektif pelaburan, para pelabur akan cenderung untuk melabur di negara yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi. Hal ini kerana kadar faedah yang lebih tinggi membolehkan mereka memperoleh pulangan pelaburan yang lebih lumayan. Disebabkan inilah sekiranya terdapat ura-ura bahawa kadar faedah akan dinaikkan di AS, para pelabur akan berpusu-pusu menjual pegangan ekuiti mereka di Malaysia untuk membeli ekuiti AS demi meraih pulangan yang lebih tinggi. Permintaan yang tinggi terhadap matawang asing (dolar AS), menyebabkan nilai matawang tempatan (ringgit) susut.\n\n\nSebagai contoh, data MIDF merekodkan jualan bersih ekuiti Malaysia oleh pelabur asing selama empat minggu berturut-turut antara 9 Januari hingga 3 Februari 2023. Sejumlah RM380.8 juta ekuiti Malaysia dijual oleh pelabur asing semasa minggu berakhir 3 Februari 2023, iaitu 89.6% lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya. Peningkatan mendadak penjualan ekuiti oleh pelabur asing ini didorong oleh pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Pengerusi Fed Jerome Powell sebanyak 25 mata asas pada 2 Februari 2023 menerusi mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS tahun 2023. Akibatnya, nilai ringgit menyusut 0.3% kepada RM4.2587/USD semasa dagangan ditutup pada hari Jumaat (3 Februari 2023). Sebagai rekod, pada waktu ini BNM membuat keputusan untuk tidak menaikkan OPR.\n\n\nBegitu juga dengan ketika ini, ringgit semakin kukuh berbanding dolar AS, ditutup pada nilai tertinggi dalam tempoh dua minggu, 4.4350/4400 pada Jumaat (5 Mei 2023). Nilai ringgit yang semakin kukuh ini didorong oleh nilai dolar AS yang semakin lemah. Hal ini kerana meskipun Fed mengumumkan kenaikan kadar dana persekutuan untuk kali yang kesepuluh berturut-turut Rabu lepas, kebanyakan pihak meramalkan Fed sudah sampai dalam fasa penamatan kitaran kenaikan kadar faedah, memandangkan tekanan inflasi semakin reda di Amerika Syarikat. Ini bermaksud Fed mungkin akan berhenti menaikkan kadar faedah tidak lama lagi.\n\n\nKetiga, perdagangan eksport dan import turut mempengaruhi nilai matawang ringgit. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip ekonomi terbuka, Malaysia mengambil bahagian dengan begitu aktif dalam perdagangan melibatkan banyak negara termasuklah China, Kesatuan Eropah dan Singapura, sama ada secara dua hala atau pelbagai hala.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara indikator utama untuk menentukan prestasi perdagangan sesebuah negara disebut sebagai terma perdagangan, yang merujuk kepada nisbah harga eksport dan import. Sekiranya harga eskport sesebuah negara itu naik lebih tinggi berbanding harga import, terma perdagangan akan bertambah baik. Perkara ini memberi kelebihan kerana satu unit eksport mampu membeli lebih banyak unit import, menyebabkan barangan import menjadi lebih murah serta taraf hidup dapat ditingkatkan. Situasi ini akan mendorong permintaan yang lebih tinggi terhadap eksport serta matawang tempatan, lantas menyebabkan nilai matawang tempatan turut naik.\n\n\nSebuah lagi faktor yang kadang kala turut mendorong turun naik nilai ringgit ialah harga minyak mentah global. Secara teorinya, harga minyak mentah yang tinggi memberi impak positif kepada nilai ringgit, memandangkan minyak mentah merupakan antara komoditi utama negara. Kajian oleh Pejabat Penyelidikan Makreokonomi ASEAN +3 (AMRO) bertajuk \u2018Menilai Impak Harga Minyak Terhadap Ekonomi Malaysia\u2019 pada tahun 2021 mendapati kenaikan harga minyak sebanyak 1% akan mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit sebanyak 0.03% pada keesokan harinya. Ketika pandemik COVID-19 mula tercetus pada awal 2020, harga minyak mentah global menjunam berikutan penurunan permintaan secara drastik. Akibatnya, nilai ringgit menjadi lemah berbanding matawang-matawang utama seperti dolar AS, dolar Singapura, paun sterling British dan juga yen. Namun, hubung kait diantara Ringgit dan harga minyak mentah kelihatan sudah semakin berkurangan ketika ini.\n\n\nSebagaimana dijelaskan di atas, turun naik matawang dalam pasaran merupakan sebuah fenomena yang normal, dengan syarat turun naik tersebut tidak bersifat ekstrim. Hal ini kerana sekiranya nilai ringgit terus jatuh merudum, perkara ini akan menyebabkan Malaysia bakal berdepan dengan banyak masalah. Dalam masa yang sama, amat penting untuk difahami juga bahawa terdapat banyak faktor yang mempengaruhi turun naik sesebuah matawang. Kefahaman yang jelas mengenai faktor-faktor ini akan membantu seseorang memahami pergerakan matawang serta menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa sesetengah pihak yang mungkin memanipulasikan isu turun naik matawang ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-malaysia-berkembang-5-0-pada-q1-2022-beri-bayangan-kadar-faedah-akan-dinaikkan-secara-berkala/", "title": "Ekonomi Malaysia Berkembang 5.0% Pada Q1-2022, Kadar Faedah Dijangka Dinaikkan Secara Berkala", "body": "\n\nShare it\nEkonomi tumbuh 5.0% pada suku pertama 2022\n\n\nEkonomi Malaysia meningkat 5.0% pada suku pertama 2022 dipacu oleh aktiviti di sektor perkhidmatan dan pembuatan. Pada suku pertama tahun sebelumnya, Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia susut 0.5% setelah Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing tumbuh 6.5% dan 6.6% berikutan ekonomi dibuka semula setelah pelbagai perintah pencegahan Covid-19 dibatalkan. Walaubagaimanapun, aktiviti sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan menguncup pada suku pertama tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBank Negara Malaysia ( BNM ) masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun ini sekitar 5.3% hingga 6.3%. Beberapa faktor dijangka bakal merancakkan aktiviti ekonomi termasuklah pembukaan semula sempadan serta peningkatan permintaan domestik dan luar.\n\n\nWalaubagaimanapun, isu konflik geopolitik, penularan varian baru Covid-19 serta peningkatan kos dikenalpasti oleh BNM sebagai risiko yang berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.\n\n\nInflasi dijangka meningkat sekitar 2.2% hingga 3.2%\n\n\nInflasi pula diunjurkan untuk naik diantara 2.2% hingga 3.2% pada tahun ini setelah merekodkan inflasi sebanyak 2.5% pada tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBNM jelaskan bahawa pengetatan dasar monetari telah bermula setelah Jawatankuasa Dasar Monetari meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.00% didorong oleh peningkatan permintaan domestik.\n\n\nBNM beri bayangan pengetatan dasar monetari yang bakal menyaksikan kadar faedah meningkat akan dilaksanakan secara berkala bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta memastikan harga kekal stabil.\n\n\nKewangan Kerajaan menyaksikan hasil yang diterima Kerajaan Malaysia naik 26.7% kepada RM62.8 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM49.5 bilion pada suku pertama tahun lalu. Manakala perbelanjaan operasi pula naik 3.8% kepada RM64.6 bilion.\n\n\nHutang Kerajaan pula meningkat 2.7% dari RM979.8 bilion pada tahun 2021 kepada RM1.006 trilion pada suku pertama 2022.\n\n\nKeuntungan sektor perbankan meningkat pada suku pertama 2022\n\n\nSektor perbankan juga menyaksikan perkembangan positif apabila pendapatan faedah bersih telah naik\u00a0 daripada RM14.7 bilion pada suku keempat 2021 kepada RM14.8 bilion pada suku pertama tahun ini. Manakala keuntungan sebelum cukai meningkat tinggi sebanyak 11.7% dari RM8.7 bilion kepada RM9.8 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-malaysia-jatuh-0-5-pada-suku-pertama-2021/", "title": "Ekonomi Malaysia Jatuh 0.5% Pada Suku Pertama 2021", "body": "\n\nShare it\nEkonomi Menguncup 0.5% Pada Suku Pertama 2021\n\n\nEkonomi Malaysia menguncup 0.5% pada suku pertama 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu menurut Bank Negara Malaysia. Berbanding suku sebelumnya, Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia meningkat 2.7%.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertumbuhan suku ke suku ini dipacu dengan pertumbuhan permintaan domestik selain prestasi eksport yang memberangsangkan. Kesemua sektor dilihat berkembang terutamanya sektor pembuatan yang menunjukkan pertumbuhan sebanyak 6.6%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInflasi meningkat 0.5% pada suku pertama dan dijangka bakal meningkat tinggi diantara 6.5% hingga 7.0% pada April dan Mac tahun ini berikutan peningkatan harga minyak.\n\n\nBank Negara Malaysia masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara diantara 6.0% hingga 7.5% untuk tahun ini. Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 kembali dilaksanakan, BNM menjangkakan impak ekonomi PKP3.0 tidak seteruk PKP pertama yang dilaksanakan pada tahun lalu.\n\n\nRakyat dilihat selesa beralih dengan digitalisasi susulan pandemik dimana transaksi perbankan atas talian telah meningkat dari 3.9 bilion pada suku pertama 2020 kepada 6.1 bilion pada suku pertama tahun ini. Transaksi e-dompet juga naik 48% kepada 209 juta transaksi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPasaran Buruh Menunjukkan Tanda-tanda Pemulihan Awal\n\n\nPasaran buruh pula menunjukkan tanda pemulihan awal dimana kadar pengangguran menurun dari 4.8% kepada 4.7%. Bilangan individu yang mendapat pekerjaan baru juga telah meningkat dari 37 orang kepada 40 orang bagi setiap 100 orang yang kehilangan kerja.\n\n\nBank Negara turut menyatakan beberapa isu yang mungkin merencatkan pertumbuhan Malaysia. Peningkatan kes Covid-19 yang menjurus kepada langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19 yang semakin ketat selain pelaksanaan program vaksin yang perlahan mungkin memberi risiko terhadap pemulihan ekonomi negara.\n\n\nLaporan untuk suku kedua tahun ini dijangka bakal dikeluarkan pada pertengahan Ogos kelak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-malaysia-jatuh-4-5-pada-suku-ketiga-2021/", "title": "Ekonomi Malaysia Jatuh 4.5% Pada Suku Ketiga 2021", "body": "\n\nShare it\nEkonomi menguncup 3.6% berbanding suku sebelumnya\n\n\nEkonomi Malaysia menguncup 4.5% pada suku ketiga tahun ini menurut Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia. Berbanding suku sebelumnya, ekonomi negara ini menurun 3.6% susulan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan 3.0 yang bermula pada bulan Jun.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor pembinaan antara yang paling terkesan akibat langkah-langkah penularan jangkitan Covid-19 apabila sektor ini jatuh 20.6%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerbanding negara-negara lain, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku ketiga di rantau ini. Filipina merekodkan pertumbuhan 7.1% manakala Singapura pula mencatatkan pertumbuhan 6.5%.\n\n\nBank Negara masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini sekitar 3% hingga 4%. Pembukaan semula ekonomi serta pemulihan pasaran buruh dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.\n\n\nEkonomi dijangka berkembang 5.5% hingga 6.5% pada tahun hadapan\n\n\nInflasi diramal kekal stabil diantara 2% hingga 3% pada tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun hadapan, ekonomi diunjur berkembang sekitar 5.5% hingga 6.5% disokong oleh permintaan global. Namun Bank Negara di dalam pembentangan mereka berkata bahawa negara masih terdedah dengan beberapa risiko yang boleh mengekang pemulihan ekonomi.\n\n\nAntara risiko yang dibimbangi adalah penularan varian baru Covid-19 serta isu gangguan bekalan rantaian yang berlarutan.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-malaysia-melonjak-16-1-pada-suku-kedua-2021/", "title": "Ekonomi Malaysia Melonjak 16.1% Pada Suku Kedua 2021", "body": "\n\nShare it\nEkonomi berkembang 16.1% pada suku kedua 2021\n\n\nBank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Pertumbuhan tinggi ini didorong aktiviti rancak ekonomi pada bulan April dan Mei yang disumbangkan dari sektor pembuatan sebelum kegiatan ekonomi kembali perlahan akibat pelaksanaan PKP3.0.\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun dari suku ke suku, ekonomi Malaysia menguncup 2% berbanding suku pertama tahun ini. Prestasi ekonomi Malaysia yang melonjak tinggi disebabkan kejatuhan mendadak 17.1% pada tempoh yang sama tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKegiatan ekonomi pada tempoh tersebut masih kekal di bawah keadaan sebelum pandemik. Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) untuk suku kedua adalah sebanyak RM336.3 bilion, RM14 bilion lebih rendah berbanding suku kedua tahun 2019 ( RM350 bilion ).\n\n\nPasaran buruh juga kekal muram apabila kadar pengangguran terkini meningkat kepada 4.8% pada Jun berbanding 4.5% pada Mei. Daripada 100 pekerja yang dibuang, hanya 35 orang mendapat pekerjaan baru, merudum dari 48 orang pada bulan Mei.\n\n\nPekerja yang diberhentikan semakin sukar untuk mendapat pekerjaan baru\n\n\nEksport negara pula mencanak naik 44% untuk suku kedua tahun ini, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 18% yang direkodkan pada suku pertama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaporan Bank Negara turut menunjukkan transaksi perbankan atas talian meningkat 36% kepada 12.1 bilion pada separuh pertama tahun ini setelah orang ramai beralih kepada transaksi atas talian.\n\n\nUnjuran pertumbuhan untuk tahun ini disemak semula kepada diantara 3.0% hingga 4.0% untuk tahun ini, jauh lebih rendah berbanding 6.0% hingga 7.5% yang diramalkan sebelum ini. Penurunan unjuran ini disebabkan kesan PKP3.0 yang merencatkan kegiatan ekonomi sejak Jun lalu.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-malaysia-tumbuh-3-1-pada-tahun-2021/", "title": "Ekonomi Malaysia Tumbuh 3.1% Pada Tahun 2021", "body": "\n\nShare it\nEkonomi Malaysia berkembang 3.6% pada suku keempat 2021\n\n\nLaporan Bank Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.6% pada suku keempat tahun lalu berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi keseluruhan tahun 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) negara meningkat 3.1% setelah susut 5.6% pada tahun 2020. Pertumbuhan ekonomi pada tahun lalu antara yang paling perlahan sejak tahun 2001 dimana ekonomi negara hanya berkembang 0.5%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPermintaan luar yang tinggi serta kelonggaran perintah kawalan pergerakan antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi pada suku keempat lalu.\n\n\nBank Negara menjangkakan momentum pemulihan dapat diteruskan pada tahun 2022 apabila aktivit ekonomi kembali beroperasi seperti biasa. Keadaan di pasaran buruh turut positif apabila kadar pengangguran telah berkurang kepada 4.2% pada Disember berbanding 4.3% pada November lalu.\n\n\nRisiko-risiko untuk tahun 2022\n\n\nWalaubagaimanapun, beberapa risiko turut dikenalpasti Bank Negara dalam mengharungi tahun 2022. Harga komoditi dan tenaga yang tinggi serta ketidaktentuan pasaran kewangan global mungkin memberi risiko terhadap pertumbuhan tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInflasi pada tahun ini dijangka meningkat secara sederhana setelah kesan asas rendah ( low base effect ) telah tamat apabila kos bahan api telah meningkat pada tahun lalu. Tekanan kos susulan harga komoditi yang tinggi serta gangguan rantaian bekalan antara risiko berpotensi yang mungkin memberi kesan kepada kadar inflasi.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ekonomi-tumbuh-8-9-pada-2q-2022-namun-20-daripada-sektor-ekonomi-masih-tenggelam/", "title": "Ekonomi Tumbuh 8.9% Pada 2Q 2022, Namun 20% Daripada Sektor Ekonomi Masih Tenggelam", "body": "\n\nShare it\nMalaysia rekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022\n\n\nEkonomi Malaysia rekodkan pertumbuhan setinggi 8.9% pada suku kedua 2022 setelah naik 5.0% pada suku pertama. Peningkatan permintaan domestik, pemulihan pasaran buruh serta eskport yang kukuh dipacu oleh sektor elektronik dan elektrik menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Bank Negara, sektor perkhidmatan naik 12% setelah negara beralih ke fasa endemik manakala sektor pembuatan pula naik 9.2%. Walaubagaimanapun, sektor pertanian dan perlombongan mengalami penguncupan apabila masing-masing susut 2.4% dan 0.5%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nStatistik pasaran buruh menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila kadar pengangguran terus menurun kepada 3.8% pada Jun 2022 berbanding 5.1% pada suku kedua 2020 dimana pandemik berada di fasa paling kritikal.\n\n\nBilangan orang yang membuat tuntutan kehilangan pekerjaan juga susut dari 10,400 orang pada suku pertama 2022 kepada 7,600 pada suku kedua tahun ini. Gaji di sektor pembuatan dan perkhidmatan terus meningkat kepada 7.8% yang turut disokong oleh kenaikan paras gaji minimum.\n\n\nPasaran buruh semakin memulih\n\n\nMeskipun begitu, Bank Negara Malaysia berkata ada kumpulan yang masih lagi ketinggalan di dalam pemulihan ekonomi Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Di dalam pasaran buruh, pemulihan dalam kalangan golongan rentan terutamanya golongan muda dan orang tua dengan kemahiran yang rendah adalah perlahan secara relatifnya berbanding kumpulan lain \u201d \u2013 Gabenor\u00a0 Bank Negara Malaysia, Tan Sri Shamsiah Yunus\n\n\n\n\nSub-sektor F&B dan penginapan, pertanian, perlombongan dan pembinaan turut berada di bawah paras sebelum pandemik. Aktiviti-aktiviti ekonomi di dalam sektor ini merangkumi sekitar 20% daripada keseluruhan ekonomi Malaysia.\n\n\nInflasi Malaysia Antara Yang Terendah Di Dunia\n\n\nMalaysia rekodkan kadar inflasi sebanyak 2.8% pada suku kedua tahun ini, terendah selepas China dan Jepun. Negara-negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat masing-masing merekodkan kenaikan inflasi tinggi 9.2%.\n\n\nMenurut Bank Negara, harga komoditi dunia yang meningkat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga makanan. Selain itu, tukaran nilai matawang Ringgit yang lemah juga turut menyumbang kepada inflasi makanan.\n\n\nInflasi Malaysia naik 2.8% pada suku kedua 2022\n\n\nUnjuran inflasi untuk tahun ini masih dikekalkan pada lingkungan 2.2% hingga 3.2%. Bank Negara juga memberi bayangan bahawa mereka akan terus menyelaraskan semula kadar faedah mereka seiring dengan pemulihan ekonomi bagi mengekang permintaan berlebihan yang mungkin boleh mengakibatkan tekanan harga.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBank Negara optimis pertumbuhan pada tahun ini akan berada di paras tinggi dalam unjuran mereka diantara 5.3% hingga 6.3%. Ketibaan pelancong asing serta pemulihan pasaran buruh dijangka akan menyokong pertumbuhan tahun 2022.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/empat-sebab-kenapa-fitch-ratings-turunkan-taraf-kredit-malaysia/", "title": "Empat Sebab Kenapa Fitch Ratings Turunkan Taraf Kredit Malaysia", "body": "\n\nShare it\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAgensi penarafan antarabangsa, Fitch Rating minggu lalu telah menurunkan taraf kredit Malaysia kepada BBB+ dari A- yang menunjukkan tahap keyakinan terhadap kemampuan Malaysia dalam memenuhi komitmen kewangan semakin menurun.\n\n\nTahap AAA dianggap sebagai tahap tertinggi yang bermaksud entiti tersebut mempunyai kapasiti yang tinggi untuk memenuhi tanggungjawab kewangan. Manakala gred D bermaksud entiti tersebut gagal untuk memenuhi komitmen kewangan mereka seperti gagal membuat pembayaran balik pinjaman.\n\n\nMenurut Fitch, impak yang dirasai oleh Malaysia akibat wabak Covid-19 merupakan antara punca utama taraf kredit Malaysia diturunkan kerana aktiviti ekonomi yang perlahan. Agensi ini mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia bakal menguncup 6.1% pada tahun ini sebelum melonjak 6.7% pada tahun hadapan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelain itu, Fitch turut menyatakan bahawa ketidaktentuan politik susulan perubahan kerajaan pada Mac lalu bakal memberi kesan kepada usaha dalam menambahbaik tahap urustadbir negara.\n\n\nKebimbangan Fitch ini mempunyai asas yang kukuh. Beberapa kes pendakwaan melibatkan ahli politik seperti kes membabitkan Tan Sri Musa Aman dan Tengku Adnan Tengku Mansor telah dilepaskan oleh pihak pendakwaan. Manakala anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Riza Aziz pula turut mengalami nasib yang serupa sekaligus mencetuskan keraguan mengenai usaha membasmi korupsi dalam kalangan sebilangan rakyat Malaysia.\n\n\nKebergantungan kerajaan Malaysia terhadap syarikat minyak negara, PETRONAS turut memberi kesan kepada taraf kredit Malaysia. Kerajaan dianggap tidak mempunyai punca hasil yang mampan berikutan pemansuhan Cukai Barangan & Perkhidmatan dan dianggap terlalu bergantung kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan dalam usaha meraih dana.\n\n\n\n\nFitch juga menjangkakan hutang kerajaan pada tahun ini bakal meningkat kepada 76% berbanding KDNK negara, meningkat dari 65.2% pada tahun 2019. Hutang 1MDB yang berjumlah RM32 bilion turut memberi tekanan kepada kerajaan dalam menguruskan dasar fiskal.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelain itu, PETRONAS turut mengalami nasib yang serupa dimana taraf kredit mereka diturunkan kepada BBB+ berbanding A- .\n\n\nPara ahli ekonomi berpendapat taraf kredit yang rendah bakal mempengaruhi kadar bunga yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana negara dianggap sebagai peminjam yang berisiko. Buat pelabur, agensi penarafan dianggap sebagai penanda aras dalam menilai prospek dan situasi sesebuah negara sama ada baik ataupun sebaliknya.\n\n\nNamun begitu, syarikat-syarikat penarafan seperti Standard and Poor, Moody\u2019s dan Fitch dianggap sebagai tidak boleh dipercayai oleh sebilangan pihak. Krisis Kewangan Global pada 2008 menjadi contoh terbaik kenapa reputasi agensi ini dipersoalkan. Pelbagai unit sekuriti dengan gred AAA telah dituruntarafkan oleh syarikat penarafan ini kepada gred \u2018sampah\u2019 dalam tempoh kurang dua tahun.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/gaji-minimum-pekerja-di-jakarta-lebih-tinggi-dari-kuala-lumpur-2/", "title": "Gaji Minimum Pekerja di Jakarta Lebih Tinggi dari Kuala Lumpur", "body": "\n\nShare it\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBermula 1 Februari 2020, gaji minimum pekerja di 57 bandar utama di Malaysia akan dinaikkan RM100 dari RM1100 kepada RM1200 sejajar dengan pengumuman pada pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lalu.\n\n\nPeningkatan gaji minimum sebanyak 9% di bandar-bandar utama ini merupakan inisiatif terbaru kerajaan dalam meningkatkan lagi pendapatan pekerja di Malaysia di mana gaji minimum di seluruh negara selain bandar-bandar utama kekal RM1100 seperti yang diumumkan pada tahun 2018.\n\n\nMeskipun kenaikan gaji minimum mendapat reaksi positif ramai pihak melainkan pihak majikan, gaji minimum di Kuala Lumpur masih lagi rendah jika dibandingkan dengan gaji minimum di ibu negara Indonesia, Jakarta. Tahun ini, Jakarta menaikkan gaji minimum mereka sebanyak 8.5% dari Rp3.9 juta kepada Rp4.3 juta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPeningkatan ini bermaksud pekerja di Jakarta memperoleh gaji kira-kira RM1,392 meningkat dari RM1,269 tahun lalu. Dalam kata lain, gaji minimum di Jakarta 16% lebih tinggi dari gaji minimum di bandar-bandar utama Malaysia.\n\n\nSejak 2015, gaji minimum di Jakarta telah meningkat 9.75% secara tahunan dari Rp2.7 juta kepada Rp4.3 juta. Kenaikan yang tinggi ini didorong oleh dasar kerajaan Indonesia yang menyemak kadar gaji minimum secara tahunan mengikut wilayah.\n\n\nBerbeza dengan Malaysia, kenaikan gaji minimum di negara ini pula adalah amat perlahan. Gaji minimum bagi Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama hanya meningkat dari RM900 pada tahun 2015 kepada RM1,200 pada 2020 iaitu bersamaan dengan kenaikan 5.92% secara tahunan.\n\n\nMengapa Gaji Minimum di Malaysia Naik Dengan Perlahan?\n\n\nMengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, kerajaan perlu menyemak kadar gaji minimum setiap dua tahun. Namun tersebut jarang berlaku bahkan kerajaan mengambil masa sehingga 30 bulan untuk mengumum kenaikan gaji minimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai contoh, gaji minimum ditingkatkan kepada RM1000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak pada Julai 2016. Peningkatan gaji minimum yang seterusnya pula hanya berlaku pada Januari 2019 dimana terdapat jurang selama 30 bulan sebelum semakan dibuat.\n\n\nDi Indonesia ataupun negara-negara maju yang lain seperti Australia dan New Zealand, gaji minimum disemak setiap tahun. Oleh itu, pertumbuhan gaji minimum di negara-negara tersebut lebih tinggi berbanding Malaysia.\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\nJika dikira berdasarkan waktu bekerja seminggu, bayaran upah oleh pekerja yang menerima gaji minimum di Kuala Lumpur juga jauh lebih rendah berbanding rakan mereka di Jakarta. Waktu bekerja untuk pekerja di Indonesia adalah 40 jam seminggu manakala di Malaysia pula 48 jam seminggu. Ini bermaksud upah sejam pekerja gaji minimum di Jakarta ialah RM8.05 manakala di Kuala Lumpur pula hanyalah RM5.77.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun Keluaran Dalam Negara Kasar Kuala Lumpur hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding Jakarta. Hakikatnya, upah minimum sejam di ibukota Indonesia itu 40% lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur.\n\n\n*Gambar feature dari Geotimes Indonesia\n\n\nFollow us on\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/gaji-penengah-pekerja-malaysia-jatuh-15-6-pada-2020/", "title": "Gaji Penengah Pekerja Malaysia Jatuh 15.6% Pada 2020", "body": "\n\nShare it\nGaji Penengah Pekerja Malaysia Susut 15.6% Tahun Lalu\n\n\nGaji penengah pekerja di Malaysia telah jatuh 15.6% kepada RM2,062 sebulan pada tahun lalu setelah negara terkesan teruk dengan endemik Covid-19. Pada tahun 2019, gaji penengah pekerja di Malaysia meningkat 5.8% kepada RM2,442.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKejatuhan RM380 gaji penengah pekerja di Malaysia ini telah membawa Malaysia empat tahun ke belakang iaitu dibawah paras sebelum tahun 2017.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSementara itu, gaji purata pekerja juga jatuh 9% dari RM3,224 kepada RM2,933.\n\n\nDalam kalangan pekerja tempatan, etnik Bumiputera merupakan kumpulan yang paling terkesan dengan krisis ekonomi ini. Gaji penengah mereka telah jatuh RM396 ( -16.4% ) dari RM2,415 kepada RM2,019. Manakala diikuti pekerja India dan Cina yang masing-masing mengalami kejatuhan sebanyak 9.2% dan 4.9% kepada RM2,014 dan RM2,470.\n\n\nRata-rata pekerja asing yang bekerja di sektor berkemahiran rendah juga terjejas teruk apabila gaji penengah mereka jatuh 23.1% dari RM1,836 kepada RM1,412.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya kekal menduduki tangga teratas dengan gaji penengah tertinggi di pada peringkat negeri dengan gaji penengah bulanan sebanyak RM3,717, menurun sedikit berbanding RM3,749 pada tahun sebelumnya.\n\n\nPutrajaya Catat Gaji Penengah Tertinggi di Malaysia\n\n\nKelantan pula berada di tangga tercorot dengan gaji penengah pekerja sebanyak RM1,343 sebulan, jatuh RM296 berbanding RM1,639 pada tahun sebelumnya.\n\n\nPenjawat Awam Catat Pertumbuhan Gaji Positif\n\n\nData yang dikeluarkan mengikut industri menunjukkan pekerja-pekerja yang berada di sektor awam ( pentadbiran awam dan pertahanan, aktivit keselamatan sosial wajib ) kekal mencatatkan pertumbuhan gaji yang memberangsangkan. Gaji penengah mereka telah meningkat 3.9% dari RM3,620 kepada RM3,761 pada 2020.\n\n\nPara guru dan pekerja kesihatan juga mencaatatkan gaji penengah positif iaitu masing-masing meningkat kepada RM5,058 dan RM3,602 sebulan pada 2020.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenemuan ini sudah dapat dijangka kerana tatkala segenap lapisan ekonomi telah terjejas teruk susulan langkah kawalan penularan Covid-19, sektor awam merupakan satu-satunya institusi yang berfungsi secara penuh.\n\n\n400,000 Orang Pekerja Bekerja Kurang Enam Jam Sehari\n\n\nLaporan turut menunjukkan terdapat berlaku peningkatan mendadak bagi pekerja yang tidak bekerja secara sepenuh masa. Kumpulan pekerja yang bekerja kurang dari enam jam sehari telah meningkat 175% dari 145,400 orang pada 2019 kepada 400,300 orang pada 2020.\n\n\nSituasi Semasa Lebih Parah\n\n\nKeadaan semasa dimana negara masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan ( kini dikenali sebagai Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara ) mencerminkan realiti sebenar ekonomi di negara ini. Meskipun sudah lebih 17 bulan kita berhadapan dengan virus ini, orang ramai masih lagi skeptikal dengan prospek keadaan ekonomi pada masa akan datang.\n\n\nKadar suntikan vaksin yang tinggi tidak memberikan apa-apa makna buat mereka yang menetap di Lembah Klang dan negeri-negeri yang teruk terkesan dengan Covid-19. Bilangan kes-kes baru terus mencatatkan rekod tertinggi jangkitan pada akhir-akhir ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHarus diingatkan, laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia ini khusus buat tenaga buruh yang mempunyai kerja tetap ( makan gaji ). Hakikatnya di Malaysia, kita mempunyai 2.1 juta orang pekerja yang bekerja sendiri yang jauh lebih terkesan dengan krisis ini.\n\n\nJika pekerja makan gaji dibuang kerja, sekurang-kurangnya mereka akan mendapat bantuan daripada PERKESO ataupun berpeluang untuk mengeluarkan simpanan persaraan mereka. Namun bagi mereka yang bekerja sendiri, hanya 6% daripada mereka yang mencarum kepada PERKESO.\n\n\nPekerja Berbangsa Cina Kekal Raih Gaji Penengah Tertinggi di Malaysia\n\n\nPerkara ini memberikan tekanan yang besar jika mereka kehilangan pendapatan tambahan lagi dengan pendapatan bulanan yang tidak stabil dan lebih rendah.\n\n\nDengan prestasi ekonomi yang menyedihkan tahun ini, adalah sesuatu yang tidak mengejutkan jika trend penurunan gaji pekerja di Malaysia akan terus mengalami kejatuhan untuk tahun kedua berturut-turut.\n\n\nMelihat dari kerangka yang lebih besar, isu gaji yang merudum bukanlah sesuatu masalah besar buat pasaran buruh negara dalam konteks semasa. Hal ini kerana gaji hanya dapat diberikan kepada golongan yang \u2018bertuah\u2019 iaitu mereka yang masih lagi mempunyai pekerjaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMasalah utama yang perlu lebih diberi perhatian adalah isu pengangguran terutamanya pengangguran belia yang akan membelenggu negara ini untuk tempoh seketika selepas krisis kesihatan ini berakhir. Dan jika perkara ini tidak ditangani dengan sewajarnya, ia bakal menjadi bom detik yang bakal meledak tidak lama lagi apabila rakyat kembali bergerak.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/gaji-penengah-siswazah-muda-jatuh-25-kepada-rm1550-sebulan/", "title": "Gaji Penengah Siswazah Muda Jatuh 25% Kepada RM1,550 Sebulan", "body": "\n\nShare it\nGaji Penengah Siswazah Muda Jatuh 25% Kepada RM1,550 Sebulan Pada 2020\n\n\nGaji penengah siswazah yang berumur dibawah 24 tahun telah jatuh 25% daripada RM2,066 sebulan pada 2019 kepada RM1,550 sebulan pada tahun lalu. Kejatuhan upah yang diterima siswazah ini turut dirasai oleh keseluruhan tenaga buruh yang mendapat pendidikan tinggi di Malaysia susulan endemik ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nGaji purata siswazah di Malaysia susut 10.6% dari RM5,020 kepada RM4,489 manakala gaji penengah pula turun 11.3% dari RM4,300 kepada RM3,796 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPeratusan pengurangan upah yang dialami oleh siswazah sememangnya lebih kecil berbanding apa yang dihadapi oleh keseluruhan pekerja di Malaysia. Pada statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini, gaji penengah pekerja di Malaysia jatuh pada kadar yang lebih besar iaitu sebanyak 15.6% kepada RM2,062 sebulan.\n\n\nPerkara ini sememangnya telah dijangka, siswazah-siswazah yang bekerja secara amnya mempunyai sedikit fleksibiliti untuk bekerja daripada rumah berbanding pekerja-pekerja lain. Namun perubahan gaji diantara dua kumpulan pekerja ini tidak jauh beza menunjukkan bahawa keseluruhan rakyat Malaysia sememangnya terkesan akibat krisis yang tidak berkesudahan ini.\n\n\nBagi siswazah muda, mereka antara yang paling teruk terkena tempias daripada situasi semasa ini. Gaji penengah yang menurun ke paras RM1,550 sebulan untuk siswazah berusia 24 tahun dan kebawah menunjukkan bahawa sijil pendidikan tinggi tidak memberikan premium yang signifikan kepada gaji mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nGaji Penengah Siswazah Malaysia Turun 11.3% Pada 2020\n\n\nUpah yang diterima siswazah muda ini hanyalah RM350 lebih tinggi berbanding gaji minimum yang ditetapkan di bandar-bandar besar.\n\n\nIsu yang berlanjutan ini sebenarnya telah menunjukkan kesannya sejak tahun lalu lagi. Jika diteliti, gaji penengah siswazah yang berusia 24 tahun ke bawah ( yang digunakan sebagai proksi untuk graduan baru) telah menurun dari RM2,112 sebulan pada tahun 2018 kepada RM2,066 pada tahun 2019.\n\n\nSiswazah yang bekerja di bawah kelayakan ( kemahiran ) juga telah telah meningkat dari 1.1 juta orang kepada 1.36 juta orang. Dalam kata lain, satu daripada tiga orang siswazah di Malaysia bekerja di dalam pekerjaan yang tidak sewajarnya.\n\n\nData yang dilaporkan turut mendapati terdapat 98,100 orang siswazah yang bekerja di dalam pekerjaan berkemahiran rendah.\n\n\nSiswazah Makin Lama Menganggur\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKrisis Covid-19 ini menambahkan lagi derita yang dilalui oleh siswazah-siswazah di negara ini. Statistik menunjukkan bahawa mereka kini menganggur pada tempoh yang lebih lama pada tahun lalu berbanding pada tahun sebelumnya.\n\n\nPada tahun 2020, 39.5% penganggur aktif dilaporkan menganggur melebihi enam bulan, meningkat berbanding 23.5% pada tahun sebelumnya. Bilangan siswazah yang menganggur juga telah meningkat dari 165,200 orang kepada 202,400 orang dalam tempoh yang sama.\n\n\nRelevan Lagikah Pendidikan Tinggi?\n\n\nSimptom-simptom yang berpunca daripada masalah struktur pasaran buruh di Malaysia telah hampir ke kemuncaknya. Isu graduan-graduan baru tidak mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan mereka sudah acap kali dibangkitkan namun sehingga kini masih tidak ada langkah khusus dalam menangani permasalahan ini.\n\n\nDi dalam artikel Ekonomi Rakyat terdahulu, Ahli Parlimen Muar membangkitkan soal modus operandi sebilangan insitut pengajian tinggi swasta yang meraih keuntungan luar biasa hasil daripada pembiayaan PTPTN.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n31.2% Siswazah Bekerja Dibawah Kelayakan Kemahiran Mereka\n\n\nTurut melontarkan pandangan yang serupa adalah bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang menyifatkan pendidikan tinggi negara scbagai penipuan besar yang memindahkan jutaan ringgit wang rakyat Malaysia kepada pemilik-pemilik IPTS swasta.\n\n\nKerajaan perlu meneliti dan menyelesaikan isu ini. Sistem pembiayaan pendidikan tinggi serta kualiti kelas pengajian IPTS perlu diteliti agar ia benar-benar memberikan nilai tambah kepada pelajar. Dalam konteks yang lebih besar, kerajaan juga perlu memastikan pekerjaan baru yang diwujudkan ini lebih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran tinggi.\n\n\nJika tidak, segala potensi, bakat dan pengetahuan yang ada pada jutaan siswazah hanya terbiar begitu saja tatkala negara membelanjakan berbilion ringgit untuk mensubsidikan pendidikan tinggi di negara ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/gaji-permulaan-graduan-semakin-jatuh-53-6-graduan-ijazah-terima-gaji-dibawah-rm2000/", "title": "Gaji Permulaan Graduan Semakin Jatuh, 53.6% Graduan Ijazah Terima Gaji Dibawah RM2,000", "body": "\n\nShare it\nGaji Permulaan Graduan Baru Semakin Rendah\n\n\nLaporan Kebolehpasaran Graduan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan rata-rata gaji graduan baru pada tahun 2020 telah menjunam. Bukan itu saja, kebolehpasaran graduan juga jatuh dari 86.2% pada 2019 kepada 84.4% pada tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\nData yang dikongsikan mendapati bilangan pemegang ijazah pertama baru yang memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan telah meningkat daripada 50.7% pada tahun 2019 kepada 53.6% pada tahun 2020.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPemegang ijazah yang memperoleh gaji di antara RM2,001 hingga RM3,000 pula jatuh dari 35.8% kepada 31.8% dalam tempoh yang sama. Walaubagaimanapun, terdapat peningkatan kecil bagi mereka yang bergaji lebih dari RM3,000 iaitu naik sedikit dari 14.1% kepada 14.6%.\n\n\nStatistik yang dikongsikan juga mendapati lebih satu per tiga graduan ijazah pertama memperoleh gaji kurang dari RM1,500 sebulan.\n\n\nTrend\n yang sama turut ditunjukkan dalam kalangan graduan baru diploma. Kajian tahunan ini mendapati 87.6% daripada mereka memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan, meningkat brerbanding 86.6% pada tahun 2019. Ini menunjukkan majikan membayar gaji yang lebih rendah kepada graduan baru pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n87.6% Graduan Baru Diploma Memperoleh Gaji Dibawah RM2,000 Sebulan\n\n\nPeratusan graduan baru yang memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelayakan mereka turut menjadi semakin rendah. Hanya 65.3% graduan memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi berbanding 66.6% pada tahun sebelumnya. Manakala terdapat peningkatan peratusan graduan yang bekerja di dalam pekerjaan berkemahiran rendah iaitu meningkat dari 6.1% kepada 7.6%.\n\n\nTiada Kerja, Ayuh Jadi Usahawan!!\n\n\nSebilangan pembuat dasar dan ahli akademik sering mencadangkan agar graduan-graduan baru menceburi bidang keusahawanan dan mewujudkan peluang pekerjaan sebagai majikan. Namun keadaan di lapangan menunjukkan realiti yang berbeza. Sebilangan besar usahawan memperoleh pendapatan yang lebih rendah berbanding mereka yang makan gaji.\n\n\nKajian mendapati lebih 80% graduan yang menjadi usahawan baru memperoleh pendapatan dibawah RM2,000 sebulan. Bahkan jika ditelusuri dengan lebih mendalam, terdapat 42.2% graduan yang memperoleh pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan. Angka ini lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.\n\n\n69% usahawan baru juga mendapat pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun, definisi usahawan yang dimaksudkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi agak longgar kerana ia turut meliputi mereka yang bekerja sendiri, \nfreelance\n dan majikan. Ini bermaksud jika seseorang graduan itu terlibat dalam ekonomi gig seperti menjadi pemandu \ne-hailing\n ataupun penghantar makanan, individu tersebut turut dikategorikan sebagai usahawan.\n\n\nAngka yang dikongsi turut mendapati bahawa peratusan graduan baru yang menjadi usahawan telah meningkat hampir lima kali ganda. Pada tahun 2016, hanya 3.7% graduan baru memilih untuk menjadi usahawan. Namun data terbaru menunjukkan terdapat 15.2% graduan baru yang memilih untuk menjadi usahawan.\n\n\n\n\nKami mendapatkan pandangan ahli ekonomi, Dr Nungsari Abdul Radhi bagi mengupas lanjut mengenai permasalahan ini. Menurut beliau, isu gaji graduan ini sebenarnya sudah berlarutan sejak sekian lama. Meskipun terdapat peningkatan gaji buat pekerja pada tahun-tahun sebelum ini, namun kadar peningkatan bagi mereka yang berpendidikan tinggi kian mengecil.\n\n\nBeliau turut menerangkan mengapakah permintaan terhadap graduan semakin berkurangan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDari segi permintaan di pasaran buruh, firma dan majikan ini semua beroperasi tanpa memerlukan tenaga mahir. Oleh sebab itu, permintaan terhadap tenaga mahir semakin kecil.\u00a0\n\n\n\n\nDr Nungsari turut menyatakan terdapat ketidaksepadan diantara penawaran dan permintaan graduan di Malaysia. Kata beliau, seramai 320,000 orang graduan dikeluarkan pada tahun lalu namun pekerjaan yang dicipta untuk mereka hanyalah sekitar 73,000 sahaja.\n\n\nBeliau turut berpendapat bahawa saranan agar graduan untuk menjadi usahawan tidak akan menyelesaikan masalah fundamental mereka dan turut merasakan bahawa bukannya mudah bagi graduan baru ini untuk menjadi usahawan.\n\n\n\n\nBukan semua orang dibentuk dan dididik untuk menjadi usahawan. Ada sesetengah orang boleh jadi ( usahawan ) , ada sesetengah orang tidak boleh jadi ( usahawan ).\n\n\n\n\nDr Nungsari Radhi merupakan ahli ekonomi dan mempunyai ijazah kedoktoran ekonomi daripada Purdue University, Amerika Syarikat. Beliau sebelum ini pernah dipilih sebagai ahli parlimen Balik Pulau dari tahun 1995 hingga 1999.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/gerhana-ekonomi-mampukah-malaysia-pulih-dengan-segera/", "title": "Gerhana Ekonomi \u2013 Mampukah Malaysia Pulih Dengan Segera?", "body": "\n\nShare it\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia berada di fasa terakhir Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka akan ditamatkan pada 28 April 2020 jika kes-kes baru Covid-19 semakin reda. Perintah ini memberikan kesan yang cukup besar buat ekonomi negara yang bersaiz RM1.51 trilion dimana banyak aktiviti peniaga dan perusahaan dihadkan.\n\n\nDi kala kita hampir berjaya menangani krisis Coronavirus ini, impak ekonomi ekoran Covid-19 ini masih belum terjangka. Agensi penarafan, Fitch Rating mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia akan -1% pada tahun ini. Manakala Bank Negara pula meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di dalam lingkungan -2% sehingga 0.5%. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pula menganggarkan ekonomi Malaysia akan menguncup 2.9%.\n\n\nMeskipun agensi-agensi ini mempunyai angka yang berbeza, apa yang pasti, ekonomi Malaysia akan menguncup pada tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTahun hadapan, pertumbuhan dijangka kembali positif. Tabung Kewangan Antarabangsa ( IMF ) mengunjurkan Malaysia akan tumbuh 9% meskipun unjuran IMF ini dikritik hebat oleh ahli ekonomi antarabangsa sebagai terlalu optimistik. Fitch Rating pula menjangkakan ekonomi akan kembali bangkit 5.8% pada 2021.\n\n\n\n\nTidak perlu dinafikan ekonomi akan kembali berkembang sejurus negara mengalami kemelesetan ekonomi. Contoh terdekat adalah Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 dan juga Krisis Kewangan Global pada 2008. Ekonomi Malaysia yang masing-masing jatuh 7.4% dan 1.5%, berkembang 6.1% dan 7.4% pada tahun berikutnya\n\n\nPersoalannya, mampukah Ekonomi Malaysia Pulih Dengan Segera?\n\n\nIMF pada Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia menjangkakan ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan terburuk sejak The Great Depression. Negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat tidak terlepas dari impak Covid-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSehingga 11 April 2020, seramai lebih 22 juta pekerja di Amerika Syarikat telah diberhentikan berdasarkan tuntutan bantuan pengangguran. Ini bermaksud kadar pengangguran semasa di AS berada sekitar 13.5% daripada keseluruhan tenaga buruh. Ahli Ekonomi Federal Reserve Bank of St. Louis, Miguel Faria E. Castro menjangkakan 47 juta orang akan dibuang kerja pada suku kedua tahun ini sekaligus meningkatkan kadar pengangguran kepada 32.1%. Jangkaan kadar pengangguran ini lebih tinggi berbanding kadar yang dicatatkan pada \nThe Great Depression\n.\n\n\nBiro Statistik Australia turut menjangkakan peningkatan jumlah pengganguran ekoran Covid-19. Kadar pengangguran diramalkan meningkat dari 5.2% kepada 10.0% menjelang suku kedua tahun ini. New Zealand turut menjangkakan perkara yang sama dimana kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 13% berbanding 4% sekarang ini.\n\n\nKiraan Ekonomi Rakyat dalam \nartikel lalu\n menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia akan meningkat kepada 13% dengan kira-kira 1.5 juta orang akan kehilangan pekerjaan. Jumlah orang menganggur dijangka seramai 2 juta orang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJabatan Perangkaan Malaysia pada 14 April lalu melaporkan bahawa kadar pengangguran pada bulan Februari tahun ini telah meningkat kepada 3.3% berbanding 3.2% pada Januari. Jumlah orang yang menganggur telah meningkat 2.6% kepada 525,000 orang. Menurut DOSM, data bulan Februari ini masih belum terkesan dengan kejutan dalaman akibat Covid-19.\n\n\nMalaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Prestasi ekonomi negara tidak semata-mata bergantung pada aktiviti dalaman tetapi juga berkait rapat dengan keadaan negara-negara luar. Setakat ini, kelihatannya rakan-rakan dagang utama Malaysia mengalami krisis yang semakin meruncing.\n\n\nSingapura yang merupakan destinasi eksport kedua terbesar negara melaporkan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi belakangan ini. Setakat ini, seramai 8,014 individu telah disahkan positif Covid-19. Arahan berkurung yang dipanggil sebagai \nCircuit Breaker\n turut dilanjutkan sehingga 1 Jun 2020. Ini bermaksud kawalan pergerakan di Singapura akan mengambil masa selama 55 hari jauh lebih lama berbanding Malaysia yang dijangkakan tamat minggu hadapan.\n\n\nAmerika Syarikat yang merupakan dagang ketiga terbesar Malaysia turut dihimpit teruk oleh krisis Covid-19 ini. Seramai 398,000 orang telah disahkan positif Covid-19 dengan angka kematian mencecah 13,000 orang. Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan Allianz, Mohamed El-Erian menjangkakan ekonomi AS akan menguncup sekitar 10-14% pada tahun ini.\n\n\nImpak ekonomi yang negatif terhadap negara-negara berkenaan sememangnya akan memberi tekanan terhadap ekonomi Malaysia. Menurut MATRADE, jumlah eksport Malaysia pada 2019 adalah sebanyak RM986 bilion. Eksport terbesar Malaysia, China merupakan antara beberapa negara utama yang dijangkakan akan mengalami pertumbuhan pada tahun ini. Justeru, prospek ekonomi Malaysia agak suram jika dilihat kepada keadaan ekonomi global.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagaimana Ekonomi Akan Pulih?\n\n\nKemelesetan Ekonomi pada kebiasaannya akan disusuli dengan pemulihan. Terdapat beberapa bentuk pemulihan iaitu bentuk V, bentuk U dan bentuk L. Ramai berharap bahawa dunia akan mengalami pemulihan bentuk V kerana ekonomi akan bangkit dengan pantas, namun pelbagai laporan menyatakan pemulihan ekonomi global pasca Covid-19 akan mengambil sedikit masa sekaligus lebih mimik kepada pemulihan bentuk U.\n\n\nPada detik ini, satu-satunya institusi yang berfungsi dengan kukuh adalah Kerajaan. Kerajaanlah yang berpotensi melentur lekuk pertumbuhan ekonomi dengan menggunakan segala polisi yang ada tatkala institusi lain seperti perniagaan ataupun isi rumah seakan-akan lumpuh.\n\n\nSeperti yang dinyatakan di dalam artikel-artikel yang lepas, jumlah perbelanjaan fiskal kerajaan sebanyak RM35 bilion tidak mencukupi dalam memulihkan ekonomi negara secara pantas. Terdapat banyak segmen di dalam masyarakat yang kelihatan tidak diberi bantuan yang mencukupi untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Sebagai contoh, pekerja yang bekerja sendiri dimana tidak ada bantuan khusus terhadap mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMIER dalam laporannya mencadangkan perbelanjaan fiskal sebanyak RM75 bilion bagi merangsang ekonomi negara.\n\n\nUmpama gerhana, ia akan berakhir. Begitu juga dengan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19. Perbezaannya adalah seberapa segera kita mampu kembali pulih dari krisis ini. Jika kerajaan gagal menggerakkan segala sumber yang ada secara berkesan, pemulihan ekonomi Malaysia mungkin akan memakan masa yang lama.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/great-depression-keynes-dan-krisis-covid-19/", "title": "Great Depression, Keynes dan Krisis Covid-19", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenularan wabak Covid-19 bukan sekadar meragut ribuan nyawa, ia juga memporak-perandakan susunan ekonomi dan sosial global. Di Malaysia, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac 2020 telah melumpuhkan ekonomi negara sekelip mata.\n\n\nKakitangan diarahkan bercuti tanpa gaji atau dipotong gaji. Ada juga yang diberhentikan serta-merta. Peniaga kecil-kecilan tidak berdaya berjual beli lantas hilang mata pencarian sekaligus. Sektor pelancongan, antara yang paling terkesan, sudah mula memohon bantuan kerajaan biarpun belum sampai dua bulan negara diserang wabak Covid-19.\n\n\nApatah lagi kejatuhan harga minyak mentah Brent yang telah menjejaskan pendapatan dan anggaran belanjawan negara.\n\n\nApakah ini krisis ekonomi paling teruk pernah kita saksikan? Buat generasi muda jawapannya mungkin ya. Namun, dalam sejarah moden dunia, krisis ekonomi yang paling teruk tentulah \nThe Great Depression\n (Zaman Meleset) yang melanda dunia dari tahun 1929 hingga 1938. Berikut adalah kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter tentang \nThe Great Depression\n,\n\n\n\u201c\nThe Great Depression\n, yang telah saya harungi dan tidak akan lupakan, pengangguran melebihi 25 peratus, malah melebihi 35 peratus di tempat tinggal saya. Seorang lelaki dewasa akan bekerja satu hari suntuk, selama 16 jam, demi meraih satu dolar. Saya melihat ratusan manusia yang merantau dari Utara hanya untuk berteduh daripada kesejukan.\u201d\n\n\n\u201cMereka akan ke rumah-rumah, mengemis, meskipun memiliki pendidikan kolej. Orang ramai tidak punyai wang. Mereka berdagang menggunakan telur, atau haiwan. Ia memang zaman yang tidak terbanding dan terbayang.\u201d\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMemang tidak dapat disangkal bahawa \nThe Great Depression\n adalah krisis ekonomi paling dahsyat dalam sejarah dunia abad ke-20. Namun, pada waktu genting inilah munculnya seorang pemikir agung ekonomi yang berjaya menyelamatkan dunia daripada terperangkap dalam kesengsaraan yang berlarutan. Nama beliau John Maynard Keynes.\n\n\nPeneliti ekonomi pasti sudah kenal dengan Keynes atau \nKeynesianism\n, yang kekal relevan hingga kini. Secara ringkasnya, jasa terbesar Keynes adalah menghapuskan dominasi faham \nlaissez-faire \ndalam pemikiran ekonomi arus perdana. Keynes telah menyumbangkan cara berfikir baharu dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.\n\n\nLaissez-faire\n, sebuah perkataan Perancis yang bermaksud \u201cbiarkan sahaja\u201d, mempercayai bahawa campur tangan kerajaan dalam ekonomi haruslah minimum. Campur tangan berlebihan akan melahirkan masalah yang lebih besar lalu merumitkan keadaan. Sepatutnya ekonomi yang merosot dibiarkan untuk pulih secara sendirinya. Sepertimana yang sering diungkapkan penganut faham itu, \u201c\nthe market knows best. \n(pasaran sentiasa betul)\n\u201d \u00a0\n\n\nSecara amnya, pendekatan inilah yang digunakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat semasa mengharungi krisis-krisis ekonomi yang lepas seperti pada tahun 1819, 1837, 1907 dan 1920. Walaupun ada juga campur tangan, ia bersifat sangat terhad dan lebih berpaksikan polisi monetari seperti melaraskan kadar faedah contohnya.\n\n\nMenurut faham \nlaissez-faire\n, semasa kemerosotan ekonomi, kerajaan akan bertindak untuk mencapai keseimbangan belanjawan. Umpama seorang individu yang kekurangan wang mula berjimat-cermat, kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan sehinggalah ekonomi kembali ke titik \nequilibrium \n(keseimbangan), dimana \nfull employment \n(guna tenaga penuh) akan wujud. Kemerosotan ekonomi dianggap sebagai \u201cdemam\u201d yang bersifat sementara.\n\n\nWalaupun kemerosotan ekonomi secara lazimnya bersifat sementara, penderitaan yang disebabkan \nThe Great Depression\n amatlah dahsyat sehinggakan mencabar kewibawaan dan kewajaran faham \nlaissez-faire. \nLihat sahaja angkanya.\n\n\nKadar pengangguran menyentuh 25% pada akhir 1932. Tahun itu juga menyaksikan ekonomi mengecut sebanyak 12.9% dan Indeks Perindustrian Dow Jones menjunam sebanyak 90% daripada titik puncak sebelum krisis bermula.\n\n\n\n\nDi tengah-tengah kemelut ini makin deraslah suara dan gagasan baru yang dirintis oleh Keynes. Keynes sebenarnya telah mula mengkritik pemikiran ekonomi klasik sejak awal 1920an.\n\n\nBeliau mengkritik, antaranya, sikap \nausterity \n(jimat cermat) kerajaan dalam menghadapi kemerosotan ekonomi. Pelaksanaan polisi \nausterity \nakan membuatkan khalayak lebih menabung daripada melabur. Pelaburan yang rendah akan memerangkap ekonomi dalam keadaan yang meleset, lalu merencatkan pertumbuhannya dan mengekalkan kadar pengangguran tinggi buat tempoh yang berpanjangan.\n\n\nSebaliknya kerajaan tidak perlu takut untuk mengamalkan perbelanjaan defisit, dan berhutang, demi tujuan menggalakkan penggunaan dan merangsang permintaan. Permintaan yang tinggi akan mendorong pihak pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran. Ini akan menambahkan pelaburan dan peluang pekerjaan. Kesimpulannya, ekonomi negara akan bangkit semula daripada kemelesetan.\n\n\nMalah, Keynes menyeru supaya kerajaan sendiri mengambil inisiatif memperbanyakkan projek-projek awam semasa ekonomi merosot. Berdasarkan konsep yang digelar \nthe multiplier effect \n(kesan pengganda), setiap suntikan satu dolar oleh kerajaan ke dalam ekonomi akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih besar daripada satu dolar. Konsep inilah yang menjadi teras bagi penggubalan \nThe New Deal\n (Perjanjian Baru) oleh Presiden Roosevelt yang diakui berjaya mengangkat ekonomi Amerika keluar dari \nThe Great Depression\n.\n\n\nRoosevelt, yang pernah memohon nasihat Keynes, meninggalkan kerangka \nlaissez-faire\n dan melancarkan sebuah program insurans persaraan awam bernama \nSocial Security \n(Jaminan Sosial). Pentadbiran Roosevelt juga menubuhkan \nWorks Progress Administration \nyang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan secepat mungkin. Kebajikan pekerja juga terperlihara dengan penggubalan \nFair Labor Standards Act. \n\n\nProgram-program \nNew Deal \nyang terang-terangan berorientasikan \nKeynesianism \nbertindak aktif dalam melindungi kebajikan golongan yang paling terkesan semasa kemelesetan ekonomi iaitu kelas pekerja.\n\n\nInilah warisan Keynes yang paling bernilai. Walaupun beliau mungkin lebih merisaukan kesinambungan sistem kapitalisme daripada kebajikan pekerja, tidak dapat dinafikan bahawa implikasi pemikirannya adalah perbaikan mutu hidup para pekerja. Ekonomi Keynes mendidik kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih berprihatin terhadap kelas pekerja dalam kemelesetan ekonomi.\n\n\nPengangguran, misalnya, bukanlah sekadar angka statistik di surat khabar. Ia melibatkan keadaan hidup dan mati berpuluh jutaan manusia. Tanpa revolusi Keynes, mungkin ekonomi Amerika akan dibiarkan sahaja untuk pulih sendiri sementara berpuluh jutaan warganegaranya hidup merempat tanpa pendapatan atau perlindungan. Silap-silap akan mengambil masa belasan tahun. Silap-silap itulah titik \nequilibrium \nekonomi yang baru.\n\n\nInilah kebimbangan utama yang wajib Kerajaan Malaysia selesaikan. Adakah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang baru-baru ini diumumkan memadai? Pastinya tidak. Situasi kali ini lebih rumit daripada krisis-krisis terdahulu. Kini terdapat ramai yang bekerja dalam sektor bukan formal seperti pemandu Grab dan penulis \nfreelance. \nKalau krisis ekonomi dulu para peniaga nasi lemak masih boleh berniaga. Sekarang, tidak boleh.\n\n\n\n\nKeputusan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 2 KWSP sebanyak RM500 sebulan tidak akan membantu ramai peniaga kecilan yang entah-entah tidak pernah pun mencarum ke dalam akaun KWSP. Harus diingatkan bahawa perniagaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi 97% perniagaan di Malaysia.\n\n\nBantuan kerajaan sebanyak RM600 sebulan bagi mereka yang dipaksa bercuti tanpa gaji tidak akan membantu pekerja sektor bukan formal yang terjejas pendapatannya seperti pemandu grab. Ada juga kemungkinan yang pekerja sesebuah syarikat tidak berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerja (SIP) justeru tidak layak menerima bantuan tersebut.\n\n\nMengambil iktibar dari Keynes, kerajaan perlu mengambil langkah pantas untuk memberikan perlindungan kepada golongan terkesan biarpun pekerja atau peniaga. Tumpuan utama patutnya memastikan mereka dijamin tempat berteduh, bekalan makanan, ubatan dan lain-lain bahan asas.\n\n\nSelepas terjamin perlindungan asas, kerajaan perlu memikirkan cara-cara untuk menjadikan mereka peserta ekonomi yang aktif. Bagaimana mahu merangsang permintaan dan penggunaan dalam kalangan mereka?\n\n\nMemandangkan sebarang aktiviti perniagaan tidak dibenarkan, adakah tiba masanya kerajaan melaksanakan \nuniversal basic income \n(pendapatan asas sejagat)? Adakah \ncash transfer \n(pemindahan tunai) seperti BSH diperlukan? Atau lebih efektif untuk mengagihkan e-tunai?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeningkatkan defisit fiskal adalah kaedah yang terbaik untuk menanggung program-program yang dicadangkan di atas. Ini bukan masanya untuk risau tentang keseimbangan belanjawan atau penarafan kredit oleh Moody\u2019s atau skor indeks \nWorld Economic Forum\n.\n\n\nBagi sesetengah warga Malaysia, ini sudah menjadi soal perjuangan antara lapar dan kenyang, antara susah dan senang, antara sempit dan lapang. Kerajaan tidak mampu untuk bergerak secara perlahan dalam mengurus masalah jangka-pendek ini. Sebarang bentuk penyelesaian harus dapat memanfaatkan golongan terkesan secepat mungkin.\n\n\nKelewatan merumuskan penyelesaian yang efektif akan mengeruhkan masalah yang semakin hari semakin teruk akibatnya. Hanya jangka masa pendek yang penting buat masa ini. Meminjam ungkapan Keynes yang tak luput dik zaman, \u201c\nin the long-run, we are all dead \n(dalam jangka-masa panjang, kita semua akan mati).\u201d\n\n\nFIKRI FISAL\n\u00a0\nmerupakan penyelidik pengajian pembangunan dan ekonomi politik (political economy).\u00a0\nBeliau juga merupakan penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/hanya-3-daripada-10-pekerjaan-baru-di-malaysia-dicipta-untuk-graduan/", "title": "Hanya 3 Daripada 10 Pekerjaan Baru di Malaysia Dicipta Untuk Graduan", "body": "\n\nShare it\nBilangan pekerjaan baru berkemahiran tinggi semakin berkurangan\n\n\nLaporan Tinjauan Pasaran Buruh terbaru oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan pekerjaan baru yang dicipta meningkat kepada 20,890 pekerjaan pada suku keempat tahun 2021. Angka ini 38.9% lebih tinggi berbanding 15,040 pekerjaan yang dicipta pada suku ketiga 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun, sebahagian besar pekerjaan baru yang dicipta masih didominasi oleh pekerjaan separuh mahir. Sebanyak 64% daripada keseluruhan 20,890 pekerjaan yang dicipta merupakan pekerjaan separuh mahir diikuti 29% pekerjaan mahir dan selebihnya pekerjaan berkemahiran rendah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUntuk keseluruhan tahun 2021, sebanyak 20,690 pekerjaan mahir dicipta, 18% lebih rendah berbanding 25,340 pekerjaan mahir yang dicipta pada tahun 2020 dimana pandemik Covid-19 mula melanda. Bilangan pekerjaan mahir yang dicipta pada ketika ini hanya bersamaan dengan 46% bilangan pekerjaan yang mahir yang diwujudkan pada tahun 2019.\n\n\nPerkembangan ini sudah pasti mewujudkan kebimbangan buat pekerja-pekerja di Malaysia terutamanya golongan muda yang baru tamat belajar. Isu graduan baru yang tidak mendapat pekerjaan yang setanding dengan kelayakan akademik mereka sudah pasti akan membelenggu golongan ini buat sekian lama.\n\n\n1.8 juta graduan bekerja di bawah kelayakan akademik mereka\n\n\nPada ketika ini, 1.8 juta orang graduan ataupun pekerja dengan pendidikan tinggi bekerja di dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan mereka. Di dalam istilah ekonomi, fenomena ini ditakrifkan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ( \nskill-related underemployment\n ).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJumlah 1.8 juta pekerja yang bekerja di pekerjaan yang berkemahiran rendah ataupun separuh mahir ini bersamaan dengan 37.5% daripada keseluruhan pekerja-pekerja berpendidikan tinggi. Ini bermaksud, satu daripada tiga pekerja dengan pendidikan tinggi di Malaysia bekerja di dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan pendidikan mereka.\n\n\nIsu graduan tidak mendapat pekerjaan yang sewajarnya ini sudah berlanjutan untuk sekian lama. Namun demikian, krisis Covid-19 telah menyebabkan masalah ini untuk lebih meruncing dengan bilangan mereka yang bekerja di bawah kelayakan meningkat dari 1.3 juta pada suku pertama 2018 kepada 1.8 juta pada suku keempat 2021.\n\n\nHampir 400,000 orang pekerja bekerja kurang daripada 30 jam seminggu\n\n\nSelain daripada itu, bilangan pekerja yang bekerja dibawah 30 jam juga kekal tinggi pada iaitu 393,800 orang. Berbanding keadaan sebelum pandemik, bilangan buruh yang bekerja dibawah 30 jam hanyalah 304,000 orang.\n\n\nPetunjuk ini memberi bayangan bahawa ramai pekerja di Malaysia tidak dapat memaksimumkan pendapatan mereka oleh kerana tidak cukup jam bekerja. Jam bekerja yang kurang sering berkait dengan permintaan buruh yang rendah sekaligus menyebabkan pekerja tidak mendapat waktu bekerja yang mencukupi daripada majikan mereka\n\n\nNamun demikian, bilangan pekerja yang bekerja dibawah 30 jam jauh lebih rendah berbanding ketika Malaysia berada di kemuncak Covid-19 iaitu pada suku kedua 2020 dimana 789,600 orang dilaporkan bekerja kurang daripada 30 jam susulan pelaksanaan perintah berkurung.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJabatan Perangkaan di dalam laporan tersebut menyatakan secara amnya keadaan pasaran buruh Malaysia berada di dalam momentum pemulihan. Kadar pengangguran terus berkurangan dari 4.7% pada suku ketiga kepada 4.3% pada suku terakhir 2021.\n\n\nBilangan mereka yang bekerja turut meningkat dari 1.8% kepada 15.44 juta orang meskipun negara masih berdepan masalah struktur yang serius terutamanya membabitkan pekerja-pekerja berpendidikan tinggi.\n\n\nArtikel berkaitan:\n\n\nGaji Permulaan Graduan Semakin Jatuh, 53.6% Graduan Ijazah Terima Gaji Dibawah RM2,000\n\n\nHutang Pendidikan Bebankan Graduan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nGraduan, Hutang & Pengangguran\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/harga-barang-semakin-tinggi-tetapi-kenapa-kadar-inflasi-kekal-rendah/", "title": "Harga Barang Semakin Tinggi, Tetapi Kenapa Kadar Inflasi Kekal Rendah?", "body": "\n\nShare it\nInflasi di Malaysia kekal rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain\n\n\nMenteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika diwawancara oleh CNBC di Davos menyatakan bahawa inflasi di Malaysia kekal rendah setelah Kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menyerap kesan inflasi melalui kawalan harga dan subsidi.\n\n\n\n\n\n\n\n\nNada yang sama turut diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato\u2019 Seri Mustapa Mohamed dimana beliau menyatakan kadar inflasi Malaysia yang berada di paras sekitar 2% adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi terkini iaitu pada April 2022 merekodkan kenaikan tahunan sebanyak 2.3%. Di Amerika Syarikat misalnya, kadar inflasi pada April naik 8.3% manakala di zon Eropah naik sebanyak 7.5%.\n\n\nDalam kalangan negara serantau, inflasi di Malaysia kekal antara yang terendah. Singapura merekodkan inflasi sebanyak 5.4% dengan inflasi teras berada di paras 3.3%, tertinggi sejak sepuluh tahun yang lalu. Filipina dan Thailand pula masing-masing mencatatkan inflasi sebanyak 4.9% dan 4.6%.\n\n\nPersoalannya, apakah rahsia \u2018kejayaan\u2019 Malaysia mengawal inflasi?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInflasi atau dari sudut teknikalnya dipanggil Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratus kos pembelian \u201cbakul\u201d tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.\n\n\nKomponen di dalam Indeks Harga Pengguna\n\n\nDi dalam IHP, terdapat 12 kumpulan utama yang diukur oleh Jabatan Perangkaan seperti kos makanan dan minuman bukan beralkohol, pengangkutan, kediaman dan sebagainya. Setiap komponen ini mempunyai wajarannya yang tersendiri. Terdapat 552 item keseluruhan yang ditinjau oleh DOSM setiap bulan.\n\n\nKumpulan makanan dan minuman bukan beralkohol menyumbang 29.5% kepada keseluruhan IHP manakala kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menyumbang 23.8% kepada indeks inflasi ini.\n\n\nAntara sebab mengapa inflasi kekal rendah di Malaysia adalah kerana kawalan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Sebagai contoh, harga minyak RON95 yang digunapakai secara meluas oleh rakyat ditetapkan pada RM2.05 seliter, jauh lebih rendah berbanding kira-kira RM4.50 seliter harga sebenar tanpa subsidi ketika ini.\n\n\nSituasi ini menyebabkan komponen IHP pengangkutan tidak meningkat kerana perbandingan inflasi ini dibuat berbanding tempoh yang sama untuk tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKadar inflasi bulan April 2022 akan dibandingkan dengan harga bulan April 2021\n\n\nKerajaan meneruskan subsidi terhadap petrol RON95 dan Diesel\n\n\nHarga bahan api tanpa subsidi sememangnya berada di paras tertinggi ketika ini. Proksinya boleh dilihat pada petrol RON97 dimana harga runcitnya kini mencecah RM4.70 seliter, paras tertinggi di dalam sejarah.\n\n\nDi Singapura misalnya, harga petrol RON95 telah naik dari sekitar $2.58 pada Januari 2022 lalu kepada $3.22 pada penghujung Mei 2022. Ini bermaksud warga Republik itu membayar RM10.30 bagi setiap liter petrol, lima kali ganda lebih tinggi berbanding harga yang dibayar oleh rakyat Malaysia.\n\n\nSelain petrol, Kerajaan juga memberi subsidi yang tinggi terhadap industri makanan sekaligus mengehadkan ketidaktentuan harga makanan. Beras dan minyak masak (paket) umpamanya yang merupakan barangan harian warga Malaysia disubsidikan oleh Kerajaan.\n\n\nKerajaan juga pada Januari lalu mengambil keputusan untuk membekukan kenaikan tarif elektrik dengan peruntukan tambahan subsidi sebanyak RM700 juta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam erti kata lain, inflasi di Malaysia yang kekal terkawal adalah kerana campurtangan Kerajaan di dalam pasaran melalui subsidi dan harga siling.\n\n\nNamun demikian, persepsi rakyat kelihatan tidak seiring dengan data-data rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan.\n\n\nMengapa persepsi rakyat berbeza dengan angka inflasi?\n\n\nRakyat melihat inflasi dari sudut kos sara hidup mereka. Manakala pembuat dasar melihat inflasi dari sudut makro yang mengukur peningkatan harga barangan secara keseluruhannya.\u00a0 Dua sudut pandang berbeza ini menyebabkan rakyat mungkin skeptikal dengan data-data inflasi yang dikeluarkan.\n\n\nIHP yang dikeluarkan oleh DOSM mempunyai 552 item yang diukur dari semasa ke semasa. Realitinya, rakyat Malaysia tidak membeli 552 barang secara harian. Pembelian harian seperti makan tengah hari di pejabat ataupun mengisi minyak kereta di stesen minyak lebih memberikan kesan kepada ingatan orang ramai.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat juga mempunyai \nmemory bias\n dimana perkara negatif lebih menonjol di dalam pemikiran kita. Sewaktu harga minyak berada pada paras RM1.30 seliter, rakyat mungkin tidak terasa dengan kenikmatan tersebut, tetapi apabila harga minyak kembali meningkat kepada RM2.05 seliter, rakyat mungkin berasa terbeban dengan harga minyak yang lebih tinggi ini.\n\n\nBank Negara Malaysia telah menjelaskan perkara ini sejak tahun 2017 lagi melalui artikel bertajuk \nInflation: Perception vs. Reality\n.\n\n\nPerception is Real\n\n\nHakikatnya, harga barangan harian di Malaysia sememangnya telah naik dengan drastik sekali. Keluhan rakyat ada asasnya meskipun data inflasi menunjukkan keputusan yang berbeza.\n\n\nHarga Sepinggan Nasi Ayam Naik 9.0%\n\n\nHarga nasi ayam misalnya telah naik 9.0% dari RM5.47 pada sebelum pandemik (Januari 2020) kepada RM5.96. Harga roti canai meningkat 7.1% dari RM1.13 sekeping kepada RM1.21 sekeping. Teh tarik pula naik 10% dari RM1.60 kepada RM1.76 secawan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAngka ini jauh lebih tinggi berbanding purata kadar inflasi sejak tahun 2011 iaitu sekitar 1.9%.\n\n\nItem-item ini merupakan barangan yang dibeli secara kerap oleh warga Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah rakyat sentiasa merasakan bahawa kos sara hidup semakin meningkat meskipun Kerajaan menyatakan inflasi kekal rendah.\n\n\nIsu kos sara hidup yang semakin meningkat ini dijangka akan terus berlarutan untuk sekian lama lagi. Penyusutan nilai matawang Ringgit akan memberi tekanan kepada kos import Malaysia. Golongan berpendapatan rendah antara yang paling berisiko untuk berdepan dengan peningkatan harga barangan terutamanya melibatkan perbelanjaan makanan. Hal ini kerana Malaysia mengimport RM55 bilion makanan setiap tahun dan kemorosotan nilai Ringgit sudah pastinya memberi tekanan kepada pengguna.\n\n\nUra-ura mengenai subsidi bersasar bahan api juga mula kedengaran. Jika Kerajaan menarik kembali subsidi runcit petrol, inflasi dijangka akan meningkat tinggi. Namun langkah berani mati seperti ini sudah semestinya akan diiringi dengan penambahan bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.\n\n\nArtikel berkaitan:\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n2022 \u2013 Malaysia vs. Inflasi\n\n\nMerungkai Faktor Kenaikan Harga Ayam & Daging di Malaysia\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/harga-minyak-petrol-di-malaysia-kekal-antara-yang-termurah-di-dunia/", "title": "Harga Minyak Petrol di Malaysia Kekal Antara Yang Termurah Di Dunia", "body": "\n\nShare it\nHarga minyak global mencanak naik setelah Rusia menceroboh Ukraine\n\n\nPetrol merupakan antara bahan keperluan rakyat Malaysia yang paling sensitif sekali. Hampir setiap minggu sekali rakyat Malaysia akan berhenti di stesen minyak bagi mengisi tangki kereta ataupun motosikal mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada harga RM2.05 seliter, rakyat Malaysia menikmati subsidi oleh Kerajaan sebanyak RM1.80 seliter*. Jumlah subsidi yang ditanggung Kerajaan dijangka akan terus bertambah setelah harga minyak mentah dunia meningkat melebihi $110 setong susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n*Harga petrol RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM3.85 seliter pada harga semasa\n\n\nTahun lalu, dengan harga purata minyak mentah yang jauh lebih rendah, Kerajaan Malaysia membelanjakan kira-kira RM8 bilion bagi menyalurkan subsidi petrol. Dengan jumlah penggunan petrol setinggi 14.4 bilion liter setahun, harga semasa minyak mentah yang meningkat melangkaui $110 setong sudah pastinya memberi tekanan yang tinggi kepada poket Kerajaan.\n\n\nAnggaran kasar Ekonomi Rakyat menunjukkan Kerajaan dijangka membayar sehingga RM26 bilion bagi meneruskan subsidi kepada rakyat pada harga semasa. Angka ini bersamaan dengan 150% daripada keseluruhan subsidi dan bantuan sosial yang diperuntukan Kerajaan di dalam Belanjawan 2022.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHarga minyak RON95 kekal pada RM2.05 seliter\n\n\nHarga Minyak Malaysia Terlalu Rendah\n\n\nHarga minyak di Malaysia pada RM2.05 seliter merupakan antara yang terendah di dunia. Berdasarkan kompilasi yang dikeluarkan oleh Global Oil Prices, hanya terdapat beberapa buah negara sahaja yang mempunyai harga minyak yang lebih rendah berbanding Malaysia.\n\n\nHampir kesemua negara tersebut mempunyai kadar pengeluaran minyak yang jauh lebih tinggi berbanding penggunaan domestik.\n\n\nDalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, harga Minyak di Malaysia merupakan yang terendah selepas Brunei. Singapura misalnya menetapkan harga minyak sebanyak RM8.51 seliter. Manakala Thailand dan Indonesia masing-masing menetapkan harga pada RM5.71 dan RM3.78 seliter.\n\n\nMalaysia dalam kalangan negara-negara yang mempunyai harga petrol terendah di dunia \u2013 5 Mac 2022\n\n\nDi Malaysia, polisi mesra kereta yang diperkenalkan Kerajaan telah mengakibatkan pemilikan kereta yang tinggi sekaligus mendorong kepada penggunaan minyak yang lebih tinggi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPolisi semasa yang memberikan subsidi di pam sudah pastinya tidak lagi mampan buat keadaan fiskal negara. Seperti yang dilaporkan oleh Ekonomi Rakyat pada tahun lalu, sebahagian besar subsidi ini hanya memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi.\n\n\nGolongan berpendapatan tinggi membolot sebahagian besar subsidi minyak\n\n\nGolongan tertinggi 20% mengaut 42% daripada keseluruhan subsidi minyak manakala golongan terbawah 20% hanya menikmati 4% daripada keseluruhan subsidi minyak yang diperuntukkan Kerajaan.\n\n\n[ Baca Artikel Di Sini : \nPatutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai\n ]\n\n\nLangkah pentadbiran Barisan Nasional untuk mengapungkan harga minyak tidak bertahan lama. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Kerajaan pada ketika itu mengekalkan harga minyak pada RM2.20 seliter bagi memastikan isu kenaikan harga minyak tidak dipolitikkan semasa Pilihan Raya.\n\n\nPentadbiran Pakatan Harapan mengapungkan semula harga minyak pada harga semasa namun apabila negara dilanda krisis Covid-19, pentadbiran Perikatan Nasional menetapkan harga siling minyak RON95 pada RM2.05 seliter bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak global yang mula pulih selepas kejatuhan mendadak harga minyak dunia pada awal krisis Covid-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApungkan Harga Minyak?\n\n\nPengapungan harga minyak sudah semestinya bukan langkah yang popular untuk dilaksanakan Kerajaan. Dengan kadar inflasi yang sudahpun tinggi iaitu pada 2.5% pada tahun lalu, peningkatan bahan api bakal melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat kerana ia mempunyai kesan domino terhadap harga barangan lain.\n\n\nHarga minyak petrol di Malaysia merupakan yang terendah di Asia Tenggara selepas Brunei \u2013 5 Mac 2022\n\n\nPada detik ini, penerusan subsidi menyeluruh di pam kelihatan tidak mampan untuk jangka masa yang panjang kerana belanja yang terlalu besar buat perbendaharaan negara. Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia disamping menarik kembali subsidi runcit minyak secara beransur-ansur.\n\n\nNamun ia tetap akan menjadi satu langkah yang tidak popular secara keseluruhannya\u2026.. Atau Kerajaan boleh menggunakan keuntungan besar yang bakal dijana PETRONAS ( jika harga minyak kekal tinggi ) untuk terus membiayai dasar subsidi yang terbukti tidak efisien ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/harga-rumah-naik-hampir-100-dari-tahun-2010-hingga-2020/", "title": "Harga Rumah Naik Hampir 100% Dari Tahun 2010 Hingga 2020", "body": "\n\nShare it\nHarga Penengah Rumah Meningkat dari RM158,000 Pada 2010 Kepada RM295,000 Pada Tahun 2020\n\n\nRumah\u2026. Satu aset yang begitu mahal untuk dimiliki ketika ini. Jika ada pun yang sedia untuk dijual pada harga yang berpatutan, lokasinya berada di ceruk kampung dengan akses yang fasiliti yang mengecewakan. Isu ini bukannya masalah baru namun sudah berlarutan sejak sekian lama.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi generasi baru, memiliki kediaman merupakan satu impian yang kekal menjadi mimpi. Dengan kenaikkan gaji yang rendah, menyewa merupakan pilihan utama golongan ini berbanding terikat dengan komitmen tinggi untuk tempoh sehingga 35 tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Pusat Informasi Hartanah Negara ( NAPIC ), harga rumah di Malaysia telah meningkat hampir 100% dari tahun 2010 hingga 2020. Indeks harga rumah telah naik dari garis asas 100 mata kepada 199.3 mata dalam tempoh sepuluh tahun. Dari segi nilai mutlak, purata harga rumah telah naik dari RM217,857 kepada RM429,877.\n\n\nIni bermaksud dari tahun 2010 hingga 2020, harga rumah telah naik sebanyak 7.1% setiap tahun, lebih tinggi berbanding pulangan pelaburan Amanah Saham Bumiputera yang mencatatkan pulangan untuk tempoh 10 tahun sebanyak 7.06%.\n\n\nHarga Rumah Naik Hampir 100% Sejak Tahun 2010\n\n\nZaman kegemilangan aset hartanah ini terletak pada tahun 2011 hingga 2013. Harga rumah telah meningkat kepada dua digit iaitu 11.8% dalam tempoh tiga tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun demikian, peningkatan harga rumah ini rata-rata hanya menguntungkan individu-individu yang sudah pun memiliki rumah. Bagi orang ramai, angka-angka tinggi yang dilihat ini sesuatu yang menyeramkan mereka kerana peningkatan gaji mereka yang tidak setara dengan kenaikkan harga rumah.\n\n\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah di Malaysia hanya naik dari RM1,500 pada tahun 2010 kepada RM2,442 pada tahun 2019. Ini bersamaan dengan 5.5% kenaikkan gaji tahunan, jauh lebih rendah berbanding kenaikkan harga rumah.\n\n\nDapatan Kementerian Kewangan Malaysia menunjukkan harga rumah kekal mahal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia. Harga penengah rumah di Malaysia adalah 4.1 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan tahunan isi rumah Malaysia sebanyak RM70,476 setahun.\n\n\nMenurut definisi yang digunapakai oleh Institut Penyelidikan Khazanah, harga rumah dianggap mampu milik jika ianya berada di bawah 3.0 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah. Jika lebih, ia tidak dianggap sebagai tidak mampu milik seperti tertera di dalam keterangan dibawah.\n\n\nRumah di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik Menurut Tinjauan Kerajaan\n\n\nHarga penengah rumah di Malaysia pada tahun 2019 adalah sebanyak RM289,646, menurun dari RM298,000 pada tahun 2016. Skor gandaan median ( antara harga rumah dan pendapatan isi rumah ) telah jatuh dari 4.8 kali ganda kepada 4.1 kali ganda.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun trend menurun ditunjukkan untuk data terbaru, ia mungkin tidak memberi apa-apa makna kepada orang ramai kerana impak Covid-19 yang begitu kuat melanda negara ini.\n\n\nData menunjukkan Sabah, Sarawak dan Kelantan antara negeri yang paling tidak mampu milik di Malaysia. Di Sabah, pendapatan penengah isi rumah mereka hanyalah RM50,820 setahun, namun harga rumah penengah adalah sebanyak RM300,000.\n\n\nPutrajaya pula mencatatkan indeks terbaik bagi rumah mampu milik. Harga penengah rumah di wilayah ini adalah sekitar RM260,000 tatkala pendapatan isi rumah tahunan yang tinggi iaitu pada RM120,000. Satu situasi yang tidak mengejutkan kerana gaji di sektor awam secara relatifnya lebih tinggi berbanding pendapatan majoriti yang bekerja di sektor swasta.\n\n\nGaji Naik Pada Kadar Yang Lebih Rendah Berbanding Harga Rumah\n\n\nIsu harga rumah yang tinggi kelihatan tidak akan diselesaikan pada masa yang singkat ini. Dengan majoriti pemilik utama di pemaju-pemaju perumahan di Malaysia dimiliki oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, tidak terpancar sebarang sinar bagi pihak kerajaan untuk membina rumah mampu milik buat rakyat.\n\n\nBagi pemilik rumah sedia ada yang membayar ansuran bulanan, menurunkan harga rumah bukanlah sesuatu polisi yang didambakan buat mereka. Bahkan, merekalah antara kumpulan yang memperoleh keuntungan besar dari peningkatan harga rumah sejak 10 tahun yang lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUntuk mereka yang belum memiliki rumah, anda mungkin boleh terus menyewa dan menyewa. Atau tunggu had pinjaman perumahan dinaikkan sehingga 40 tahun, sekaligus meningkatan kebarangkalian permohonan hutang anda untuk diluluskan oleh pihak bank.\n\n\nArtikel bahagian kedua : \n53,200 Unit Rumah Bernilai RM40 Bilion Masih Belum Terjual \u2013 Dimana Silapnya?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/hutang-pendidikan-bebankan-graduan/", "title": "Hutang Pendidikan Bebankan Graduan", "body": "\n\nShare it\nAnak muda dibebankan dengan hutang PTPTN yang tinggi\n\n\nHutang pendidikan antara hutang pertama yang membebankan anak-anak muda di Malaysia. Selesai sahaja konvokesyen, surat-surat yang sampai daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) menimbulkan rasa seram buat mereka yang baru saja bergraduasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerkara ini bukan hanya dihadapi oleh anak muda di Malaysia saja. Di Amerika Syarikat, isu hutang pendidikan antara agenda penting yang mendapat perhatian Presiden Joe Biden. Beliau juga telah\u00a0 mempertimbangkan untuk memberikan pengampunan hutang kepada sebilangan peminjam.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada ciapan di Twitter pada Mac 2020, Joe Biden menyatakan hutang pendidikan ditanggung bekas pelajar patut dilupuskan dengan jumlah sekurang-kurangnya $10,000.\n\n\nSetelah mendapat kuasa pada Januari lepas, warga Amerika kembali menuntut janji ini dilaksanakan dimana petisyen pelupusan hutang yang dibuat telah ditandatangani lebih satu juta orang. Hutang pendidikan di Amerika Syarikat kini bernilai $1.7 trilion yang bersamaan 7.5% saiz ekonomi Amerika dengan anggaran purata hutang peminjam sebanyak $38,000 seorang.\n\n\nManakala di Malaysia, hutang PTPTN dianggarkan berjumlah RM40 bilion dengan purata hutang sebanyak RM13,800. Isu hutang PTPTN ataupun hutang pendidikan ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan terus menghantui graduan dengan perkembangan mutakhir ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan gaji permulaan graduan semakin menurun. Hampir 54% graduan baru memperoleh gaji dibawah RM2,000. Bukan itu saja, terdapat juga sebilangan besar graduan baru yang melaporkan bahawa mereka menerima pendapatan dibawah paras gaji minimum.\n\n\nSyed Saddiq yang diwawancara menyatakan sistem pendidikan tinggi negara perlu distrukturkan semula. Menurut beliau, universiti-universiti swasta telah mengaut keuntungan lumayan hasil daripada sistem pembiayaan PTPTN ini apabila menyediakan pengajian yang tidak berkualiti selain tidak mengikuti kehendak industri.\n\n\n\n\n\u201d Anak-anak muda ditipu, dengan ciptaan naratif dimana, tak mengapa kamu ditolak untuk masuk IPTA, jangan risau kami kolej swasta akan memberikan kamu ijazah, kami pastikan kamu dapat ijazah tersebut walhal kamu akan dibebankan dengan hutang PTPTN yang sangat tinggi kerana kos pembiayaan itu yang lebih tinggi.\n\n\nDan apabila kamu jadi salah seorang graduan, \nthere\u2019s only one out of two\n, ataupun dalam kadar 50% saja kamu akan dapat pekerjaan. Kalau dapat pun gaji yang sangat rendah. \u201c\n\n\n\n\nPenjelasan Ahli Parlimen Muar ini ada asasnya, carian Ekonomi Rakyat menunjukkan bahawa sebilangan besar syarikat-syarikat pendidikan swasta yang tersenarai bergantung tinggi dengan pembiayaan dari PTPTN.\n\n\nSebagai contoh, 65% penghutang SEGI International merupakan hutang daripada peminjam PTPTN. Manakala laporan akhbar The Edge pada 2010 menunjukkan Masterskill Berhad ( kini Minda Global ) bergantung tinggi kepada PTPTN untuk membiayai 95% kos pengajian pelajar mereka.\n\n\nSyed Saddiq juga menyuarakan kebimbangan dengan sebilangan universiti swasta yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan sekaligus merugikan pelajar.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Tetapi hutang PTPTN paling tinggi bagi anak muda yang menyertai universiti swasta, masalahnya lebih besar apabila mereka masuk di universiti swasta, ambil hutang. Tetapi akhirnya bila mereka jadi graduan, it\u2019s not even accredited. Kita lihat baru-baru ini apa berlaku di Limkokwing University. \u201c\n\n\n\n\nSyed Saddiq turut berpendapat agar tempoh pengajian pendidikan tinggi di Malaysia untuk dipendekkan. Katanya, pelajar-pelajar di Malaysia menghabiskan tempoh masa yang lama di alam universiti sekaligus membebankan mereka dan kerajaan.\n\n\n\n\n\u201d Apabila kita bincangkan soal hutang yang salah seorang graduan itu akan bawa apabila mereka masuk ke bidang pekerjaan adalah untuk kita menstrukturkan semula sistem pendidikan di Malaysia. Kalau kita lihat di luar negara, even in best universities, Ivy League universities, mereka perlukan hanya tiga maksimum empat tahun untuk menjadi salah seorang graduan.\n\n\nDan apabila mereka graduate pada umur yang lebih muda. mereka ada masa yang agak lapang. terus bekerja atau timba pengalaman melalui latihan amali ataupun internship. Tetapi di Malaysia ia memakan masa empat ke enam tahun. Kerana kita ada asasi, selepas itu, banyak sangat university mandated courses. Ini adalah subjek-subjek yang kadangkala tidak ada kena mengena dengan kursus yang seseorang itu ambil. \u201c\n\n\n\n\nBeliau berkata jika perkara ini dapat diselesaikan semula, penjimatan yang terhasil ini dapat digunakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta membantu golongan yang memerlukan. Syed Saddiq juga berharap penekanan dapat diambil terhadap industri TVET yang turut memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan yang agak baik kepada pelajar.\n\n\nIndustri pendidikan negara kini boleh dianggap berada pada tahap kritikal. Dengan peluang pekerjaan yang terhad selain gaji permulaan yang semakin rendah, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan anak muda tidak terus dibebani hutang yang tidak wajar selain memastikan masa depan yang cerah buat graduan.\n\n\nSyed Saddiq sarankan pendekkan tempoh pengajian di universiti\n\n\nBagi mereka yang dibebani hutang, pengampunan pinjaman pendidikan mungkin boleh dipertimbangkan untuk meringankan beban mereka. Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil, kerajaan negeri Sarawak misalnya telah melunaskan sebahagian pinjaman anak negeri mereka dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/imf-kiblat-ekonomi-malaysia/", "title": "IMF: Kiblat Ekonomi Malaysia?", "body": "\n\nShare it\nEkonomi merupakan antara topik yang cukup digemari oleh ahli-ahli politik dalam usaha menampilkan sisi profesional mereka di khalayak ramai. Jika diperhatikan pada setiap kali musim pilihan raya, isu-isu ekonomi sering kali diketengahkan melalui manifesto-manifesto parti politik, meskipun retorik bangsa dan agama terus menjadi taktik utama dalam kempen mengumpan undi rakyat.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada ketika itu, seakan-akan kesemua ahli politik ini tiba-tiba menjadi pakar ekonomi yang begitu hebat dalam membicarakan soal pembangunan negara, pelaburan, inflasi, pengangguran dan sebagainya. Pelbagai terma dan istilah ekonomi yang begitu canggih disebut berulang kali bagi meyakinkan rakyat bahawa merekalah individu yang paling tahu dan layak dalam soal menguruskan ekonomi negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMisalnya, ahli-ahli politik yang memegang portfolio pelaburan dan perdagangan,\u00a0baik di Kerajaan negeri mahupun persekutuan, begitu gemar untuk membuat pengumuman besar-besaran mengenai kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai berbillion-billion ringgit. Walaupun tidak dinafikan kemasukan FDI ini adalah satu perkembangan yang baik buat ekonomi, apa yang ahli-ahli politik ini umumkan hanyalah pelaburan yang diluluskan. Walhal, jumlah pelaburan yang berjaya direalisasikan mungkin lebih rendah daripada apa yang diluluskan.\n\n\nSebagai contoh, Malaysia berjaya tarik FDI berjumlah RM392.9 billion antara tahun 2018-2021. Namun, pelaburan FDI yang berjaya direalisasikan dalam tempoh tersebut hanyalah RM297.03 billion atau 75.6% daripada FDI yang diluluskan. Selebihnya hampir 25% sama ada masih belum, atau tidak berjaya dilaksanakan.\n\n\nJika diperhatikan, kadangkala manifesto yang dijanjikan sesetengah parti-parti politik ini sungguh tidak realistik untuk dilaksanakan serta-merta. Kebanyakan manifesto ini dirangka untuk tempoh jangka masa sederhana, iaitu untuk tempoh lima tahun mendatang sekiranya mereka memenangi pilihan raya yang ditandingi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, manifesto-manifesto ini sering menabur polisi-polisi yang begitu radikal, tanpa mengambil kira sama ada boleh dilaksanakan ataupun tidak dalam tempoh jangka masa sederhana tersebut. Antara yang sering didengari termasuklah janji untuk menghapuskan hutang PTPTN, memansuhkan kutipan tol, menurunkan harga minyak serta merta dan pelbagai janji manis lain.\u00a0\n\n\nHakikatnya, terdapat pelbagai isu struktur ekonomi yang perlu dirawat terlebih dahulu bagi membolehkan manifesto-manifesto ini dijalankan. Akibatnya, ada antara manifesto ini tidak mampu dilaksanakan, malah hanya menjadi bola tanggung bagi dimanfaatkan pihak tertentu.\n\n\nAhli Politik Perlu Lebih Memahami Ilmu Ekonomi\n\n\nPun begitu, ini tidaklah bermaksud ahli-ahli politik ini perlu menjauhkan diri mereka daripada berbicara soal ekonomi. Malah, merekalah yang sepatutnya lebih mengetahui teori dan realiti ekonomi dengan kefahaman yang lebih mendalam. Hal ini kerana Jemaah Menteri yang dibentuk memiliki kuasa legislatif, sekali gus menjadikan mereka antara pembuat dasar tertinggi di negara ini. Segala keputusan yang ditentukan mereka akan menentukan hala tuju ekonomi negara dalam jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang.\n\n\nBukan sahaja ilmu ekonomi ini perlu dikuasai oleh ahli-ahli politik di blok Kerajaan semata-mata, bahkan mereka di pihak pembangkang juga perlu menguasainya dengan baik agar dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam semak dan imbang segala keputusan yang dibuat dalam Parlimen. Meskipun ahli-ahli Parlimen, mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ini tidak memegang jawatan dalam Kabinet, mereka tetap menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing. Memiliki ilmu ekonomi yang baik akan membantu mereka merancang agihan peruntukan dengan lebih efektif dan optimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSumber Gambar : Laman FB Syahir Sulaiman\n\n\nBaru-baru ini, arena politik negara dirancakkan dengan sebuah perdebatan ekonomi antara Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).\u00a0\n\n\nDebat yang membawa tajuk \u201cModel Baharu Ekonomi Malaysia\u201d ini mendapat sambutan yang cukup hangat, lebih-lebih lagi kerana ia diadakan dalam masa lebih kurang tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri. Tinjauan di Youtube mendapati siaran langsung debat ini di akaun rasmi Astro Awani mendapat sekitar 258 ribu tontonan, begitu juga dengan KiniTV (299 ribu) dan Harian Metro (162 ribu).\n\n\nSemasa perdebatan tersebut, Syahir Sulaiman mengkritik Ekonomi MADANI kerana inti patinya dikatakan banyak meniru bulat-bulat apa yang terkandung dalam nota penyelidikan atau kertas cadangan yang dirangka oleh institusi luar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pendapat yang sama turut dikongsi pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, yang menggesa Kerajaan memiliki strategi unik demi memastikan Ekonomi MADANI dapat mencapai matlamat yang diinginkan.\n\n\nBank Dunia dan IMF Memiliki Kepakaran Dalam Penyelidikan Ekonomi\n\n\nSekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sebenarnya penglibatan pihak luar dalam soal pembangunan ekonomi negara telah bermula sejak sebelum Kemerdekaan lagi. Sebagai contoh, Pelan Draf Pembangunan (1950-1955) yang menjadi asas kepada Rancangan Malaysia telah dibangunkan oleh pentadbiran British di Tanah Melayu pada ketika itu. Malah, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi dan Sekretariat Ekonomi (kini dikenali sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU)) pada tahun 1956 merupakan hasil saranan daripada International Bank for Reconstruction and Development (IBRD), atau dikenali sebagai Bank Dunia pada ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDaripada satu sudut, sememangnya perlu diakui bahawa tiada masalah sekiranya Malaysia mahu mengikuti nasihat-nasihat ekonomi yang dicadangkan oleh institusi-institusi luar sebegini. Hal ini kerana institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF ini bukan calang-calang dari sudut kepakaran ekonomi dan jentera penyelidikan yang dimiliki mereka. Segala laporan atau kertas cadangan yang diterbitkan mereka sudah tentunya dihasilkan oleh pakar-pakar ekonomi yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang begitu luas.\u00a0\n\n\nCadangan dasar atau \npolicy recommendation\n yang dibuat oleh IMF secara kebiasaannya melibatkan sesi konsultasi dan pelbagai perbincangan bersama negara-negara anggota, demi mencapai matlamat ekonomi yang terbaik. IMF memperuntukkan Artikel IV di bawah IMF\u2019s Articles of Agreement bagi mengadakan sesi konsultasi bersama wakil negara-negara anggota pada setiap tahun. Sesi konsultasi IMF bersama Malaysia yang terkini telah berakhir pada 20 Mac 2023. Hasil perbincangan daripada sesi konsultasi inilah yang akan menjadi kerangka kepada cadangan dasar yang diutarakan. Tambahan pula, Malaysia juga sudah menjadi negara anggota IMF sejak hujung 1950an.\n\n\nSekiranya dahulu, mungkin majoriti penyelidik yang berada dalam IMF dan Bank Dunia ini berasal dari negara-negara Barat. Namun, situasinya sudah berubah ketika ini apabila Bank Dunia pada tahun 2016 misalnya, telah membuka sebuah hab penyelidikan bersama yang terletak di Sasana Kijang, berhampiran Bank Negara Malaysia. Ada sebahagian penyelidik yang bekerja di Bank Dunia ini terdiri daripada warga Malaysia. Sekiranya diteliti nota atau laporan penyelidikan yang dikeluarkan IMF dan Bank Dunia, kebanyakannya sudah diterbitkan dalam konteks ekonomi tempatan. Sebagai contoh, Bank Dunia menerbitkan laporan Malaysia Economic Monitor sebanyak dua kali setahun khas bagi membincangkan isu-isu ekonomi yang relevan di negara ini.\n\n\n\u2018False-Paradigm Model\u2019, Risiko Buat Pembangunan Ekonomi Malaysia\n\n\nSelain isu keunikan wawasan ekonomi, YB Syahir Sulaiman turut membangkitkan persoalan \u2018kiblat ekonomi\u2019 siapakah yang menjadi rujukan pentadbiran Kerajaan sekiranya apa yang terkandung dalam Ekonomi MADANI dilihat banyak persamaan dengan laporan IMF. Kegusaran Syahir Sulaiman ini ada rasionalnya. Hal ini kerana antara aspek yang wajar dilihat dalam perkara ini ialah fenomena \u2018false-paradigm model\u2019 yang sering berlaku dalam kalangan negara mundur dan membangun.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u2018False-paradigm model\u2019 berlaku apabila pembangunan ekonomi sesebuah negara tidak dapat mencapai potensi yang sebenar, berpunca dari nasihat ekonomi yang salah diberikan oleh pakar-pakar ekonomi atau institusi-institusi antarabangsa dari negara-negara maju.\n\n\nMeskipun negara-negara maju ini memiliki sumber pengetahuan yang lebih hebat bagi menasihati hala tuju pembangunan ekonomi negara-negara mundur atau membangun, hakikatnya hanya negara mundur atau membangun tersebut sahaja yang benar-benar tahu realiti sebenar di negara masing-masing. Mungkin ada cadangan dasar yang diberikan ini berkesan di negara negara-negara maju, tetapi sebenarnya tidak sesuai dilaksanakan di negara-negara mundur atau membangun tersebut. Akibatnya, ada sesetengah negara mundur atau membangun ini sukar mencapai status ekonomi maju akibat tersilap langkah dalam merangka polisi ekonomi negara.\n\n\nSebagaimana yang diterangkan oleh ahli ekonomi Korea Selatan Ha Joon Chang dalam buku beliau Kicking the Ladder, negara-negara maju (baca: Barat) ini sering memaksa negara-negara mundur dan membangun mengguna pakai polisi \u2018best-practice\u2019 yang dirangka oleh mereka, tanpa mengambil kira sama ada ia relevan untuk dilaksanakan di sana ataupun tidak.\n\n\nWalaupun penyelidik-penyelidik di institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF ini ada dalam kalangan rakyat tempatan, jawatan-jawatan tertinggi dalam institusi ini terus dimonopoli oleh negara-negara Barat, termasuklah di cawangan-cawangan yang ditubuhkan di negara-negara mundur dan membangun. Dominasi kepimpinan tertinggi oleh mereka daripada negara-negara Barat ini sering hadir dengan persepsi yang berbeza berbanding warga tempatan dalam memandang sesebuah isu. Akibatnya, mungkin ada sesetengah cadangan dasar yang diutarakan mereka menjadi kurang relevan kerana masih dibelenggu oleh perbezaan pemikiran ini.\n\n\nIMF Punca Krisis Ekonomi Asia 1997 Lambat Pulih?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTokoh ekonomi dan penerima hadiah Nobel, Joseph E. Stiglitz pernah mengkritik Perbendaharaan AS dan IMF kerana memberikan cadangan dasar yang salah kepada negara-negara yang terlibat dalam Krisis Ekonomi Asia 1997. Stiglitz menyifatkan polisi-polisi yang disarankan IMF dan Perbendaharaan AS pada ketika itu mencerminkan kegagalan mereka memahami asas teori makroekonomi moden, yang mana pada akhirnya menyebabkan negara-negara tersebut terperangkap dalam krisis lebih lama.\u00a0\n\n\nBeliau turut memerli negara-negara maju yang sebenarnya tidak kisah mengenai penderitaan rakyat di negara-negara mundur atau membangun yang terkesan akibat krisis ekonomi. Apa yang dikisahkan oleh negara-negara maju ini hanyalah wang yang dipinjamkan bank-bank Barat ini kepada negara-negara mundur atau membangun yang terjebak dalam krisis.\n\n\nMemetik kata-kata beliau dalam buku yang bertajuk Freefall: America, Free Markets, and the Sinking of the World Economy: \u201c\nIncorrect economic theories not surprisingly lead to incorrect policies, but, obviously, those who advocated them thought they would work. They were wrong\n.\u201d\n\n\nDi samping itu, nama IMF juga boleh dikatakan mempunyai stigma yang negatif dalam kalangan rakyat Malaysia akibat kisah negara-negara Asia meminjam daripada IMF ketika Krisis Ekonomi Asia 1997. Lebih memburukkan keadaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF sekitar 1998 turut dilabel sebagai \u2018ejen\u2019 IMF kerana ingin mendapatkan bantuan kewangan daripada IMF semasa krisis tersebut.\n\n\nKadar Tukaran Matawang Ketika Krisis Kewangan Asia Melanda\n\n\nBagi menstabilkan matawang tempatan yang jatuh merudum pada ketika itu, majoriti negara-negara yang terlibat dalam Krisis Kewangan Asia 1997 telah mengambil langkah dengan menjual rizab asing yang dimiliki mereka dan seterusnya membeli matawang tempatan. Tidak cukup dengan itu, mereka disaran untuk membuat pinjaman besar-besaran daripada institusi-institusi kewangan seperti IMF serta mengikuti saranan IMF supaya mengetatkan polisi fiskal dan monetari serta menaikkan kadar faedah secara agresif. Meskipun langkah-langkah yang dicadangkan IMF ini sedikit sebanyak berjaya mengurangkan tekanan terhadap matawang tempatan, hakikatnya nasihat IMF ini telah menyebabkan negara-negara ini terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalah, analisis pertumbuhan KDNK turut mendapati sebenarnya tiada perbezaan yang ketara antara pemulihan ekonomi bagi negara-negara yang menerima bantuan kewangan IMF ataupun tidak. Sebagai contoh, Thailand yang meminjam AS$4 billion dari IMF mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.0% pada tahun 1999, berbanding 5.4% yang direkodkan oleh Malaysia. Seolah-olahnya, tiada beza pun sekiranya negara tersebut menerima bantuan kewangan IMF ataupun tidak semasa krisis.\u00a0\n\n\nSehingga kini, IMF masih terus berbangga seolah-olah merekalah penyelamat apabila sesebuah negara dilanda krisis ekonomi. Apa yang sering dibuat IMF ialah memaksa negara-negara ini membuat perubahan besar pada polisi-polisi negara sebagai prasyarat sekiranya mahu meminjam wang. Misalnya, IMF meluluskan pinjaman AS$7.5 billion kepada Argentina baru-baru ini dengan syarat Argentina harus mengetatkan polisi monetari. Perjanjian bersama IMF ini dikritik oleh Timbalan Presiden Argentina, Cristina Fern\u00e1ndez de Kirchner kerana dikatakan sebagai punca kejatuhan nilai peso dan peningkatan inflasi.\n\n\nKebijaksanaan Pentadbiran Kerajaan, Penentu Kejayaan Polisi Ekonomi\n\n\nWalau apa pun yang berlaku, di akhir sekali, wawasan ekonomi negara haruslah dirangka dengan lebih realistik bagi mencerminkan realiti sebenar di negara ini dengan melibatkan perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan untuk kemajuan negara. Apa yang turut sama penting juga ialah polisi ekonomi mestilah mempunyai mekanisme yang terperinci untuk mencapai matlamat ekonomi yang diidam-idamkan.\u00a0\n\n\nPelaksanaan polisi ekonomi negara juga bergantung besar kepada kebijaksanaan Kerajaan dalam menguruskan dana dengan baik, serta dalam masa sama mengurangkan penyelewengan yang berleluasa. Soal \u2018kiblat ekonomi\u2019 tidak sepatutnya menjadi sebuah isu yang besar sekiranya Kerajaan mempunyai visi ekonomi yang jelas dan realistik. Bak kata pepatah Melayu (bukan pantun), \u2018buang yang keruh, ambil yang jernih\u2019. Begitulah pendekatan terbaik yang sewajarnya diutamakan dalam soal menentukan hala tuju ekonomi negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/imf-turunkan-lagi-jangkaan-pertumbuhan-ekonomi-malaysia-kepada-3-8/", "title": "IMF Turunkan lagi Jangkaan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia kepada -3.8%", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nTabung Kewangan Dunia pada laporan terbaru mereka menurunkan lagi unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020. Ekonomi Malaysia pada tahun ini dijangkakan akan menguncup kepada -3.8% susulan kesan negatif Covid-19 yang semakin buruk. Angka ini lebih rendah berbanding apa yang diunjurkan pada April lalu iaitu menguncup -2.1%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUntuk tahun hadapan, IMF lebih optimis dengan meningkatkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 6.3% berbanding -2.7% pada laporan lalu.\n\n\nPertumbuhan ekonomi global pada 2020 pula diturunkan kepada -4.9%, 1.3% lebih rendah berbanding unjuran lalu. IMF menyatakan bahawa pandemik Covid-19 memberi kesan yang negatif untuk aktiviti pada separuh pertama 2020 dan pemulihan dijangka mengambil lebih masa.\n\n\nUntuk tahun hadapan, pertumbuhan ekonomi global dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 5.4%. Unjuran ini lebih 1.9% lebih rendah berbanding jangkaan awal.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIMF turut menyatakan bahawa hampir kesemua negara telah melepasi kemuncak Covid-19.\n\n\nMenurut mereka, Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku pertama secara amnya lebih teruk dari yang dijangkakan. Meskipun begitu, terdapat negara yang mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dari apa yang dijangkakan seperti Chile, China, Thailand dan Malaysia.\n\n\n\n\nPembukaan sektor ekonomi telah meningkatkan lagi mobiliti namun kekal rendah berbanding situasi sebelum kawalan pergerakan. Dagangan global turut dijangka menguncup -11.9% disebabkan permintaan yang lemah untuk barangan dan perkhidmatan serta sektor pelancongan.\n\n\nLaporan IMF sebelum ini dikritik hebat kerana dilihat agak optimis terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/industri-kelapa-sawit-untung-besar-harga-minyak-sawit-mentah-melonjak-tinggi/", "title": "Industri Kelapa Sawit Untung Besar, Harga Minyak Sawit Mentah Melonjak Tinggi", "body": "\n\nShare it\nIndustri kelapa sawit di Malaysia meraih keuntungan lumayan susulan harga minyak sawit mentah ( CPO ) yang melonjak tinggi pada tahun ini. Pada tahun lalu, purata harga CPO hanyalah sekitar RM2,800 setan, namun pada Julai lalu, harga CPO telah naik sehingga RM4,129 setan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar produk kelapa sawit selepas Indonesia mendapat manfaat besar disebabkan harga CPO yang tinggi. Sime Darby Plantation yang merupakan syarikat peladangan terbesar di dunia telah merekodkan keuntungan sebanyak RM1.3 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat berbanding RM840 pada tempoh yang sama tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebuah lagi syarikat tersenarai yang mencatatkan prestasi memberangsangkan adalah Kuala Lumpur Kepong dimana keuntungan mereka naik dari RM427 juta kepada RM1.35 bilion.\n\n\nData Jabatan Perangkaan Malaysia pada separuh pertama juga menunjukkan berita gembira kepada sektor ini. Pendapatan eksport daripada produk kelapa sawit telah meningkat RM45 bilion pada separuh pertama tahun ini. Sepanjang tahun lalu, industri ini hanya merekodkan pendapatan sebanyak RM73.3 bilion saja.\n\n\nJika harga CPO kekal tinggi, kemungkinan besar Malaysia bakal meraih pendapatan sehingga RM90 bilion sepanjang tahun 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKadar Duti Eksport Minyak Sawit Mentah\n\n\nPeningkatan ini juga menambah hasil kerajaan melalui duti eksport minyak sawit mentah dimana syarikat pengeluar kelapa sawit perlu membayar duti jika harga CPO melebihi RM2,250 setan. Ketika ini, mereka perlu membayar 8% duti eksport kerana harga CPO meningkat melebihi RM3,450 setan.\n\n\nKerajaan telah mengutip lebih RM550 juta pada lima bulan pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding RM111 juta yang dikutip pada tahun lalu.\n\n\nMengikut beberapa laporan tahunan syarikat tersenarai, kos bagi setiap tan minyak sawit mentah adalah sekitar RM1,500 setan. Margin keuntungan yang tinggi ini sememangnya berita gembira buat syarikat-syarikat peladangan diseluruh negara.\n\n\nMalaysia mengeluarkan lebih kurang 19 juta tan minyak sawit segar melalui 5.9 juta hektar ladang sawit di seluruh Malaysia.\n\n\nAntara syarikat-syarikat lain yang bakal meraih manfaat hasil lonjakan harga sawit mentah ini adalah Genting Plantation, FGV Berhad dan United Plantations.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/industri-kreatif-kekal-suram-kutipan-tiket-filem-malaysia-jatuh-92-tahun-lalu/", "title": "Industri Kreatif Kekal Suram, Kutipan Tiket Filem Malaysia Jatuh 92% Tahun Lalu", "body": "\n\nShare it\nKutipan Panggung Wayang Jatuh 89% Kepada RM124 juta\n\n\nIndustri kreatif tanahair mengalami detik suram ketika ini berikutan pandemik Covid-19 yang kian tidak berkesudahan. Kemarau konsert hiburan dijangka akan berterusan untuk tempoh beberapa bulan lagi dengan budaya norma baru seperti penjarakkan fizikal akan terus diamalkan selagi wabak ini tidak dapat dibendung.\n\n\n\n\n\n\n\n\nManakala industri perfileman yang rancak pada tahun 2019 terus lesu apabila aktiviti syarikat-syarikat produksi semakin terhad. Panggung wayang yang ditutup sejak Mac lalu tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan yang memberangsangkan tambahan pula PKP3.0 kembali dilaksanakan lagi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat pengendali panggung wayang, MBO Cinemas antara mangsa utama Coronavirus di dalam industri hiburan tanahair. Syarikat ini terpaksa diambilalih oleh Golden Screen Cinemas ( GSC ) setelah terbelenggu dengan liabiliti berjumlah RM111 juta pada Oktober lalu tatkala tiada sebarang aliran tunai kerana perniagaan tidak beroperasi sepenuhnya.\n\n\nPada Februari 2021, GSC yang dimiliki oleh konglomerat PBB Group milik Robert Kuok bersetuju menyelamatkan syarikat ini sekaligus meluaskan dominasi GSC di dalam industri panggung wayang. Dengan pengambilalihan MBO, GSC dijangkakan mempunyai keseluruhan 60 panggung wayang yang berada di bawah kawalan mereka di seluruh Malaysia.\n\n\nKutipan Tiket Filem Jatuh Mendadak\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Laporan Tahunan PBB Group, kutipan \n\u2018box office\u2019\n di Malaysia telah susut 85% pada tahun lalu kepada RM138 juta berbanding RM905 juta pada tahun sebelumnya. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding kejatuhan kutipan tiket filem global yang susut 71%.\n\n\nManakala data FINAS pula menunjukkan kutipan tiket filem jatuh RM1.08 bilion kepada RM124 juta dalam tempoh yang sama.\n\n\nFilem Tempatan Hanya Berjaya Mengutip RM12 juta Pada Tahun 2020\n\n\nBagi filem-filem tempatan, kutipan tiket telah jatuh 92% kepada lebih kurang RM12 juta untuk keseluruhan tahun lalu dengan hanya sekitar 23 filem ditayangkan. Ini merupakan tamparan besar buat industri perfileman tanahair kerana pada tahun sebelumnya, jualan tiket filem tempatan telah berjaya mengutip RM145 juta.\n\n\nPenggiat seni terkenal, \nNasrul Suhaimin Bin Saifuddin\n yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Bront Palarae turut menyuarakan kebimbangannya susulan krisis ekonomi yang tidak berkesudahan ini. Menurut beliau, isu kecairan tunai dan ketidaktentuan SOP di Malaysia antara masalah utama yang dihadapi oleh mereka yang berada di dalam industri kreatif.\n\n\n\n\n\u201d Saya rasa masalah \nliquidity\n lah masalah yang paling besar. Kebanyakkan syarikat bermasalah dari sudut jangka masa pendek kerana \nbusiness cycle\n \ndisrupted\n. Masing-masing tengah fikir \nsurvival\n. \nWhat makes it worst, adalah stop start, stop start.\n\u00a0 \u201c\n\n\n\n\nNamun demikian, beliau menyatakan kerajaan ada menyalurkan bantuan melalui \nparachute money\n yang dikendalikan oleh MyCreativeVentures dan FINAS. Bagi sesetengah pihak pula, platform penstriman atas talian atau OTT juga membuka ruang bagi sebilangan produser untuk meraih pendapatan mereka apabila menayangkan filem-filem mereka di platform tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenggiat seni, Bront Palarae berkongsi pandangan mengenai industri kreatif tanahair bersama Ekonomi Rakyat\n\n\nWalaubagaimanapun, Bront kekal skeptikal dengan ekosistem industri kreatif tanahair selain risau dengan isu filem tidak berkualiti susulan lambakan filem yang tidak ditayangkan ketika ini.\n\n\n\n\n\u201d Dari sudut ekosistem bagi saya, akan ada banyak syarikat yang bermasalah. \nThe industry itself\n akan ada \nconsolidation\n, \ntakeover\n, \nmerger\n dan sebagainya. \nFrom creative perspective\n, bila filem siap tetapi tidak ditayangkan, tetapi kita ada skim wajib tayang. Sekarang \nbacklog\n banyak ni. \nBacklog almost a year. I think over 100 titles\n yang tak keluar. \nBy the time\n buka balik, \nwhat\u2019s gonna happen to the ecosystem then.\n \u201c\n\n\n\n\nBront yang diwawancara secara atas talian lewat Mei lalu juga mengatakan bahawa ekosistem di dalam industri sudah tidak seimbang sejak sebelum krisis Covid-19 lagi. Menurut beliau, graduan-graduan industri kreatif dan multimedia misalnya terpaksa bekerja bertahun-tahun sebelum dapat melunaskan hutang pendidikan mereka.\n\n\nDengan kehadiran Covid-19, bukan sahaja golongan muda yang terkesan, mereka yang sudah lama bekerja di dalam industri kreatif juga dijemput \u2018bersara\u2019 katanya lagi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/industri-penerbangan-dunia-dijangka-hilang-rm126-bilion-akibat-coronavirus/", "title": "Industri Penerbangan Dunia Dijangka Hilang RM126 Bilion Akibat Coronavirus", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, IATA pada 5 Mac 2020 telah mengeluarkan penilaian impak Coronavirus terhadap industri penerbangan global. Menurut Ketua Pakar Ekonomi IATA Economics, impak Covid-19 terhadap ekonomi dunia adalah lebih besar kerana bahagian ekonomi China berbanding ekonomi global telah meningkat dari 4% pada 2002 kepada 16% pada 2018.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBersandarkan senario SARS yang berlaku pada 2003, Covid-19 diunjurkan akan mengakibatkan syarikat-syarikat penerbangan Asia Pasifik untuk rugi sekitar 13% hasil untuk setiap kilometer [ Revenue Per Kilometer (RPK) ] pada tahun 2020.\n\n\nIndustri penerbangan global dijangka akan kehilangan AS$29.3 bilion ataupun RM126 bilion dimana rantau Asia Pasifik dijangka paling terkesan akibat wabak Covid-19 ini. Pasaran penerbangan China dilaporkan mengalami pengurangan tempahan tiket penerbangan sehingga 80% diikuti Korea Selatan sekitar 60% pada April tahun ini berbanding April tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLarangan perjalanan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat terhadap negara-negara Eropah turut memberikan kesan yang besar untuk industri penerbangan. Hasil daripada penumpang untuk pasaran Amerika-Schengen menyumbang sekitar RM88.6 bilion kepada sektor penerbangan.\n\n\nSaham-saham syarikat penerbangan global juga menjunam sekitar 24% sejak wabak Covid-19 dikesan di luar China dimana terdapat kejatuhan mendadak nilai saham syarikat penerbangan apabila negara-negara seperti Iran, Korea Selatan serta Itali turut melaporkan jumlah kes yang semakin meningkat.\n\n\nSaham AirAsia Berhad sebagai contoh telah mengalami kerugian 60% dari RM1.56 pada 24 Januari 2020 ( hari pertama kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia ) kepada RM0.62 pada 17 Mac 2020. Berdasarkan laporan suku tahunan, Airasia yang mempunyai tunai sekitar RM2.5 bilion mampu bertahan terhadap kejutan aliran wang selama 2.6 bulan berdasarkan jumlah purata hasil RM997 juta untuk setiap bulan pada tahun lalu.\n\n\nWalaubagaimanapun, kejatuhan harga minyak dunia dijangka sedikit sebanyak dapat membantu syarikat penerbangan untuk mengurangkan kos operasi penerbangan sekaligus mengurangkan tekanan kewangan yang semakin meruncing.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHampir kesemua syarikat penerbangan di Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam menghadapi cabaran Covid-19 ini. Malindo Airways dilaporkan telah memotong gaji pekerja sebanyak 50% manakala Malaysia Airlines serta AirAsia pula memotong pendapatan pengurusan tertinggi.\n\n\nSituasi Covid-19 di Malaysia kelihatan semakin meruncing apabila terdapat peningkatan kes yang mendadak kepada 673 kes sehingga 17 Mac 2020. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dalam membendung wabak ini dengan mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/industri-penerbangan-dunia-rugi-rm484-bilion-lebih-tinggi-dari-jangkaan-awal/", "title": "Industri Penerbangan Dunia Rugi RM484 Bilion, Lebih Tinggi Dari Jangkaan Awal", "body": "\n\nShare it\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa ( IATA ) mengunjurkan industri penerbangan global rugi RM484 bilion pada tahun ini. Angka kerugian ini hampir tiga kali lebih tinggi berbanding jangkaan awal yang dikeluarkan IATA pada Mac lalu iaitu sekitar RM126 bilion.\n\n\nProspek kewangan industri ini pada tahun hadapan turut diramalkan akan terus berada di dalam kerugian meskipun situasi dijangka semakin pulih. IATA menjangkakan sektor penerbangan dunia kerugian RM158 bilion pada 2021 dengan jangkaan hasil sekitar RM1.8 trilion.\n\n\nMenurut IATA, krisis Covid-19 ini memberi kesan yang terburuk kepada industri penerbangan semenjak Perang Dunia ke-2. Kerajaan di serata dunia terpaksa memberikan bantuan sebanyak RM706 bilion bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan kekal terapung tatkala kapal terbang mereka kekal di daratan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPendapatan bagi industri ini diunjurkan 50% lebih rendah berbanding ramalan asal sebelum Covid-19 disebabkan jumlah penumpang yang berkurangan. Persatuan ini menjangkakan industri penerbangan akan kembali meraih keuntungan pada suku keempat tahun hadapan berdasarkan perkembangan terhadap vaksin Covid-19.\n\n\nIndustri penerbangan antara sektor yang paling terkesan akibat Covid-19. IATA melaporkan sekitar satu juta pekerja di dalam industri ini diberhentikan gara-gara pandemik ini. Jumlah pekerja di dalam sektor ini berkurang dari 2.9 juta pada tahun lalu kepada 1.9 juta pada 2020.\n\n\nJumlah kapal terbang yang tersedia juga menurun dari kira-kira 29,700 unit kepada 24,500 unit kapal terbang pada tahun ini.\n\n\nDi Malaysia, syarikat-syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malindo telah membuang ribuan pekerja bagi mengurangkan kos operasi mereka. Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airline Berhad pula dilaporkan telah memohon bantuan dari Khazanah Nasional sekitar RM2 bilion untuk kekal beroperasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor penerbangan domestik di Malaysia kian suram selepas negara menghadapi gelombang Covid-19 yang ketiga setelah kembali aktif dari bulan Jun hingga September. Polisi negara-negara seluruh untuk mengehadkan kemasukan penumpang asing akan terus menjadi ancaman utama industri penerbangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang sementara menunggu bekalan vaksin untuk tiba.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/industri-perbankan-malaysia-untung-rm30-bilion/", "title": "Industri Perbankan Untung RM30 Bilion, Perlu Lanjutkan Moratorium Kepada Mereka Yang Memerlukan", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nMoratorium ansuran bulanan pinjaman yang diarahkan oleh Bank Negara Malaysia kepada bank-bank di Malaysia bakal berakhir pada September ini. Pelbagai pihak telah menzahirkan kebimbangan terhadap kemampuan sebilangan peminjam untuk membayar balik ansuran bulanan mereka tatkala situasi ekonomi yang masih tidak menentu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKongres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC ) pada beberapa hari lalu mendesak kerajaan untuk melanjutkan moratorium ini sekurang-kurangnya kepada golongan B40 dan M40. Kebimbangan MTUC ini ada asasnya. Bilangan penganggur telah meningkat lebih 50% dari 525,500 orang pada Februari 2020 kepada 826,100 orang pada Mei.\n\n\nKadar pengangguran di Malaysia pula dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan mendatang. Jabatan Perangkaan pula menjangkakan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 5.5% akibat Covid-19.\n\n\nSelain isu pengangguran, tenaga buruh turut semakin susut berikutan kesan Covid-19 ini. Jumlah tenaga buruh jatuh lebih 100,000 orang pada April berbanding bulan sebelumnya. Ada sebilangan pekerja pula diarahkan mengambil potongan gaji oleh pengurusan tertinggi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBank Perlu Lanjutkan Moratorium Kepada Mereka Yang Terdesak\n\n\nPeminjam telah diberikan ruang untuk bernafas apabila bayaran balik pinjaman ditangguhkan sehingga September ini. Namun hakikatnya, ramai lagi masih bergelut untuk keluar dari krisis ini dan tempoh enam bulan mungkin tidak mencukupi untuk sebilangan mereka mendapatkan pekerjaan baru.\n\n\nPihak bank perlu mengambil kira situasi peminjam terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan dan mereka yang terpaksa mengambil potongan gaji. Peminjam yang berada dalam keadaan terdesak perlu dilanjutkan tempoh moratorium ansuran mereka untuk beberapa bulan lagi.\n\n\nManakala peminjam yang tidak mempunyai pendapatan yang stabil seperti mereka yang bekerja sendiri perlu dibawa ke meja perbincangan agar bayaran ansuran dapat dirunding semula supaya tidak membebankan peminjam.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\n\n\nMampukah Bank Lanjutkan Moratorium?\n\n\nIndustri perbankan Malaysia merupakan antara industri yang konsisten dalam membuat keuntungan di Malaysia. Jumlah keuntungan 10 bank yang tersenarai di Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak RM30 bilion dimana Maybank saja memperoleh lebih RM8 bilion keuntungan.\n\n\nBahkan pada tahun 2008 dan 2009 dimana dunia sedang melalui Krisis Kewangan Global, industri bank masih mencatatkan keuntungan yang lumayan. Maybank sebagai contoh masih mencatatkan keuntungan sekitar RM700 juta pada 2009. Bank kedua terbesar berdasarkan nilai pasaran, Public Bank pula merekodkan keuntungan sebanyak RM2.5 bilion pada tempoh yang sama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam kata lain, industri perbankan di Malaysia boleh dianggap berdaya tahan dalam menghadapi detik yang mencabar seperti ketika ini. Melanjutkan moratorium untuk tempoh beberapa bulan lagi kepada mereka yang terkesan bukanlah sesuatu yang mustahil buat industri perbankan.\n\n\nSelain MTUC, Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) antara organisasi yang menggesa kerajaan untuk melanjutkan moratorium ansuran bayaran balik pinjaman bank.\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/inflasi-naik-gaji-tak-naik-tun-daim-zainuddin/", "title": "\u201c Inflasi Naik. Gaji Tak Naik \u201c \u2013 Tun Daim Zainuddin", "body": "\n\nShare it\nTun Daim ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di pejabatnya di Menara Ilham\n\n\nBekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyuarakan kebimbangannya mengenai tahap hutang negara yang tinggi melangkaui lebih RM1 trilion. Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di pejabatnya di Menara Ilham skeptikal dengan kemampuan Kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Saya berasa kurang senang kerana hutang negara kita banyak, RM1 trilion. Subsidi saja tahun ini RM80 bilion. Adakah keadaan ini boleh dikekalkan? Dan Kerajaan terus meminjam dan meminjam untuk memacu pertumbuhan\u2026\u2026. Kita harus merancang tetapi saya rasa Kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai perancangan yang betul. Kerajaan tidak boleh terus meminjam walaupun mereka kata ia bukan masalah kerana pinjaman yang dibuat adalah pinjaman domestik. Pinjaman domestik mahupun pinjaman luar, Kerajaan tetap kena bayar. Mahu tak mahu tetap kena bayar. Sekarang caj pembayaran faedah hutang amat besar. \u201c\n\n\n\n\nMenurut data yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hutang negara tahun ini dijangka mencecah RM1.04 trilion, meningkat 6.5% berbanding RM979.8 bilion yang dilaporkan pada tahun 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKos khidmat hutang yang ditanggung Kerajaan juga meningkat dengan ketara sekali seiring dengan peningkatan jumlah hutang. Pada tahun hadapan, Malaysia dijangkakan membelanjakan RM46.1 bilion untuk tujuan pembayaran faedah yang bersamaan dengan 16.9% daripada keseluruhan hasil yang diterima Kerajaan Malaysia.\n\n\nSebagai perbandingan, Kerajaan Malaysia hanya membelanjakan 9.8% (RM15.6 bilion) daripada keseluruhan hasil untuk tujuan pembayaran faedah pada tahun 2010.\n\n\nDaim turut mengkritik obesesi Kerajaan yang terlalu memberi fokus terhadap pertumbuhan ekonomi walaupun ia tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi rakyat. \u201d Kerajaan kata kita di dalam pertumbuhan. Kita boleh ada pertumbuhan, tetapi apa yang rakyat sedang alami? Apa yang lebih penting adalah rakyat. Adakah rakyat berpuas hati dengan pertumbuhan ini? \u201c.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeliau kemudiannya menyenaraikan beberapa isu meruncing yang dihadapi rakyat ketika ini.\n\n\n\n\n\u201d Inflasi naik, gaji tak naik. Pengangguran tinggi. Kerajaan tidak menjaga perkara ini, keutamaan sekarang ini nak tunjuk pertumbuhan. (Sedangkan) rakyat sedang menderita. Kerajaan harus menangani masalah ini. Bagaimana Kerajaan nak selesaikan isu inflasi?\u201d\n\n\n\n\nDaim kemudiannya menjelaskan isu ekonomi harus dilihat secara komprehensif dan polisi yang betul harus dilaksanakan bagi mewujudkan keyakinan dalam kalangan orang ramai. Beliau berpendapat bahawa orang ramai kini merasakan Kerajaan sekarang berada dalam keadaan \n\u2018clueless\u2019\n. Tambah beliau, keadaan ini berbahaya kerana pelabur mungkin tidak berminat dengan negara kita lagi.\n\n\nBeliau juga mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh Bank Negara dalam membantu negara mengawal inflasi. Daim mengambil contoh berkenaan isu jaminan makanan dimana telah terkesan teruk akibat penyusutan nilai matawang Ringgit dan gangguan rantaian bekalan yang mengakibatkan kenaikan harga makanan.\n\n\n\n\n\u201d Macam Bank Negara, mereka ada rizab sebanyak RM400 bilion. Apa yang mereka buat dengan rizab tersebut? Adakah mereka membantu ekonomi? Sektor pertanian misalnya, mereka beri RM600 juta untuk jaminan makanan. Adakah mereka memantau perkara ini? Kenapa mereka tidak mengekang inflasi? Saya katakan bekalan wang adalah tanggungjawab mereka. Tiada keputusan dibuat. Peranan mereka sebagai Bank Negara, inflasi harus dijaga. \u201c\n\n\n\n\nMengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, komponen indeks harga pengguna untuk makanan dan minuman bukan beralkohol telah meningkat 6.8% pada September 2022. Manakala komponen restoran & hotel yang telah naik 6.9% dalam tempoh yang sama.\n\n\nPeningkatan komponen-komponen melibatkan makanan ini jauh lebih tinggi berbanding inflasi 4.5% yang dilaporkan pada September lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKetika ditanya mengenai isu rasuah yang semakin membarah di negara ini, Daim yang diwawancara pada Selasa lalu menegaskan betapa bahayanya kesan dan impak yang dialami oleh negara akibat perbuatan rasuah.\n\n\n\n\n\u201d Contoh terbaik adalah Sri Lanka. Sri Lanka dahulunya sebuah negara yang berjaya, ekonomi sukses. Akhirnya, ketamakan telah menyebabkan (krisis) berlaku\u2026\u2026 Kesan daripada rasuah, sekolah tak boleh diperbaiki, jalan rosak, harga makanan naik dan sebagainya. Ia memberi kesan terhadap semua orang di negara ini. \u201c\n\n\n\n\nMengikut data yang dikeluarkan oleh Transparency International, mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di Malaysia telah jatuh dari 49 mata pada tahun 2012 kepada 48 mata pada tahun 2021. Ini bermaksud tiada sebarang kemajuan positif yang diperolehi dalam usaha Malaysia menangani isu rasuah untuk tempoh 10 tahun yang lalu.\n\n\nNegara jiran, Indonesia pula dalam masa yang sama telah menunjukkan perkembangan yang baik apabila mata CPI yang direkodkan telah meningkat dari 32 mata kepada 38 mata dalam tempoh yang sama.\n\n\nDitanya tentang solusi, Daim berpandangan bahawa sokongan rakyat diperlukan untuk membanteras gejala rasuah. Beliau turut menegaskan Kerajaan sepatutnya tidak boleh campur tangan dengan urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).\n\n\n\n\n\u201d Apa pun, sokongan rakyat diperlukan untuk membanteras rasuah. Kita perlukan individu-individu yang berintegriti. Kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dengan urusan SPRM. Yang salah tetap salah. Kita harus patuh pada undang-undang. Itu yang penting. Maka orang ramai akan hormat. Mesti jujur dan ikhlas \u201c\n\n\n\n\nMeskipun kurang senang untuk menjawab soalan politik, Daim turut mengambil kesempatan membidas sebilangan pemimpin politik yang bercakap kosong tanpa menawarkan penyelesaian sebenar kepada pengundi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Tak mahu cakap kosong saja. Nak potong sana sini, rasuah, nepotisme, kroni sana sini. Bunyi sedap. Mengkritik memang senang. Dia itu tak betul, dia ini tak betul. Tetapi macam mana anda cuba menyelesaikan masalah ini. \u201c\n\n\n\n\nBeliau mengakhiri wawancara dengan berkata bahawa Malaysia memerlukan gabungan politik yang boleh memimpin dan mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di negara ini. Tambah Daim, jika rakyat Malaysia tidak bersatu, maka parti politik perlu sentiasa mencari \u2018\npartner\n\u2018 untuk membentuk Kerajaan. Keadaan ini tidak baik untuk kestabilan negara kerana perbezaan ideologi dan visi dalam kalangan gabungan politik tersebut.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/jangan-benarkan-rakyat-keluarkan-wang-persaraan-mereka-kerajaan-perlu-tolong-rakyat/", "title": "Jangan Benarkan Rakyat Keluarkan Wang Persaraan Mereka, Kerajaan Perlu Tolong Rakyat", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nKebelakangan ini, terdapat desakan dari pelbagai pihak untuk kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) untuk mengeluarkan simpanan mereka bagi menghadapi tekanan kewangan akibat krisis Covid-19 ini. Cadangan yang diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat respons positif dari ramai pihak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeliau mencadangkan agar dibenarkan untuk pengeluaran secara sekali sebanyak RM10,000 dari akaun satu KWSP pencarum yang akan melibatkan aliran wang keluar dari KWSP sekitar RM45.7 bilion.\n\n\nMeskipun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi reaksi negatif terhadap cadangan ini. Beliau menyatakan bahawa agak sukar untuk mempertimbangkan cadangan ini kerana akan menyebabkan masalah yang lebih besar pada masa hadapan.\n\n\nLaporan media turut menunjukkan reaksi yang serupa dari ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri yang menyatakan mengeluarkan wang dari KWSP tidak sepatutnya menjadi satu-satunya cara untuk mendapatkan tunai.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKWSP sebelum ini telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sehingga RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan bagi meringankan tekanan hidup mereka. Di antara bulan April sehingga Ogos, pencarum KWSP telah mengeluarkan RM7.48 bilion dari akaun dua mereka melalui skim i-Lestari.\n\n\n\n\nKeengganan KWSP untuk mempertimbangkan perkara ini ada asasnya. Tinjauan Perlindungan Sosial yang dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan 70% pencarum aktif pada usia 54 tahun hanya mempunyai simpanan kurang dari RM50,000. Menurut KWSP, dua per tiga pesara terpaksa berbelanja kurang dari RM950 sebulan sehingga usia 75 tahun berdasarkan jumlah simpanan mereka.\n\n\nLaporan ini juga menunjukkan 13.7 juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri dan tidak berada di dalam tenaga buruh tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial seperti simpanan KWSP. Ini menunjukkan cadangan mengeluarkan simpanan KWSP tidak akan membantu semua pihak.\n\n\nMembenarkan pengeluaran wang simpanan hari tua pencarum KWSP tidak sepatutnya menjadi satu-satunya cara buat kerajaan untuk membantu rakyat. Kerajaan sepatutnya bertindak menggunakan dasar-dasar fiskal dan rizab yang ada bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada detik-detik yang sukar seperti ini, segala pilihan yang ada perlu diteliti tanpa mengorbankan masa depan rakyat. Rizab Bank Negara Malaysia yang berjumlah RM437 bilion boleh dicairkan bagi membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi yang paling dahsyat ini.\n\n\nUntuk memberikan satu lagi pusingaan Bantuan Prihatin Nasional, ia hanya memerlukan sekitar 2.3% atau RM10 bilion dari keseluruhan rizab yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia.\n\n\nYa. Cadangan ini sememangnya tidak ortodoks. Namun kita perlu mengakui hakikat bahawa kita berada di dalam keadaan yang begitu terdesak.\n\n\nNilai ini bukanlah suatu jumlah yang besar buat Bank Negara Malaysia. Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia mencatatkan keuntungan RM8.9 bilion pada tahun lalu menurut Laporan Tahunan mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSituasi Bank Negara memberikan dividen kepada Kerajaan Malaysia bukanlah suatu keadaan yang asing atau tidak pernah berlaku. Pada tahun 2018 dan 2019, Bank Negara Malaysia telah memberikan RM2.5 bilion dividen tahunan kepada kerajaan. Dalam kata lain, cadangan untuk menggunakan rizab atau hasil keuntungan Bank Negara bukanlah satu langkah yang mustahil untuk dilakukan.\n\n\nCadangan Kedua\n\n\nCukaikan Bilionair Malaysia\n\n\nKerajaan boleh menggunakan dasar fiskal bagi memungut hasil cukai terutamanya dalam kalangan golongan yang tidak terkesan dengan pandemik ini. Pada tahun lalu, bilionair Malaysia mempunyai kekayaan RM335 bilion dimana ia bersamaan dengan 23% saiz ekonomi Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMengenakan cukai kekayaan 10% seperti yang dicadangkan oleh pakar ekonomi Perancis, Emmanuel Saez dan Gabriel Zucman, dapat memberikan hasil sebanyak RM33.5 bilion kepada kantung kerajaan. Sekali lagi, wang-wang ini boleh digunakan untuk disalurkan kepada rakyat ataupun menambah peruntukan sebanyak dua kali ganda daripada peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun lepas.\n\n\n\n\nRakyat serta pakar ekonomi tidak perlu risau dengan ancaman bahawa bilionair ini akan memindahkan operasi perniagaan mereka ke luar negara jika cukai kekayaan dilaksanakan. Hakikatnya, 94% kekayaan bilionair Malaysia ini datang daripada sektor \nrent-seeking\n / projek-projek atau lesen-lesen perniagaan yang telah \u2018dianugerahkan\u2019 oleh kerajaan yang mana agak mustahil bagi mereka memindahkan operasi\u00a0 perniagaan mereka.\n\n\nBagaimanakah mereka ingin memindahkan ladang-ladang kelapa sawit, kasino, stesen janakuasa ataupun pelabuhan jika hak ekslusif untuk mereka menjalankan perniagaan tersebut hanya boleh diperoleh dari kerajaan Malaysia?\n\n\nCadangan-cadangan ini agak radikal. Namun bukan bermaksud ia tidak boleh dilaksanakan. Pepatah Mat Salleh ada berkata, \u201d \nunprecedented times require unprecedented measures\n \u201c. Situasi genting seperti inilah waktu untuk kita menggunakan segala simpanan yang kita kumpul selama ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat tidak seharusnya melihat bahawa mengeluarkan wang simpanan KWSP sebagai satu-satunya cara untuk membantu mereka di saat ini. Terdapat pelbagai cara lagi yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat.\n\n\nTanggungjawab membantu rakyat kini terletak di tangan kerajaan. Jika tidak, apa gunanya ada kerajaan?\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/jendela-liputan-4g-meningkat-namun-kelajuan-jalur-lebar-mudah-alih-hampir-tidak-berubah/", "title": "JENDELA \u2013 Liputan 4G Meningkat Namun Kelajuan Jalur Lebar Mudah Alih Hampir Tidak Berubah", "body": "\n\nShare it\nKelajuan Menurun namun Liputan Akses 4G Meningkat\n\n\nLaporan suku kedua 2021 Jalinan Digital Negara ( JENDELA ) menunjukkan kelajuan jalur lebar mudah alih menurun dari 25.6 mbps pada 31 Disember 2020 kepada 24.44 mbps pada 31 Mac 2021. Walaubagaimanapun, liputan premis yang mempunyai akses kepada internet fiber telah meningkat dari 5.4 juta kepada 5.7 juta dalam tempoh yang sama.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan menerusi inisiatif fasa pertama JENDELA menyasarkan untuk memberikan liputan internet fiber kepada 7.5 juta premis menjelang akhir 2022. JENDELA juga menyasarkan kelajuan internet dapat ditingkatkan kepada 35 mbps manakala liputan 4G dapat ditingkatkan kepada 96.9%\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada ketika ini, liputan 4G berada di paras 93.51% bagi kawasan yang mempunyai penduduk.\u00a0Kerajaan juga menjangkakan rangkaian 3G dapat ditutup pada akhir tahun ini.\n\n\nDi dalam fasa kedua, kerajaan akan memulakan kerja-kerja menyiapkan sistem 5G di dalam negara setelah liputan 4G berjaya dipenuhi sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12.\n\n\nJENDELA merupakan perancangan prasarana digital komprehensif yang bertujuan untuk memenuhi permintaan terhadap akses internet mudah alih dan tetap yang berkualiti. Pelaksanaan JENDELA ini akan memberikan sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan dari rumah seperti pengajian dan perniagaan atas talian.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nOperator Celcom terima paling banyak aduan oleh pengguna\n\n\nPelaksanaan JENDELA dijangka mengambil masa selama lima tahun dan akan dilaksanakan melalui dua fasa.\n\n\nLaporan JENDELA ini juga melaporkan terdapat peningkatan aduan pengguna pada suku pertama tahun ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dimulakan. Pada suku keempat 2020, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerima 28,577 aduan. Pada suku pertama tahun ini, terdapat peningkatan aduan kepada 54,538 aduan.\n\n\nLaporan tersebut turut menyatakan bahawa liputan 4G yang lemah sebagai punca utama aduan dibuat. Syarikat Celcom merupakan pengendali yang mempunyai aduan paling banyak dengan 14,460 aduan diikuti Digi dan Maxis untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/jihad-melawan-inflasi-kekalahan-yang-tertangguh/", "title": "Jihad Melawan Inflasi \u2013 Kekalahan Yang Tertangguh", "body": "\n\nShare it\nKerajaan Peruntukan RM37.3 Bilion Untuk Subsidi Bahan Api\n\n\nMenteri Kewangan pada 25 Jun lalu mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan bahawa Kerajaan akan memperuntukan sejumlah RM77.3 bilion untuk tujuan subsidi dan bantuan sosial pada tahun ini. Langkah ini diambil bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi rakyat susulan peningkatan beberapa barangan keperluan di seluruh negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara item yang mengalami peningkatan adalah ayam dimana Kerajaan terpaksa melakukan pusingan-U dan meningkatkan harga maksimum ayam bulat standard pada RM9.40 sekilo berbanding RM8.90 pada sebelum ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDasar ini sudah semestinya mengundang reaksi negatif buat beberapa pengeluar ayam di negara ini yang mahu meningkatkan harga jualan mereka sejajar dengan peningkatan harga dedak ayam. Sebelum ini, pengeluar-pengeluar ayam dilaporkan melakukan protes terancang apabila menutup kilang mereka untuk dua hari dengan alasan \u2018ayam tidak cukup berat\u2019.\n\n\nSelain ayam, minyak masak bagi pembungkusan di dalam botol juga mengalami peningkatan harga apabila Kerajaan menarik balik subsidi bagi mengekang penyelewengan subsidi minyak masak. Namun demikian, penjualan minyak masak di dalam paket kekal disubsidikan Kerajaan pada harga RM2.50 sekilo.\n\n\nWalaubagaimanapun, pengguna rata-rata mengadu bahawa bekalan minyak masak di dalam paket sukar didapati di kedai dan pasar raya sekaligus menyebabkan Kerajaan mengumumkan operasi khas bagi memantau rantaian bekalan minyak masak ini. Menurut kenyataan media Perdana Menteri, subsidi 55,000 tan metrik minyak masak paket sebulan sepatutnya mencukupi bagi kegunaan domestik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInflasi Rasmi Malaysia Kekal Rendah\n\n\nInflasi Malaysia Kekal Rendah Pada 2.8% Pada Mei 2022\n\n\nData terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan inflasi di Malaysia kekal terkawal pada 2.8% pada Mei 2022, jauh lebih rendah berbanding inflasi di Zon Eropah (8.1%), Amerika Syarikat (8.6%) ataupun Filipina (5.4%).\n\n\nSeperti yang diterangkan di dalam \nartikel terdahulu Ekonomi Rakyat\n, sebahagian besar peningkatan kos pembelian rakyat telah diserap oleh Kerajaan melalui subsidi. Sebagai contoh, harga runcit petrol tanpa subsidi akan menyebabkan pengguna kenderaan perlu membayar sekitar RM4.50 bagi setiap liter petrol.\n\n\n[ \nPatutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai\n ]\n\n\n[ \nHarga Minyak Petrol Di Malaysia Kekal Antara Yang Termurah Di Dunia\n ]\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato\u2019 Seri Mustapa Mohamed berkata tanpa subsidi yang disalurkan oleh Kerajaan, inflasi di Malaysia pada bulan Mei lalu akan mencecah 11.4%. Angka ini setanding dengan kadar inflasi yang dihadapi di beberapa negara Barat.\n\n\nRM37.3 bilion diunjurkan akan dibelanjakan Kerajaan bagi mengekalkan harga petrol, diesel dan LPG pada harga semasa. Jumlah ini hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding perbelanjaan subsidi bahan api pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM13.2 bilion.\n\n\nMajoriti Besar Subsidi Bahan Api Dibolot Kumpulan Berpendapatan Tinggi\n\n\nMenteri Kewangan dua bulan lalu menyatakan bahawa 53% daripada subsidi bahan api yang diperuntukkan dinikmati oleh kumpulan Tertinggi 20%. Statistik ini juga menunjukkan bahawa golongan kaya kini membolot lebih banyak subsidi minyak berbanding kiraan awal yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 iaitu pada 42%.\n\n\nBukan itu saja, kumpulan berpendapatan tinggi juga dijangka menikmati sebahagian besar subsidi elektrik yang diperuntukkan Kerajaan pada separuh kedua ini. Kerajaan dijangka akan membelanjakan RM5.8 bilion bagi mengekalkan tarif elektrik pada kadar yang sedia ada.\n\n\nRumah mereka yang berpendapatan tinggi secara amnya menggunakan lebih banyak elektrik melalui penggunaan penghawa dingin, peti sejukbeku dan lain-lain.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKedua-dua perbelanjaan ini 3.7 kali ganda lebih besar berbanding Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang rata-ratanya memberi manfaat kepada golongan kumpulan B40.\n\n\nBahkan jika Kerajaan menukarkan subsidi ini kepada bantuan tunai, Kerajaan boleh memberi tambahan RM14,760 setahun kepada isi rumah B40. Dan jika Kerajaan ingin meluaskan lagi BKM kepada kumpulan terbawah 80% (B80), setiap isi rumah berpendapatan RM9,619 kebawah akan menerima bantuan tunai sebanyak RM7,380 setahun yang bersamaan dengan RM615 sebulan.\n\n\nJihad Melawan Inflasi \u2013 Strategi Tidak Mampan\n\n\nFokus Kerajaan yang ingin mengekang inflasi dengan mengawal harga adalah satu strategi yang tidak mampan dan efisien. Pertama, subsidi pukal seperti minyak dan elektrik lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi.\n\n\nKeduanya, subsidi seperti ini membuka ruang ketirisan. Berita dan cerita bahawa subsidi minyak petrol dan minyak masak diseludup ke Selatan Thai bukanlah satu perkara yang asing untuk didengari.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKetiga, menyelaras dan memantau kesemua item yang dikawal harganya adalah satu kerja yang sukar. Lihat saja isu ayam yang melibatkan pelbagai rantaian bekalan, bagaimanakah Kerajaan ingin memastikan harga ayam kekal dijual dibawah harga siling.\n\n\nHarga Purata Ayam Naik 15% Kepada RM9.70 Sekilogram Pada Mei 2022\n\n\nBagaimana pula dengan isu kekurangan bekalan ayam?\n\n\nBerapakah margin keuntungan yang diperoleh terutamanya bagi penjual akhir?\n\n\nDasar meletakkan harga siling pada barangan keperluan seperti ini akan merencatkan pasaran barangan tersebut sendiri.\n\n\nKerajaan perlu mempertimbangkan untuk menukar kaedah bantuan dengan memfokuskan bantuan kepada rakyat di dalam bentuk tunai bagi menambah pendapatan rakyat. Langkah ini sememangnya tidak popular (kerana subsidi barangan akan ditarik balik), namun ia lebih cekap dalam memastikan setiap Ringgit perbelanjaan Kerajaan memberi manfaat yang maksimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBantuan Keluarga Malaysia Hanya Tertumpu Kepada Kumpulan Isi Rumah B40\n\n\nPada detik ini, Bantuan Keluarga Malaysia mungkin hanya memanfaatkan sekitar 10% sahaja daripada kumpulan M40 kerana had pendapatan isi rumah untuk menerima BKM adalah RM5,000 sebulan sedangkan kumpulan M40 juga tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.\n\n\n*Kumpulan M40 adalah isi rumah yang berpendapatan RM4,360 hingga RM9,619 sebulan.\n\n\nStatistik yang dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan beberapa barangan keperluan asas mengalami peningkatan yang tinggi. Telur ayam gred C umpamanya telah meningkat 28% daripada RM3.18 bagi 10 biji pada Mei 2021 telur kepada RM4.08 pada Mei 2022.\n\n\nIkan kembung yang merupakan protein laut utama rakyat turut mengalami peningkatan 15% dari RM14.52 kepada RM16.65. Harga nasi ayam juga meningkat 7% dari RM5.62 sepinggan kepada RM6.04 sepinggan. Bahkan jika anda sakit kepala memikirkan isu inflasi, harga paracetamol juga naik 5% kepada RM4.92 sepapan.\n\n\nIkan Kembung Dijual Pada RM16.65 Sekilogram Pada Mei 2022\n\n\nParti Belum Bermula\u2026. Inflasi Bakal Meningkat\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeberapa bank-bank pelaburan memberi indikasi bahawa sebahagian besar subsidi akan ditarik balik pada tahun hadapan. Maybank Investment Bank umpamanya meningkatkan unjuran inflasi tahun hadapan kepada 4.1%.\n\n\nSubsidi elektrik juga akan tamat pada penghujung tahun ini dimana kadar tarif akan disemak semula. Pada Mei lalu, harga arang (Newcastle) yang merupakan sumber utama penjanaan tenaga di Malaysia telah naik kepada $428 setan metrik, jauh lebih tinggi berbanding $68.5 pada awal tahun 2020.\n\n\nSelain harga komoditi yang meningkat naik, nilai Ringgit yang melemah juga dijangka akan mengakibatkan kenaikan harga barangan import. Nilai Ringgit telah susut 7% dari RM4.10 pada Januari 2020 kepada RM4.40 ketika ini.\n\n\nHarga Komoditi Utama Dunia Meningkat Tinggi\n\n\nIni bukanlah satu perkembangan yang baik buat sebuah ekonomi yang mengimport RM987 bilion barangan dari seluruh dunia.\n\n\nPolisi yang dilaksanakan Kerajaan ketika ini tidak akan mampu mengekang inflasi, tetapi hanya mampu menangguhkan inflasi buat seketika waktu sahaja. Jumlah peruntukan subsidi dan bantuan tunai sebanyak RM77.7 bilion adalah tidak mampan untuk tempoh masa yang panjang (unjuran perbelanjaan ini lebih tinggi berbanding RM75 bilion perbelanjaan pembangunan negara untuk tahun 2022).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun, orang ramai tidak perlu gentar dan bimbang dengan penarikan subsidi barang keperluan (terutamanya minyak petrol dan diesel) dalam tempoh masa terdekat\u2026\u2026 Kerana langkah ini tidak mungkin dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kadar-faedah-inflasi-tinggi-dan-keselamatan-makanan-pengajaran-di-sebalik-tahun-2022/", "title": "Kadar Faedah, Inflasi Tinggi dan Keselamatan Makanan: Pengajaran di Sebalik Tahun 2022", "body": "\n\nShare it\nTahun 2022 baru sahaja melabuhkan tirai beberapa minggu yang lepas. Pelbagai peristiwa telah terjadi sepanjang setahun lalu yang memberikan seribu satu pengajaran. Meskipun tahun 2022 menyaksikan momentum pemulihan ekonomi diteruskan secara perlahan-lahan, boleh dikatakan 2022 bukanlah sebuah tahun yang baik kerana ekonomi Malaysia dan global terus diuji dengan pelbagai rintangan sehingga menyebabkan potensi pemulihan ekonomi sebenar tidak dapat dicapai.\n\n\n\n\n\n\n\n\nJangkaan awal yang dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa Julai 2021 meramalkan pertumbuhan ekonomi global setinggi 4.9% untuk tahun 2022. Walaubagaimanapun semasa Oktober 2022, IMF kemudiannya terpaksa menyemak semula angka tersebut dengan menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global kepada hanya 3.2% bagi tahun 2022.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSetelah dilanda penularan wabak COVID-19 yang amat dahsyat pada awal 2020, ramai pihak yang menaruh harapan bahawa tahun 2022 akan memacu pemulihan ekonomi untuk kembali normal seperti era pra-pandemik. Namun begitu, tiada siapa sangka bahawa ekonomi global terus berhadapan dengan pelbagai masalah besar seperti rantaian bekalan global yang terganggu, ketegangan geopolitik yang mencetuskan peperangan antara Rusia dan Ukraine sehingga mengakibatkan lonjakan mendadak harga minyak global, inflasi tinggi sehingga mendorong bank-bank pusat seluruh dunia mengambil langkah menaikkan kadar faedah, penutupan sepenuhnya ekonomi China dan sebagainya.\n\n\nMenaikkan Kadar Faedah Tidak Menjamin Inflasi Turun\n\n\nKadar inflasi di Malaysia meningkat sehingga 4.7% pada Ogos 2022\n\n\nKetika penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, kerajaan di kebanyakan negara tiada pilihan selain terpaksa melaksanakan sekatan aktiviti ekonomi dan sosial bagi mengurangkan risiko jangkitan. Rakyat Malaysia tentunya masih ingat mengenai episod-episod ngeri terpaksa berkurung di dalam rumah selama berbulan-bulan akibat pelaksanaan PKP.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenutupan besar-besaran aktiviti ekonomi dan sosial ketika itu telah mengakibatkan penawaran dan permintaan merudum dengan sangat dahsyat. Dari sudut penawaran, industri-industri terpaksa mengurangkan pengeluaran mereka, bahkan ada antara mereka yang terus gulung tikar akibat terjejas teruk dengan pandemik. Dalam masa yang sama rakyat Malaysia menjadi semakin kurang berbelanja berbanding waktu normal, lantas mengurangkan permintaan dalam pasaran. Kadar inflasi di Malaysia turun ke paras begitu rendah pada -0.2% bagi Januari 2021, didorong oleh kejatuhan harga minyak global. Harga minyak mentah Brent misalnya, jatuh ke paras sekitar $20 setong semasa April 2020.\n\n\nPermintaan dan penawaran perlahan-lahan pulih apabila ekonomi dibuka semula beberapa bulan selepas itu. Walaubagaimanapun, timbul satu masalah besar. Meskipun permintaan naik kerana sekatan aktiviti ekonomi dan sosial sudah dilonggarkan, penawaran bergerak dengan terlalu perlahan kerana dibelenggu oleh isu gangguan rantaian bekalan sehingga menyebabkannya tidak mampu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Dalam pada itu, peristiwa-peristiwa lain seperti Perang Rusia-Ukraine mengakibatkan gangguan tersebut menjadi lebih parah dan terus merencatkan pemulihan ekonomi global. Akibatnya, kadar inflasi di Malaysia naik setinggi 4.7% bagi bulan Ogos 2022. Barangan makanan asas seperti ayam dan telur adalah antara yang paling teruk terjejas\n\n\nKenaikan berterusan kadar inflasi ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembuat dasar di negara ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan kadar inflasi terus terkawal baik dari pendekatan fiskal seperti penetapan harga siling dan subsidi bahan makanan asas, mahupun pendekatan kewangan seperti menaikkan kadar faedah atau kadar dasar semalaman (OPR). Meskipun kesemua inisiatif ini mempunyai matlamat murni untuk mengawal kenaikan inflasi, para pembuat dasar dilihat seakan-akan mempunyai sebuah \u2018obsesi\u2019 untuk memastikan kadar inflasi terus berada di bawah paras tertentu. Akibatnya, ada sebahagian dasar yang dibuat mereka dibimbangi menjadi seperti \u2018tikus membaiki labu\u2019.\n\n\nMisalnya, kenaikan kadar faedah selalunya dibuat bertujuan bagi mengawal inflasi dengan mengurangkan aliran wang dalam pasaran. Apabila kadar faedah dinaikkan, perniagaan dan individu akan berasa agak berat untuk meminjam wang daripada bank. Maka secara teorinya kenaikan kadar faedah akan mengurangkan kadar inflasi kerana sudah semakin sedikit wang yang berlegar dalam ekonomi. Namun begitu, apa yang berlaku sekarang tidak lah sama sekali boleh disamakan dengan situasi semasa waktu normal kerana jelas sekali kenaikan inflasi ketika ini bukanlah berpunca dari aliran wang yang terlalu banyak dalam pasaran, tetapi berpunca dari gangguan rantaian bekalan yang melanda satu dunia ketika ini.\n\n\nWalaubagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bagi memberi penjelasan terhadap keputusan mereka menaikkan kadar faedah. Menurut BNM, langkah menaikkan kadar faedah ini merupakan satu proses normalisasi kadar faedah yang sebelum ini diturunkan semasa pandemik, agar kembali semula kepada kadar pra-pandemik. Ketika pandemik COVID-19, kadar faedah diturunkan serendah 1.75%, berbanding kadar pra-pandemik yang berada sekitar 3%-3.25%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebenarnya jika dibandingkan dengan krisis terdahulu, langkah menurunkan kadar faedah semasa krisis, lalu menaikkannya semula ketika krisis sudah reda bukanlah sebuah perkara yang baharu. Kadar faedah diturunkan ke paras 2% ketika Malaysia terkesan dengan Krisis Kewangan 2008. Apabila krisis tersebut sudah semakin reda, kadar faedah dinaikkan semula.\n\n\nNamun perkara penting yang harus diambil kira pada krisis kali ini ialah sekiranya kadar faedah terus dinaikkan tanpa menggerakkan polisi yang efektif untuk menangani isu gangguan rantaian bekalan global ini, maka kadar inflasi pasti tidak akan turun ke paras yang diidam-idamkan.\n\n\nKeselamatan Makanan di Malaysia: Sebuah Realiti Pahit yang Perlu Ditelan \n\n\nSebuah lagi pengajaran berharga yang boleh dipelajari dari tahun 2022 ialah meskipun bumi Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis tanaman makanan, penternakan dan perikanan, apa yang menghairankan ialah negara ini seringkali berhadapan dengan isu kekurangan bekalan makanan.\n\n\nApa yang lebih membimbangkan, jumlah import makanan Malaysia didapati semakin besar dari tahun ke tahun. Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah mendapati Malaysia mengimport makanan berjumlah RM35 billion, mewakili 6.5% daripada keseluruhan jumlah import pada tahun 2011. Angka itu meningkat 125% kepada RM79 billion, atau mewakili 8.0% daripada keseluruhan jumlah eksport negara pada tahun 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPunca kepada masalah kekurangan bekalan makanan dalam pasaran di negara ini sebenarnya boleh dikesan seawal kejatuhan sektor pertanian ketika Malaysia memasuki fasa pengindustrian besar-besaran semasa tahun 1980-an. Ketika itu, sektor pertanian seakan-akan dianak tirikan apabila fokus pembangunan industri ditujukan kepada sektor pembuatan melalui pelaburan besar-besaran daripada Kerajaan dan pelabur luar. Sebagai perbandingan, lebih 40% daripada KDNK negara disumbangkan oleh sektor pertanian pada tahun 1960, manakala sektor pembuatan hanya menyumbang hampir 10% sahaja. Namun begitu, angka tersebut bertukar wajah apabila sektor pembuatan menyumbang hampir 23% kepada KDNK negara pada tahun 2021, manakala sektor pertanian hanya menyumbangkan tidak sampai 10% sahaja.\n\n\nMungkin ada antara ahli ekonomi yang berhujah fenomena sebegini biasa berlaku berdasarkan model tiga-sektor yang merupakan sebuah teori yang cukup popular dalam silibus kelas ekonomi pembangunan dan ekonomi perindustrian. Menurut teori berkenaan, pada awalnya pengeluaran industri di negara-negara selalunya bermula dengan sektor primari yang menumpukan kepada usaha mengeluarkan hasil bumi dan bahan mentah seperti aktiviti perlombongan, pertanian dan perikanan. Setelah sektor primari berkembang, ekonomi akan bergerak ke arah sektor sekunder yang menekankan kepada sektor pembuatan. Fasa akhir ialah pembangunan sektor perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan seperti perbankan, pendidikan dan kesihatan.\n\n\nKesannya mungkin tidak nampak ketika itu terhadap keterjaminan makanan di negara ini. Namun, kesan jangka panjang dapat dilihat sekarang apabila Malaysia tidak lagi mampu untuk memastikan bekalan makanan mencukupi pada harga yang berpatutan untuk dibeli oleh rakyat. Lebih parah lagi barangan makanan asas yang dikawal Kerajaan seperti ayam, telur, minyak masak sering kali disorok oleh pihak pengeluar, ataupun diseludup ke luar negara demi meraih keuntungan yang lebih lumayan.\n\n\nTahun 2023, Harapan yang Tidak Pasti?\n\n\nSama seperti tahun 2022, orang ramai sudah pasti sekali lagi berharap bahawa tahun baru 2023 ini akan menjadi lebih baik dari tahun sebelum-sebelum ini. Meskipun beberapa indikator menunjukkan corak yang agak baik, termasuklah inflasi sudah menunjukkan tanda-tanda akan menurun, pengukuhan matawang ringgit, pembukaan semula ekonomi China, harga minyak global yang sudah turun ketika ini dan pelbagai lagi, beberapa ketidaktentuan ekonomi terus wujud. Tahun 2023 nampaknya terus dirundung oleh ketidaktentuan ekonomi seperti kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi, kadar inflasi yang masih tinggi yang terus mendorong kenaikan kadar faedah oleh bank-bank pusat, pembuangan pekerja besar-besaran dalam sektor teknologi dan pelbagai lagi ketidaktentuan ekonomi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertumbuhan ekonomi Malaysia dan global secara amnya dijangka sederhana pada tahun ini. Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana buat Malaysia pada kadar 4%, didorong oleh eksport yang perlahan kepada pasaran utama global.\n\n\nMungkin harapan dan jangkaan tidak boleh terlalu diletakkan terlalu tinggi bagi tahun 2023, supaya tidak begitu terkejut dan kecewa di penghujung tahun nanti.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kadar-kemiskinan-isi-rumah-di-ppr-kl-meningkat-kepada-45-unicef-malaysia/", "title": "Kadar Kemiskinan Isi Rumah di PPR KL Meningkat Kepada 45% \u2013 UNICEF Malaysia", "body": "\n\nShare it\nKadar Kemiskinan Ketua Isi Rumah di PPR Kuala Lumpur Meningkat Kepada 45%\n\n\nLaporan berpanjangan Families on the Edge yang dikeluarkan oleh UNICEF Malaysia mendapati kadar kemiskinan isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur telah meningkat 3% dari 42% pada Disember 2020 kepada 45% pada Mac 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKeadaan lebih parah buat isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya. Kadar kemiskinan di dalam kumpulan ini masing-masing berada di paras 62% dan 55%. Sesebuah isi rumah itu dianggap berada di dalam kategori miskin apabila pendapatan bulanan isi rumah tersebut berada di bawah garis pendapatan kemiskinan iaitu RM2,216 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah juga kekal tinggi iaitu pada 12% pada Mac 2021, menurun sedikit berbanding 14.9% pada Disember tahun lalu. Namun demikian, ia masih lagi tinggi berbanding keadaan sebelum krisis Covid-19.\n\n\nBagi ketua isi rumah wanita, kadar pengganguran kumpulan ini pula telah meningkat dalam tempoh yang sama iaitu dari 13.4% kepada 15.9%.\n\n\nPendapatan penengah meningkat Kepada RM2,117 sebulan, namun pendapatan bagi Ketua Isi Rumah Wanita & Orang Kurang Upaya telah menurun\n\n\nManakala dalam kalangan anak-anak dewasa yang berada di dalam isi rumah di PPR Kuala Lumpur, pengangguran semakin tinggi iaitu pada 36.8% pada Mac 2021, naik dari 32.3% pada Disember tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPendapatan penengah isi rumah ini menunjukkan peningkatan kecil iaitu dari RM2,000 kepada RM2,117. Namun bagi isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya, pendapatan mereka merudum masing-masing dari RM1,400 kepada RM1,300 dan RM1,250 kepada RM1,200.\n\n\nLaporan yang dikeluarkan juga mendapati bahawa majoriti mereka yang bekerja sendiri tidak meraih sebarang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada Industri Kecil & Sederhana. 86% daripada mereka menyatakan mereka tidak mendapat apa-apa bantuan.\n\n\nHanya 7% sahaja responden menyatakan mereka menerima bantuan Geran Prihatin Khas yang disalurkan kepada kerajaan yang menyasarkan mereka yang bekerja sendiri.\n\n\nKetika ditanya mengenai bantuan yang diperlukan, responden berpendapat bahawa bantuan tunai merupakan yang paling berguna buat mereka iaitu seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Tunai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan tunai dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.\n\n\nHanya 18% menyatakan bahawa pengeluaran tunai dari simpanan KWSP sebagai sesuatu yang bermanfaat buat mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai perlindungan sosial\n\n\nPerkara ini selari dengan dapatan kajian ini dimana hampir separuh ketua isi rumah yang bekerja tidak mempunyai perlindungan sosial seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional ( KWSP ) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial ( PERKESO ). Manakala dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, 90% tidak mempunyai caruman KWSP dan PEREKSO.\n\n\nKajian turut menunjukkan bahawa ibu bapa lebih berminat untuk anak-anak mereka meneruskan sesi pembelajaran di sekolah berbanding di rumah. Hanya 17.5% bersetuju untuk anak-anak meneruskan pengajian secara atas talian.\n\n\nSebahagian besar menyatakan bahawa sesi pembelajaran atas talian sukar dilaksanakan kerana anak-anak tidak mempunyai ruang kondusif untuk mengikuti pengajian selain lebih gemar pengajian dilakukan secara berhadapan.\n\n\nKanak-kanak di PPR Kuala Lumpur ini juga tidak mempunyai peranti yang bersesuaian untuk mengikuti pengajian atas talian. Hanya 29% mempunyai akses terhadap komputer manakala sebahagian besar daripada mereka menggunakan telefon pintar dan tablet untuk tujuan tersebut.\n\n\nProgram CERDIK yang bertujuan untuk memberikan peranti komputer riba kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia juga kelihatan tidak banyak membantu. Kenyataan media yang dikeluarkan 25 April lalu menunjukkan hanya 13,000 peranti telah diagihkan kepada pejabat pelajaran daerah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMajoriti masih skeptikal terhadap keadaan kewangan mereka pada masa hadapan\n\n\nMajoriti ketua isi rumah juga kelihatan skeptikal dengan masa depan kewangan mereka. Hanya 11% daripada mereka bahawa keadaan akan bertambah baik dalam tempoh enam bulan akan datang manakala 25% menyatakan bahawa keadaaan akan bertambah buruk.\n\n\nLaporan Families on The Edge ini merupakan siri keempat yang dikeluarkan sejak Mei tahun lalu yang dibiayai oleh UNICEF dan UNFPA Malaysia. Seramai 500 orang responden yang tinggal di PPR Kuala Lumpur telah ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini.\n\n\nLaporan boleh diakses di sini : [ \nDropbox\n ]\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kadar-kemiskinan-naik-kepada-8-4-pada-2020-ketidaksamaan-semakin-melebar/", "title": "Kadar Kemiskinan Naik Kepada 8.4% Pada 2020, Ketidaksamaan Semakin Melebar", "body": "\n\nShare it\nKadar kemiskinan di Sabah meningkat melebihi 25%\n\n\nLaporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini memberi gambaran awal mengenai impak Covid-19 terhadap isi rumah di Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\nDapatan kajian menunjukkan bahawa kadar kemiskinan telah meningkat dari 5.6% kepada 8.4% pada tahun 2020 dengan kira-kira 640,000 isi rumah berada di dalam kemiskinan. Laporan turut menunjukkan bahawa 78,000 isi rumah berada di dalam kemiskinan tegar iaitu mereka yang meraih pendapatan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan untuk makanan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSeluruh lapisan masyarakat terkesan akibat bencana kesihatan dan ekonomi ini dimana purata pendapatan isi rumah jatuh sebanyak 10.3% kepada RM7,089. Manakala pendapatan penengah isi rumah pula susut 11.3% kepada RM5,209 sebulan. Pendapatan yang diraih isi rumah penengah ini adalah lebih rendah berbanding pendapatan yang diperoleh pada tahun 2016.\n\n\nPekali Gini yang mengukur jurang ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan isi rumah di Malaysia juga menunjukkan peningkatan. Pekali Gini telah meningkat dari 0.407 pada tahun 2019 kepada 0.411 pada tahun 2020.\n\n\nJurang ketidaksamaan semakin melebar\n\n\nKesannya dapat dilihat melalui agihan pendapatan dalam kalangan kumpulan T20 dimana agihan pendapatan mereka meningkat dari 46.8% kepada 47.2%. Manakala kek pendapatan yang diperoleh kumpulan M40 dan B40 semakin mengecil dari 53.2% kepada 52.8%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerkembangan ini bukan bermaksud golongan T20 semakin kaya berbanding sebelum wabak Covid-19 ini tular tetapi bermakna bahawa golongan B40 dan M40 lebih terkesan berbanding golongan-golongan berada.\n\n\nInisiatif kerajaan di dalam usaha membantu meringankan tekanan rakyat ketika wabak Covid-19 menular dapat dilihat melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini. Pendapatan isi rumah melalui pindahan tunai telah meningkat 14.4% kepada RM737 sekaligus menunjukkan bahawa kesan yang dialami oleh isi rumah adalah lebih teruk jika bantuan kerajaan tidak diambil kira.\n\n\nPenyelidik ekonomi, Dr Madeline Berma dari Universiti Kebangsaan Malaysia ketika ditemubual Ekonomi Rakyat menyatakan bahawa mereka yang berada di sektor formal terutamanya dari sektor pelancongan dan peruncintan antara yang paling terkesan akibat krisis kesihatan ini.\n\n\nPendapatan isi rumah menurun pada tahun 2020\n\n\nBeliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap golongan rentan tidak dapat dibanci oleh penyelidik.\n\n\n\n\n\u201d Sebenarnya, ramai juga yang tidak ditangkap oleh perangkaan. Maksudnya, masa jabatan statistik pergi mengutip data tersebut, ada individu yang terlepas. Saya tidak membayangkan mereka sempat mencari orang Penan dekat Sarawak dimana mereka terpaksa berjalan tujuh hari tujuh malam \u201c\n\n\n\n\nBeliau sempat menyentuh keadaan di Sabah, Kelantan dan Sarawak dimana situasi isi rumah yang terjejas dengan begitu teruk sekali. Kadar kemiskinan di Sabah umpamanya telah meningkat sehingga 25% manakala di Kelantan pula setinggi 21%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Memang saban tahun, almost the same story. Trend yang sama wujud. Negeri tiga ini akan berlumba iaitu Sabah, will always lead menjadi negeri yang termiskin. Nombor dua Kelantan dan akan diikuti oleh Sarawak. \u201c\n\n\n\n\nBeliau berharap agar terdapat usaha untuk menyelesaikan masalah struktur ini agar perkara yang tidak sama tidak terus berulang\n\n\n\n\n\u201d Dari zaman sebelum Covid, dan zaman semasa Covid dan besar kemungkinan jika tidak ada usaha dilakukan untuk menyelesaikan masalah struktur ini. Maka, sampai ke sudahlah kita akan melihat tiga negeri ini akan menjuarai kedudukan yang paling teratas dari segi kemiskinan. Maknanya, benda ini bukan benda baru. Cuma angkanya ( sekarang ) meningkat. \u201c\n\n\n\n\nDr Madeline juga mempersoalkan bagaimana kemiskinan di Sarawak berada di paras begitu tinggi sedangkan negeri tersebut merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber. Data terbaru menunjukkan KDNK per kapita di Sarawak adalah setinggi RM48,600 iaitu lebih tinggi berbanding KDNK per kapita di Malaysia ( RM43,400 ).\n\n\nNamun demikian, kadar kemiskinan di Sarawak jauh lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan di peringkat kebangsaan iaitu pada paras 12.9%\n\n\n\n\n\u201d Tengok negeri Sarawak. Antara negeri yang terkaya. Negeri yang kaya dengan sumber. Negeri yang terbesar di Malaysia. Kenapa perkara ini berlaku? Jadi persoalan ini kita perlu jawab. Kenapa negeri yang kaya tetapi kadar kemiskinannya tinggi \u201c\n\n\n\n\nDr Madeline Berma yang ditemubual secara atas talian turut berpendapat bahawa ketidaksamaan di Malaysia dijangka akan terus melebar pasca-Covid-19.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kalau-aku-kaya-50-orang-terkaya-di-malaysia-punyai-aset-rm377-bilion/", "title": "Kalau Aku Kaya \u2013 50 Orang Terkaya di Malaysia Punyai Aset RM377 Bilion", "body": "\n\nShare it\n\u201c Kalau aku kaya\n\n\n\n\n\n\n\n\nHari-hari hari raya\u201d\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDemikianlah lirik lagu \u201cKalau Aku Kaya\u201d nyanyian Altimet dan Awi Rafael yang cukup popular beberapa tahun yang lalu. Boleh dikatakan setiap manusia di dunia sudah pasti mengimpikan untuk menjadi orang kaya. Memiliki kekayaan bukan sahaja memberi kelebihan dari sudut wang, bahkan akan memudahkan hampir segenap aspek urusan kehidupan seseorang.\n\n\nBaru-baru ini, Forbes mengumumkan senarai 50 individu terkaya di Malaysia bagi tahun 2023. Kekayaan yang dimiliki 50 individu terkaya ini dilaporkan berjumlah AS$81.6 billion (RM376.5 billion), atau bersamaan kira-kira 20% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun lalu iaitu RM1.79 trillion.\n\n\nSeperti tahun-tahun sebelum ini, senarai ini terus diterajui oleh \u2018Raja Gula\u2019 Robert Kuok, yang memiliki kekayaan terkumpul AS$11.8 billion (RM54.53 billion). Kekayaan yang dimiliki Robert Kuok dapat dilihat menerusi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan syarikat-syarikat milik beliau, yang seakan-akan berada di segenap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Antaranya termasuklah Hotel Shangri-La, Tepung Cap Sauh (FMM Berhad) serta panggung wayang Golden Screen Cinemas (GSC) Sdn Bhd yang bernaung di bawah PPB Group Berhad.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKedudukan Robert Kuok dalam ranking ini diikuti rapat oleh Quek Leng Chan (AS$10.2 billion), yang merupakan pemilik Hong Leong Bank. Senarai 50 Terkaya Forbes 2023 ini turut menyaksikan kemasukan lima muka baharu, iaitu Chiau Beng Teik (Chin Hin Group), Yun Kuan Chon (YNH Property), Ong Soon Ho (Hextar Group), Goh Nan Kioh (Mega First Corporation Berhad) dan mendiang Teh Hong Piow (Public Bank).\n\n\nGolongan Terkaya di Malaysia Terus Didominasi Etnik Cina\n\n\nPecahan mengikut etnik mendapati 84% atau seramai 42 individu dalam senarai ini datang daripada kaum Cina. Manakala hanya tiga individu masing-masing datang daripada kaum Melayu (Syed Mokhtar AlBukhary, Syed Azman Syed Ibrahim dan Azman Hashim) dan India (Ananda Krishnan, G. Gnanalingam dan Ninian Mogan Lourdenadin). Selebihnya dua individu lagi merupakan etnik Lain-lain (Surin Upatkoon dan Patrick Grove).\n\n\nJumlah kekayaan yang dimiliki 50 Terkaya Forbes 2023 ini dilaporkan naik sedikit kepada AS$81.6 billion, berbanding AS$80.5 billion pada tahun sebelumnya. Begitu juga dengan nilai bersih minimum yang diperlukan seseorang individu itu untuk memasuki senarai ini turut naik sebanyak 24% daripada AS$255 juta kepada AS$315 juta. Ini bermaksud jumlah kekayaan yang dimiliki golongan terkaya ini saban tahun semakin meningkat.\n\n\nAnda memerlukan kekayaan berjumlah AS$485,00 (RM2.2 juta) untuk memasuki kumpulan 1% tertinggi di Malaysia\n\n\nIni disokong oleh perkiraan yang dibuat oleh The Wealth Report 2023 yang diterbitkan firma perundingan hartanah Knight Frank. Menurut laporan ini, seseorang rakyat Malaysia memerlukan kekayaan berjumlah AS$485,00 (RM2.2 juta) untuk memasuki kumpulan 1% tertinggi di negara ini.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDari satu sudut, kekayaan yang dimiliki individu-individu terkaya ini merupakan satu perkara yang positif kerana ia mencerminkan landskap perniagaan yang terbuka di Malaysia. Jika diteliti, kebanyakan bilionair ini tidaklah menghimpun kekayaan secara \u2018atas angin\u2019 begitu sahaja. Kekayaan mereka ini datang daripada pelbagai sumber perniagaan sah yang mendatangkan hasil buat ekonomi negara serta mencipta ribuan peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.\n\n\nAda sebahagian nama dalam senarai ini sudah menjadi kaya semenjak berdekad-dekad. Sebagai contoh, Robert Kuok yang sudah memegang takhta individu terkaya di Malaysia semenjak hampir lebih 25 tahun lepas. Robert Kuok yang memasuki umur 99 tahun pada tahun ini juga merupakan bilionair tertua dalam senarai ini.\n\n\nCukai Agihan Kekayaan, Apa yang Perlu Kerajaan Buat?\n\n\nTidak dinafikan golongan terkaya ini memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negara. Namun, ini tidak bermaksud Kerajaan perlu berlembut dengan mereka, terutamanya dalam soal pelaksanaan cukai bagi mengagihkan semula kekayaan secara adil. Lebih-lebih lagi, semakin ramai rakyat Malaysia jatuh dalam kemiskinan akibat pandemik COVID-19.\n\n\nPekali Gini naik daripada 0.407 (2019) kepada 0.411 (2020), menandakan jurang ketidaksamaan semakin melebar selepas pandemik COVID-19\n\n\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak naik dari 5.6% (2019) kepada 8.4% (2020). Jumlah isi rumah miskin meningkat 58% kepada 639.8 ribu isi rumah pada tahun 2020, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada tahun sebelumnya. Jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah di Malaysia juga semakin melebar, berdasarkan pekali Gini yang naik 0.407 (2019) kepada 0.411 (0.411).\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNisbah kutipan cukai kepada KDNK Malaysia adalah 11.4% pada tahun 2020, antara yang terendah di ASEAN\n\n\nKutipan cukai di Malaysia adalah agak rendah, iaitu bersamaan sekitar 11% sahaja daripada KDNK negara, lebih rendah dari purata Asia Pasifik (19.1%). Malah menurut data OECD, nisbah kutipan cukai berbanding KDNK bagi Malaysia pada tahun 2020 adalah antara yang terendah jika dibandingkan dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura (12.8%), Thailand (16.5%), Filipina (17.8%), Kemboja (20.2%) dan Vietnam (22.7%).\n\n\nKutipan cukai yang rendah di Malaysia ini turut ditegur oleh beberapa institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Mereka menyarankan Malaysia agar segera bertindak bagi mencari jalan meningkatkan hasil negara demi menjamin kedudukan kewangan yang lebih mampan.\n\n\nAda Kekayaan yang Diwarisi Turun-Temurun\n\n\nAda sesetengah individu ini menjadi kaya disebabkan mereka mewarisi harta kekayaan yang berbillion ringgit daripada bapa atau datuk mereka. Sebagai contoh, bos YTL Corp, Francis Yeoh yang mewarisi empayar perniagaan tersebut dari bapanya Yeoh Tiong Lay.\n\n\nAntara bilionair-bilionair lain yang mewarisi kekayaan daripada bapa mereka adalah Lim Kok Thay (Genting), Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng (IOI Group) dan Quek Leng Chan (Hong Leong) yang mana sejarah empayar perniagaan keluarga beliau bermula di Singapura.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTidak terkecuali, Lee Oi Hian, CEO syarikat perladangan gergasi, Kuala Lumpur Kepong (KLK) pula mewarisi empayar berkenaan dari bapanya, Lee Loy Seng. Menurut rekod, syarikat-syarikat berkait dengan keluarga mereka telah pun tersenarai sebagai sebahagian syarikat terbesar di Malaysia sejak sekian lama.\n\n\nPada tahun 1971 misalnya, Batu Kawan Berhad yang dikuasai keluarga mereka berada di kedudukan ke-8 sebagai syarikat tersenarai terbesar di Malaysia. Keluarga Lee Loy Seng juga mempunyai pegangan di dalam Austral Amalgamated Tin yang merupakan syarikat tersenarai ke-4 terbesar di Malaysia.\n\n\nAntara solusi yang boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan hasil negara serta mengimbangkan agihan kekayaan ialah dengan memperkenalkan cukai tambahan kepada golongan terkaya di negara ini untuk mengimbangi agihan kekayaan. Contohnya, dengan memperkenalkan cukai warisan terhadap kekayaan, harta atau aset yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Lebih-lebih lagi memandangkan kekayaan yang diperolehi ini sebahagian besarnya datang dari sektor-sektor \u2018\nrent-seeking\n\u2019 serta suntikan modal serta dana yang besar dari Kerajaan.\n\n\nBaru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam indeks Kroni-Kapitalisme 2023 yang diterbitkan oleh The Economist. Indeks ini mengukur kekayaan yang diperoleh oleh golongan plutokrat di sesebuah negara menerusi industri \u2018\nrent-seeking\n\u2019 dalam tempoh sedekad lepas. Kekayaan yang diraih sektor kroni di Malaysia berjumlah lebih 10% daripada KDNK negara, lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Mexico, Indonesia dan Mesir.\n\n\nBeberapa tahun lalu di Korea Selatan, keluarga mendiang Pengerusi Samsung Group, \nLee Kun-hee dilapor membayar cukai warisan berjumlah 12 trillion won (AS$10.3 billion) selepas kematian beliau\n. Meskipun kadar cukai warisan di Korea Selatan setinggi 50%, pelaksanaannya boleh dijelaskan kerana sebahagian besar konglomerat atau \u2018chaebol\u2019 ini rata-rata membina empayar perniagaan mereka hasil bantuan dan sokongan Kerajaan. Kutipan cukai warisan di Korea Selatan ini menyumbang lebih 1.5% daripada hasil cukai negara pada tahun 2019, menurut data OECD.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUra-ura untuk memperkenalkan cukai warisan di Malaysia sudah pun kedengaran sejak bertahun lepas, namun terhenti hanya setakat itu sahaja. Ada sesetengah pihak yang merasakan cukai warisan tidak adil kerana ibu-bapa mereka yang bekerja keras mencari harta kekayaan untuk keluarga, namun di akhirnya Kerajaan pula yang mahu mengambilnya.\n\n\nPengenalan cukai-cukai tambahan sebegini merupakan sebuah langkah yang boleh dipertimbangkan memandangkan kadar cukai efektif yang dibayar oleh billionair-billionair ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan rakyat biasa. Memetik kajian ahli ekonomi Rumah Putih AS, Greg Leiserson dan Danny Yagan, mereka mendapati 400 individu terkaya dalam senarai Forbes di AS hanya membayar purata cukai pendapatan sebanyak 8.2% antara tahun 2010-2018, lebih rendah berbanding apa yang dibayar oleh sebuah keluarga kelas menengah di negara itu.\n\n\nDalam kalangan negara OECD, kadar cukai warisan tertinggi adalah di Jepun (55%), manakala terendah di Itali (4%)\n\n\nSebenarnya, cukai warisan ini tidaklah perlu diperkenalkan pada kadar yang begitu tinggi seperti di Jepun (55%) atau Korea Selatan (50%). Dalam kalangan negara OECD, cukai warisan di Itali adalah yang terendah, iaitu hanya 4%. Sekiranya Malaysia berhasrat memperkenalkan cukai warisan, bahkan apa-apa jenis cukai sekalipun, langkah yang bijak ialah dengan memperkenalkannya secara beransur-ansur agar semua pihak dapat memahami dan menerimanya dengan lebih terbuka.\n\n\nNamun, apa yang sering berlaku ialah cukai diperkenalkan pada kadar yang agak tinggi, lantas mendapat kecaman ramai pihak. Contohnya, cukai GST yang diperkenalkan di Malaysia pada 1 April 2015 terus dikenakan pada kadar 6%. Ini jauh lebih tinggi berbanding 3% semasa mula-mula diperkenalkan di Singapura pada tahun 1994, sebelum dinaikkan perlahan-lahan kepada 4% (2003), 5% (2004), 7% (2007), 8% (2023).\n\n\nAkibatnya, pelaksanaan GST mendapat reaksi negatif sehinggalah ditukar dengan cukai SST pada tahun 2018 oleh Kerajaan baharu pada ketika itu. Pemansuhan cukai GST mengakibatkan Malaysia kehilangan sebuah sistem percukaian yang menjana lebih banyak hasil buat negara. Sebagai perbandingan, kutipan cukai SST sepanjang tahun 2019 ialah sebanyak RM27.5 billion. Namun, kutipan cukai GST selama sembilan bulan sahaja, iaitu dari Januari hingga September 2017 adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak RM29.8 billion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIroninya, memperkenalkan cukai GST seolah-olahnya lebih mudah berbanding mengenakan cukai kepada golongan kaya. Meskipun ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19, ada sesetengah billionair ini mengaut keuntungan besar, terutamanya dalam industri kesihatan dan sarung tangan getah. Lantaran itu, Kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau Cukai Makmur terhadap mereka. Namun, pelaksanaan cukai ini mendapat respon yang negatif daripada kalangan pemain industri, kerana dikatakan mengganggu peluang perniagaan dan pelaburan.\n\n\nMungkin golongan terkaya ini boleh mencontohi inisiatif yang telah dibuat oleh billionair-billionair di negara-negara maju. Contohnya, baru-baru ini sekumpulan ahli ekonomi, aktivis, ahli politik dan jutawan dari tujuh buah negara Eropah menandatangani Inisiatif Rakyat Eropah (ECI). Memorandum ini mencadangkan Kesatuan Eropah (EU) agar melaksanakan sebuah sistem cukai kekayaan tahunan secara tetap. Langkah ini bagi bagi membolehkan lebih banyak hasil dapat dikutip untuk menangani isu kemiskinan dan perubahan iklim.\n\n\nMungkin di akhirnya, persoalan agihan kekayaan tidaklah hanya sebuah persoalan materialistik semata-mata. Namun apa yang lebih jauh untuk difikirkan ialah semangat patriotisme dan kekitaan yang lebih mendalam bagi memastikan kekayaan dapat dikongsi secara lebih adil dengan semua rakyat Malaysia agar tiada siapa yang tercicir.\n\n\nSenarai golongan terkaya yang dikeluarkan oleh Forbes juga perlu diambil \u201d with a pinch of salt \u201d kerana banyak kekayaan-kekayaan golongan elit ini tidak dapat dikesan kerana aset yang berada di dalam kawalan mereka tidak boleh diakses orang ramai. Perkara ini berlaku sama ada mereka tidak mengisytiharkannya atau kekayaan tersebut disorok di akaun luar pesisir seperti mana yang pernah didedahkan Kertas Pandora suatu ketika dahulu.\u00a0Berbeza dengan pendekatan Forbes, kekayaan golongan terkaya di Malaysia ini dinilai melalui pegangan mereka di syarikat-syarikat tersenarai di pasaran saham.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kanak-kanak-mangsa-terbesar-wabak-covid-19-prof-jomo-ks/", "title": "\u201d Kanak-Kanak Mangsa Terbesar Wabak Covid-19 \u201d \u2013 Prof Jomo KS", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nTokoh ekonomi negara, Prof Jomo KS menyatakan kanak-kanak merupakan mangsa terbesar di sebalik pandemik Covid-19 ini. Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat secara atas talian semalam menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kanak-kanak yang terkesan akibat penutupan sekolah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut beliau, terdapat sebilangan besar kanak-kanak yang memperoleh bantuan Rancangan Makanan Tambahan di sekolah. Namun disebabkan penutupan sekolah, ramai yang terjejas dari segi kuantiti makanan serta kualiti makanan yang diambil.\n\n\n\n\n\u00a0\u201d Saya dapati sesetengah anak-anak yang pernah mendapat Rancangan Makanan Tambahan itu, sekarang tidak dapat. Makanan mereka merosot bukan saja dari segi jumlahnya tetapi merosot dari segi khasiatnya. Dan itu tidak boleh diterbalikkan. Dalam jangka panjang, itu akan memberi kesan yang cukup besar. \u201c\n\n\n\n\nSelain itu, beliau juga mengkritik langkah kerajaan dalam menangani masalah pendidikan di saat wabak Covid-19. Beliau berpendapat bahawa Malaysia terlalu memberi fokus untuk melaksanakan pendidikan secara digital dimana kebanyakkan pelajar tidak mempunyai kelengkapan yang secukupnya untuk mengikuti pengajian seperti komputer ataupun telefon pintar.\n\n\n\n\n\u201d Dan sebenarnya ada kaedah lain. Di negeri-negeri lain mereka menggunakan televisyen. Dan di Malaysia ini, boleh dikatakan lebih daripada 90% daripada isi rumah mempunyai TV ataupun sekurang-kurangnya radio. Kenapa TV dan radio tidak dimanfaatkan? TV dan radio sudah lama digunakan untuk pendidikan. \u201c\n\n\n\n\nBeliau turut mengkritik cara-cara pelaksanaan sesebuah polisi dimana beliau berpendapat pembuat dasar tidak memikirkan mengenai sebilangan keluarga yang tidak bernasib baik kerana mencari solusi mengenai pendidikan yang terlalu canggih.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Jadi kadangkala dasar-dasar kita ini tidak memikirkan yang nasib orang tidak semuanya serupa. Kita sepatutnya memikirkan dan cuba berusaha sebanyak mungkin supaya tidak ada sesiapa yang tercicir dan ketinggalan. Tetapi kadangkala dasar-dasar seumpama ini yang mementingkan kecanggihan, dan lebih mementingkan masalah orang yang berada dan berpengaruh. Akibatnya kita dapati ramailah anak orang susah diabaikan \u201c\n\n\n\n\nProf Jomo yang pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga berpendapat bahawa bantuan wajar diberikan mereka yang terkesan. Bantuan secara langsung perlu diberikan sama ada secara tunai atau cara-cara yang lain.\n\n\nBeliau turut berpendapat moratorium bank mungkin tidak memberi manfaat kepada mereka yang kais pagi makan pagi. Hal ini kerana kebanyakkan mereka daripada kumpulan ini tidak layak untuk membuat pinjaman bank dari awal lagi. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan untuk merangka dasar yang lebih efisien untuk mereka yang terkesan dengan teruk akibat PKP ini.\n\n\nKetika ditanya mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang dibuat pada Belanjawan 2021, beliau berpendapat bahawa unjuran tersebut tidak boleh diterima akal sekarang kerana ia meramalkan pemulihan berbentuk V sedangkan sebilangan besar negeri-negeri kini melalui Perintah Kawalan Pergerakan.\n\n\n\n\n\u201d Apa yang berlaku sekarang? Kita macam W, malah ada sesetengah orang kata kalau kita terus seperti ini. Kita WWW, macam world wide web. Andaian asas ramalan itu sukar diterima terutama sekali sekarang \u201c\n\n\n\n\nProf Jomo KS kini merupakan Penasihat Penyelidikan di Khazanah Research Institute dan pernah menjawat jawatan sebagai Profesor di UM. Beliau kekal aktif dalam menyampaikan syarahan kepada orang ramai terutamanya mengenai ekonomi.\n\n\nVideo wawancara tersebut akan dimuatnaik kelak di akaun Youtube Ekonomi Rakyat\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kanak-kanak-mula-hilang-minat-belajar-dr-muhammed-abdul-khalid/", "title": "\u201d Kanak-Kanak Mula Hilang Minat Belajar \u201d \u2013 Dr Muhammed Abdul Khalid", "body": "\n\nShare it\nKanak-Kanak Mula Hilang Minat Belajar\n\n\nKetua penyelidik Kajian Families on The Edge yang diterbitkan oleh UNICEF Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut beliau, sebahagian besar ibu bapa melaporkan bahawa anak-anak mereka sudah hilang minat untuk belajar susulan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan ini. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan emosi kanak-kanak turut terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKesannya bukan hanya kepada ketua isi rumah. \nKesannya juga kepada kanak-kanak. Kepada kanak-kanak ini, yang paling teruk adalah tekanan stres. Ini kita tidak lihat sebelum ini. Banyak kanak-kanak stres. Dan yang lebih merungsingkan, kanak-kanak sudah hilang minat belajar. Enam daripada sepuluh, mak bapak dia kata \u201d budak-budak ini dah tak mahu dan tak minat belajar \u201c\n\n\n\n\nKeadaan ekonomi isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat ini juga kekal kritikal. Dr Muhammed menegaskan keadaan mereka masih belum pulih seperti sebelum Covid-19 melanda negara ini.\n\n\nKatanya, kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah meningkat 2.5 kali ganda berbanding sebelum krisis. Manakala kadar pengangguran untuk anak-anak dewasa di dalam isi rumah ini juga kekal tinggi pada 37%.\n\n\nDr Muhammed berharap agar bantuan tambahan dapat diberikan kepada kumpulan ini kerana mereka sudah berada di dalam keadaan terdesak.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBenda pertama yang mereka perlukan ialah bantuan tunai. Kerana mereka sudah terdesak. Enam per sepuluh kata \u201c kami tidak cukup pendapatan untuk menyara keluarga. Sudah tertekan sekarang. \u201c Jadi mereka perlukan bantuan tunai daripada kerajaan.\n\n\n\n\nGeran Khas Prihatin juga perlu diberikan kepada mereka yang bekerja sendiri selain melindungi mereka melalui jaringan keselamatan sosial. Menurut Dr Muhammed, sebilangan besar daripada mereka tidak mencarum kepada KWSP ataupun PERKESO sekaligus mendedahkan mereka kepada kejutan ekonomi.\n\n\nKetika ditanya sama ada skim i-Sinar dan i-Lestari membantu kumpulan ini mengharungi hari-hari sukar, beliau berkata sebahagian besar daripada golongan rentan seperti mereka tidak pun mempunyai simpanan KWSP kerana bekerja sendiri ataupun bekerja di dalam sektor informal.\n\n\n\n\nKalau kita punya polisi keluarkan i-Sinar dan i-Lestari untuk memberi bantuan kepada orang susah. Ini pun silap. Kita ada 15 juta pekerja, yang carum tiap-tiap bulan secara konsisten hanya lima juta. Satu per tiga tak mencarum. Yang tak mencarum ini adalah orang susah.\n\n\nKalau strategi kita membantu orang yang susah. i-Lestari tidak membantu kerana mereka tidak ada wang yang cukup. Jadi kalau nak membantu, kerajaan perlu memberi bantuan tunai. Bukannya menyuruh mereka mengeluarkan simpanan hari tua.\n\n\n\n\nDr Muhammed diwawancara secara maya oleh Ekonomi Rakyat minggu lalu bagi berkongsi pandangan mengenai kajian Families on The Edge telah diterbitkan secara bersiri selama empat kali sejak Mei tahun lalu. Seramai 500 ketua isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat sekitar Kuala Lumpur ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini.\n\n\nLaporan penuh boleh diakses di sini : [ \nDropbox\n\u00a0]\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kapal-kontena-terkandas-di-terusan-suez-kapal-syarikat-logistik-pilih-pusing-afrika/", "title": "Kapal Kontena Terkandas di Terusan Suez, Kapal Syarikat Logistik Pilih Pusing Afrika", "body": "\n\nShare it\nKapal kontena milik syarikat Jepun, Ever Given telah terkandas di Terusan Suez, Mesir setelah berhadapan dengan ribut pasir yang mengakibatkan tahap penglihatan yang rendah selain angin kuat mencecah 40 knot sejam. Kapal sepanjang 400 meter itu telah menyekat keseluruhan laluan pintasan air sekaligus mengakibatkan kesesakan kapal kontena yang melalui laluan tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaluan buatan manusia tersebut dibina pada tahun 1859 dan siap sepenuhnya pada November 1869 yang bertujuan untuk memendekkan tempoh perjalanan kapal-kapal kontena ketika itu. Terusan sepanjang 193km itu merupakan jalan pintas untuk kapal-kapal dagang di antara timur dan barat dan merupakan laluan air yang paling sibuk di dunia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebelum pintasan ini siap, kapal-kapal dagang terpaksa mengharungi tambahan lapan hingga sepuluh hari dengan meredah benua Afrika. Kini, sejarah kembali berulang. Tanjung Harapan di Afrika Selatan menjadi laluan pilihan sebilangan kapal kontena yang skeptikal dengan perkembangan di Mesir.\n\n\nKeadaan di Terusan Suez masih lagi kabur. Bilakah kapal tersebut bakal dialihkan masih lagi menjadi tanda tanya setelah cubaan pertama pada Jumaat gagal membuahkan hasil. Ini mengakibatkan masalah besar buat industri logistik kerana laluan tersebut merupakan jalan utama menghubungkan Eropah dan Asia dan membawa 12% nilai dagangan global.\n\n\n10% nilai dagangan minyak dunia juga melalui kawasan tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKapal Kontena Sepanjang 400 meter menyekat laluan di Terusan Suez, Mesir\n\n\nSehingga kini, 160 unit kapal kontena sedang bersesak di perairan Mesir menanti giliran mereka. Syarikal kapal logistik gergasi, Maersk turut melaporkan bahawa terdapat tujuh kapal kontena mereka turut terkandas di sana susulan situasi berkenaan.\n\n\nPenyelidik professional, Lloyld\u2019s List Intelligence menganggarkan trafik di terusan tersebut mengangkut barangan bernilai kira-kira $9.6 bilion sehari. Pakar logistik berpandangan situasi berkenaan bakal memberi ruang buat pelabuhan-pelabuhan seluruh dunia menyelesaikan proses pemunggahan kontena sedia ada, namun menjangkakan bahawa operasi pelabuhan bakal berhadapan dengan kesesakan apabila krisis ini selesai.\n\n\nPemilik kapal Ever Given, Shoei Kisen Kaisha telah mengeluarkan kenyataan pada Khamis lalu memohon maaf terhadap situasi tersebut dan memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kekayaan-bilionair-malaysia-meningkat-rm165-bilion-sejak-2010-2/", "title": "Kekayaan Bilionair Malaysia Meningkat Sebanyak RM165 Bilion Sejak 2010", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJumlah kekayaan 40 bilionair Malaysia telah meningkat sebanyak RM165 bilion iaitu peningkatan hampir 97% kepada RM335 bilion pada tahun 2019 berbanding RM170 bilion pada 2010. Peningkatan kekayaan bilionair Malaysia didorong oleh dua faktor iaitu kenaikan pegangan aset iaitu saham yang tersenarai di pasaran saham dan kemerosotan matawang Ringgit berbanding Dolar Amerika.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTokoh korporat, Robert Kuok kekal mengungguli carta individu terkaya di Malaysia dengan kekayaan berjumlah RM52 biliion. Di tangga kedua ialah Quek Leng Chan dengan kekayaan RM38 bilion manakala pemilik Public Bank, Teh Hong Piow berada di tangga ketiga dengan kekayaan bernilai RM27 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKiraan kekayaan bilionair Malaysia ini diambil dari kompilasi yang dikeluarkan secara tahunan oleh majalah Forbes dengan mengambil kira tukaran wang asing pada tahun semasa.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika faktor matawang Ringgit yang susut tidak diambil kira, jumlah kekayaan bilionair Malaysia tetap meningkat sehingga 61% dari AS$51 bilion pada 2010 kepada AS$82 bilion pada 2019 iaitu bersamaan dengan AS$31 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerbandingan dengan bilionair serantau juga menunjukkan bahawa rata-rata bilionair di negara lain turut mengalami peningkatan kekayaan. Kekayaan bilionair Indonesia meningkat 80% dari AS$71 bilion kepada AS$128 bilion manakala kekayaan bilionair Singapura pula meningkat 167% kepada AS$123 bilion dalam tempoh yang sama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPemilik Hong Leong Group, Quek Leng Chan mencatatkan peningkatan kekayaan tertinggi dalam kalangan bilionair Malaysia dengan peningkatan sebanyak AS$5.5 bilion dan diikuti oleh pemilik kasino terbesar di Kemboja, Chen Lip Keong yang meraih peningkatan berjumlah AS$4.8 bilion sejak tahun 2010. Bilionair lain yang turut menerima durian runtuh pada tempoh yang sama ialah Lim Kok Thay ( Genting Group ) , Lao Cho Kun ( Hap Seng ) dan Teh Hong Piow ( Public Bank ).\n\n\n\n\n\n\nPeningkatan kekayaan mereka yang mendadak ini tidak mengejutkan jika diteliti dari kenaikan harga yang dimiliki oleh mereka. Saham Hong Leong Group sebagai contoh meningkat dari RM7.70 sesaham pada Januari 2010 kepada lebih RM20 pada 2019. Nilai saham NagaCorp yang tersenarai di pasaran saham Hong Kong milik Chen Lip Keong pula meningkat dari HK$0.90 kepada HK$8.00 dalam tempoh yang sama.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nEtnik Cina kekal mengungguli dalam senarai bilionair di Malaysia dengan kira-kira 28 orang dari keseluruhan 40 bilionair terkaya di Malaysia pada tahun 2019. Jumlah ini menunjukkan peningkatan 3 orang berbanding 25 orang pada tahun 2010. Jumlah bilionair Melayu pula berkurangan dari 11 orang pada 2010 kepada 6 orang pada tahun 2019 manakala kaum India kekal 4 orang.\n\n\nIni bermaksud 70% dari 40 orang terkaya pada 2019 berbangsa Cina meningkat dari 62.5% pada 2010. Peratusan bilionair Melayu pula menurun dari 27.5% pada 2010 kepada 15% pada 2019.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nEnam orang bilionair Melayu yang tersenarai pada tahun lepas ialah Syed Mokhtar al-Bukhary, Kamaruddin Meranun, Ahmayuddin Ahmad, Syed Azman Syed Ibrahim, Azman Hashim dan juga Mohd Abdul Karim Abdullah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNilai kekayaan minimum untuk tersenarai dalam kalangan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu ialah AS$345 juta ataupun bersamaaan dengan RM1.4 bilion\n\n\n\n\n\n\nPerspektif\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHow Rich are the Rich? Nilai kekayaan 40 bilionair Malaysia ini bersamaan dengan 23% keseluruhan ekonomi Malaysia pada tahun lalu. Dalam kata lain, nilai kekayaan bilioanair Malaysia ini lebih besar berbanding ekonomi Selangor pada tahun 2018 yang berjumlah RM333 bilion. Bahkan jika digabungkan keseluruhan ekonomi di negeri-negeri utara dan pantai timur Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang ( RM330 bn ), ia masih belum mampu menandingi nilai kekayaan bilionair Malaysia.\n\n\n\n\nKekayaan 40 bilionair ini juga lebih besar dari pendapatan tahunan 5.5 juta isi rumah di Malaysia. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan B40 dan M40 di Malaysia pada tahun 2016 hanyalah sekitar RM309.6 bilion. Angka ini lebih rendah berbanding kekayaan 40 bilionair Malaysia yang berjumlah RM335 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenyelidik ekonomi politik, Fikri Fisal ketika ditanya mengenai isu ini berpendapat bahawa dasar kerajaan juga banyak membantu bilioanair Malaysia untuk meraih keuntungan jangka panjang sekaligus melebarkan lagi jurang kekayaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201c Sudah pasti ekonomi politik Malaysia menyumbang kepada peningkatan jurang ketidaksamaan ekonomi. Akibat tindakan pentadbiran terdahulu, lahirnya golongan kapitalis yang banyak menerima sokongan kerajaan dalam aktiviti-aktiviti \u2018bukan produktif\u2019 merangkumi sektor tenaga, perjudian, telekomunikasi dan lain-lain. Dengan sokongan sebegitu, jelas lagi nyata keuntungan yang dikaut mereka sendiri terjamin buat jangka masa panjang. \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenulis bersama buku Minister of Finance Incorporated ini juga menempelak segelintir kroni-kroni bilionair di Malaysia yang tidak inovatif dan hanya mengejar keuntungan semata-mata sambil membandingkan situasi di Korea Selatan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201c Kroni di Korea juga ramai tetapi mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti \u2018produktif\u2019 dan kini sudahpun menjadi pengeskport besar barangan berteknologi tinggi dan inovatif, justeru memperhebatkan lagi ekonomi mereka. Malangnya, kelas kapitalis Malaysia lebih bermotifkan keuntungan semata-mata dan gagal menyumbang kepada peningkatan daya teknologi dan inovasi ekonomi watan. \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKenyataan ini ada asasnya, majalah ekonomi antarabangsa, The Economist pada tahun 2016 meletakkan Malaysia di tangga kedua di dalam senarai Indeks Kroni Kapitalisme selepas Rusia kerana kebanyakkan bilionair Malaysia terlibat dalam sektor-sektor \nrent-seeking\n seperti kasino, perbankan, pertahanan, pelabuhan, tenaga dan telekomunikasi.\n\n\n\n\n\n\nMenurut indeks tersebut, kekayaan bilionair Malaysia yang terlibat dalam sektor rent-seeking bersamaan dengan 13% Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerapa ramai orang kaya di Malaysia?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat perundingan berpangkalan di London, Knight Frank dalam laporan yang dikeluarkan secara tahunan iaitu The Wealth Report melaporkan bahawa terdapat 29,272 jutawan di Malaysia pada tahun 2018. Angka ini dijangka meningkat kepada 37,315 orang pada 2023. Manakala jumlah hartawan pada tempoh yang sama dijangka meningkat dari 636 orang kepada 830 orang.\n\n\n\n\n\n\nKnight Frank mendefinisikan jutawan sebagai mana-mana individu yang mempunyai nilai aset melebihi AS$1 juta dengan tidak mengambil kira rumah utama mereka. Definisi hartawan pula adalah mereka yang mempunyai kekayaan melebihi AS$30 juta dengan tidak mengambil kira rumah utama mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nCukai untuk Orang Kaya?\n\n\nSetakat ini, tidak ada cukai khas untuk jutawan di Malaysia. Cukai pendapatan maksimum pula dikenakan sebanyak 30% kepada mereka yang mempunyai pendapatan ( layak dicukai ) melebihi RM2 juta.\n\n\nKadar cukai pendapatan untuk mereka yang berpendapatan tinggi di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Sebagai contoh, kadar cukai pendapatan maksimum untuk pekerja di England dan Australia ialah 45%. Jepun pula mengenakan kadar cukai pendapatan maksimum sebanyak 50% untuk mereka yang berpendapatan tinggi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nCukai-cukai terhadap pindahan aset terhadap waris seperti cukai estet pula dimansuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1991. Sebelum ini, Malaysia mengenakan cukai sebanyak 5% untuk harta melebihi RM2 juta manakala 10% untuk apa-apa harta bernilai lebih daripada RM4 juta.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah mendesak agar cukai ini diperkenalkan semula namun tiada sebarang respon positif dari pihak kerajaan berkenaan isu ini.\n\n\nFollow us on\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kenapa-harga-kereta-terpakai-semakin-mahal/", "title": "Kenapa Harga Kereta Terpakai Semakin Mahal?", "body": "\n\nShare it\n\u2018Bapaku pulang dari kota, bapaku belikan kereta\u2019\n\n\n\n\n\n\n\n\nSama seperti rumah, memiliki sebuah kereta boleh dikatakan menjadi satu idaman, lebih-lebih lagi buat golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Pilihan yang terbaik sudah semestinya membeli kereta baru, ataupun kereta \nfirst-hand\n. Kereta baharu lebih terjamin dari segi kualitinya serta mempunyai waranti yang lebih baik berbanding kereta yang sudah pun digunakan orang lain sebelum ini, juga disebut sebagai kereta terpakai atau kereta \nsecond-hand.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAda di antara kita yang bertuah kerana kereta pertama mereka di belikan oleh orang tua mereka, sama seperti situasi di dalam lirik lagu kanak-kanak di atas. Namun, tidak semua orang begitu bertuah dan bernasib baik. Ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bekerja keras menyimpan wang untuk membeli kereta pertama, sama ada kereta baharu ataupun kereta terpakai. Terdapat juga sesetengah orang yang membeli kereta terpakai, terutamanya kereta import, kerana harganya yang lebih murah berbanding dibeli secara \nfirst hand\n.\n\n\n*Kereta pada kebiasaannya kini menjadi pinjaman kedua anak muda selepas pinjaman pendidikan\n\n\nLazimnya, kereta terpakai lebih murah daripada kereta baru kerana sifat nilai kereta yang menurun mengikut masa. Namun begitu harga kereta terpakai dilaporkan semakin mahal semenjak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi sejak negara beralih ke fasa endemik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerodua Myvi H terpakai tahun 2019 misalnya dijual pada harga RM50,000, hanya 8.9% lebih rendah berbanding unit baru yang dijual pada harga RM54,900. Trend yang serupa juga dapat dilihat pada kereta-kereta popular lain yang dikeluarkan oleh Perodua.\n\n\nPeralihan negara ke fasa endemik merangsang permintaan kereta terpakai\n\n\nTerdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga kereta terpakai menjadi semakin mahal. Jika sebelum ini ketika fasa pandemik COVID-19, sebahagian orang terpaksa menjual kereta mereka untuk meringankan beban komitmen yang mereka tanggung.\n\n\nWalaubagaimanapun, peralihan ke fasa endemik menyebabkan permintaan terhadap kereta terpakai naik. Menurut teori asas ekonomi, apabila permintaan naik, harga pun akan ikut naik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Presiden Federation of Motor and Credit Companies Association of Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor ketika ditemubual The Star, pertumbuhan jualan kereta terpakai dijangka naik sebanyak dua digit bagi tahun ini\n\n\nKeputusan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran simpanan KWSP turut menyumbang kepada kenaikan permintaan dan harga kereta terpakai. Hal ini kerana terdapat sebahagian daripada mereka menggunakan wang pengeluaran KWSP tersebut untuk membayar wang pendahuluan kereta terpakai.\n\n\nMenurut statistik yang dikeluarkan KWSP, sepanjang tempoh COVID-19, sebanyak RM145 billion telah dikeluarkan oleh ahli-ahli KWSP daripada akaun simpanan persaraan masing-masing menerusi i-Sinar, i-Lestari, i-Citra dan Pengeluaran Khas RM10,000.\n\n\nPembukaan sempadan negara serta nilai matawang dolar Singapura yang kukuh berbanding ringgit juga menyumbang kepada kenaikan permintaan kereta terpakai terutamanya dalam kalangan warga Malaysia yang bekerja di Singapura.\n\n\nTempoh menunggu kereta baru yang sangat lama menyebabkan harga kereta terpakai naik\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebuah lagi faktor ialah tempoh menunggu yang terlalu lama untuk membeli kereta baru. Di Malaysia, pelanggan yang berhajat untuk membeli kereta baru perlu menunggu berbulan-bulan, bahkan ada model kereta yang mempunyai tempoh menunggu melebihi setahun. Kelewatan ini berpunca daripada kekurangan bekalan cip mikro yang melanda industri automotif seluruh dunia gara-gara gangguan rantaian bekalan.\n\n\nAda di antara pelanggan ini dilaporkan tidak kisah untuk membatalkan hasrat membeli kereta baru dan terus membeli kereta terpakai yang tersedia dalam pasaran. Perkara ini sekali lagi menyebabkan permintaan dan harga kereta terpakai terus meningkat.\n\n\nDalam masa yang sama, sebahagian orang yang berhasrat menjual kereta milik mereka bagi digantikan dengan kereta baru juga terpaksa melupakan hasrat itu seketika dek kerana tempoh menunggu yang terlalu lama. Akibatnya, bekalan kereta terpakai di dalam pasaran jatuh sedangkan permintaan dan harga, masing-masing naik sebanyak 8% dan 5% bagi suku pertama 2022 menurut FMCCAM.\n\n\nPlatform jualan kereta terpakai atas talian, rahmat buat pelanggan?\n\n\nDi Malaysia, terdapat banyak platform jualan kereta terpakai secara atas talian seperti mudah.my, Carsome dan myTukar. Kewujudan platform-platform ini memudahkan pelanggan untuk membeli kereta terpakai tanpa perlu \nsurvey\n secara fizikal di kedai.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nCarsome dan myTukar dilihat lebih dipercayai ramai kerana harga yang dipaparkan di platform mereka adalah lebih telus tanpa sebarang kos tersembunyi. Kelebihan ini adalah situasi menang-menang buat kedua-dua pihak penjual dan pembeli. Berbeza dengan sesetengah platform jualan yang lain, ada di antaranya tidak memaparkan kos sebenar untuk membeli kereta terpakai.\n\n\nDi Carsome misalnya, harga yang ditulis di laman sesawang mereka adalah termasuk sekali dengan cukai jalan, bayaran PUSPAKOM, bayaran pemprosesan pinjaman dan juga bayaran tukar milik. Ketelusan informasi ini boleh menambahkan keyakinan bakal pembeli.\n\n\n*Kos insurans dibayar asing\n\n\nBercakap soal keyakinan, industri kereta terpakai agak unik kerana sering berisiko terdedah dengan masalah \u2018\nasymmetric information\n\u2019 atau informasi yang tidak setara di antara penjual dan pembeli. Dalam kes kereta terpakai, hanya pemilik kereta berkenaan sahaja yang benar-benar tahu keadaan sebenar kereta itu sama ada pernah kemalangan, ditenggelami banjir, sering bermasalah ketika memandu serta pelbagai lagi isu. Penjual kereta terpakai yang tidak bertanggungjawab mungkin merahsiakan maklumat sebegini daripada pembeli.\n\n\nIndustri kereta terpakai juga selalu dikaitkan dengan masalah \u2018lemon\u2019. Namun, \u2018lemon\u2019 dalam perbincangan ini bukanlah sejenis buah, sebaliknya merujuk kepada istilah kereta yang rosak. Masalah pembelian kereta \u2018lemon\u2019 ini terjadi kerana hanya penjual mengetahui nilai sebenar sesebuah kenderaan tersebut sekaligus menyebabkan hanya urusniaga yang menguntungkan penjual akan berlaku.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai contoh, jika penjual mengetahui nilai sebenar harga kereta yang elok bernilai RM10,000 tetapi pembeli menawarkan harga kurang dari RM10,000, maka urusniaga tidak akan berlaku. Namun demikian, jika penjual mengetahui harga sebenar kereta yang rosak hanya RM8,000 tetapi pembeli menawarkan harga lebih dari RM8,000, maka urusniaga akan berlaku.\n\n\nWalaupun kereta terpakai juga mempunyai waranti, kadangkala kerosakan yang ada itu tidak cukup untuk dilindungi oleh waranti semata-mata. Di Malaysia, pembeli kereta terpakai hanya dilindungi oleh Akta Perlindungan Pengguna yang bersifat umum, setakat ini. Apa yang diperlukan ialah undang-undang \u2018lemon\u2019 yang khas melindungi kes-kes tuntutan ganti rugi melibatkan kereta terpakai.\n\n\nTinjauan di laman sesawang Carsome dan myTukar mendapati syarikat ini memaparkan maklumat pemeriksaan kenderaan bagi setiap kereta yang diiklankan. Maklumat pemeriksaan ini berguna untuk para pelanggan menentukan kualiti sebenar kereta terpakai yang dijual. Apa yang menariknya, kedua-dua syarikat ini turut mewajibkan setiap penjual kereta untuk menjalani pemeriksaan kenderaan secara percuma bagi menentukan nilai serta kualiti kereta tersebut.\n\n\nIndustri kereta terpakai Malaysia: Duopoli Carsome dan myTukar?\n\n\nKetika ini, Carsome dan myTukar dilihat cuba menguasai industri kereta terpakai di Malaysia. Carsome selaku syarikat unicorn pertama tanah air dilaporkan berjaya menjual sebanyak 18,000 unit kereta terpakai sebulan dan bercita-cita mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih besar di rantau Asia Tenggara. Namun begitu, syarikat bernilai USD1.7 billion itu dilaporkan telah memberhentikan 10% staf mereka di saat dunia menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi tahun hadapan. Maka persoalannya, adakah pelan pengembangan mereka ini boleh diteruskan dengan mampan?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBegitu juga dengan myTukar yang telah membuat penjenamaan semula pada Julai lepas, mereka turut berkongsi cita-cita sama untuk mengukuhkan lagi perniagaan mereka di rantau ini. Sudah semestinya strategi-strategi ini memerlukan dana yang banyak.\n\n\nNamun seperti unicorn-unicorn yang lain, sebahagian besar perbelanjaan awal di dalam proses pengembangan syarikat dibiayai oleh dana pelabur. Dan apabila dana semakin berkurangan kelak, maka pelbagai taktik korporat akan diambil seperti mengurangkan bilangan pekerja untuk memuaskan hati pelabur.\n\n\nTetapi itu bukanlah masalah anda sebagai pelanggan. Apa yang penting, anda akan menikmati pelbagai tawaran terbaik dari penyedia platform jualan kereta terpakai kerana promosi-promosi ini sebahagian daripada strategi mereka untuk meluaskan pegangan pasaran di dalam industri jualan kereta terpakai di Malaysia.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kenapa-harga-saham-meningkat-sewaktu-covid-19/", "title": "Kenapa Harga Saham Meningkat Sewaktu Covid-19?", "body": "\n\nShare it\nHarga Saham Meningkat 29% Sewaktu Pandemik Covid-19\n\n\nIndeks Bursa Malaysia telah jatuh mendadak pada Mac tahun lalu susulan jangkitan Covid-19 yang kian merebak ketika itu. Dari sekitar 1530 mata pada pertengahan Februari 2020, indeks KLCI menjunam kepada 1300 mata, paras terendah sejak tahun 2010.\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun reaksi panik pasaran tidak bertahan lama. Indeks Bursa Malaysia terus melonjak sehingga meningkat kepada 1680 mata pada penghujung tahun lalu. Dalam masa yang sama, pelabur-pelabur runcit berkongsi di sana sini mengenai keuntungan yang diraih tatkala dunia berhadapan dengan krisis ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIstilah \nGlovemania\n sering diungkap bagi menggambarkan fenomena saham-saham pengeluar sarung tangan yang terus melangit. Saham Top Glove misalnya meningkat dari RM2.00 kepada RM9.00* lantas pernah berada di kedudukan kedua sebagai syarikat paling bernilai di Malaysia selepas Maybank.\n\n\n*Harga setelah mengambil kira saham bonus yang diterbitkan\n\n\nSebuah lagi syarikat pengeluar sarung tangan, Hartalega pula pernah merekodkan modal pasaran sebanyak RM62 bilion apabila harga saham mereka meningkat melebihi RM9.00 sesaham.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya, mengapakah indeks Bursa Malaysia mampu pulih dengan begitu cepat ketika krisis Covid-19 ini melanda. Dan apa yang lebih menakjubkan, peningkatan yang dicapai ini adalah lebih tinggi berbanding prestasi indeks KLCI pada sebelum pandemik ini dicapai.\n\n\nSentimen Negatif Punca Harga Saham Merudum Sewaktu Pandemik Covid-19\n\n\nJurulatih saham, Daniel Lim dari VI College yang ditemubual oleh Ekonomi Rakyat menyatakan bahawa salah satu punca mengapa saham jatuh merudum adalah kerana sentimen negatif berikutan dengan liputan meluas mengenai wabak Covid-19.\n\n\nSituasi ini telah mewujudkan emosi ketakutan dalam kalangan pelabur sekaligus menyebabkan mereka menjual saham-saham mereka pada ketika itu. Namun setelah beberapa bulan, dengan perkembangan positif seperti vaksin dan sebagainya, keyakinan pelabur kian pulih menyebabkan pasaran modal negara ini kembali meningkat.\n\n\n\n\n\u201d Sentimen pada waktu tersebut dikuasai liputan-liputan berita negatif mengenai pandemik Covid-19. Bukan saja di negara kita, malah di luar negara juga. Ramai pelabur yang ketakutan dan mula menjual saham mereka pada apa-apa harga yang mereka dapat untuk elak kerugian. \u201c\n\n\n\n\nDaniel Lim turut berkata pada tahun lalu, pelabur runcit merupakan pelabur terbesar di Bursa Malaysia dengan pembelian bersih sebanyak RM14.3 bilion. Jumlah ini lebih tinggi berbanding pelabur institusi yang hanya membuat pembelian bersih sebanyak RM10.3 bilion untuk tempoh yang sama.\n\n\nPengenalan moratorium pinjaman selama enam bulan telah menyumbang kepada penyertaan pelabur runcit ke dalam pasaran saham. Kata Daniel, ramai pelabur yang meraih keuntungan jangka pendek sewaktu beberapa bulan pertama krisis Covid-19 melanda.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Peningkatan indeks KLCI ini juga didorong oleh penyertaan daripada pelabur runcit semasa Covid-19 kerana mereka sentiasa di rumah. Mereka tiada benda nak buat pada ketika itu ( kerana perintah berkurung ). Dan mereka nak dapatkan pulangan jangka pendek melalui saham. \u201c\n\n\n\n\nKekayaan Bilionair Meningkat 14%\n\n\nMajalah Forbes yang mengeluarkan senarai orang terkaya di Malaysia setiap tahun mendedahkan bahawa kekayaan 50 orang terkaya di Malaysia telah meningkat 14% kepada RM374 bilion.\n\n\nKetika ditanya kepada Daniel Lim mengenai fenomena ini. Beliau berkata bahawa pemikiran golongan kaya dan orang kebanyakan adalah berbeza dimana golongan berharta sentiasa memikirkan tentang bagaimana untuk membina kekayaan.\n\n\nPelabur Runcit Sumbang Kepada Peningkatan Indeks Pasaran Saham\n\n\nGolongan ini menurutnya tidak memperoleh pendapatan melalui gaji tetapi melabur banyak di dalam aset seperti saham yang memberikan pulangan dividen dan modal. Beliau menyarankan orang ramai untuk belajar daripada sikap yang diamalkan oleh golongan elit ini untuk menambah kekayaan mereka.\n\n\nSalah satunya adalah melalui \nvalue investing\n ataupun pelaburan berasaskan nilai. Teknik ini membantu pelabur untuk membina aset yang lebih kukuh dalam jangka masa panjang tanpa perlu kerap melihat carta dan perubahan harga saham kerana kaedah\u00a0 ini lebih tertumpu kepada fundamental syarikat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaubagaimanapun, Daniel Lim menyarankan kepada mereka yang berminat untuk melabur untuk tidak terus melabur tanpa mempunyai sebarang ilmu. Kata beliau, melabur tanpa ilmu boleh diibaratkan sebagai berjudi kerana pengetahuan yang lemah.\n\n\n\u201d Jangan sesekali sentuh saham kalau anda tiada ilmu. Peluang untuk anda rugi amat tinggi sebab anda tidak tahu apa yang anda tengah buat. Melabur seperti ini betul-betul bahaya. \u201c\n\n\nOleh itu, beliau menasihatkan pelabur untuk belajar dan mencari mentor terlebih dahulu sebelum menyentuh pasaran saham.\n\n\nBeliau mengajak orang ramai untuk menyertai acara khas secara PERCUMA iaitu \nBijak Labur Edisi Khas: Saham atau Hartanah\n, yang dianjurkan oleh VI College dengan kerjasama Faizul Ridzuan, pelabur & pakar hartanah terkenal. Anda boleh pelajari kedua-dua instrumen pelaburan hanya dalam satu hari sahaja iaitu pelaburan saham dan hartanah secara selamat serta mendepatkan keuntungan secara konsisten.\n\n\nPelbagai formula rahsia dan strategi pelaburan akan dikongsikan sebagai panduan sebelum memulakan pelaburan anda. Jadi, jangan terlepas ikuti acara khas ini pada \n20 November 2021, Sabtu jam 10 pagi hingga 5 petang.\n\n\nUntuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai\u00a0\nvalue investing\n, ikuti seminar pelaburan\u00a0\nPERCUMA\n\u00a0yang dianjurkan oleh VI College melalui pautan [\u00a0\nini\n\u00a0]\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kenapa-kdnk-bukan-indikator-ekonomi-yang-baik/", "title": "Kenapa KDNK Bukan Indikator Ekonomi Yang Baik", "body": "\n\nShare it\nKeluaran Dalam Negara Kasar ataupun lebih dikenali sebagai KDNK ( GDP di dalam Bahasa Inggeris ) merupakan petunjuk ekonomi utama yang digunakan oleh pembuat dasar, ahli ekonomi dan penyelidik dalam mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKDNK mengukur nilai untuk keseluruhan produk akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan di dalam sesebuah kawasan untuk tempoh masa yang tertentu. Kebiasaannya, KDNK sesebuah negara dikira oleh badan-badan berautoriti untuk setiap tiga bulan sekali.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengeluaran barangan seperti kereta, jualan makanan di restoran, pembinaan rumah dan sebagainya dimasukkan ke dalam KDNK negara. Peningkatan KDNK ( pada harga malar ) dianggap sebagai satu perkembangan ataupun pertumbuhan ekonomi untuk sesebuah negara.\n\n\nObsesi terhadap KDNK dilihat kekal bertapak kukuh dalam kalangan pembuat dasar di negara ini. Namun begitu, KDNK bukanlah satu petunjuk yang sempurna bagi mencerminkan keadaan ekonomi untuk sesebuah negara.\n\n\nContohnya mudah, kesesakan lalu lintas yang mengakibatkan lebih banyak bahan api digunakan adalah baik untuk ekonomi. Hal ini kerana lebih banyak bahan api dibeli, lebih tinggilah KDNK untuk sesebuah negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHakikatnya, berada di dalam kesesakan lalu lintas bukanlah satu situasi yang digemari oleh orang ramai. Pelepasan karbon yang keluar dari corong ekzos misalnya sesuatu yang buruk untuk alam sekitar. Begitu juga dengan tekanan mental yang dihadapi orang ramai apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari.\n\n\nTetapi dari sudut KDNK, kesesakan lalu lintas baik untuk ekonomi.\n\n\nKDNK yang menjadi zikir harian sebilangan ahli ekonomi juga tidak mengukur sebahagian besar aktiviti domestik yang dibuat tanpa berasaskan keuntungan. Ibubapa yang memasak sarapan untuk anak-anaknya setiap hari sebelum ke sekolah tidak dimasukkan ke dalam KDNK.\n\n\nNamun begitu, perkara yang sama jika dilakukan oleh seorang tukang masak di kantin sekolah, aktiviti tersebut dimasukkan ke dalam perkiraan KDNK.\n\n\nKDNK juga hanya memfokuskan kepada jumlah pengeluaran akhir sesebuah produk tanpa mengira siapakah yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK sesebuah negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai contoh, andaikan ekonomi Malaysia meningkat dari RM100 bilion tahun lalu kepada RM120 bilion tahun ini. Peningkatan RM20 bilion bukannya bermakna ia dikongsi secara saksama dengan semua pihak tidak kira kaya ataupun miskin.\n\n\nBoleh jadi peningkatan pertumbuhan RM20 bilion untuk hanya memanfaatkan golongan kaya di negara ini tatkala nasib hidup golongan bawahan kekal serupa.\n\n\nJurang ketidaksamaan di Malaysia juga belakangan ini menunjukkan agihan pendapatan yang tidak adil. Meskipun ekonomi Malaysia berkembang dari 4.3% hingga 5.8% dari tahun 2016 hingga 2019, namun jurang pendapatan telah meningkat dari dari 0.399 kepada 0.407.\n\n\nLaporan Penyiasatan Isi Rumah turut menunjukkan bahawa Malaysia pendapatan golongan B40 tumbuh perlahan berbanding pendapatan T20. Situasi ini berlaku tatkala KDNK berkembang dengan kadar yang memberangsangkan.\n\n\n[ Rujuk Artikel : \nB40 Semakin Ketinggalan, Malaysia Gagal Capai Sasaran RMK-11\n ]\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAktiviti perjudian dan pelacuran juga baik untuk KDNK. Meskipun kegiatan dianggap sebagai kurang bermoral oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi dari sudut lain, ekonomi gelap seperti ini juga boleh menyumbangkan kepada KDNK di sesebuah negara.\n\n\nKDNK di United Kingdom misalnya pada tahun 2014 telah meningkat 1.0% apabila Kesatuan Eropah mengeluarkan format baru perkiraan KDNK dengan memasukkan sekali aktiviti-aktiviti pelacuran, dadah dan sebagainya di dalam statistik ekonomi.\n\n\nDi Malaysia, perkara sama boleh dilakukan, aktiviti pelacuran dan penjualan dadah boleh dihalalkan bagi meningkatkan angka pertumbuhan ekonomi. Pembukaan lebih banyak kasino di dalam negara juga boleh menyumbang berbilion ringgit ke dalam sektor pelancongan negara.\n\n\nKeluar Dari Obsesi KDNK\n\n\nTidak dapat dinafikan, Keluaran Dalam Negara Kasar merupakan satu petunjuk yang berguna dalam mengimbas prestasi ekonomi sesebuah negara secara kasar. Negara-negara dengan KDNK per kapita tinggi secara amnya mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik berbanding negara dengan KDNK per kapita yang rendah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun begitu, kita tidak harus terlalu taksub dengan angka-angka ini tanpa memikirkan situasi di jalanan. KDNK tidak mengukur tahap kesihatan kanak-kanak di sesebuah negara. KDNK juga tidak mencerminkan tahap pendapatan yang diperoleh Mak Cik Kiah yang tinggal di flat perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.\n\n\nTahun ini, Malaysia pada awalnya ketika pembentangan Belanjawan 2021 mengunjurkan KDNK negara bakal meningkat diantara 6.0% hingga 7.5%. Namun risiko pertumbuhan kekal tinggi apatahlagi selepas pelaksanaan PKP2.0 dan PKP3.0 pada tahun ini.\n\n\nWalaupun angka tersebut masih relevan untuk dimasukkan ke dalam laporan-laporan ekonomi penting negara, tetapi Malaysia harus memikirkan cara untuk merangka halatuju ekonomi negara melangkaui statistik KDNK.\n\n\nNew Zealand misalnya pada tahun 2019 telah merangka Belanjawan tanpa memikirkan obsesi terhadap KDNK. \nThe Wellbeing Budget\n pada tahun tersebut memfokuskan lima aspek untuk menambahbaik kesejahteraan hidup warganya.\n\n\nLima aspek tersebut adalah ;\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMempertimbangkan Isu Kesihatan Mental Secara Serius\n\n\nKesejahteraan Kanak-kanak\n\n\nMenyokong Aspirasi Etnik Maori & Pasifika\n\n\nMewujudkan Negara yang Berproduktif\n\n\nMentransformasikan Ekonomi\n\n\n\n\nDalam kata lain, New Zealand turut memfokuskan kesejahteraan hidup rakyat dalam mencapai objektif yang dirangka di dalam Belanjawan, bukannya hanya melihat kepada pertumbuhan KDNK.\n\n\nDi Malaysia, keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 sebelum ini kelihatan banyak berkiblatkan KDNK. Hanya apabila kes-kes meningkat sehingga tidak terkawal beberapa minggu yang lalu barulah mereka sedar bahawa nyawa yang perlu diutamakan berbanding KDNK. Ya benar, nyawa manusia mungkin tidak bernilai dari sudut ekonomi, namun bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang, nyawa mereka tidak ternilai.\n\n\nMereka yang berada di pucuk pimpinan harus melihat manusia sebagai seorang insan, sebagai seorang ibu bapa, sebagai seorang rakan. Bukannya melihat angka-angka kematian setiap hari sebagai statistik semata-mata. Situasi seperti ini tidak tidak sepatutnya berulang lagi.\n\n\nAhli akademik, penyelidik serta pembuat dasar di negara ini perlu cuba untuk keluar dari tempurung KDNK secepat mungkin. Bahkan lebih baik jika mereka menyemak semula kerelevanan segala teori ekonomi yang mereka pelajari ketika berada di universiti.\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kerajaan-bentang-belanjawan-2022-dengan-peruntukan-rm332-bilion/", "title": "Kerajaan Bentang Belanjawan 2022 Dengan Peruntukan RM332 Bilion", "body": "\n\nShare it\nKedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan\n\n\nMenteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2022 semalam dengan tema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera. Sebanyak RM332 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Malaysia bagi tahun 2022 dimana RM223.5 bilion akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBantuan kepada golongan berpendapatan rendah ditingkatkan kepada RM2,000 bagi isi rumah yang memperoleh pendapatang kurang dari RM2,500 sebulan dan mempunyai tiga orang anak atau lebih. Manakala untuk bapa atau ibu tunggal, bantuan RM500 akan disalurkan kepada mereka yang berpendapatan kurang dari RM5,000 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi melaksanakan program-program kesihatan. Manakala Kementerian Pendidikan diperuntukkan sebanyak RM52.6 bilion pada tahun hadapan.\n\n\nSelain itu, bagi memastikan orang ramai mempunyai pekerjaan, kerajaan akan melaksanakan inisiatif JaminKerja dengan memberi subsidi kepada majikan untuk menggajikan pekerja. Langkah ini akan memanfaatkan sekitar 600,000 orang rakyat Malaysia dengan kos sekitar RM4.8 bilion.\n\n\nPenempatan 80,000 orang di sektor GLC dan kerajaan juga akan terus dilaksanakan melalui program MySTEP.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut ucapan Tengku Zafrul, ekonomi pada tahun ini dijangka berkembang sekitar 3% hingga 4%. Manakala untuk tahun 2022, ekonomi Malaysia diunjurkan meningkat sekitar 5.5% hingga 6.5%.\n\n\nKata beliau, ekonomi Malaysia pada separuh pertama telah meningkat 7.1% berbanding tahun sebelumnya. Namun disebabkan perintah berkurung pada suku ketiga, prestasi ekonomi diramalkan terkesan sebelum kembali rancak pada suku terakhir tahun ini.\n\n\nDefisit fiskal pada tahun ini pula dianggarkan sekitar 6.5% namun dijangka turun pada tahun hadapan kepada 6.0%.\n\n\nPerbelanjaan Mengurus Kerajaan\n\n\nKerajaan Malaysia turut mengumumkan untuk mengenakan cukai makmur iaitu cukai keuntungan luar biasa kepada syarikat-syarikat yang mencatatkan keuntungan besar. Pendapatan bercukai melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33%, lebih tinggi berbanding kadar cukai korporat semasa pada 24% ( untuk RM100 juta pertama ).\n\n\nDasar ini hanya akan dijalankan untuk taksiran cukai tahun hadapan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun begitu, had ambang bagi levi minyak kelapa sawit ditingkatkan dari RM2,500 kepada RM3,000 setan buat pengeluar di Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah dan Sarawak, had ambang ditingkatkan kepada RM3,500 dengan kesemuanya perlu membayar levi pada kadar 3%.\n\n\nTerkini, industri kelapa sawit merekodkan prestasi memberangsangkan setelah harga minyak kelapa sawit meningkat sehingga RM5,000 setan, tertinggi dalam sejarah.\n\n\nBagi memastikan kewangan negara diuruskan dengan baik, kerajaan juga akan memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi memastikan kemampanan fiskal. Akta ini dijangka dibentangkan pada tahun hadapan.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kerajaan-malaysia-berdepan-krisis-kepercayaan-rakyat/", "title": "Kerajaan Malaysia Berdepan Krisis Kepercayaan Rakyat", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia masih terus bergelut dalam melandaikan keluk kes-kes baru Covid-19 meskipun kita sudah memasuki minggu keempat sejak Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaupun kes-kes baru kian berkurangan pada akhir-akhir ini, namun bilangan kes ini masih lagi dianggap tinggi berbanding tahun lalu. Purata bilangan kes pada tahun lalu hanyalah 309 kes sehari tetapi kini, ia meningkat lebih 10 kali ganda kepada 3,399 kes sehari.\n\n\nPKP2.0 juga tidak mengurangkan kes secara mutlak meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan nilai kebolehjangkitan menurun kepada 0.91 pada 8 Februari lalu. Purata kes baru untuk tujuh hari terakhir pada 13 Januari lalu adalah 2,726 kes manakala purata kes baru harian kini 38% lebih tinggi iaitu pada 3,768 kes.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPKP2.0 Kurang Berkesan\n\n\nInstitut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) menjelaskan PKP pertama pada Mac tahun lalu telah berjaya untuk menurunkan kadar pertumbuhan jangkitan harian sebanyak 21.43 mata dalam tempoh 18 hari pertama PKP. Namun keadaan sedemikian tidak berlaku pada PKP2.0 yang kita lalui kini.\n\n\nJumlah kes di Malaysia juga adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura. Malaysia mencatatkan 7,528 kes bagi setiap sejuta populasi, lebih tinggi berbanding Indonesia dan Filipina yang mencatatkan 4,235 dan 5,087 kes bagi setiap sejuta populasi.\n\n\nNamun kini, pelbagai sektor ekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi semula. Ia suatu berita baik kepada perniagaan di Malaysia meskipun risiko terhadap bahaya Coronavirus kekal tinggi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\nKerajaan Kurang Dipercayai, Keputusan Yang Dibuat Mengelirukan\n\n\nKeputusan yang dibuat oleh kerajaan kadangkala dipersoalkan kewajarannya. Sebagai contoh, pengumuman kerajaan Malaysia untuk melaksanakan PKP2.0 selama 14 hari bermula 13 Januari lalu amat menyusahkan ramai pihak dan menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan pandemik ini.\n\n\nHal ini kerana kerajaan tidak dapat melihat impak dan kesan PKP2.0 dalam tempoh 14 hari.\n\n\nPerkara ini memeningkan ramai pihak. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sendiri mengakui impak pelaksanaan PKP2.0 hanya dapat dilihat selepas 26 Januari pada 19 Januari. Namun begitu, pengumuman pertama pelaksanaan PKP2.0 dibuat hanya sehingga 26 Januari 2021.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika kerajaan sudah tahu bahawa impak PKP2.0 hanya dapat dilihat selepas 26 Januari, mengapa PKP tidak dilaksanakan untuk tempoh sebulan terus dimana kerajaan mempunyai ruang untuk menilai kesan PKP2.0 ini?\n\n\nPelanjutan PKP setiap dua minggu ini juga menyusahkan perniagaan dan orang ramai. Jika mereka mengetahui apa yang berlaku dalam tempoh sebulan yang akan datang, pendekatan berbeza boleh diambil dalam menguruskan dan merancang perniagaan. Namun perancangan seperti ini sukar dilakukan jika pelanjutan hanya dimaklumkan setiap dua minggu.\n\n\nLangkah kerajaan memendekkan tempoh kuarantin bagi delegasi jemaah menteri yang membuat lawatan rasmi luar negara juga membangkitkan kemarahan rakyat di media sosial. Pengguna di Twitter beranggapan bahawa ia satu tindakan \ndouble standard\n kerana rakyat yang pulang dari luar negara terpaksa dikuarantin sepuluh hari.\n\n\nKetidakpuasan hati rakyat ini disokong Gabungan Kesihatan Malaysia yang menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak saintifik.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa Pandangan Rakyat\n\n\nPersepsi rakyat terhadap kerajaan menerusi tinjauan Ekonomi Rakyat di Twitter menunjukkan respons negatif. 91.2% responden menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak cekap di dalam menguruskan pandemik ini dan hanya 3.3% menyatakan bahawa kerajaan cekap dalam mengawal krisis ini.\n\n\nResponden turut meletakkan kesalahan terhadap dasar kerajaan berikutan gelombang ketiga krisis ini. Seramai 88.6% responden menyatakan dasar kerajaan yang salah telah mengakibatkan kes bertambah\u00a0 naik manakala hanya 7.4% mengatakan ketidakpatuhan rakyat sebagai punca peningkatan kes baru.\n\n\nMeskipun kajian ini hanya melibatkan pengguna di Twitter, ia memberi sedikit sebanyak gambaran terhadap persepsi rakyat terhadap cara kerajaan menguruskan krisis ini. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan penting untuk memastikan langkah kesihatan awam berkesan dalam mengawal wabak ini.\n\n\nKerajaan Malaysia perlu mengambil langkah yang tepat dan berasaskan sains dalam memerangi virus ini. Segala tindak tanduk kerajaan yang janggal bakal dipersoalkan rakyat kelak dan ini memberi kesan terhadap keberkesanan langkah kesihatan awam yang bakal dilaksanakan kerajaan. Banyak kajian menunjukkan tahap kepercayaan rakyat merupakan salah satu kunci utama dalam memastikan perancangan kerajaan berjaya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerkara ini perlu diambil endah oleh Putrajaya tambahan lagi proses vaksinasi akan mula dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi. Cabaran besar bakal dihadapi KKM memandangkan hampir satu per tiga responden berkemungkinan untuk menolak vaksin ini berdasarkan tinjauan yang dibuat KKM beberapa minggu lalu.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kerajaan-malaysia-mampu-jana-berbilion-ringgit-jika-spektrum-5g-dilelong/", "title": "Kerajaan Malaysia Mampu Jana Berbilion Ringgit Jika Spektrum 5G Dilelong", "body": "\n\nShare it\nKerajaan di seluruh dunia terima pendapatan yang besar hasil dari lelongan spektrum 5G\n\n\nPelancaran infrastruktur 5G oleh Malaysia sememangnya dinanti-nantikan oleh penggiat industri telekomunikasi tanahair dimana kemudahan internet berkelajuan tinggi ini mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan digital di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nRangkaian sistem 5G memberi manfaat yang besar buat perusahaan-perusahaan yang memproses data pada skala yang besar sekaligus memacu negara dalam usaha membangunkan idea dan teknologi \nInternet of Things\n ( IoT )\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi Malaysia, pelaksanaan 5G pada awalnya dirancang untuk dilelong kepada syarikat-syarikat telekomunikasi di dalam negara. Namun setelah peralihan kuasa berlaku Februari tahun lalu, pentadbiran Putrajaya mengambil keputusan untuk mewujudkan Digital Nasional Berhad ( DNB ) bagi mengepalai pengenalan spektrum 5G di negara ini secara solo.\n\n\nBulan lalu, syarikat telekomunikasi gergasi Sweden, Ericsson telah berjaya memenangi kontrak bernilai RM11 bilion bagi menerajui pembangunan infrastruktur 5G yang bakal dibiayai sepenuhnya oleh DNB.\n\n\nPendekatan kerajaan Malaysia untuk memberikan hak secara terus kepada Digital Nasional Berhad sebagai syarikat bertujuan khas ( SPV ) bagi membangunkan sistem 5G ini amat berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara lain.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara-negara lain seperti Jerman, Korea dan Thailand umpamanya memilih untuk melelong lesen membangunkan prasarana 5G hak kepada syarikat-syarikat telekomunikasi. Langkah ini memberi pulangan yang agak lumayan buat kerajaan negara-negara tersebut.\n\n\nJerman meraih RM37 bilion hasil lelongan spektrum 5G manakala Korea Selatan pula berjaya mengutip RM25 bilion. Kerajaan Thailand juga berjaya meraih pendapatan yang besar sebanyak RM12 bilion hasil lelongan hak untuk membangunkan spektrum 5G.\n\n\nDi Malaysia, kerajaan dianggarkan bakal menjana sehingga RM12 bilion jika pendekatan lelongan hak spektrum diamalkan. Sebaliknya, melalui pendekatan sedia ada, anak syarikat kerajaan ini terpaksa mencari dana sebanyak kira-kira RM11 bilion bagi membiayai projek ini.\n\n\nIsu ini turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Semporna, DS Shafie Apdal yang mempersoalkan kenapa spektrum 5G tidak dilelong yang boleh menjana pendapatan tambahan buat negara tambahan lagi negara berada di tengah-tengah kemelut ekonomi.\n\n\nGlobal System for Mobile Association ( GSMA ) turut menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan pendekatan Malaysia di dalam analisis mereka yang dikeluarkan bulan lalu yang kelihatan bercanggah dengan amalan-amalan di negara lain.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nFitch Solutions pada Februari lalu turut memberikan pandangan yang serupa dimana mereka berpendapat pendekatan ini akan merencatkan pembangunan sistem 5G yang lebih efektif.\n\n\nDi Kanada misalnya, ketiga-tiga operator telekomunikasi terbesar di negara itu iaitu Rogers Communication, Bell Mobility dan Telus mendapatkan hak untuk membangunkan rangkaian 5G. Sebanyak lebih kurang $7.2 bilion diraih Kanada hasil lelongan spektrum 5G.\n\n\nPengendali telekomunikasi di Malaysia seperti Maxis juga kelihatan cukup bersedia untuk terlibat sama sebelum ini apabila telah mengumumkan kerjasama bersama dengan gergasi telekomunikasi China, Huawei untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan sistem 5G.\n\n\nMelalui pendekatan yang digunapakai ketika ini, anak syarikat kerajaan tersebut bukan sahaja terpaksa membiayai RM11 bilion melalui bon dan sukuk bagi melaksanakan projek tersebut, bahkan pengguna akhir juga tidak mempunyai insentif untuk menukar operator telekomunikasi jika berlaku sebarang kelemahan kerana sistem rangkaian 5G hanya dibangunkan oleh satu pihak sahaja.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kerajaan-suntik-rm5-bilion-hadapi-pkp3-0/", "title": "Kerajaan Suntik RM5 Bilion Hadapi PKP3.0", "body": "\n\nShare it\nPentadbiran Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi PEMERKASA+ bagi mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang bermula 1 Jun 2021. Sejumlah RM5 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa inisiatif kerajaan bagi meringankan beban rakyat.\n\n\n\n\n\n\n\n\nKerajaan turut memberi tambahan Bantuan Prihatin Rakyat ( BPR ) sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 sebulan. Manakala bagi isi rumah berpendapatan diantara RM2,500 sehingga RM5,000, bantuan tambahan RM300 akan diberikan pada Jun nanti.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIndividu bujang pula menerima tambahan RM100 seorang.\n\n\nKerajaan juga bersetuju memperuntukkan tambahan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan mengukuhkan sektor kesihatan negara. Sejumlah 14,000 kakitangan kontrak kesihatan akan dilanjutkan kontrak sehingga tahun 2022 manakala 500 petugas kesihatan yang bersara wajib juga bakal dilanjutkan kontrak.\n\n\n2.5 juta pekerja turut bakal menikmati pelanjutan subsidi upah selama satu bulan dengan anggaran kos sebanyak RM1.5 bilion ditanggung kerajaan. Manakala bagi pemilik perniagaan mikro, tambahan RM500 bakal diberikan melalui Geran Khas Prihatin yang dibayar pada Jun dan Julai.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerdana Menteri menegaskan bahawa penutupan sektor-sektor ekonomi bakal memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Beliau menyeru kesemua pihak bekerjasama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.\n\n\nKeseluruhan pakej rangsangan ekonomi PEMERKASA+ ini dianggarkan bernilai RM40 bilion dengan hanya hanya RM5 bilion suntikan fiskal daripada kerajaan.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kereta-elektrik-mesra-alam-sekitar-dan-mesra-orang-kaya/", "title": "Kereta Elektrik \u2013 Mesra Alam Sekitar dan Mesra Orang Kaya", "body": "\n\nShare it\nSejak akhir ini, kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli kereta di seluruh dunia. Kemunculan jenama-jenama pengeluar EV seperti Tesla dan BYD memberikan pelbagai pilihan alternatif, selain daripada kenderaan konvensional yang menggunakan bahan api tidak boleh diperbaharui seperti diesel dan petrol.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBaru-baru ini di China, BYD muncul selaku jenama kereta paling laris, apabila lebih 440,000 unit kereta berjaya dijual sepanjang suku pertama 2023, mengatasi Volkswagen yang memegang takhta jenama kereta EV terlaris sejak tahun 2008.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nEV Terus Mendapat Sambutan Hangat dalam Kalangan Rakyat Malaysia \n\n\nTrend yang lebih kurang sama dapat dilihat di Malaysia. Penjualan EV semakin rancak, terutamanya sejak pandemik COVID-19 semakin reda. Ketika ini, terdapat lebih 10,000 EV yang berdaftar di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menurut kenyataan Ketua Pengarah JPJ Dato\u2019 Zailani Hashim ketika majlis pelancaran model EV Atto 3 keluaran BYD sekitar hujung tahun lepas.\n\n\nSebagai perbandingan, sebanyak 2,631 unit EV berjaya dijual di Malaysia sepanjang tahun 2022, angka tersebut adalah 860% lebih tinggi berbanding hanya 274 unit EV yang dijual pada tahun sebelumnya. Menurut Fitch Solutions, jualan EV dianggarkan terus meningkat di Malaysia, dengan jangkaan jualan sebanyak 4,449 unit bagi tahun 2023.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nEV sering disebut-sebut sebagai pilihan yang lebih selamat serta mesra alam sekitar. Hal ini kerana berbanding kereta yang menggunakan petrol atau diesel, EV dikatakan mengeluarkan gas rumah hijau yang lebih rendah. Ketiadaan ekzos pada model-model kereta EV juga menyebabkan EV langsung tidak membebaskan karbon dioksida ketika pemanduan.\n\n\nStrategi Kerajaan dalam mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau\n\n\nDisebabkan ini, Kerajaan Malaysia begitu bersungguh-sungguh dalam menggiatkan agenda bagi menggalakkan pembelian EV di negara ini demi mencapai matlamat kelestarian alam, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia meletakkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya 15% jumlah keseluruhan industri (TIV) terdiri daripada kereta EV dan hybrid menjelang tahun 2030, menurut Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.\n\n\nAntara faktor utama yang menarik minat pembelian EV di Malaysia ialah pemberian insentif-insentif yang diberikan oleh Kerajaan. Sebagai contoh, pembeli EV dikecualikan daripada menanggung kos\u00a0 duti import, duti eksais dan cukai jualan bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025. Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 juga turut ditawarkan ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.\n\n\nKerajaan juga berbelanja besar bagi menyediakan fasiliti serta kemudahan pengecasan EV demi memastikan pemanduan yang lebih terjamin. Sebanyak 10,000 stesen pengecasan EV akan dibina menjelang tahun 2025.\n\n\nAntara pelopor dalam pemasangan stesen pengecasan di Malaysia ialah Gentari, sebuah anak syarikat PETRONAS. Stesen pengecasan pantas EV berkuasa 350kW yang pertama di Asia Tenggara dipasang oleh Gentari di Petaling Jaya, Selangor sekitar November tahun lepas. Selain Gentari, TNB turut memainkan peranan aktif dalam membantu Kerajaan merealisasikan hasrat pemasangan sebanyak 10,000 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2025. Baru-baru ini, TNB umumkan mereka akan memperuntukkan dana RM90 juta bagi membina lebih banyak stesen pengecasan EV di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa yang menarik, TNB turut menyediakan program latihan dan peningkatan kemahiran \n(upskilling and reskilling)\n bagi mewujudkan tenaga kerja mahir yang boleh memenuhi kekosongan jawatan yang diperlukan dalam melengkapkan rantaian ekosistem EV di negara ini.\n\n\nEV Mesra Alam Sekitar, Namun Adakah EV Mesra Ekonomi?\n\n\nMeskipun tidak dinafikan EV lebih mesra alam sekitar, serta berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti petrol dan diesel, persoalan yang turut sama penting diperbincangkan juga ialah samada EV mesra ekonomi? Adakah kos serta pemberian pelbagai insentif oleh Kerajaan ini benar-benar berbaloi?\n\n\nHal ini kerana sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, kebanyakan model kereta EV ini didatangkan dengan harga yang agak mahal. Tinjauan di laman sesawang Carlist mendapati Tesla Model 3 SR+, yang merupakan paling murah antara kesemua model EV keluaran Tesla, disenaraikan pada harga sekurang-kurangnya RM218,000 bagi model baharu. Manakala, bagi model Atto 3 (versi jarak standard) keluaran BYD, harga yang ditawarkan bermula RM149,800, berdasarkan harga yang diumumkan semasa majlis pelancaran tahun lalu.\n\n\nSecara logiknya, hanya golongan berpendapatan tinggi sahaja yang layak dan mampu membeli EV di negara ini. Maka, pemberian insentif-insentif seperti pengecualian dan pelepasan cukai harus diteliti samada benar-benar relevan kerana banyak memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika pemandu Myvi perlu membayar RM70 setiap tahun untuk pembaharuan cukai jalan. Mengapa pemilik EV yang rata-ratanya berpendapatan tinggi tidak perlu membayar sesen pun untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan elektrik mereka?\n\n\nEV mendapat insentif pengecualian cukai jalan sehingga tahun 31 Disember 2025\n\n\nDalam masa yang sama, meskipun EV dikatakan lebih mesra alam sekitar, penggunaan EV di atas jalan raya adalah sama sahaja kesannya dengan kenderaaan-kenderaan lain daripada aspek kesesakan trafik, terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan kenderaan seperti di Lembah Klang. Agenda galakan pembelian EV ini juga seakan-akan bercanggah dengan hasrat Kerajaan untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di negara ini.\n\n\nHujah utama yang sering dilontarkan oleh mereka yang menyokong penggunaan EV ialah kerana EV menggunakan elektrik sebagai bahan bakar utama kenderaan tersebut. Menurut mereka, EV lebih mesra alam sekitar berbanding kereta yang menggunakan petrol dan diesel.\n\n\nHujah ini mungkin benar di negara-negara maju yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin, air dan solar untuk menghasilkan elektrik. Di Jerman misalnya, tenaga boleh diperbaharui menghasilkan sejumlah 254 billion kwH atau 44% daripada elektrik di negara itu pada tahun 2022, menurut data Pejabat Statistik Persekutuan Jerman.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun begitu, sumber penjanaan elektrik di Malaysia pada ketika ini tidaklah semampan di negara-negara maju tersebut. Hal ini kerana di Malaysia, penjanaan elektrik sebahagian besarnya dihasilkan menggunakan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui.\n\n\nMenurut data daripada akhbar Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Siri 10, daripada keseluruhan 156.7 billion kwH tenaga elektrik yang dijana pada tahun 2016, 46.0% dihasilkan daripada arang dan 39.7% daripada gas asli. Hanya 13.2% menggunakan kuasa hidro, serta lebih kurang 0.4% sahaja menggunakan tenaga boleh diperbaharui.\n\n\nMelihatkan kepada \npros \ndan juga \ncons \npenggunaan EV di Malaysia, adalah wajar supaya polisi menggalakkan pembelian EV ini disemak secara lebih menyeluruh. Hal ini kerana meskipun kemampanan alam sekitar itu penting untuk diketengahkan, kemampanan ekonomi, terutamanya dari sudut perbelanjaan wang Kerajaan terhadap insentif-insentif yang pro-golongan kaya seperti ini juga sama penting untuk dibincangkan.\n\n\nLebih-lebih lagi, Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan nisbah defisit fiskal kepada GDP sebanyak 3.2% menjelang 2025. Sasaran ini mungkin gagal dicapai sekiranya Kerajaan tidak berhati-hati dalam merangka strategi serta polisi-polisi yang menelan belanja besar, serta dalam masa yang sama melepaskan peluang untuk mengutip cukai dari golongan berpendapatan tinggi di negara ini.\n\n\nPemberian pelepasan serta pengecualian cukai kepada golongan kaya ini juga mungkin bertentangan dengan prinsip Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak sekian lama mendesak Kerajaan supaya tidak memberi muka dalam soal kutipan cukai terhadap golongan kaya di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/keuntungan-petronas-susut-27-kepada-rm40-5-bilion/", "title": "Keuntungan PETRONAS Susut 27% kepada RM40.5 Bilion", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat petroleum negara, PETRONAS mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM40.5 bilion pada tahun 2019. Keuntungan ini 27% lebih rendah berbanding keuntungan PETRONAS yang direkodkan pada tahun 2018 berjumlah RM55.3 bilion. Hasil PETRONAS juga turun 4% dari RM251 bilion kepada RM240.3 bilion pada tahun lepas.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenyusutan keuntungan PETRONAS ini berpunca kepada kejatuhan hasil dan juga rosot nilai terhadap aset PETRONAS yang berjumlah RM7.3 bilion.\n\n\nAset keseluruhan PETRONAS turut susut dari RM636.3 bilion pada 2018 kepada RM622.4 bilion pada tahun lalu.\n\n\nPETRONAS melalui kenyataan media menyatakan bahawa prospek industri minyak dan gas dijangka suram akibat ketidaktentuan politik, perang dagang yang berpanjangan dan ganguan permintaan disebabkan oleh penyebaran Coronavirus-19.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLembaga Pengarah juga menjangkakan prestasi keuntungan PETRONAS untuk tahun 2020 akan terjejas disebabkan oleh faktor-faktor tersebut.\n\n\nPrestasi PETRONAS yang terjejas pada tahun lalu ini memberikan tekanan buat kerajaan Malaysia. Hal ini kerana pada tahun lalu sumbangan PETRONAS terhadap kantung kerajaan berjumlah 30.7% dari keseluruhan pendapatan kerajaan.\n\n\nTahun ini, hasil berkaitan petroleum dijangka menyumbangkan RM50.5 bilion dari pendapatan kerajaan dimana PETRONAS diunjurkan akan memberi dividen sebanyak RM24 bilion berdasarkan laporan dari Kementerian Kewangan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSila ikuti akaun kami di Facebook dan Twitter\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kkm-perlu-peruntukan-tambahan-doktor-kontrak-perlu-diserap/", "title": "KKM Perlu Peruntukan Tambahan, Doktor Kontrak Perlu Diserap", "body": "\n\nShare it\nKerajaan Memperuntukan RM1.9 Bilion Untuk Membayar Gaji Doktor Kontrak Pada Tahun 2021\n\n\nSekumpulan ahli perubatan di Malaysia telah menggerakkan kempen Hartal Doktor Kontrak bagi mendesak kerajaan untuk menyerap 23,000 doktor kontrak ke jawatan tetap. Isu yang berlanjutan untuk sekian lama ini telah sampai ke kemuncaknya apabila doktor-doktor kontrak mengancam untuk menjalankan mogok pada 26 Julai ini jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.\n\n\n\n\n\n\n\n\nGerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut kerajaan untuk menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada serta menjelaskan kriteria terperinci bagaimana proses lantikan dibuat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHal ini kerana penyerapan ke jawatan kontrak sebilangan kecil doktor-doktor kontrak yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini tidak dijalankan secara telus. Sejak tahun 2016, hanya 3.4% ataupun 786 orang doktor kontrak sahaja yang ditawarkan ke jawatan tetap.\n\n\nMengapa Jawatan Tetap?\n\n\nTerdapat beberapa sebab mengapa jawatan tetap menjadi keutamaan buat graduan-graduan perubatan. Salah satunya adalah kerana manfaat yang diperoleh oleh doktor berjawatan tetap lebih menyeluruh berbanding manfaat yang diperoleh doktor kontrak dari sudut gaji, bilangan cuti dan sebagainya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelain daripada itu, jaminan pekerjaan yang ada memberikan mereka ruang membina kehidupan tanpa perlu bimbang dengan masa depan kerjaya mereka.\n\n\nSalah satu kegusaran yang dialami oleh kerajaan adalah kos bagi menanggung pembiayaan doktor-doktor kontrak. Menurut laporan akhbar, kerajaan terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun jika doktor-doktor kontrak diserapkan ke jawatan tetap.\n\n\nPerbelanjaan Keseluruhan Kementerian Kesihatan Malaysia Berjumlah RM32 Bilion\n\n\nPerkara ini sememangnya akan memberikan kesan terhadap perbelanjaan negara dalam tempoh jangka masa yang panjang. Gaji-gaji doktor perlu dinaikkan secara tahunan selain menerima pencen apabila bersara kelak.\n\n\nIni sekaligus memberikan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan laporan perbelanjaan yang dikeluarkan Putrajaya, peruntukan perbelanjaan untuk membayar gaji doktor-doktor kontrak pada tahun ini adalah sebanyak RM1.9 bilion. Angka ini RM650 juta lebih besar berbanding peruntukan yang dibuat pada tahun lalu.\n\n\nDoktor Bukan Beban, Tetapi Pelaburan Terhadap Negara\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor kesihatan merupakan sektor yang paling penting di dalam memastikan keadaan sosio-ekonomi rakyat kekal terpelihara. Saban tahun, sektor kesihatan menerima peruntukan perbelanjaan paling besar selepas bajet pendidikan.\n\n\nKerajaan harus melihat perbelanjaan kesihatan sebagai satu bentuk pelaburan kepada negara, bukannya satu beban fiskal yang terpaksa ditanggung. Selain pendidikan, sektor kesihatan juga merupakan pemacu kepada pembentukan modal insan yang berkualiti buat Malaysia.\n\n\nRakyat yang pintar dan cerdas tidak dapat dilahirkan tanpa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.\n\n\nMalaysia Hanya Membelanjakan 4.2% Untuk Perbelanjaan Kesihatan Berbanding Saiz Ekonomi\n\n\nBerdasarkan statistik terkini yang diperolehi, perbelanjaan keseluruhan kesihatan Malaysia hanyalah 4.2% berbanding KDNK Malaysia. Angka ini jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan keseluruhan kesihatan di negara-negara maju.\n\n\nUnited Kingdom misalnya membelanjakan 10% daripada saiz ekonomi mereka untuk perbelanjaan kesihatan. Jerman dan Perancis pula masing-masing membelanjakan 11.4% dan 11.3% untuk sektor penting tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBilangan doktor di Malaysia juga jauh daripada sasaran yang ditetapkan. Pada penghujung tahun 2019, Malaysia mempunyai 67,586 doktor kesihatan dengan nisbah doktor terhadap populasi sebanyak 482 orang bagi setiap seorang doktor.\n\n\nJumlah ini adalah lebih tinggi berbanding sasaran awal di dalam Rancangan Malaysia ke-11 dimana Malaysia menyasarkan untuk mempunyai seorang doktor bagi setiap 400 orang populasi menjelang tahun 2020.\n\n\nNaikkan Caj Perubatan Tak Dapat Selesaikan Masalah\n\n\nAda sebilangan ahli ekonomi termasuk juga ahli perubatan yang beranggapan bahawa mengenakan caj yang lebih tinggi kepada sebilangan pesakit yang menerima rawatan suatu langkah yang boleh membantu kerajaan menjana pendapatan sekaligus dapat membiayai pelantikan doktor ke jawatan tetap.\n\n\nHakikatnya, sistem seperti ini tidak akan berfungsi dengan baik tambahan lagi negara ini mengamalkan sistem kesihatan sejagat. Ini bermaksud perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh kerajaan sepatutnya disediakan secara percuma kepada setiap rakyat Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia Masih Lagi Gagal Mencapai Sasaran Nisbah Penduduk Bagi Setiap Doktor Seperti Yang Ditetapkan Pada RMK-11\n\n\nJika caj pesakit luar ditingkatkan dari RM1 kepada RM5 sekalipun, wang tambahan yang dijana hanyalah sebanyak RM271 juta* setahun. Jumlah ini amatlah tidak signifikan jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia berjumlah RM31 bilion pada tahun ini.\n\n\n*67.7 juta pesakit luar dirawat dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019\n\n\nTambahan lagi, wang yang dikeluarkan oleh rakyat terhadap perbelanjaan persendirian ( \nout of pocket expenditure\n ) dalam membiayai kos perubatan semakin bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2010 misalnya, rakyat Malaysia membelanjakan RM9.9 bilion ( 30% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan ) untuk perbelanjaan persendirian kesihatan. Angka ini terus meningkat kepada RM21 bilion ( 35% ) pada tahun 2018.\n\n\nIni bukan sesuatu yang perkara perlu dibanggakan oleh kerajaan kerana tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat sepatutnya diletakkan pada bahu kerajaan bukannya rakyat. Kenapa kita teruskan membebankan rakyat dengan menggalakkan peluasan sektor kesihatan swasta tanpa membuat pelaburan yang cukup terhadap sektor kesihatan awam.\n\n\nPerluasan sektor kesihatan swasta juga langsung tidak akan membantu kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Apa yang bakal berlaku jika perkara ini diteruskan adalah segala kepakaran kesihatan akan lebih tertumpu di sektor swasta tatkala sebahagian besar pesakit mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor Kesihatan Awam Terpaksa Merawat Lebih Ramai Pesakit Berbanding Sektor Swasta\n\n\nUntuk perbandingan, hospital-hospital kerajaan menerima 72.1 juta rawatan daripada orang ramai pada tahun 2019 dengan 48,478 orang doktor berkhidmat. Manakala hospital swasta yang hanya menerima 4.7 juta lawatan pesakit mempunyai 15,457 orang doktor yang merawat mereka.\n\n\nDalam kata lain, setiap seorang doktor kerajaan perlu merawat 1,488 orang pesakit setiap tahun. Manakala bagi seorang doktor swasta, mereka hanya perlu merawat 306 orang pesakit setiap tahun.\n\n\nJika perkara ini dibiarkan berterusan, hospital-hospital kerajaan akan mengalami kesesakan pesakit yang akan mengurangkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan.\n\n\nApa yang perlu dilakukan sekarang adalah menambah peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia agar kualiti perkhidmatan kesihatan awam dapat ditingkatkan. Dan salah satu langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan melantik doktor-doktor kontrak ini ke jawatan tetap.\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/kri-perbelanjaan-kesihatan-malaysia-antara-yang-terendah-di-rantau-asia-tenggara/", "title": "KRI \u2013 Perbelanjaan Kesihatan Malaysia Antara Yang Terendah di Rantau Asia Tenggara", "body": "\n\nShare it\nPerbelanjaan kesihatan di Malaysia rendah jika dibandingkan dengan negara-negara serantau\n\n\nInstitut Penyelidikan Khazanah ( KRI ) di dalam Kertas Perbincangan yang diterbitkan pada 15 Disember lalu menyatakan sektor kesihatan awam Malaysia berada di bawah tekanan yang tinggi. Menurut KRI, pada tahun 2019, 70.4% daripada keseluruhan kemasukan pesakit ke dalam hospital mengambil tempat di hospital Kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n87.2% daripada keseluruhan rawatan pesakit luar di Malaysia juga dirawat di hospital awam dengan selebihnya di hospital swasta. Walaupun sektor kesihatan awam mempunyai lebih ramai kakitangan, KRI menjelaskan bahawa sektor ini lebih terbeban dalam merawat pesakit.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDoktor di hospital Kerajaan lebih terbeban di dalam merawat pesakit\n\n\nPenemuan ini serupa dengan kiraan Ekonomi Rakyat pada Julai lalu dimana nisbah doktor:pesakit serta katil:pesakit lebih tinggi di sektor awam. Berdasarkan data Kementerian Kesihatan yang diperoleh, seorang doktor di hospital Kerajaan merawat 1,488 pesakit manakala seorang doktor di hospital swasta pula hanya merawat 306 orang pesakit.\n\n\nMalaysia juga mempunyai perbelanjaan kesihatan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN yang lain. Pada tahun 2019, perbelanjaan kesihatan di Malaysia hanyalah bersamaan dengan 3.8% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara.\n\n\nAngka ini lebih kecil berbanding perbelanjaan kesihatan Kemboja ( 6.0% ), Vietnam ( 5.9% ) dan Myanmar ( 4.8% ).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebahagian besar perbelanjaan kesihatan di Malaysia turut dibiayai oleh duit poket sendiri ( \nOut of Pocket\n ) . Di Malaysia, hanya 45% kos kesihatan dibiayai oleh Kerajaan manakala 35% lagi ditanggung oleh pesakit sendiri.\n\n\nLebih satu pertiga perbelanjaan kesihatan dibiayai dari poket sendiri\n\n\nInsurans swasta dan majikan swasta masing-masing menanggung 7.6% dan 3.3% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan di Malaysia.\n\n\n\u00a0\n\n\nSituasi ini bukanlah satu perkembangan yang baik. Di negara-negara maju seperti United Kingdom, sebanyak 77.8% daripada keseluruhan kos kesihatan dibiayai oleh Kerajaan dengan rakyat hanya membelanjakan 16.7% sahaja daripada wang poket mereka sendiri.\n\n\nManakala di Jerman yang merupakan pelopor insurans kesihatan sosial, sebanyak 78.1% daripada keseluruhan kos kesihatan dibiayai oleh sumber tersebut. Perbelanjaan poket sendiri yang dikeluarkan oleh warga Jerman hanyalah 12.5%.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKRI juga mendapati bahawa golongan berpendapatan rendah juga paling terkesan sekali dengan pembiayaan poket sendiri untuk tujuan kesihatan. Perbelanjaan per kapita bagi keluarga yang berada di kumpulan 20% terbawah adalah sebanyak RM941.\n\n\nKelompok isi rumah berpendapatan 20% terendah membelanjakan RM941 bagi setiap ahli isi rumah bagi tujuan kesihatan\n\n\nKos ini jauh lebih tinggi berbanding golongan pertengahan dimana kumpulan 60% pertengahan hanya membelanjakan sekitar RM314 hingga RM485 untuk tujuan kesihatan bagi setiap ahli isi rumah. Bagi kelompok isi rumah berpendapatan 20% tertinggi pula, mereka membelanjakan sebanyak RM1,077 bagi setiap ahli isi rumah didorong oleh penggunaan tinggi perkhidmatan kesihatan swasta.\n\n\nInstitut penyelidik ini menyarankan Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memperkukuhkan kesihatan awam dengan meningkatkan lagi pelaburan di dalam sektor ini.\n\n\nKRI turut menegaskan bahawa langkah dalam mempromosikan insurans kesihatan sosial dan insurans kesihatan swasta sebagai langkah terkebelakang. Insurans kesihatan swasta misalnya membebankan bagi golongan berpendapatan rendah manakala insurans kesihatan sosial pula akan meminggirkan golongan yang bekerja di sektor tidak formal.\n\n\nSelain daripada itu, penekanan terhadap saringan kesihatan juga perlu dipertingkatkan. Menurut KRI, saringan untuk kanser payudara di Malaysia hanyalah sebanyak 21%, lebih rendah berbanding kadar saringan optimal 59% yang disarankan di United Kingdom.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia perlu lebih penekanan untuk tujuan saringan dan pencegahan\n\n\nSaringan awal dapat memberikan manfaat kepada pesakit kerana penyakit ataupun isu kesihatan yang dialami dapat dikesan pada peringkat awal. Situasi sedemikian membolehkan pesakit untuk mengambil langkah-langkah awal rawatan sekaligus mengurangkan risiko kesihatan.\n\n\nKRI juga menyarankan penggunaan teknologi terkini di sektor kesihatan dengan mewujudkan rekod kesihatan elektronik. Langkah ini membolehkan maklumat-maklumat penting kesihatan boleh diakses secara atas talian lantas meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan di negara ini.\n\n\nKertas Perbincangan yang diterbitkan oleh Nazihah Muhamad Noor dan Ilyana Syafiqa Mukhriz Mudaris ini boleh diakses di [ \nsini\n ]\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/langkah-berani-mati-perancis-tingkatkan-umur-persaraan-cetus-protes-rakyat/", "title": "Langkah Berani Mati \u2013 Perancis Tingkatkan Umur Persaraan, Cetus Protes Rakyat", "body": "\n\nShare it\nUsia persaraan di negara-negara terpilih di Eropah\n\n\nDua tahun\u2026. Itu tempoh pelanjutan umur persaraan yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Elisabeth Borne bagi membolehkan usia persaraan bagi pekerja-pekerja di Perancis dinaikkan dari 62 tahun kepada 64 tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\nRespons dari warga Perancis amat agresif sekali. Protes bermula sejak Januari lalu apabila ura-ura untuk Akta Reformasi Pencen 2023 dibentangkan kembali berlegar di Republik berkenaan. Namun situasi genting ini memuncak apabila Perdana Menteri Perancis menggunakan peruntukan Perkara 49 Perlembagaan Perancis bagi meluluskan Akta berkenaan tanpa melalui proses pengundian di Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nProtes dirancang secara besar-besaran di Perancis bagi membantah Akta berkenaan. Lebih sejuta pekerja yang kebanyakannya ahli Kesatuan Sekerja turun ke jalanan di bandar-bandar besar bagi menyuarakan bantahan. Menurut laporan, 179 peserta demonstrasi ditahan manakala 149 anggota polis dilaporkan cedera.\n\n\nReformasi Pencen \u2013 Sentiasa Tidak Popular\n\n\nLangkah untuk meningkatkan usia persaraan dianggap sebagai satu langkah Kerajaan menarik bantuan terhadap rakyat. Hal ini kerana apabila warga Perancis menginjak usia persaraan iaitu pada umur 62 tahun, Kerajaan Perancis melalui sistem pencen mereka perlu membayar pencen sekurang-kurangnya \u20ac920 sebulan kepada pesara.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBayaran pencen ini dibiayai oleh Kerajaan Perancis melalui caruman persaraan yang dibayar pekerja dan majikan. Pekerja secara amnya perlu mencarum sekitar 9% daripada gaji mereka untuk tujuan bayaran pencen apabila bersara kelak.\n\n\nUsul yang dicadangkan di Republik berkenaan tidak popular bukan sahaja kerana warga Perancis terpaksa menunggu untuk tempoh yang lebih lama untuk mendapatkan pencen mereka, tetapi juga langkah ini mengakibatkan pekerja di Perancis perlu bekerja untuk tempoh yang lebih lama sekaligus menambahkan lagi jumlah wang yang perlu dicarum kepada skim pencen ini.\n\n\nUntuk sekian lama, Kerajaan Perancis menanggung beban yang besar dalam membiayai skim pencen kepada 16.4 juta orang pesara di negara berkenaan. Kos melaksanakan skim ini menelan belanja tahunan sebanyak \u20ac380 bilion, bersamaan dengan 14.8% daripada saiz ekonomi Perancis, antara yang tertinggi di rantau Eropah.\n\n\nKerajaan Malaysia dijangka membelanjakan RM31.1 bilion untuk tujuan bayaran pencen pesara Kerajaan\n\n\nSebagai perbandingan, Kerajaan Malaysia yang hanya menyediakan skim pencen terhadap 700,000 pesara Kerajaan dianggarkan akan membelanjakan RM31 bilion pada tahun ini, bersamaan dengan 1.6% daripada keseluruhan saiz ekonomi.\n\n\nMeskipun tinjauan awal menunjukkan 68% warga Perancis tidak bersetuju dengan langkah untuk meningkatkan usia persaraan, namun Kerajaan Perancis terpaksa mengambil langkah tidak popular ini bagi memastikan sistem pencen mereka kekal mampan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSalah satu hujah bagi menjustifikasikan langkah berkenaan adalah dengan membandingkan usia persaraan di negara-negara Eropah yang lain. Di Jerman dan Itali misalnya, usia persaraan adalah 67 tahun, lima tahun lebih tinggi berbanding Peracnis.\n\n\nManakala usia persaraan di United Kingdom adalah 66 tahun.\n\n\nBersara awal bermaksud tenaga-tenaga buruh ini tidak menggunakan masa dan tenaga mereka untuk tujuan produktif. Apatah lagi statistik menunjukkan warga Perancis mempunyai jangka hayat hidup sihat \n(healthy life span)\n sehingga usia 72 tahun.\n\n\nMalaysia Tidak Terkecuali Berdepan Masalah Yang Sama\n\n\nUsia persaraan di Malaysia kekal rendah meskipun jangka hayat penduduk semakin tinggi\n\n\nMalaysia juga tidak boleh lari dari berhadapan dengan isu usia persaraan yang rendah ini. Pada detik ini, usia persaraan di Malaysia adalah 60 tahun. Negara seberang, Singapura pada ketika ini meletakkan umur 63 tahun sebagai usia bersara, namun akan meningkatkan usia persaraan mereka kepada 65 tahun menjelang tahun 2030.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTopik ini sudah semestinya tidak popular bagi warga muda yang berpendapat peningkatan usia persaraan sebagai satu halangan untuk mereka mendapatkan kenaikan pangkat.\n\n\nNamun dari sudut lain, generasi muda juga bakal berhadapan dengan cabaran lain melalui usia persaraan yang rendah. Jika ibu-bapa mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup, usia persaraan yang rendah akan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kebajikan ibu bapa mereka di awal karier.\n\n\nHarus diingatkan jangka hayat rakyat Malaysia ketika ini adalah 72 tahun. Ini bermaksud rata-rata warga emas yang pencen pada usia 60 tahun akan melalui kehidupan selama 12 tahun tanpa pendapatan kerja.\n\n\nKeadaan ini sememangnya membimbangkan kerana statistik KWSP menunjukkan separuh ahli yang berusia di dalam lingkungan 50-54 tahun hanya mempunyai simpanan sebanyak RM35,161. Hanya cukup untuk melalui zaman persaraan mereka di atas paras kemiskinan (RM2,206) selama 16 bulan.\n\n\nDi dalam keadaan yang lebih ekstrem, generasi muda yang berkahwin awal juga mungkin bukan saja terpaksa menanggung nafkah anak-anak, tetapi juga ibu bapa sekaligus mewujudkan situasi yang dipanggil \nsandwich generation\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPeningkatan usia persaraan secara amnya tidak akan menyelesaikan masalah ini. Tetapi sudah pasti akan meringankan sedikit tanggungjawab anak-anak dalam membantu ibu bapa mereka di usia emas.\n\n\nTambahan lima tahun usia persaraan memberi impak yang signifikan terhadap simpanan persaraan pekerja. Kiraan mudah dan ringkas menunjukkan tambahan lima tahun tempoh bekerja dari 30 tahun bekerja kepada 35 tahun bekerja untuk individu yang bergaji RM3,000 sebulan memberi penambahan RM210,000 terhadap simpanan selain melengahkan penggunaan simpanan persaraan mereka.\n\n\nMenaikkan usia persaraan merupakan langkah perlu untuk memastikan keterjaminan sistem sosial di Malaysia. Jika melihat isu negara tua ini secara menyeluruh, lebih banyak tindakan drastik perlu dipertimbangkan bagi memastikan warga emas di Malaysia dapat menjalani kehidupan di hari-hari terakhir mereka dengan lebih selesa.\n\n\nAntara polisi yang wajar diteliti termasuklah meluaskan bayaran pencen secara universal kepada semua pesara seperti yang dilaksanakan di Thailand. Selain itu, skim simpanan persaraan KWSP mungkin juga boleh beralih kepada skim anuiti dimana pesara bakal mengeluarkan simpanan mereka secara berkala bagi mengurangkan risiko simpanan persaraan habis di dalam tempoh masa yang singkat.\n\n\nSkim anuiti ini telah pun dilaksanakan di Singapura kepada pencarum yang mempunyai simpanan lebih dari S$60,000 di dalam akaun persaraan mereka dimana pesara akan menerima bayaran pencen sehingga ke akhir hayat mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerancangan untuk memperkukuhkan sistem persaraan di negara ini perlu diambil sekarang, bukannya apabila isu ini menjadi barah di depan mata. Bibit-bibit kegawatan sistem persaraan sebenarnya telah pun timbul, apabila sistem kesihatan negara yang merupakan tunjang penting sistem sosial di negara ini terus dirundung krisis sehinggakan mengundang konflik berpanjangan diantara Jabatan Perkhidmatan Awam dan pegawai perubatan kontrak.\n\n\nJika perkara ini tidak ditangani segera, Malaysia yang bakal memasuki status negara menua di dalam tempoh 12 tahun akan berdepan masalah besar.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/laporan-oxfam-2153-orang-terkaya-di-dunia-lebih-kaya-dari-separuh-populasi-manusia/", "title": "Laporan Oxfam : 2,153 Orang Terkaya di Dunia Punyai Lebih Banyak Harta Berbanding Separuh Populasi Manusia", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertubuhan Kebajikan Oxfam yang berpangkalan di Nairobi, Kenya pada 20 Januari lalu telah mengeluarkan sebuah laporan bertajuk Time to Care yang mengetengahkan isu berkaitan kerja-kerja penjagaan serta krisis ketidaksamaan global.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKajian yang dikeluarkan sejurus sebelum Forum Ekonomi Dunia di Davos ini menunjukkan bahawa kerja-kerja penjagaan tidak berbayar seperti menjaga anak dan sebagainya mempunyai nilai kewangan berjumlah $10.8 trilion. Jumlah ini tiga kali ganda lebih besar berbanding industri teknologi global.\n\n\nSelain itu, pekerja-pekerja domestik seperti pembantu rumah juga lebih cenderung di eksploitasi oleh majikan. Menurut laporan ini, hanya 10% pekerja domestik yang mempunyai perlindungan mengikut undang-undang buruh. Kebanyakan mereka juga tidak mendapat hak untuk memperoleh gaji minimum sekaligus mengakibatkan pekerja domestik ini berisiko tinggi memperoleh pendapatan yang rendah.\n\n\nIsu berkaitan jurang kekayaan turut menjadi perhatian dalam laporan kali ini. 2,153 orang bilionair terkaya di dunia mempunyai lebih banyak kekayaan berbanding 4.6 bilion orang dimana 22 orang terkaya di dunia mempunyai lebih banyak harta berbanding wanita di seluruh Afrika.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLaporan ini juga membidas sebilangan pemimpin dunia seperti Donald Trump yang memberikan potongan cukai untuk golongan elit. Pertumbuhan untuk dividen kepada golongan kaya di negara-negara G7 ( Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Japan, Amerika Syarikat dan UK ) meningkat 31% diantara tahun 2011 dan 2017 manakala purata upah hanya meningkat 3%. Kekayaan bilionair pula meningkat pada purata 7.4% setahun sejak tahun 2009.\n\n\nSeperti Presiden Donald Trump, kekayaan golongan elit ini kebanyakkannya datang dari harta yang diwarisi oleh ibu bapa. Donald Trump sebagai contoh mewarisi $413 juta daripada bapanya sekaligus memudahkan usahanya menjadi bilionair. Kajian yang dipetik dari D. Jacobs turut menyatakan bahawa 1/3 kekayaan golongan elit ini datang dari harta yang diwarisi dari seseorang.\n\n\nLaporan Time to Care ini ditulis oleh Clare Coffey, Patricia Espinoza Revollo, Rowan Harvey, Max Lawson, Anam Parvez Butt, Kim Piaget, Diana Sarosi dan Julie Thekkudan. Laporan penuh boleh diperoleh di \nhttps://www.oxfam.org/en/research/time-care\n\n\nLagi infografik yang telah diterjemah oleh Ekonomi Rakyat ;\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/lima-sebab-kenapa-penggabungan-uem-sunrise-ecoworld-bakal-rugikan-rakyat/", "title": "Lima Sebab Kenapa Penggabungan UEM Sunrise-EcoWorld Bakal Rugikan Rakyat", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenggabungan di antara syarikat gergasi hartanah, UEM Sunrise dan EcoWorld terus mendapat kritikan daripada kalangan rakyat. Terdapat beberapa pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap penggabungan yang dianggap sebagai tidak strategik dan tidak menguntungkan rakyat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKetua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizam Abdullah Hamdi mempersoalkan langkah penggabungan ini dan beranggapan bahawa ia sebagai satu langkah mem\u2019\nbail-out\n\u2018 EcoWorld.\n\n\n\u201d \nDalam pandangan saya, penggabungan ini mempunyai objektif yang serupa seperti yang saya katakan tahun lain. Ia bertujuan untuk menyelamatkan EcoWorld. Mereka berada di dalam keadaan meruncing sekarang dan banyak projek tidak berjalan dengan baik. Sekarang, mereka ingin menggunakan kerajaan untuk menyelamatkan mereka\n \u201d kata beliau di dalam sebuah portal berita atas talian.\n\n\nSelain beliau, bekas Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Jalil Rasheed turut menzahirkan pandangan yang serupa melalui untaian di akaun Twitter miliknya. Beliau berkata bahawa syarikat yang besar bukan bermaksud ia lebih baik kerana banyak syarikat yang besar tetapi tidak cekap.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201c\n Kita harus tanya, kenapa EcoWorld ingin bergabung ( dan hilang kawalan pemilikan ) melainkan mereka tidak berada dalam keadaan yang baik\n \u201c\n\n\nBeliau turut berkata penggabungan ini mungkin bertujuan untuk memudahkan perbincangan urusniaga bersama dengan bank berikutan ia mempunyai sokongan daripada institusi dana seperti Khazanah susulan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh EcoWorld.\n\n\nHujah-hujah yang dikemukan ini mempunyai asas yang kukuh. Analisa Ekonomi Rakyat turut menemukan dapatan yang serupa dimana penggabungan ini tidak menguntungkan rakyat Malaysia secara amnya.\n\n\n\n\nBerikut merupakan \nlima\n sebab mengapa penggabungan ini tidak menguntungkan rakyat Malaysia\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSaham EcoWorld telah jatuh merudum 71% dari RM1.40 pada lima tahun lalu kepada RM0.40. Ini sesuatu keadaan yang tidak normal kerana EcoWorld mencatatkan keuntungan yang tinggi tahun demi tahun.\n\n\nKeuntungan EcoWorld telah meningkat dari RM44 juta pada tahun 2015 kepada RM203 juta pada tahun 2019. Namun dalam masa yang sama harga saham telah jatuh RM1.00 meskipun keuntungan yang lebih tinggi dicatatkan.\n\n\nIni menunjukkan bahawa pelabur telah memberikan petunjuk jelas bahawa keuntungan yang dicatatkan tidak selari dengan realiti yang dialami oleh EcoWorld. Tidak logik bagi sebuah syarikat yang mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi tetapi nilai sahamnya kian merudum hari demi hari.\n\n\nKeduanya, aset tunai EcoWorld telah jatuh hampir 50% dari RM510 juta ( Oktober 2018 ) kepada RM261 juta ( Julai 2020 ) dalam tempoh kurang dua tahun. Dalam kata lain, EcoWorld kehilangan tunai lebih kurang RM125 juta setiap tahun dan ini memberikan masalah yang besar buat aliran tunai EcoWorld.\n\n\nJika keadaan ini berterusan, tunai EcoWorld dijangka habis dalam tempoh dua tahun.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPinjaman jangka pendek EcoWorld pula meningkat dari RM1.95 bilion kepada RM1.98 bilion pada Julai 2020. Dengan liabiliti semasa sebanyak hampir RM4 bilion, situasi semasa EcoWorld kelihatan agak tenat pada ketika sekaligus menimbulkan persoalan adakah penggabungan yang melibat entiti milik kerajaan iaitu UEM Sunrise sebagai satu langkah yang bijak. Adakah UEM Sunrise bakal menanggung beban yang dihadapi oleh EcoWorld?\n\n\n\n\nKetiganya, model perniagaan EcoWorld juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat Malaysia secara umumnya. Harga-harga rumah yang dilancarkan oleh EcoWorld bukanlah menyasarkan rakyat marhaen tetapi hanya tertumpu kepada golongan elit saja.\n\n\nApakah ada keperluan untuk kerajaan untuk terlibat dengan model perniagaan seperti ini? Menurut laporan tahunan EcoWorld, purata harga jualan unit hartanah EcoWorld adalah sekitar RM900,000 setiap unit.\n\n\nAngka ini sememangnya jauh daripada harga rumah mampu milik di Malaysia. Menurut Laporan Bank Negara, harga rumah mampu milik haruslah tidak lebih dari tiga kali pendapatan penengah tahunan isi rumah di Malaysia. Dalam erti lain, harga rumah mampu milik sepatutnya tidak melebihi RM211,000 berpandukan pendapatan penengah isirumah RM5,783 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenggabungan ini tidak memberikan keuntungan kepada rakyat Malaysia. Kerajaan seharusnya fokus untuk terlibat dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat bukannya berusaha keras untuk terlibat menjual rumah-rumah mewah yang tidak terjual.\n\n\nJika entiti milik kerajaan seperti Khazanah terus terlibat dengan pembinaan hartanah mewah. Masalah rumah mahal di Malaysia akan berlarutan sehingga bila-bila. Desakan REHDA seperti menggurangkan had minimum harga rumah untuk warga asing akan menyebabkan harga rumah kekal tinggi.\n\n\nRakyat yang dihimpit dengan kenaikan gaji yang terhad tidak akan memperoleh apa-apa hasil. Mereka akan dipaksa untuk terus menyewa dan menyewa kerana harga rumah yang terlalu tinggi selain gaji yang rendah.\n\n\nKeempat, penggabungan atau pengambilalihan syarikat-syarikat tersenarai selalu dikaitkan dengan sinergi selain dapat meningkatkan modal pasaran menjadi lebih besar. Hakikatnya, ini tidak berlaku berdasarkan pengalaman lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBekas pemilik Sunrise, Datuk Tong Kooi Ong pada 2010 mendakwa bahawa penggabungan UEM dan Sunrise akan membawa kepada modal pasaran bernilai RM10 bilion. Namun semakan terkini menunjukkan nilai modal pasaran UEM Sunrise hanyalah sekitar RM1.7 bilion. Harga saham UEM-Sunrise telah jatuh dari RM1.20 pada 2015 kepada RM0.40.\n\n\nPengambilalihan Syarikat Pembinaan Setia atau lebih dikenali sebagai SP Setia turut menerima nasib yang serupa. PNB yang mengambil alih SP Setia pada harga RM3.90 sesaham dari Tan Sri Liew Kee Sin\u00a0 tidak memberikan sebarang keuntungan modal kepada institusi dana Bumiputera ini.\n\n\nHarga saham SP Setia telah jatuh dari RM3.80 pada 2012 kepada RM0.74 pada harga saham semasa. Ini bermaksud di atas kertas, PNB telah rugi hampir 80% melalui pengambilalihan syarikat hartanah tersebut.\n\n\nDakwaan penggabungan syarikat untuk menjadi lebih besar akan mewujudkan kecekapan yang tinggi hanyalah mitos semata-mata. Syarikat-syarikat kecil juga mempunyai kelebihan tersendiri seperti lebih fleksibel dalam membuat keputusan selain dapat mengadaptasi keadaan semasa dengan lebih pantas.\n\n\nKelima, kesanggupan Tan Sri Liew Kee Sin untuk kehilangan kawalan pemilikan terhadap syarikat yang dimilikinya agak mencurigakan. Ahli perniagaan yang biasa tidak akan cuba menjual syarikat yang beraksi cemerlang melainkan syarikat tersebut berada di dalam masalah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDengan situasi ekonomi semasa, adalah lebih menguntungkan buat Tan Sri Liew untuk menggabungkan syarikat miliknya dengan sebuah syarikat yang dimiliki kerajaan sekaligus mendapat sokongan institusi dana yang berpengaruh. Ini memberikan lebih \nbargaining power\n dalam urusniaga terutamanya melibatkan pihak bank.\n\n\nPersoalannya, apakah manfaat yang bakal diperoleh UEM Sunrise hasil daripada penggabungan ini?\n\n\nIndustri hartanah tidak berada dalam keadaan yang baik sekarang ini berikutan krisis Covid-19 yang kian berlarutan.\n\n\n\n\nKerajaan China yang cuba mengekang pengeluaran modal ( \ncapital flight\n ) dalam kalangan rakyat mereka juga menambah lagi masalah buat syarikat hartanah di negara ini yang menjadikan mereka sebagai sasaran. Pemaju Forest City, Country Gardens sebagai contoh telah menutup pusat pameran mereka di China susulan dasar kerajaan China.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenggabungan UEM Sunrise dan EcoWorld bukanlah suatu langkah yang bijak oleh kerajaan dengan prospek hartanah yang semakin suram. Persoalan yang harus ditanya kepada pembuat keputusan ini adalah siapa yang memperoleh laba daripada urusniaga ini? Adakah benar ia sebuah \nbail-out\n menggunakan wang rakyat kepada syarikat swasta? Apakah manfaat yang diperoleh oleh rakyat melalui penggabungan ini?\n\n\nDan yang lebih penting\u2026\u2026 Adakah kita pernah belajar daripada kesilapan-kesilapan yang lalu?\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/lima-sebab-mengapa-isu-jalan-jem-sukar-untuk-diselesaikan/", "title": "Lima Sebab Mengapa Isu Jalan \u2018Jem\u2019 Sukar untuk Diselesaikan", "body": "\n\nShare it\n\u2018Pergi gelap, balik pun gelap\u2019\n\n\n\n\n\n\n\n\nBegitulah realiti yang perlu ditempuh hampir setiap hari oleh pekerja-pekerja, terutamanya yang bekerja di sekitar Lembah Klang. Perjalanan yang secara kebiasaannya memakan masa belasan atau puluhan minit sahaja, bertukar ngeri menjadi berjam-jam di atas jalan raya disebabkan kesesakan trafik yang melampau. Isu jalan \u2018jem\u2019 ini saban tahun seperti tiada penyelesaian, sehingga menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa redha sahaja dengan apa yang berlaku.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTerperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk tempoh yang begitu lama bukan sahaja mengakibatkan kos dari segi wang ringgit dan masa, bahkan boleh menjejaskan produktiviti di tempat kerja. Bayangkan terpaksa menempuh jalan \u2018jem\u2019 berjam-jam di atas jalan raya, diuji pula dengan sikap-sikap pemandu yang kurang berhemah, siapa sahaja yang masih bersemangat untuk meneruskan kerja dengan penuh bermotivasi?\n\n\nMenurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam, pekerja di Lembah Klang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari, bersamaan 44 jam sebulan akibat terperangkap dalam jalan \u2018jem\u2019. Seorang pekerja di Lembah Klang juga dianggarkan kerugian produktiviti bernilai RM308 sebulan disebabkan kesesakan trafik.\n\n\nDi Malaysia, isu kesesakan trafik semakin memburuk sejak kebelakangan ini terutamanya selepas pandemik Covid-19 melanda. Persoalannya, mengapa masalah jalan jem ini sukar diselesaikan meskipun isu seringkali dibangkitkan oleh orang ramai?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKekurangan Sistem Pengangkutan Awam yang Efisien\n\n\nPunca terbesar kepada isu kesesakan trafik ini adalah disebabkan ketiadaan sistem pengangkutan awam yang efisien di Lembah Klang untuk menghubungkan para pekerja dari rumah mereka ke tempat kerja. Meskipun pelbagai projek pengangkutan awam seperti KTM, LRT, Monorel, MRT dan ERL telah dibina sejak beberapa dekad yang lepas, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang masih dibelenggu banyak masalah melibatkan penyelenggaraan, jadual pergerakan yang tidak menentu, tahap \naccessibility\n (terutamanya buat warga OKU dan warga emas) yang meragukan serta pelbagai lagi masalah lain.\n\n\nBudaya penyelenggaraan di Malaysia yang suka menunggu \u2018biar rosak dahulu, kemudian baru baiki\u2019 menyebabkan perkhidmatan pengangkutan awam yang tersedia sering tidak berfungsi walaupun dibina dengan begitu baik dan cantik pada awalnya.\n\n\nFrasa \n\u2018preventive maintenance culture\u2019\n seolah-olah tidak wujud dalam kamus syarikat-syarikat yang mengoperasikan sistem pengangkutan awam di negara ini. Keadaan ini semakin memburuk terutamanya bagi pengguna laluan LRT Kelana Jaya yang sering kali menghadapi masalah tren.\n\n\nPerancangan pembangunan sistem pengangkutan awam di Malaysia juga tidak rapi. Perkhidmatan MRT1 yang mempunyai 29 buah stesen sejauh 42km misalnya, meletakkan sasaran seramai 442,000 penumpang setiap hari. Namun sejak dilancarkan pada 2017, jumlah penumpang tertinggi yang pernah direkodkan hanyalah seramai 204,821 penumpang pada tahun 2019, 54% lebih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAlternatif lain pengangkutan awam seperti perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) langsung tidak mendapat tempat dalam kalangan pembuat dasar di Malaysia. Sistem ini yang telah digunapakai di pelbagai negara seperti UK, Perancis, Thailand, Vietnam dan Indonesia telah terbukti berkesan dari pelbagai sudut.\n\n\nSecara teorinya, kos mengendalikan perkhidmatan BRT adalah jauh lebih murah kerana Kerajaan hanya perlu menyediakan jalan khas buat bas untuk bergerak. Kos penyelenggaraan bas juga jauh lebih murah berbanding menyelenggara tren yang kadang kala memerlukan kepakaran khas dari luar. Bas juga lebih \u2018licik\u2019 dalam mengambil penumpang di ceruk-ceruk \u2018kampung\u2019 sekaligus menyelesaikan isu \u2018\nlast-mile connectivity\n\u2018.\n\n\n*Masalah teknikal yang dihadapi LRT Laluan Kelana Jaya yang tergendala selama lima hari pada November lalu memerlukan kepakaran dari Toronto, Kanada dan Istanbul, Turki untuk diselesaikan\n\n\nNamun apa yang tidak kena dengan BRT? BRT berkemungkinan besar tidak mendapat perhatian pemimpin-pemimpin terdahulu kerana tidak memberikan keuntungan tinggi buat rakan-rakan pemaju mereka yang telah membangunkan pelbagai projek di sekitar jajaran laluan MRT. Tidak hairanlah projek BRT Lebuhraya Persekutuan yang pernah dirancang dahulu telah dibatalkan pada tahun 2017\n\n\nTerlalu Banyak Lebuhraya yang Dibina\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejak sekian lama, Kerajaan telah menganugerahkan pelbagai konsesi bernilai jutaan ringgit kepada kontraktor-kontraktor swasta bagi membina lebuhraya di sekitar Lembah Klang. Syarikat-syarikat besar seperti Gamuda umpamanya pernah mengendalikan beberapa lebuhraya utama seperti KESAS dan SMART.\n\n\nPLUS Malaysia Berhad dimiliki oleh Khazanah dan KWSP\n\n\nSyarikat tersenarai lain, IJM pula mengendalikan NPE, Besraya dan LEKAS manakala Ekovest dan Maju Holdings masing-masing memegang konsesi untuk lebuhraya DUKE dan MEX. Bukan itu saja,\u00a0 banyak konsesi lebuhraya lain seperti PLUS dan PROLINTAS dipegang oleh entiti-entiti berkaitan Kerajaan seperti Khazanah Nasional, KWSP dan PNB.\n\n\nMenyediakan pengangkutan awam yang efisien boleh diibaratkan sebagai satu langkah \u2018\nrock the boat\n\u2018 yang boleh menjejaskan status quo syarikat-syarikat ini. Kenapa perlu galakkan penggunaan pengangkutan awam jika kita boleh menjana wang hasil dari kutipan tol?\n\n\nAkhirnya\u2026. rakyat juga yang mendapat pulangan dividen\u2026\u2026.\n\n\nDasar Kerajaan Menyebabkan Terlalu Banyak Kereta Dijual Saban Tahun\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n1.76 juta kenderaan baru didaftarkan pada tahun 2020 hingga 2022\n\n\nSecara konsistennya, lebih setengah juta kereta terjual di Malaysia setiap tahun sejak 2010 sehingga 2022, memetik data Persatuan Automobil Malaysia (AAM). Tahun 2022 menyaksikan jumlah kenderaan yang terjual di negara ini melepasi 700,000 unit setahun buat pertama kali dalam sejarah.\n\n\nDi satu sudut, perkara ini mungkin satu berita baik buat industri automotif yang bertapak di Malaysia, baik jenama tempatan mahupun asing. Namun di satu sudut yang lain perkara ini melambangkan kegagalan pembuat dasar dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap sehingga menyebabkan para pekerja lebih rela meminjam daripada bank untuk membeli kereta masing-masing dan menempuh \u2018jem\u2019 daripada menaiki pengangkutan awam yang tersedia.\n\n\nDasar pengindustrian berskala besar yang digerakkan Kerajaan terhadap industri automotif negara semasa era 1980an hingga 1990an telah melahirkan beberapa jenama kereta tempatan seperti PROTON dan PERODUA yang terus menjadi pilihan rakyat Malaysia sehingga kini.\n\n\nPada ketika itu, Kerajaan telah menyuntik dana berbillion ringgit serta menjalinkan kerjasama dengan jenama-jenama kereta ternama Jepun seperti Mitsubishi untuk menjayakan agenda kereta nasional pertama mampu milik untuk rakyat Malaysia. Situasi ini telah menyebabkan Kerajaan mempunyai kepentingan besar di dalam industri automotif tempatan.\n\n\nPegangan dalam PROTON pada asalnya dimiliki oleh entiti-entiti tempatan seperti Khazanah Nasional dan DRB-HICOM. Namun pada tahun 2017, DRB-Hicom yang mengawal keseluruhan pegangan PROTON ketika itu menjual 49.9% kepentingan mereka kepada Geely Automobile Holdings.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan seperti PNB mempunyai kepentingan besar di dalam syarikat PERODUA\n\n\nManakala, pegangan di dalam PERODUA dimiliki sebahagian besar oleh PNB melalui UMW Corporation dan pegangan terus mereka ke atas PERODUA.\n\n\n*PNB mengawal 43.8% kepentingan di dalam UMW Corporation\n\n\nBagi memastikan industri automotif tempatan terus mendapat kelebihan, Kerajaan turut mengenakan cukai import yang tinggi terhadap kereta-kereta import bagi terus merangsang permintaan kereta jenama tempatan. Dasar-dasar Kerajaan sebegini, ditambah dengan polisi-polisi lain seperti pemberian pengecualian cukai jualan SST telah menyebabkan semakin banyak kereta berada di atas jalan raya.\n\n\nPada asalnya, pengecualian cukai jualan SST ini dilancarkan pada Jun 2020 di bawah inisiatif Penjana untuk menyokong industri automotif negara yang turut terjejas akibat pandemik COVID-19 ketika itu. Namun begitu, insentif ini masih diteruskan sehingga 31 Mac 2023 walaupun keadaan ekonomi dan jualan kereta sudah semakin pulih.\n\n\nKeadaan ini memburukkan lagi isu kesesakan trafik di negara kita. Bagi tempoh tiga tahun dari tahun 2020 hingga 2022, terdapat penambahan 1.76 juta bilangan kenderaan baru di atas jalan raya Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai perbandingan, bilangan kelahiran hidup di Malaysia pada tahun 2021 hanyalah 439,744 bayi, jauh lebih rendah berbanding angka purata tahunan 586,000 kenderaan baru yang didaftarkan di Malaysia dari tahun 2020 hingga 2022\n\n\nDalam masa yang sama, pemberian subsidi petrol secara universal sejak sekian lama juga menyebabkan isu kesesakan trafik ini saban tahun terus memburuk kerana petrol boleh dibeli dengan harga yang murah. Sekiranya berada di negara-negara lain, harga petrol kebiasaannya dicukaikan bagi menggalakkan pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam.\n\n\nPembangunan antara Negeri yang Tidak Sekata Menyebabkan Segalanya Tertumpu di Lembah Klang\n\n\nMeskipun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) berjaya menurunkan kadar kemiskinan di seluruh negara, menurunkan jurang pendapatan antara kaum serta meramaikan lagi penyertaan kaum Bumiputera dalam pekerjaan-pekerjaan profesional, hakikatnya sehingga kini Malaysia tetap dibelenggu masalah pembangunan yang tidak sekata antara negeri.\n\n\nDalam tempoh beberapa dekad selepas negara berjaya mencapai Kemerdekaan, terlalu banyak projek pembangunan yang ditumpukan di Lembah Klang semata-mata. Boleh dikatakan sebahagian besar pelaburan dan peluang pekerjaan dialirkan ke Selangor dan Kuala Lumpur.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerbeza dengan negeri-negeri lain yang tidak banyak menerima pelaburan sekaligus menyebabkan bilangan pekerjaan profesional dan bergaji tinggi menjadi terhad. Jika ada sekalipun, gaji yang ditawarkan adalah sangat rendah.\n\n\nSebagai contoh, purata gaji yang diterima seorang pekerja di Kelantan ialah sebanyak RM2,543 pada tahun 2021. Gaji tersebut hampir 40% lebih rendah berbanding pekerja di Selangor (RM3,543).\n\n\nKesannya, migrasi bandar berlaku dengan sangat pesat ke Lembah Klang sehingga ke hari ini. Rakyat Malaysia dari serata negara, bahkan dari wilayah Sabah dan Sarawak, berduyun-duyun datang ke Lembah Klang untuk mencari pekerjaan dan memulakan kehidupan mereka di situ.\n\n\nPolisi yang terlalu memfokuskan kepada pembangunan di Lembah Klang telah menyebabkan Lembah Klang begitu padat dengan para pekerja yang rata-ratanya memiliki kenderaan masing-masing untuk ke tempat kerja.\n\n\nKeengganan Majikan untuk Melaksanakan Bekerja dari Rumah (WFH)\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKetika COVID-19 merebak dengan sangat dahsyat, banyak majikan tiada pilihan lain selain terpaksa menyuruh pekerja mereka bekerja dari rumah (WFH). Namun apabila COVID-19 sudah semakin reda, majikan-majikan ini mengarahkan pekerja-pekerja mereka untuk kembali ke pejabat.\n\n\nWalaupun tidak dapat dinafikan hadir bekerja di pejabat secara fizikal itu lebih baik dari segi kelancaran bekerja, pergaulan sosial serta pemantauan prestasi kerja, majikan mungkin boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos masa dan tenaga yang perlu ditanggung para pekerja akibat terperangkap dalam kesesakan trafik untuk hadir ke pejabat setiap pagi.\n\n\nLebih-lebih lagi apabila pandemik COVID-19 telah membuktikan sebenarnya tiada masalah pun untuk sebahagian jenis pekerjaan, terutamanya yang bekerja di pejabat, untuk terus dilaksanakan dari rumah.\n\n\nMenurut sebuah kajian yang dijalankan penyelidik-penyelidik daripada National Bureau of Economic Research (NBER) baru-baru ini, seorang pekerja di Malaysia berpotensi menjimatkan masa perjalanan ke tempat kerja sebanyak 69 minit sehari sekiranya dia bekerja dari rumah.\n\n\nPindaan terbaru Akta Kerja 1955 ada menyentuh mengenai aturan bekerja secara fleksibel\n\n\nBaru-baru ini juga Kerajaan telah meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 yang antaranya membenarkan aturan kerja secara fleksibel dipohon oleh pekerja kepada majikan. Namun begitu, sejauh manakah pindaan baharu ini dilayan oleh para majikan, masih terlalu awal untuk dibincangkan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMungkin ramai dalam kalangan majikan tidak nampak WFH ini sebagai satu alternatif yang boleh dipertimbangkan kerana mereka sendiri tidak perlu bersusah payah menempuh \u2018jem\u2019 ke tempat kerja. Umum diketahui kebanyakan \u2018bos-bos\u2019 di Malaysia ini mempunyai pemandu peribadi yang menghantar mereka ke tempat kerja dan pulang ke rumah.\n\n\nOtak \u2018Jem\u2019 Memikirkan Jalan \u2018Jem\u2019\n\n\nMungkin ramai dalam kalangan pekerja di Lembah Klang merasa mual dan \u2018jem\u2019 otak untuk terus-menerus membincangkan isu jalan \u2018jem\u2019 ini yang tampak seperti tiada solusi selama berpuluh tahun. Namun begitu, keputusan sebenarnya terletak pada pihak Kerajaan untuk merancang, melaksanakan, serta yang paling penting memantau pelaksanaan polisi supaya kekal efektif untuk menangani isu kesesakan trafik ini.\n\n\nSekiranya polisi yang efektif dapat digerakkan sudah tentu pekerja-pekerja di Lembah Klang tidak perlu lagi menanggung kos wang, masa dan tenaga yang berharga untuk dihabiskan semata-mata di atas jalan raya.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/m40-jatuh-b40-apa-maknanya/", "title": "M40 Jatuh B40. Apa Maknanya?", "body": "\n\nShare it\n8% Isi Rumah M40 Kini Berpendapatan Di Bawah RM4,850 Sebulan\n\n\nKenyataan sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi bahawa 600,000 isi rumah M40 di Malaysia jatuh ke dalam kategori B40 akibat kesan Covid-19 telah mendapat liputan meluas media di negara ini. Ada yang bertanya, bagaimana M40 boleh jatuh ke dalam kategori B40?\n\n\n\n\n\n\n\n\nHakikatnya, kenyataan tersebut mungkin disalahpetik oleh pihak media dalam menggambarkan keadaan isi rumah M40 di Malaysia. Hal ini kerana jika kenyataan M40 jatuh ke dalam B40 benar-benar berlaku, ia bermaksud terdapat B40 yang telah naik ke dalam kategori M40.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIni kerana istilah B40 dan M40 ini bermaksud \nBottom 40%\n dan \nMiddle 40%\n. Adalah mustahil untuk kumpulan 40% Terbawah mempunyai 48%. Apa yang ingin disampaikan oleh media adalah pendapatan kumpulan M40 di Malaysia telah jatuh dan sebanyak \n8%\n ( 600,000 ) isi rumah M40 kini meraih pendapatan di bawah RM4,850 sebulan.\n\n\nKenapa RM4,850? Ini kerana klasifikasi B40 di Malaysia merujuk kepada mereka yang berpendapatan RM4,850 dan kebawah. Manakala pendapatan isi rumah M40 pula berada dari paras RM4,850 hingga RM10,959. Dalam kata lain, mereka yang berpendapatan melebihi RM10,959 dikategorikan sebagai isi rumah T20.\n\n\nBagaimana Jabatan Perangkaan Malaysia mendapat had ambang B40, M40 dan T20?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelang dua atau tiga tahun, Jabatan Perangkaan Malaysia akan melaksanakan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah bagi mengetahui keadaan dan pendapatan isi rumah di Malaysia. Lebih 85,000 isi rumah telah ditemubual bagi menyiapkan laporan ini.\n\n\nHad ambang untuk kategori kumpulan isi rumah ini diperoleh bagi menggambarkan pendapatan keseluruhan isi rumah di Malaysia.\n\n\nHad Ambang Kumpulan Pendapatan\n\n\nBayangkan terdapat 10 orang di dalam sebuah bilik. Pendapatan Orang 1 sehingga Orang 10 disusun dari yang paling rendah hingga ke paling tinggi. Pendapatan orang nombor empat itu dikategorikan sebagai had maksimum untuk pendapatan B40. Manakala sesiapa yang memperoleh pendapatan melebihi orang nombor lapan dikategorikan sebagai T20.\n\n\nDi dalam statistik yang dikongsikan oleh Majlis Tindakan Ekonomi, ia jelas menunjukkan terdapat kejatuhan sekitar RM600 bagi isi rumah M10 sehingga menjerumuskan mereka ke dalam pendapatan di bawah RM4,850.\n\n\nDalam maksud lain, jika dahulu kita mempunyai 2.92 juta isi rumah yang berpendapatan dibawah RM4,850 sebulan, kini kita mempunyai 3.52 juta isi rumah yang berpendapatan di bawah RM4,850 sebulan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApa jadi pula dengan B40?\n\n\nKrisis Covid-19 yang telah berlanjutan ini telah memberi kesan kepada semua pihak terutamanya golongan B40. Kumpulan ini lebih terdedah dengan pekerjaan-pekerjaan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang kebanyakkan memerlukan pekerjanya berada di lokasi pekerjaan.\n\n\nSebagai contoh, pekerja yang bekerja sebagai operator di kilang tidak dapat bekerja ketika ini. Namun bagi golongan T20, kebanyakkan kerja boleh dilakukan secara atas talian.\n\n\nKadar Kemiskinan di Malaysia Meningkat Kepada 8.4%\n\n\nOleh itu, B40 lebih terkesan berbanding kumpulan-kumpulan lain. Kenyataan media Menteri Ekonomi pada 17 Jun lalu menunjukkan kadar kemiskinan telah meningkat dari 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020.\n\n\nIni bermaksud terdapat lebih 600,000 isi rumah di Malaysia yang meraih pendapatan di bawah garis pendapatan kemiskinan iaitu RM2,208 sebulan, meningkat berbanding 405,000 pada tahun 2019.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAngka ini mungkin nampak kecil, tetapi hakikatnya bilangan isi rumah miskin sebenarnya telah meningkat 50% dalam tempoh setahun dengan anggaran 2.36 juta orang tinggal di dalam kemiskinan\n\n\nPandemik Covid-19 yang kini bertukar menjadi endemik merupakan antara detik paling gelap dalam sejarah pembentukan negara ini selain tragedi rusuhan 13 Mei. Tempiasnya bukan sahaja dirasai dari sudut kesihatan, tetapi juga telah melumpuhkan hampir keseluruhan aktiviti ekonomi di negara ini.\n\n\nNamun demikian, masih banyak data-data yang tidak dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia kepada orang ramai. Sepanjang Covid-19, hanya sekali saja Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan bancian khusus mengenai krisis ini iaitu pada awal tahun lalu.\n\n\nPerkara ini memberi tekanan buat penganalisis bebas untuk mendapatkan maklumat bagi menilai dan meneliti keadaan ekonomi di negara ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/majoriti-rakyat-malaysia-tidak-mampu-bersara-penyelidik-sosial/", "title": "\u201d Majoriti Rakyat Malaysia Tidak Mampu Bersara \u201d \u2013 Penyelidik Sosial", "body": "\n\nShare it\nMemperkukuh Ketahanan Warga Emas Seiring Perubahan Pesat Negara\n\n\n\n\n\n\n\n\nOleh Puteri Marjan Megat Muzafar dan Jarud Romadan Khalidi\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSambutan Hari Warga Emas Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (\nUnited Nations International Day of Older Persons, \nUNIDOP\n) \ndiadakan pada 1hb Oktober setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu yang dihadapi warga emas serta meraikan sumbangan warga emas. Sesuai dengan keadaan semasa di mana cabaran baharu seperti pandemik Covid-19, krisis kos sara hidup dan perubahan iklim menyelubungi seluruh dunia, tema UNIDOP tahun ini \u201cKetahanan Warga Emas dalam Dunia yang Berubah\u201d menekankan keperluan untuk mengukuh ketahanan warga emas.\n\n\nMemandangkan Malaysia sudah mencapai status \u201cnegara menua\u201d dan akan menjadi \u201cnegara tua\u201d menjelang 2044, mustahak untuk Malaysia memantapkan sistem perlindungan sosial agar semua warga emas dapat menikmati hidup yang selesa dan bermaruah. Bagi menjamin pendapatan asas setelah bersara, \npencen insurans sosial\n wajar dilaksanakan bagi menangani kekangan perlindungan dan ketidakcukupan simpanan pada usia tua.\n\n\nMajoriti rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (\nKWSP\n), rakyat Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya RM600,000 untuk bersara dengan selesa di Kuala Lumpur selepas mengambil kira kenaikan harga, kos rawatan biasa/\noutpatient\n dan keperluan lain. Meskipun di Alor Setar, tempat paling murah untuk bersara, seseorang memerlukan sekurang-kurangnya RM480,000.\n\n\nIni membimbangkan memandangkan hanya 4% daripada pencarum KWSP mampu bersara dengan mempunyai sekurang-kurangnya RM600,000 dalam simpanan. Lebih kurang separuh daripada pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Dengan jumlah ini, pencarum yang membuat pengeluaran penuh pada umur 55 tahun hanya boleh berbelanja sebanyak RM1,000 sebulan selama 4 tahun. Simpanan ini akan habis lebih cepat jika mereka mempunyai perbelanjaan di luar jangkaan seperti kos perubatan.\n\n\n61% penduduk umur bekerja tidak dilindungi oleh skim persaraan\n\n\n61% rakyat Malaysia dalam umur bekerja tidak mencarum ke dalam tabung persaraan dan tidak mempunyai sebarang jaminan pendapatan semasa hari tua\n. Di Malaysia, hanya dua kumpulan warga emas menikmati jaminan pendapatan asas: (1) warga emas \u2018miskin\u2019 yang layak menerima Bantuan Warga Emas (BWE), dan (2) kakitangan awam yang layak mendapat pencen. Kedua-duanya dibiayai cukai dan tidak bergantung kepada simpanan individu. Selebihnya bergantung kepada KWSP dan skim persaraan swasta yang secara amnya hanya meliputi pekerja formal dan pencarum sukarela yang berpendapatan tinggi.\n\n\nMereka yang tersisih dari semua skim persaraan dirujuk sebagai \u201c\ngolongan tengah yang tercicir\n\u201c: tidak cukup miskin untuk mendapat bantuan kebajikan, bukan pekerja kerajaan lalu tidak menerima pencen dan pekerja sendiri tanpa majikan yang boleh membantu mencarum kepada KWSP. Golongan tengah yang tercicir ini termasuk\u00a0 individu bekerja sendiri, pekerja gig, peniaga kecil dan pekerja pertanian, serta mereka di luar pasaran buruh seperti suri rumah dan orang kurang upaya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nStatus quo\n semasa perlu anjakan\n\n\nMereka yang tidak cukup simpanan perlu mencari jalan untuk menanggung kehidupan di hari tua di sebalik peningkatan kos sara hidup dan perubatan. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sokongan keluarga kerana bilangan anak yang semakin rendah lantaran penurunan kadar kesuburan, serta trend tiga generasi tinggal bersama yang berkurangan.\n\n\nAntara \ncadangan\n untuk memperkukuh simpanan persaraan termasuk meningkatkan caruman majikan untuk pekerja bergaji rendah, mengagihkan kadar dividen yang lebih tinggi untuk pencarum yang mempunyai simpanan rendah dan memanjangkan tempoh caruman sehingga umur 65 tahun. Bagaimanapun, langkah ini hanya membantu pencarum KWSP yang mewakili satu pertiga daripada penduduk umur bekerja.\n\n\nBank Dunia\n menyarankan peningkatan umur persaraan bagi memastikan warga emas masih menjana pendapatan dan menyimpan. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekangan dengan saranan ini. \nRakyat Malaysia kini hidup lebih lama, namun tidak semestinya dalam keadaan sihat\n. Justeru, tidak semua orang mampu bekerja pada usia emas mereka.\n\n\nKita perlu menutup jurang-jurang dalam sistem persaraan kita, tetapi langkah yang diambil memerlukan suatu anjakan paradigma melangkaui perubahan kecil.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenabung secara kolektif untuk persaraan melalui Pencen Insurans Sosial\n\n\nPencen insurans sosial (\nsocial insurance pension\n, SIP) adalah suatu model mampan yang wajar dipertimbangkan ke arah mencapai matlamat pendapatan asas sejagat bagi warga emas. Dalam model ini, setiap orang menyumbang sejumlah kecil secara konsisten kepada dana ini sejak awal dan sepanjang mereka bekerja. Bagi mereka yang tidak mampu mencarum seperti pengasuh tidak bergaji, penganggur atau golongan berpendapatan sangat rendah, kerajaan harus membantu mencarum bagi memastikan kesinambungan caruman.\n\n\nKaedah ini memberi masa untuk dana kolektif ini berkembang. Setelah umur persaraan dicapai, pencarum boleh meraih manfaat dan menerima pencen asas bulanan seumur hidup. Pendapatan ini boleh digunakan untuk menampung keperluan asas, manakala duit simpanan sendiri boleh digunakan untuk hidup lebih selesa.\n\n\nAda juga yang mengesyorkan model lain yang tidak memerlukan caruman iaitu pencen sosial, di mana pencen dibiayai cukai. Model ini sebenarnya sudah dilaksanakan di Malaysia tetapi pada skala yang kecil dalam bentuk BWE untuk golongan miskin. Jadi, langkah seterusnya adalah untuk membesarkan skim BWE menjadi skim pencen sosial sejagat. Walau bagaimanapun, cadangan ini akan menelan kos yang besar.\n\n\nMalaysia masih berpeluang untuk membuat persiapan lanjut dalam menghadapi penuaan penduduk. Jika kita bermula awal dalam membina dana kolektif dengan penyertaan kohort umur bekerja baharu, kita mampu \u00a0menjamin pendapatan asas (\nguaranteed basic \nincome) apabila mereka mencapai umur persaraan dalam tempoh 30 \u2013 35 tahun akan datang.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalau apa pun pilihannya, perbincangan dan tindakan perlu bermula sekarang. SIP adalah antara langkah yang boleh diambil untuk membangunkan sistem pencen yang mampan dan saksama di Malaysia dan memberi jaminan pendapatan pada hari tua. Walaupun SIP hanya boleh membuahkan hasil pada masa hadapan, benih perubahan mesti disemai sekarang.\n\n\nPuteri Marjan Megat Muzafar dan Jarud Romadan Khalidi adalah penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute, KRI). Pandangan adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan kedudukan rasmi KRI.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/makcik-kiah-dan-ekonomi-madani/", "title": "Makcik Kiah dan Ekonomi MADANI", "body": "\n\nShare it\nOleh Muhammed Abdul Khalid dan Zouhair Rosli\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeberapa minggu lepas, Kementerian Ekonomi telah mengeluarkan laporan berkaitan pendapatan, perbelanjaan, kemiskinan dan ketidaksamarataan dalam kalangan isi rumah rakyat Malaysia, iaitu Laporan Survei Pendapatan/Perbelanjaan Isi Rumah 2022, Laporan Kemiskinan di Malaysia 2022 dan Laporan Ketidaksamarataan Pendapatan Malaysia 2022 .\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nApabila kita mengkaji data-data yang telah diterbitkan, tepatlah kata pepatah \u2013 \nyang miskin masih miskin, yang kaya bertambah kaya\n. Ini tidak memeranjatkan, kerana apabila pandemik melanda, bantuan yang diberikan amat kecil sekali. Malah, secara relatifnya bantuan tersebut adalah lebih rendah dari negara yang lebih miskin dari Malaysia. Maka, sebab itu berulang kali kita telah mengingatkan bahawa Menteri Kewangan pada ketika itu amatlah kedekut dan tidak bertanggungjawab kerana bantuan yang amat kecil diberikan kepada golongan miskin dan rentan. Kesannya jelas dan mengecewakan, apabila laporan terkini menunjukkan jumlah yang miskin makin bertambah berbanding pra-pandemik pada tahun 2019. Manakala, jurang antara kaya dan miskin makin melebar.\n\n\nWalaupun kita dicanangkan bahawa ekonomi telah pulih dan berkembang sejak pandemik bermula, pertumbuhan ini lebih memanfaatkan si kaya, bukannya si miskin, mahupun golongan pertengahan. \u00a0\n\n\nKadar Kemiskininan Tahun Lalu Lebih Tinggi Berbanding Pra-Pandemik\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertama, kadar kemiskinan masih tinggi. Malah, makin ramai yang jatuh miskin ketika ini berbanding sebelum pandemik. Kadar kemiskinan tahun lepas adalah pada tahap 6.2%, iaitu lebih tinggi daripada paras pra-pandemik pada tahun 2019 iaitu 5.6%. Ini hanya bukan sekadar angka, akan tetapi angka-angka ini memberi maksud bahawa bilangan isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan telah meningkat sebanyak 20% kepada 490,000 isi rumah pada tahun 2022. Nah, pulihkah ekonomi Makcik Kiah dan yang seangkatan dengan beliau? Jelas tidak.\n\n\nBukan itu sahaja, kadar kemiskinan turut meningkat di hampir semua negeri, kecuali di Putrajaya dan Labuan. Sabah, Kelantan dan Sarawak kekal sebagai tiga negeri yang mempunyai insiden kemiskinan tertinggi. Statistik ini tidak berubah sejak 2019. Negeri yang kaya dengan sumber asli juga tidak terlepas dari turut terkesan, apabila peningkatan kemiskinan yang tertinggi direkodkan di negeri Pahang.\n\n\nPertumbuhan Ekonomi Tahun Lalu Dipacu Sebahagian Besar Dari Rakyat Sendiri\n\n\nKedua, walaupun ada yang mendabik dada dan berbangga apabila ekonomi negara merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.7% pada tahun 2022, mereka ini sebenarnya buta hati dan pekak telinga terhadap realiti sebenar. Pertumbuhan ini sebenarnya dipacu dari\u00a0 rakyat sendiri, apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang simpanan persaraan KWSP disebabkan Kerajaan kedekut tidak mahu membantu. Yang paling terkesan dari dasar tidak bertanggungjawab ini adalah kaum Bumiputera, di mana simpanan mereka jatuh 70%, berbanding hanya satu peratus untuk kaum Cina.\n\n\nPertumbuhan ekonomi yang baik haruslah bersifat inklusif dan memanfaatkan semua, terutamanya mereka yang di bawah. Akan tetapi perkara ini tidak berlaku, apabila jurang pendapatan ketika ini adalah lebih teruk berbanding semasa tahun 2014. Apabila kita diberitahu dengan megahnya ada kemasukan pelaburan berbilion-bilion, projek sana sini yang dibawa dari negara China atau dari Pak Arab, siapakah yang beroleh laba? Tentunya, yang makin untung adalah si kaya, bukannya anak muda yang menjadi pemandu Grab, ataupun graduan yang masih terkial-kial mencari kerja. Apalah ertinya jika kita bersorak gembira dengan singkatan yang hebat seperti KDNK, FDI dan istilah jargon yang begitu canggih, namun yang kaya semakin kaya, manakala si miskin semakin terperuk? Inilah yang sebenarnya berlaku di negara kita ketika ini, iaitu jurang makin melebar.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika kita lihat dari sudut yang lain, agihan kekayaan negara lebih memihak kepada si kaya. Setiap RM1 yang dijana dari perkembangan ekonomi, peratusan yang diperolehi oleh golongan B40 hanyalah 16 sen pada tahun 2022, lebih teruk berbanding tahun 2014 (16.8 sen) dan tahun 2016 (16.4 sen). Sudah lah ciput, semakin mengecil pula. Adilkah sebegini?\n\n\nJurang Antara Kaum Semakin Buruk\n\n\nKetiga, jurang antara kaum juga makin bertambah buruk. Pada tahun 2022, jurang pendapatan antara Cina dan Bumiputera adalah sebanyak RM2,400 sebulan berbanding sekitar RM2,000 sebulan pada tahun 2019. Dalam erti kata lain, jurang naik sebanyak 20%! Nisbah jurang pendapatan di antara kaum Cina dan Bumiputera juga bertambah buruk dalam tempoh sama. Keadaan jurang pendapatan ini adalah sama dengan keadaan 10 tahun yang lalu pada tahun 2012. Ini bermaksud segala inisiatif, perbelanjaan berbilion-bilion, pelan serta hala tuju ekonomi, dan sebagainya untuk kaum Bumiputera dalam tempoh satu dekad yang lalu ternyata tidak berjaya untuk merapatkan jurang dengan kaum Cina. Ke manakah duit berbilion-bilion yang dibelanjakan atas nama Melayu atau Bumiputera, tetapi hakikatnya data Kerajaan menunjukan kaum Melayu makin ke belakang berbanding kaum lain?\n\n\nSubsidi dan Bantuan Kerajaan yang Tidak Efektif\n\n\nKeempat, subsidi dan bantuan Kerajaan bukan hanya tidak efektif untuk membantu rakyat yang susah menangani krisis pandemik, sebaliknya oleh kerana Kerajaan kedekut, dasar Kerajaan sebenarnya telah melebarkan jurang. Selepas mengambil kira pindahan bantuan termasuklah yang diberikan Kerajaan, subsidi, bayaran zakat dan cukai, jurang pendapatan adalah lebih teruk. Dasar dan polisi Kerajaan sebenarnya telah melebarkan jurang, sekali gus membuatkan si kaya bertambah kaya. \u00a0Ini tidak pelik memandangkan dasar cukai di negara ini lebih mesra si kaya. Contoh mudah adalah cukai kereta. Kenapa apabila Makcik Kiah membeli kereta Myvi berjumlah RM40,000, beliau harus membayar cukai jualan dan cukai jalan, akan tetapi si kaya yang membeli PorscheEV atau Mercedes EV berjumlah RM400,000 tidak dikenakan cukai langsung? Tidak hairanlah jurang makin melebar.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertumbuhan pendapatan isi rumah yang perlahan serta kadar kemiskinan dan jurang pendapatan yang tinggi menyukarkan kerajaan untuk mencapai beberapa sasaran yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Justeru, sasaran yang terdapat di dalam RMK12 harus disemak semula di dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.\n\n\nDasar Jangka Panjang Haruslah Lebih Radikal\n\n\nDasar jangka panjang haruslah lebih radikal, dan tidak hanya sekadar pengumuman yang dibuat secara tergesa-gesa. Ekonomi MADANI yang diumumkan baru-baru ini tidak ubah seperti Model Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan pada dekad yang lalu oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini merengkok di dalam penjara kerana mencuri. Sasaran yang dirangka tidak disertakan dengan strategi yang terperinci, dan tidak mesra si miskin dan golongan terpinggir.\n\n\nEkonomi MADANI haruslah berpaksikan polisi yang mesra Mak Cik Kiah, bukan hanya Tan Sri, Datuk Seri atau golongan elit sahaja. Tiada guna Malaysia menjadi negara ekonomi 30 terbesar di dunia jika Makcik Kiah kekal miskin dan terpinggir dan graduan kita merempat. Jika masalah ini tidak diatasi, Ekonomi MADANI akan mengulangi kegagalan Model Ekonomi Baru, di mana ianya hanya sekadar sebuah laporan lapuk yang tidak memberi impak kepada rakyat.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/malaysia-perlu-model-baru-untuk-atasi-kemiskinan-dr-madeline-berma/", "title": "\u201d Malaysia Perlu Model Baru Untuk Atasi Kemiskinan \u201d \u2013 Dr Madeline Berma", "body": "\n\nShare it\nDr Madeline Berma Ulas Sikap Pengkaji Kemiskinan\n\n\nPensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Madeline Berma berpendapat bahawa Malaysia memerlukan model baru dalam mengatasi isu kemiskinan. Menurut beliau, kaedah lama dalam menyelesaikan masalah ini iaitu dengan meningkatkan pendapatan semata-mata tidak lagi relevan ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBeliau yang merupakan salah seorang Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia berkata model membasmi kemiskinan yang bersifat inklusif diperlukan sekarang. Menurutnya, ada lima aset individu yang perlu dibangunkan bagi membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLima perkara tersebut adalah modal kewangan, modal insan, modal fizikal, modal persekitaran dan juga modal sosial.\n\n\nMenurut beliau, modal kewangan perlu dibangunkan bagi membantu individu terbabit untuk memastikan individu terbabit membina ekonomi mereka. Dr Madeline berkata bantuan tunai sewajarnya diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan sebagai golongan tua dan golongan kurang upaya.\n\n\nWalaubagaimanapun, beliau berkata tidak ada masalah bagi menyalurkan bantuan tunai ketika ini kerana pandemik Covid-19 yang menimpa.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSelain itu, Dr. Madeline juga berkata modal insan iaitu pendidikan, kesihatan dan juga kemahiran juga perlu diberikan perhatian kerana saling berkait rapat.\n\n\n\n\n\u201d Jadi jangan hanya bagi pendidikan, Macam sekarang, ramai yang dapat pendidikan tetapi kemahiran tak ada. Maka kerja tak dapat juga. Kalau bangunkan pendidikan dia, tetapi dia sakit pun tak boleh juga \u201c\n\n\n\n\nModal fizikal seperti rumah, motosikal dan kereta juga penting untuk dibangunkan bagi memastikan kumpulan rentan ini keluar dari kepompong kemiskinan.\n\n\n\n\n\u201d Modal fizikal ini termasuk rumah dia. Benda yang boleh menghasilkan pendapatan. Dia perlu ada motosikal kalau dia nak berniaga. Kalau nak jadi pemandu Grab, kena ada kereta ataupun motosikal \u201c\n\n\n\n\nBeliau berkata jika perkara ini tidak ditangani, amat sukar untuk golongan ini menjana pendapatan kerana kelengkapan yang tidak cukup.\n\n\nSelain itu, modal persekitaran ( e\nnvironmental capital\n ) dan modal sosial juga mustahak dalam mewujudkan masyarakat yang terangkum. Beliau berkata keadaan sekeliling perlu kondusif bagi memastikan pergerakan mereka tidak terhalang sekaligus memudahkan mereka mencari kehidupan.\n\n\nAlam sekitar seperti hutan dan sungai perlu dijaga dan tidak dicemari kerana bagi sekumpulan manusia yang lain, lokasi tersebut merupakan sumber mereka mencari makanan. Manakala modal sosial diperlukan bagi memastikan masyarakat bekerjasama menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDr Madeline ketika ditemubual oleh Ekonomi Rakyat juga mengulas mengenai isu yang dihadapi oleh pengkaji kemiskinan. Menurut beliau, pengkaji-pengkaji kemiskinan yang mempunyai pendidikan tinggi seharusnya mengakui bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai hakikat sebenar yang dihadapi oleh orang miskin.\n\n\n\n\n\u201d Maaf, dunia sebenar di luar sana. Universiti sebenar di luar sana. Apa yang anda belajar di universiti hanya empat tahun sahaja. Orang itu dah miskin berpuluh-puluh tahun. Dan anda nak datang satu malam, bawa borang soal selidik. Lepas itu cuba selesaikan masalah orang kampung. \u201c\n\n\n\n\nBeliau juga berseloroh mengenai ironi pengkaji kemiskinan yang gemar membincangkan soal kemiskinan di hotel-hotel lima bintang.\n\n\nDr Madeline turut berkongsikan kisahnya ketika terpaksa memasuki kawasan pedalaman bagi menyiapkan laporan keberkesanan projek terhadap keluarga miskin. Menurut beliau, orang miskin di lokasi tersebut diberikan ayam bagi menghasilkan telur untuk dibuat makanan.\n\n\nNamun ketika kehadiran para pengkaji beberapa bulan selepas projek berjalan, keluarga terbabit menjamu pengkaji yang hadir dengan ayam yang mereka berikan beberapa bulan dahulu. Dr Madeline agak kesal dengan insiden tersebut dan beliau menyatakan bahawa merekalah yang sepatutnya membawa makanan dan buah tangan ketika bertemu dengan keluarga terbabit.\n\n\nArtikel terdahulu : \nKadar Kemiskinan Naik Kepada 8.4% Pada 2020, Ketidaksamaan Semakin Melebar\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/malaysia-tidak-berada-di-dalam-krisis-ekonomi-gabenor-bank-negara/", "title": "Malaysia Tidak Berada Di Dalam Krisis Ekonomi \u2013 Gabenor Bank Negara", "body": "\n\nShare it\nKDNK Malaysia tertinggi di ASEAN untuk suku ketiga 2022\n\n\nEkonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan apabila merekodkan pertumbuhan 14.2% untuk suku ketiga tahun 2022, menjadikannya peningkatan berturut-turut sejak kejatuhan mendadak pada suku yang sama tahun lepas (Q3-2021: -4.5%). Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku ketiga 2022 adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara ASEAN termasuk Singapura (4.4%), Indonesia (5.7%) dan Filipina (7.6%).\n\n\n\n\n\n\n\n\nPertumbuhan positif ini didorong sebahagian besarnya oleh permintaan domestik dan luar yang tinggi, pemulihan pasaran buruh negara serta dua sektor utama negara, sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang terus merekodkan pengeluaran yang memberangsangkan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSektor perkhidmatan naik 16.7% untuk suku ketiga 2022 berbanding hanya 12% pada suku sebelumnya. Pemerhatian secara lebih mendalam mendapati kesemua subsektor di bawah sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang positif, terutamanya subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat sebanyak dua digit pada suku ini.\n\n\nBagi sektor pembuatan pula meningkat kepada 13.2% jika dibandingkan dengan 9.2% untuk suku kedua 2022. Peningkatan ini disumbangkan oleh pengeluaran mantap yang dicatatkan oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (17.3%) serta alat kelengkapan pengangkutan (36.9%).\n\n\nSektor-sektor lain seperti sektor pertanian (1.2%), perlombongan (9.2%) dan pembinaan (15.2%) juga bertambah baik apabila kesemuanya merekodkan pertumbuhan positif untuk suku ini. Perbandingan antara sektor mendapati sektor pembinaan menunjukkan pemulihan yang paling besar apabila mencatatkan peningkatan pertumbuhan daripada hanya 2.4% pada suku kedua 2022 kepada 15.3% suku ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKesemua sektor merekodkan pertumbuhan ekonomi positif bagi suku ketiga 2022\n\n\nDaya saing Malaysia di pentas antarabangsa juga bertambah baik apabila pelaburan langsung asing (FDI) masuk sebanyak RM54.0 billion bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM29.7 billion untuk tempoh yang sama tahun lepas. Bahkan, kemasukan FDI untuk 2022 adalah lebih tinggi berbanding sebelum era pandemik.\n\n\nJika sebelum ini, rakyat Malaysia terpaksa terperap dalam rumah masing-masing akibat pelaksanaan PKP, penjarakan sosial dan pelbagai peraturan untuk mencegah penularan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan mereka menjadi semakin kurang berbelanja.\n\n\nNamun begitu, peralihan negara ke fasa endemik serta pemulihan pasaran buruh memberi peluang untuk rakyat Malaysia berbelanja lebih. Perkara ini dapat dilihat apabila perbelanjaan pengunaan akhir swasta terus kukuh pada 15.1% untuk suku ketiga 2022.\n\n\nPerbelanjaan swasta terus kukuh pada 15.1%\n\n\nSecara amnya, pasaran buruh negara menuju ke arah yang lebih baik menerusi penurunan kadar pengangguran sebanyak 0.2% kepada 3.7% suku ini, berbanding 3.9% suku lepas. Jumlah penganggur juga menurun sebanyak 4.7%, daripada 642 ribu penganggur pada suku kedua 2022 kepada 612 ribu penganggur suku ini. Kadar penyertaan buruh juga meningkat kepada 69.4%, lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, 69.1% pada suku keempat 2019.\n\n\nPasaran kewangan dan perbankan juga dilihat terus kukuh apabila terus mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM12.3 billion untuk suku ketiga 2022.\u00a0 Perbandingan tahun ke tahun mendapati keuntungan sebelum cukai naik 58% bagi sektor perbankan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPun begitu, walaupun Malaysia terus-menerus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, ada harga yang perlu dibayar di sebalik pertumbuhan ekonomi ini. Tekanan inflasi yang terus mencengkam rakyat Malaysia merupakan sebuah topik yang paling hangat diperkatakan semenjak beberapa bulan ini.\u00a0 Kadar inflasi telah meningkat secara konsisten sepanjang tahun 2022, mencatatkan paras tertinggi sebanyak 4.7% pada bulan Ogos 2022.\n\n\nInflasi naik 4.5% pada suku ketiga 2022\n\n\nApa yang lebih merisaukan ialah inflasi makanan yang menjejaskan keupayaan orang awam, terutamanya golongan rentan dan miskin, untuk membeli makanan yang mencukupi untuk keperluan seharian. BNM berpendapat dasar monetari yang ketat di negara-negara seluruh dunia mampu meredakan masalah inflasi.\n\n\nKenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada tekanan permintaan dan kos di peringkat global akibat harga komoditi yang semakin menaik. Inflasi yang tinggi berisiko memusnahkan kuasa membeli orang awam, serta menjatuhkan nilai matawang ringgit yang sudah pun berada pada tahap lemah berbanding USD sejak kebelakangan ini.\n\n\nMeskipun nilai ringgit jatuh berbanding USD, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan perkara itu tidak menggambarkan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah krisis ekonomi yang teruk.\n\n\nBeliau berkata nilai ringgit jatuh kerana USD sedang berada dalam keadaan yang kukuh dan sekiranya ekonomi Malaysia sedang mengalami krisis, sudah pasti KDNK negara akan menguncup, kadar pengangguran akan meningkat, penutupan besar-besaran perniagaan serta pasaran kewangan akan menjadi lemah. Namun, kesemua petunjuk bersifat negatif itu tidak wujud di Malaysia buat masa ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam masa yang sama, Gabenor BNM juga yakin Malaysia tidak akan mengalami kemelesatan ekonomi tahun hadapan. BNM menjangkakan pertumbuhan ekonomi antara 4% hingga 5% untuk tahun 2023, walaupun Malaysia dijangka akan tetap berdepan dengan beberapa cabaran besar seperti inflasi yang tinggi, gangguan bekalan global serta ketengangan geopolitik Russia-Ukraine.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/mampukah-bank-laksanakan-moratorium-untuk-kali-kedua/", "title": "Mampukah Bank Laksanakan Moratorium Untuk Kali Kedua?", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nDesakan agar moratorium pinjaman bank dilaksanakan semakin kedengaran susulan langkah kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan buat kali ketiga. Peningkatan jangkitan baru Covid-19 melebihi 6,000 kes juga telah menyebabkan sebilangan rakyat menuntut agar PKP yang ketat untuk dilaksanakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan kelihatan mempunyai nada berbeza dalam menangani penularan ini. Nada Ketua Pengarah Kesihatan, DG Hisham seakan-akan berharap agar PKP penuh dapat dijalankan bagi meringankan beban sistem kesihatan negara.\n\n\nNamun bagi Tengku Zafrul, beliau menyatakan PKP penuh seperti yang dilakukan pada tahun lalu bakal mengakibatkan kesan ekonomi yang amat besar kepada negara. Beliau menganggarkan PKP penuh bakal mengakibatkan ekonomi negara kehilangan RM2.4 bilion sehari disamping akan meningkatkan kadar pengangguran negara.\n\n\nKedua-duanya mempunyai objektif masing-masing. Di satu pihak, mereka ingin menyelamatkan nyawa. Manakala di satu pihak yang lagi, mereka ingin menyelamatkan ekonomi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nRakyat mula menuntut agar kerajaan untuk memberikan bantuan yang setimpal andai PKP penuh kembali dilaksanakan. Selain tuntutan bantuan tunai, moratorium terhadap ansuran pinjaman juga antara desakan yang kian kedengaran saban hari.\n\n\nPersoalannya, mampukah bank-bank di Malaysia melaksanakan moratorium untuk kali kedua?\n\n\nPada tahun lalu, Bank Negara Malaysia telah mengarahkan bank untuk melaksanakan moratorium secara menyeluruh selama enam bulan bermula Mac hingga September. Langkah ini meringankan tekanan kewangan keseluruhan pihak dalam mengharungi PKP.\n\n\n\n\nMeskipun bank melaksanakan moratorium menyeluruh tahun lalu, laporan tahunan bank yang dikeluarkan menunjukkan bank tidak mengalami kerugian sepanjang tahun lalu. Prestasi kebanyakkan bank di Malaysia terkesan pada kadar yang begitu minimum.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKeuntungan bank sebelum cukai hanya jatuh dari RM41.5 bilion pada tahun 2019 kepada RM31.2 bilion pada tahun lalu.\n\n\nPrestasi terkini bank-bank di seluruh Malaysia juga memberangsangkan. Keuntungan sebelum cukai pada suku pertama tahun ini telah meningkat kepada RM7.2 bilion berbanding RM6.3 bilion pada suku sebelumnya.\n\n\nDalam kata lain, bank-bank ini mampu untuk melaksanakan moratorium menyeluruh kepada peminjam-peminjam tanpa memberi kesan yang besar buat operasi mereka.\n\n\nPenangguhan secara menyeluruh mungkin turut dimanfaatkan golongan yang tidak terkesan dengan pandemik ini sekaligus menjadi hujah penolakan langkah ini. Sebagai contoh, pegawai-pegawai kerajaan di Malaysia yang mendapat gaji penuh tidak mempunyai kesukaran bagi membuat ansuran bulanan.\n\n\nManakala bagi golongan yang paling susah pula, moratorium pinjaman mungkin tidak memberi apa-apa makna kerana sebilangan besar daripada mereka tidak mempunyai hutang kerana tidak layak untuk memohon pinjaman dari awal lagi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nOleh itu, kerajaan perlu memikirkan mekanisme bagi meringankan tekanan kewangan buat golongan yang memerlukan. Moratorium pinjaman kereta misalnya boleh dibuat secara menyeluruh bagi ansuran bulanan yang kurang dari RM1,000 bagi memastikan moratorium lebih tersasar.\n\n\nBagi orang ramai, melalui prosedur untuk memohon penangguhan dengan bank-bank yang menawarkan pembiayaan buat mereka merupakan satu proses yang melecehkan dan memakan masa. Perkara ini merugikan masa mereka yang boleh digunakan untuk kerja-kerja produktif yang lain.\n\n\nKerajaan perlu berusaha mencari jalan yang terbaik dalam membantu rakyat mengharungi detik sukar yang berpanjangan ini. Teori-teori ekonomi konvensional yang lapuk mungkin boleh diketepikan tatkala kita berhadapan dengan krisis seperti ini.\n\n\nBak kata pepatah \u201d \nunprecedented times required unprecedented measures\n \u201c\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/mampukah-pemulih-pulihkan-ekonomi-malaysia/", "title": "Mampukah PEMULIH Pulihkan Ekonomi Malaysia?", "body": "\n\nShare it\nSebahagian Besar Pakej PEMULIH Dibiayai oleh Rakyat Malaysia Melalui Skim i-Citra\n\n\nPentadbiran Muhyiddin Yassin sekali lagi telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi PEMULIH setelah negara kembali dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk kali yang ketiga susulan peningkatan jangkitan Covid-19 sehingga 9,000 kes di seluruh negara.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun sudah lebih sebulan PKP penuh dijalankan, namun masih tiada sebarang perkembangan positif hasil pelaksanaan PKP ini. Orang ramai terus mempertikaikan kewajaran kilang-kilang besar yang menjadi lubuk kes-kes baru dibenarkan beroperasi sedangkan peniaga-peniaga kecil tidak dibenarkan menjalankan perniagaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi Menteri Kewangan dan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, sektor-sektor elektronik dan elektrik dibenarkan beroperasi kerana industri ini juga terlibat di dalam rantaian yang mengeluarkan barangan-barangan keperluan seperti ventilator dan sebagainya.\n\n\nHakikatnya, justifikasi yang lebih masuk akal untuk membenarkan kilang-kilang ini beroperasi adalah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal positif pada tahun meskipun peniaga-peniaga kecil dan rakyat terpaksa dikorbankan demi memenuhi keperluan kapitalis-kapitalis di Malaysia.\n\n\nSektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar kepada eksport Malaysia. Pada Mei 2021, eksport sektor pembuatan telah meningkat 45% kepada RM78 bilion. Aktiviti rancak eksport negara ini didorong oleh pemulihan ekonomi yang kuat di Amerika Syarikat, Eropah dan China.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun demikian, bagi rakyat marhaen. Sinar di penghujung terowong masih belum kelihatan. Bahkan bantuan i-Sinar pun sudah masuk ke penghujungnya dan bakal digantikan dengan skim i-Citra.\n\n\nPakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri beberapa hari lalu sudah semestinya meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh rakyat. Persoalan yang lebih penting, adakah PEMULIH mampu memulihkan ekonomi Malaysia? Dan adakah pakej PEMULIH mencukupi buat golongan rentan ini?\n\n\nKerajaan Hanya Membelanjakan RM0.07 Bagi Setiap RM1.00 Yang Diumumkan di Dalam Pakej PEMULIH\n\n\nWalaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion. Hakikatnya, sebahagian besar sumber kewangan pakej ini tidaklah datang daripada kantung kerajaan. Skim i-Citra yang ditawarkan oleh KWSP kepada ahlinya melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM30 bilion, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM10 bilion.\n\n\nSebahagian besar lagi pakej rangsangan ini datangnya daripada anggaran moratorium ansuran pinjaman bank oleh rakyat. Yang sebenarnya tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan kerana ansuran tetap perlu dibayar kelak.\n\n\nSejak Februari tahun lalu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion yang bersamaan dengan 37% saiz ekonomi negara. Jika angka gergasi ini merupakan sebuah bantuan tunai, ini bermaksud setiap isi rumah di Malaysia bakal menerima RM72,600.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTetapi di sebalik angka-angka besar ini, kerajaan sebenarnya hanya mengeluarkan RM83 bilion untuk dibelanjakan kepada rakyat.\n\n\nDalam kata lain, bagi setiap RM100 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, hanya RM16 yang benar-benar keluar dari poket kerajaan. Baki selebihnya melibatkan pengangguhan pembayaran ansuran bank dan pengeluaran wang daripada simpanan KWSP.\n\n\nJumlah Pengeluaran Simpanan KWSP Lebih Besar Daripada Suntikan Fiskal Kerajaan\n\n\nRakyat Bantu Rakyat\n\n\nApa yang lebih mengejutkan, data yang dikeluarkan oleh KWSP menunjukkan bahawa rakyat merupakan pemberi bantuan utama dalam menghadapi krisis ini. Pengeluaran simpanan persaraan daripada KWSP melalui skim i-Lestari dan i-Sinar misalnya melibatkan transaksi sebanyak RM80 bilion.\n\n\nJika dicampur dengan pengeluaran yang bakal dilaksanakan melalui skim i-Citra, rakyat akan mengeluarkan RM110 bilion wang persaraan mereka bagi melalui hari-hari yang sukar ini. Jumlah RM110 bilion pengeluaran wang KWSP ini jauh lebih besar daripada bantuan fiskal kerajaan yang hanya bernilai RM83 bilion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBantuan Tunai Membantu, Namun Tidak Selesaikan Masalah\n\n\nTiga bantuan utama yang melibatkan implikasi kewangan daripada pihak kerajaan adalah Bantuan Khas Covid-19, Program Subsidi Upah 4.0 dan juga Geran Khas Prihatin 4.0. Ketiga-tiga bantuan ini meliputi hampir keseluruhan suntikan fiskal kerajaan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.4 bilion.\n\n\nLangkah ini memanfaatkan pelbagai pihak. Bantuan Khas Covid-19 umpamanya memberikan sedikit bantuan pendapatan kepada isirumah yang terkesan meskipun pembayaran akan dibuat pada Ogos dan Disember.\n\n\nProgram Subsidi Upah pula memberi ruang kepada majikan untuk terus mengekalkan pekerja mereka meskipun bilangan penerima subsidi upah berkurang daripada 2.7 juta orang kepada 2.5 juta orang.\n\n\nManakala Geran Khas Prihatin pula memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri seperti Mak Cik Kiah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nWalaupun demikian, bantuan-bantuan ini hanya bersifat sementara. Ia umpama membalut luka yang ada di kaki sambil menelan paracetamol. Masalah utama, jangkitan yang ada pada luka tersebut masih tidak dirawat. Antibiotik tidak diberikan.\n\n\nBagi Setiap RM1.00 Yang Diumumkan di Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi, Kerajaan Hanya Membelanjakan RM0.16\n\n\nIsu utama yang dihadapi ketika ini adalah jangkitan kes Covid-19 yang terus menular di negara kita. Perkara ini masih tidak akan dapat diatasi dengan pengenalan pakej PEMULIH. Pelan Pemulihan Negara pula lebih memfokuskan tentang apa yang hendak dicapai berbanding bagaimana hendak dicapai.\n\n\nSetelah lebih sebulan kita melaksanakan PKP3.0 ( kini dipanggil Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 ), tiada sebarang langkah drastik yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu penularan jangkitan ini. Sektor tempat kerja yang menjadi lokasi utama punca jangkitan masih dibenarkan beroperasi. Manakala jumlah saringan pula menurun dari 100,000 saringan kepada lebih kurang 70,000 saringan sehari.\n\n\nProses vaksinasi dilihat sebagai satu-satunya laluan untuk Malaysia keluar dari kemelut ini. Tetapi, dunia berubah dengan pantas. Kini, kita diberi amaran pula mengenai penularan varian Delta yang dikatakan lebih ganas berbanding varian-varian yang lain.\n\n\nMenunggu impak vaksinasi memberi kesan terhadap jumlah jangkitan mungkin memakan masa yang lama sekaligus memberikan kos yang tinggi buat kegiatan ekonomi di Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTiada Jalan Keluar\n\n\nMelihat keadaan semasa, hampir mustahil untuk melihat sebarang keberkesanan daripada polisi kerajaan. Jangkaan dan unjuran yang tertulis di dalam Pelan Pemulihan Negara sudahpun tersasar dari awal lagi. Jangkitan baru terus melebihi 4,000 kes sehari, manakala penggunaan katil ICU berada di paras kritikal melebihi 900 orang setiap hari.\n\n\nProses vaksinasi pula mungkin perlu mengambil tempoh beberapa hari lagi untuk memenuhi sasaran 10% populasi yang telah divaksinkan secara penuh.\n\n\nKegusaran ini juga boleh dilihat di negara jiran kita, Singapura dimana mereka telah merangka pelan pemulihan untuk hidup bersama dengan virus ini. Syarikat farmaseutikal, Pfizer dan Moderna juga telah mengubah model perniagaan dengan menjangkakan krisis ini akan menjadi endemik ( berlarutan ) tambahan lagi dengan penularan varian delta.\n\n\nRakyat Skeptikal Dengan Situasi Ekonomi Di Malaysia\n\n\nRakyat Malaysia juga terus pesimis dengan situasi semasa. Bancian atas talian yang dibuat Ekonomi Rakyat juga menunjukkan hanya 7.5% daripada responden yang menjangkakan ekonomi akan bertambah baik di dalam tempoh enam bulan akan datang. Manakala sebahagian 62.6% lagi responden berpendapat situasi ekonomi akan bertambah buruk.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIni merupakan petanda buruk buat masa depan ekonomi negara. Ia akan menjadi \nself-fullfiling prophecy\n kerana apabila rakyat merasakan prospek kekal kabur, mereka akan berhati-hati untuk berbelanja sekaligus membawa kepada kelembapan ekonomi yang berpanjangan.\n\n\nPenutupan ribuan perusahaan juga akan memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi nanti. Apabila, Covid-19 kembali reda pada kemudian hari, ia akan mengambil masa yang begitu lama untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi kerana perusahaan terpaksa bermula dari kosong untuk didirikan sebelum mampu menggajikan pekerja pada kadar yang optimum.\n\n\nDi dalam tempoh beberapa hari yang akan datang, tiada apa yang boleh dilakukan oleh rakyat mahupun kerajaan. Meminjam semangat Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh, mungkin perkara yang terbaik yang boleh dilakukan rakyat ketika ini adalah dengan berdoa.\n\n\nIkuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di\u00a0\nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/mampukah-threads-saingi-twitter/", "title": "Mampukah Threads Saingi Twitter?", "body": "\n\nShare it\nBeribu tahun yang lalu, manusia sudah mula berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan pelbagai kaedah. Tinggalan sejarah yang berharga seperti bahasa dan tulisan yang diukir di pelbagai permukaan seperti dinding gua dan tablet batu menjadi bukti wujudnya tamadun di sesebuah tempat. Sejak daripada itu, teknologi komunikasi yang menghubungkan antara manusia berkembang pesat sehingga mencipta sebuah dunia tanpa sempadan yang ada pada hari ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara perkembangan terbesar yang berlaku dalam tempoh beberapa dekad lepas ialah platform media sosial. Jika dahulu medium komunikasi hanya terhad menerusi surat, panggilan telefon atau e-mel semata-mata. Kehadiran media sosial bukan sahaja memberi ruang untuk berkomunikasi dengan keluarga atau rakan-rakan, bahkan menghubungkan hampir segenap pelusuk penduduk di bumi ini.\u00a0\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMedia sosial boleh dikatakan sudah menjadi sebuah perkara yang begitu penting dalam kehidupan seseorang manusia moden, terutamanya dengan penggunaan Internet yang meluas pada ketika ini. Menurut data Smart Insights, terdapat sejumlah 4.8 billion identiti pengguna media sosial dikesan setakat April 2023, mewakili kira-kira 60% daripada populasi penduduk Bumi. Ini bermaksud enam daripada sepuluh manusia di Bumi sekurang-kurangnya memiliki sebuah akaun media sosial.\n\n\nBagi generasi Milennials yang lahir sekitar tahun 1980an hingga hujung 1990an, sudah pasti \u2018familiar\u2019 dengan kisah jatuh bangun beberapa platform media sosial. Sebelum nama-nama besar platform media sosial yang ada pada ketika ini termasuklah Facebook, Instagram, TikTok dan Twitter, wujud beberapa platform media sosial yang cukup popular suatu ketika dahulu seperti Friendster dan MySpace. Namun, masa bersilih ganti menyaksikan ada antara platform media sosial ini yang tenggelam ditelan persaingan yang begitu hebat.\n\n\nBaru-baru ini, syarikat induk pemilik Facebook, Meta melancarkan sebuah aplikasi baharu yang diberi nama Threads. Aplikasi berasaskan teks ini dikatakan mampu menjadi pesaing baharu kepada Twitter kerana beberapa persamaan yang wujud antara kedua aplikasi ini. Malah, ada sebahagian penganalisis media sosial menyifatkan pelancaran aplikasi Threads oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg ini sebagai \u2018tumbukan tepat ke muka\u2019 CEO baharu Twitter, Elon Musk.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKrisis di Twitter, Peluang buat Threads\n\n\nSejak Elon Musk membeli Twitter dengan harga AS$44 billion sekitar Oktober tahun lalu, perjalanan beliau menguruskan aplikasi media sosial tersebut penuh dengan liku-liku, barangkali tidak semudah menguruskan syarikat kenderaan elektrik Tesla. Setakat April 2023, kira-kira 80% atau lebih 6,500 staf Twitter telah dibuang kerja. Elon Musk menerusi temu bual bersama BBC mendedahkan Twitter memiliki kira-kira 8,000 staf ketika beliau mula-mula membeli syarikat itu, berbanding hanya lebih kurang 1,500 staf yang masih ada sekarang.\u00a0\n\n\nTidak cukup dengan isu tenaga kerja, Twitter juga mengalami penurunan nilai yang sangat ketara. Nilai Twitter dilaporkan telah jatuh hampir dua pertiga kepada AS$15 billion setakat Mei 2023, berbanding nilai asal AS$44 billion ketika Elon Musk mula-mula membeli syarikat tersebut. Penguatkuasaan beberapa polisi dan peraturan baharu juga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna Twitter. Misalnya, baru-baru ini Elon Musk meletakkan syarat seseorang pengguna Twitter yang belum disahkan (unverified) hanya boleh membaca 600 hantaran dalam masa satu hari. Manakala, bagi pengguna yang sudah melanggan Twitter Blue, iaitu akaun yang disahkan, mereka dibenarkan untuk membaca 10 kali ganda lebih banyak, 6,000 hantaran dalam masa sehari.\n\n\nGabungan masalah-masalah yang bertimbun di atas kepala Elon Musk ini memberikan peluang yang berharga buat Mark Zuckerberg untuk melancarkan aplikasi pesaing, Threads. Peluang sebegini juga diibaratkan bak \u2018orang mengantuk disorongkan bantal\u2019 buat Mark Zuckerberg dalam usaha beliau mendominasi platform media sosial. Tidak sampai seminggu dilancarkan, aplikasi Threads dilaporkan sudah memiliki kira-kira lebih 100 juta pengguna, menurut statistik laman sesawang Open AI Master. Sebagai perbandingan, aplikasi TikTok mengambil masa sembilan bulan untuk mencecah 100 juta pengguna, manakala dua tahun setengah untuk aplikasi Instagram mencapai angka jumlah pengguna yang sama.\n\n\nBertahun sebelum aplikasi mirip Twitter ini dilancarkan, Mark Zuckerberg sudah pun meluaskan empayar beliau dengan membeli beberapa buah platform media sosial. Antaranya termasuklah Instagram yang dibeli pada harga AS$1 billion pada tahun 2012. Dua tahun berikutnya, Mark Zuckerberg yang pernah menjadi \u2018self-made\u2019 billionaire termuda di usia 23 tahun, turut membeli WhatsApp dengan harga AS$19.6 billion.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAplikasi WhatsApp yang dibeli Mark Zuckerberg pada tahun 2014 terus catat peningkatan jumlah pengguna setiap tahun\n\n\nMeskipun Whatsapp dibeli pada harga 20 kali ganda lebih besar berbanding Instagram, pembelian ini seringkali disebut-sebut sebagai antara pembelian terbaik Mark Zuckerberg. Aplikasi WhatsApp mempunyai trend pertumbuhan pengguna yang cukup memberangsangkan, terutamanya dalam kalangan negara-negara Asia. Lihat sahaja di Malaysia, boleh dikatakan setiap individu yang memiliki telefon pintar sudah tentu memiliki aplikasi WhatsApp. Ketika Mark Zuckerberg mula-mula membeli WhatsApp, penggunanya hanyalah berjumlah 409 juta, berbanding kira-kira 2.4 billion pengguna WhatsApp yang ada pada ketika ini. Ini bermaksud setiap tahun dari 2014 hingga 2022, pengguna WhatsApp bertambah sebanyak 17.5%.\u00a0\u00a0\n\n\nPerkembangan positif Whatsapp bukan sahaja dari sudut jumlah pengguna, bahkan aplikasi ini turut menjana hasil yang signifikan buat Meta. Hasil tahunan yang disumbangkan WhatsApp pada tahun lalu dilaporkan berjumlah AS$906 juta.\n\n\nDiversifikasi Perniagaan, Langkah Berisiko buat Elon Musk?\n\n\nAntara aspek utama yang membezakan antara Elon Musk dan Mark Zuckerberg ialah dari sudut konsistensi elemen perniagaan. Berbanding Elon Musk, perniagaan yang diceburi Mark Zuckerberg lebih tertumpu kepada industri komunikasi, atau secara spesifiknya platform media sosial. Ini menjadikan beliau lebih fokus dalam merancang strategi pengurusan platform-platform media sosial yang dimiliki. Kelebihan dalam strategi perniagaan Mark Zuckerberg ini memberikan beliau peluang untuk mengekalkan dominasi dalam industri media sosial.\n\n\nNamun, lain pula kisahnya buat Elon Musk yang memiliki pelbagai jenis perniagaan dalam sub-sektor industri yang berlainan. Antara produk keluaran syarikat-syarikat yang dimiliki Elon Musk terdiri daripada kenderaan elektrik (Tesla), kapal angkasa (SpaceX), penyembur api dan topi (The Boring Company) serta teknologi implan otak (Neuralink). Kepelbagaian jenis perniagaan yang diceburi Elon Musk ini mungkin baik dari sudut diversifikasi, namun berisiko menjejaskan kelangsungan perniagaan untuk jangka masa panjang.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai contoh, saham Tesla dilaporkan jatuh 28% dalam tempoh dua bulan selepas Elon Musk membeli Twitter. Modal pasaran Tesla turut susut AS$705 juta antara April hingga Disember tahun lalu. Antara punca nilai saham Tesla mengalami penyusutan yang dahsyat ialah kerana para pelabur merasakan Elon Musk terlalu sibuk menguruskan Twitter, berbanding Tesla. Akibatnya, nilai bersih Elon Musk lenyap hampir AS$182 billion, rekod terbesar dalam sejarah, sehingga menyebabkan takhta yang dimiliki beliau sebagai Manusia Terkaya Dunia Forbes 2022 dipintas oleh taikun barangan mewah LVMH, Bernard Arnault pada senarai kemas kini tahun ini.\n\n\nFacebook miliki hampir 3 billion pengguna aktif ketika ini, manakala Twitter hanya 536 juta pengguna aktif\n\n\nPada ketika ini, Threads sudah memiliki lebih 100 juta pengguna, tidak lah begitu jauh berbanding 450 juta pengguna aktif bulanan yang dimiliki Twitter setakat tahun lalu. Antara faktor utama yang membantu Threads untuk berkembang dengan cepat ialah disebabkan rangkaian platform yang dikongsi bersama aplikasi Instagram dan Facebook di bawah Meta, yang masing-masing memiliki kira-kira 1.4 billion dan 3 billion pengguna aktif bulanan. Aplikasi Threads ini turut didorong oleh fenomena \nfear of missing out (FOMO) \ndalam kalangan pengguna yang ingin cuba merasai pengalaman menggunakan aplikasi media sosial baharu ini. Populariti yang dimiliki ikon media sosial Mark Zuckerberg juga sudah tentu akan memudahkan pasukan Meta untuk melaksanakan strategi pemasaran dengan lebih efektif.\u00a0\n\n\nKebelakangan ini, terdapat juga desas-desus kedua-dua billionaire ini akan bersemuka dalam pertarungan \u2018cage fight\u2019. Mungkin tidak cukup berseteru di media sosial, mereka mahu berlawan pula secara fizikal. Walau apa pun yang akan berlaku, persaingan antara Twitter dan Threads ini hanya akan ditentukan oleh masa dan strategi masing-masing. Hal ini kerana meskipun Elon Musk berdepan laluan permulaan yang sukar dalam mengendalikan Twitter, beliau memiliki \u2018track record\u2019 yang baik setiap kali beliau menceburkan diri dalam industri yang berasaskan teknologi. Mungkin Elon Musk memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk beliau benar-benar menyesuaikan strategi serta membawa Twitter mencapai potensi yang lebih tinggi dalam persaingan platform media sosial.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/melayu-malas-apa-pandangan-prof-ungku-aziz/", "title": "Melayu Malas \u2013 Apa Pandangan Prof Ungku Aziz", "body": "\n\nShare it\nPandangan Ungku Aziz Mengenai Melayu Malas\n\n\n\u201d Melayu Malas \u201d satu kata-kata yang penuh kontroversi di Malaysia dan seringkali dilemparkan kepada orang Melayu susulan kemunduran masyarakat ini terutamanya dari sudut penyertaan ekonomi.\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejarah \u201d Melayu Malas \u201d bukanlah baru, ia sudah dibincangkan puluhan tahun lamanya. Akhbar Berita Harian misalnya telah menerbitkan pandangan pelajar-pelajar mengenai dakwaan ini pada tahun 1964 lagi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, topik ini kembali hangat apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masih teguh dengan pandangannya dengan mengatakan Melayu malas apabila beliau melihat keengganan pekerja-pekerja Melayu bekerja di dalam sektor-sektor yang berat seperti buruh kasar.\n\n\nPandangan ini mendapat reaksi negatif hampir daripada keseluruhan orang Melayu di negara ini.\n\n\nPersoalannya, apakah benar Melayu Malas?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nProfesor Diraja Ungku Aziz pada tahun 1987 menyatakan bahawa dakwaan ini telah dimomokkan oleh penjajah bagi melemahkan orang Melayu. Beliau bersependapat dengan pandangan ahli sosiologi terkenal, Prof Syed Hussein Alatas yang menulis karya agungnya bertajuk Mitos Pribumi Malas.\n\n\nUngku Aziz memberi contoh mengenai keadaan masyarakat Melayu di kampung sebagai bukti bahawa orang Melayu tidak malas.\n\n\n\n\n\u201d Pokoknya, siapakah yang sanggup keluar menoreh getah dari waktu subuh lagi. Siapakah yang pernah ke laut bermula jam dua pagi. Siapa pula yang sedia menajak atau meneggala sawah di tengah panas terik? Semua ini dilakukan oleh penduduk Melayu di desa-desa \u201c\n\n\n\n\nBeliau juga tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan orang Melayu boros. Menurut tokoh ekonomi ini, hampir mustahil orang Melayu untuk berbelanja sakan kerana wang yang ingin dibelanjakan itu tidak mencukupi.\n\n\n\n\n\u201d Ini adalah dakyah semata-mata. Kalau pendapatan seseorang itu hanya $300 sebulan, orang itu mungkin tidak ada wang untuk diboroskan. Kebanyakkan penduduk desa berpendapatan $300-$500 sebulan manakala garis kemiskinan diletakkan pada kadar $384 sebulan \u201c\n\n\n\n\nProf Ungku Aziz juga berpendapat bahawa orang Melayu tidak menolak sebarang kemajuan. Katanya, banyak tindakan yang diambil masyarakat Melayu pada ketika itu sejajar dengan perkembangan semasa. Anak-anak divaksinkan manakala pendidikan anak-anak turut diberikan penekanan.\n\n\nBeliau menegaskan bahawa dakwaan orang Melayu enggan berubah adalah sesuatu yang tidak benar.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Orang Melayu tidak mahu ubah sikapnya, tidak mahu tukar fikirannya. Ini adalah bohong paling besar \u201c\n\n\n\n\nBagi Syed Hussein Alatas pula, beliau menerangkan bahawa dakwaan seperti ini ( Melayu Malas ) dilemparkan oleh penjajah kerana keenganan orang Melayu bekerja dibawah mereka ketika era penjajahan. Lantas, penjajah terpaksa mengambil buruh-buruh asing dari India dan China bagi menjalankan kerja-kerja eksploitasi hasil bumi di Tanah Melayu ini.\n\n\nPerbincangan mengenai perkara ini terus berlanjutan sehingga kini. Kata-kata \u2018Melayu Malas\u2019 ataupun tidak kompetitif sering kali dijadikan alasan mudah bagi menerangkan kedudukan ekonomi orang Melayu yang masih terkebelakang berbanding etnik-etnik lain.\n\n\nUngku Aziz Tidak Bersetuju dengan Stigma Orang Melayu Boros\n\n\nKemunduran orang Melayu boleh dikatakan berpunca dari struktur ekonomi yang tidak menyebelahi orang Melayu dari awal lagi. Pembangunan seperti sekolah umpamanya dibuat di bandar-bandar besar ketika era penjajahan sekaligus memberi manfaat kepada etnik Cina.\n\n\nDalam artikel Ekonomi Rakyat terdahulu, kita dapat lihat bagaimana sebilangan tauke-tauke Cina meraih kekayaan luar biasa hasil aktiviti penjualan candu. Di Johor pula, aktiviti penanaman gambir yang menjadi pendapatan utama negeri itu turut dimonopoli oleh etnik Cina.\n\n\nOrang Melayu yang tinggal di kawasan desa hanya kekal aktiviti ekonomi yang bersifat sara diri dan tidak produktif. Disebabkan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang Melayu tidak mendapat pulangan hasil yang lumayan meskipun segala kudrat dikerah, orang Melayu kekal miskin. Dan disebabkan itulah, orang Melayu dilabel malas.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/memperbetulkan-tanggapan-salah-mengenai-hutang-negara/", "title": "Memperbetulkan Tanggapan Salah Mengenai Hutang Negara", "body": "\n\nShare it\nHutang Kerajaan Persekutuan Telah Hampir Sampai ke Siling\n\n\nHutang negara atau dalam bahasa formalnya dipanggil Hutang Kerajaan Persekutuan sering kali mempunyai konotasi negatif buat khalayak awam. Hutang dianggap sebagai sesuatu yang buruk dan kemampuan kerajaan untuk tidak berhutang kerap dipuji dan dianggap sebagai pencapaian yang membanggakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nHakikatnya, hutang yang diambil oleh sesebuah negara berbeza dengan hutang yang diambil oleh isi rumah. Seperti yang kita tahu, ada hutang yang dianggap baik dan ada juga pinjaman yang dianggap sebagai hutang jahat.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nJika seseorang itu mengambil hutang untuk membeli rumah, secara amnya kita melihat langkah tersebut sebagai tindakan yang positif kerana rumah sesuatu aset yang harganya kebiasaannya meningkat, dan ia juga mengelakkan seseorang itu untuk membelanjakan wangnya untuk membayar sewa kediaman.\n\n\nPembelian kereta melalui pinjaman pula ada kalanya dianggap sebagai hutang yang negatif kerana susut nilai yang tinggi. Tetapi, jika tujuan pembeliannya digunakan untuk perkara yang betul, membuat pinjaman kereta bukanlah sesuatu yang benar-benar bermasalah.\n\n\nPeraturan-peraturan berkenaan dengan dasar fiskal negara\n\n\nDi Malaysia dan kebanyakkan negara-negara di dunia, kerajaan mengambil hutang dengan mengeluarkan bon bagi membiayai perbelanjaan pembangunan. Ini bermaksud hutang-hutang yang diambil oleh kerajaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengambilan hutang yang diumumkan setiap tahun ketika pembentangan Belanjawan boleh digunakan untuk membina sekolah, projek infrastruktur ataupun membina hospital.\n\n\nMengikut beberapa akta yang digubal, hutang yang dibuat kerajaan juga tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi. Dalam kata lain, perbelanjaan seperti membayar gaji penjawat awam tidak boleh dibiayai daripada hutang yang dibuat kerajaan.\n\n\nIni bagi memastikan perbelanjaan mengamalkan prinsip pengurusan fiskal yang berhemah.\n\n\nBuat masa sekarang, Malaysia membenarkan hutang negara setinggi 60% daripada saiz ekonomi Malaysia. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz beberapa hari lalu pula menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan had hutang negara kepada 65% bagi memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk berbelanja.\n\n\nSelain itu, kerajaan juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan lebih daripada 15% hasil bagi tujuan pembayaran faedah. Langkah ini juga dibuat bagi memastikan disiplin fiskal terjaga.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMalaysia merekodkan hutang negara melebihi 100% berbanding saiz ekonomi pada tahun 80-an\n\n\nTempoh pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pada tahun 90-an seringkali dijadikan sebagai bukti kecekapan pentadbiran beliau kerana kerajaan untuk beberapa kali telah membentangkan belanjawan lebihan yang bermaksud kerajaan tidak mengambil hutang bagi membiayai segala perbelanjaan kerajaan.\n\n\nHakikatnya, keadaan sedemikian sememangnya perlu diambil kerana kadar pertumbuhan pada ketika itu begitu tinggi iaitu sekitar 7%. Secara tidak langsung, perkembangan saiz ekonomi negara yang begitu rancak memberikan pilihan untuk mendapatkan hasil negara yang tinggi selain tidak perlu berbelanja besar untuk tujuan-tujuan sosial kerana keadaan ekonomi yang sihat.\n\n\nJika pada hari ini kerajaan membuat belanjawan lebihan ( tidak mengambil hutang untuk berbelanja ), ahli-ahli politik sudah pasti mengecam kerana ia bermaksud kerajaan enggan berbelanja lebih kepada rakyat. Bahkan jika belanjawan lebihan diamalkan, ini juga bermaksud bahawa kerajaan mengutip lebih banyak cukai berbanding menyalurkan kembali hasil cukai dan pendapatan kerajaan kepada rakyat.\n\n\nMenurut ahli ekonomi terkemuka, Prof Jomo KS, belanjawan lebihan harus diamalkan apabila ekonomi semakin rancak manakala apabila ekonomi mula lembap, belanjawan defisit perlu diambil bagi melawan kitaran tersebut.\n\n\nAda Juga Hutang Buruk!\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHutang 1MDB, antara yang hutang jahat yang perlu dibayar oleh segenap rakyat Malaysia. Meskipun hutang 1MDB tidak berada di dalam komponen hutang kerajaan persekutuan, namun ia tetap terpaksa dibayar oleh kerajaan setelah entiti berkenaan gagal untuk membayar balik ansuran hutang mereka.\n\n\nPada tahun 2020, kerajaan menjamin hutang 1MDB sebanyak RM32.3 bilion. Dan apa yang lebih mengecewakan, dari April 2017 sehingga September 2020, kerajaan terpaksa membelanjakan RM9.4 bilion bagi memenuhi komitmen hutang 1MDB.\n\n\nKerajaan Malaysia menjamin lebih RM32.3 bilion hutang 1MDB\n\n\nJumlah ini bukanlah sedikit, ia hampir bersamaan dengan satu pusingan Bantuan Prihatin Rakyat yang boleh diagihkan kepada jutaan isi rumah rentan di Malaysia. Namun rakyat Malaysia terpaksa membayar kepada satu pinjaman \u2018peleburan\u2019 yang tidak mendatangkan apa-apa hasil buat negara melainkan hanya merosakkan nama baik negara sahaja.\n\n\nMenteri Kewangan, Tengku Zafrul juga pernah menempelak hutang-hutang \noff-balance sheet\n yang dibuat pentadbiran terdahulu dimana banyak pinjaman yang diambil oleh 1MDB, SRC dan SSER tidak menjana pendapatan dan hasilnya juga tidak diketahui.\n\n\nHutang Harus Digunakan Untuk Tujuan Yang Betul\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHutang yang dibuat kerajaan kelak harus digunakan untuk tujuan yang benar-benar bermanfaat buat rakyat. Ini penting bagi memastikan kerajaan boleh membantu negara keluar dari krisis ekonomi yang telah dua tahun berlarutan.\n\n\nMalaysia pada tahun 80-an ketika krisis komoditi pernah mencatatkan hutang negara melebihi 100% berbanding saiz ekonomi namun ia berjaya dikurangkan apabila ekonomi negara kembali rancak selepas itu.\n\n\nPada saat ini, usaha kerajaan untuk meningkatkan had hutang negara kepada 65% perlu disambut baik oleh semua pihak jika perbelanjaan yang dibuat itu benar-benar ingin memastikan pemulihan ekonomi negara dapat dicapai secepat mungkin.\n\n\nPeningkatan kadar hutang ini sudah semestinya akan menimbulkan persoalan mengenai bagaimanakah kerajaan dapat mengutip hasil bagi membayar balik pinjaman di kemudian hari. Perkara ini perlu dibincang kemudian, yang penting sekarang, memetik semangat Mario Draghi, kita perlu \u201d \ndo whatever it takes\n \u201d untuk keluar dari krisis ini secepat mungkin.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/memperingati-jasa-sumbangan-ungku-aziz/", "title": "Memperingati Jasa & Sumbangan Ungku Aziz", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersatuan Sains Sosial Malaysia telah menganjurkan sebuah majlis secara atas talian bagi memperingati jasa dan sumbangan Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid. Majlis yang diadakan pada 1 Mac lalu menampilkan enam orang sahabat Ungku Aziz sebagai pembicara bagi berkongsikan pandangan mereka terhadap ilmuwan negara itu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nProf Syed Husin Ali merupakan pembicara pertama yang berkongsikan pandangan beliau terhadap sarjana ini. Beliau menyatakan Ungku Aziz sebagai seorang individu yang cuba menggabungkan dua perkara iaitu teori dan amalan.\n\n\nMeskipun lahir dari golongan bangsawan, Ungku Aziz mempunyai kesedaran yang tinggi berkenaan isu kemiskinan kerana melihat ramai orang miskin terdiri dari kalangan orang Melayu. Tercetusnya idea untuk mewujudkan institusi Tabung Haji berpunca apabila beliau melihat kepayahan dan kesusahan dalam kalangan orang Melayu untuk pergi ke Mekah.\n\n\nPerkara ini juga menunjukkan Ungku Aziz bukan semata-mata seorang akademik yang gemar memberikan pendapat dan mengeluarkan teori semata-mata. Beliau sebaliknya turut berusaha untuk melakukan sesuatu untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat kita.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nProf Syed Husin Ali juga berkongsi mengenai pandangan Ungku Aziz mengenai Bahasa Melayu. Menurut beliau, Ungku Aziz seorang individu yang percaya dan yakin bahawa Bahasa Melayu boleh digunakan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu di Nusantara.\n\n\nSebelum mengakhiri bicara beliau, Syed Husin Ali turut menzahirkan kekecewaannya kerana Almarhum Ungku Aziz tidak dimakamkan di Makam Pahlawan.\n\n\nProf Jomo KS kemudiannya berkongsi pandangan beliau mengenai pemikiran Ungku Aziz yang dianggapnya sebagai seorang nasionalis dan anti-imperialis. Menurut Jomo, meskipun Ungku Aziz lahir di London manakala bapanya mendapat pendidikan di Cambridge, namun Ungku Aziz tidak mengikut jejak langkah bapanya. Beliau sebaliknya dididik di Raffles College sebelum melanjutkan pengajian peringkat PhD di Jepun.\n\n\nIndeks Sarong yang diperkenalkan oleh Ungku Aziz juga merupakan sumbangan besar dalam mengukur tahap kemiskinan orang Melayu. Jomo menyatakan bahawa Indeks Sarong sebagai indikator yang mencerminkan kebajikan sebenar seseorang individu kerana bukannya mudah untuk memiliki kain sarong ataupun kain pelikat pada ketika itu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBekas Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Tan Sri Johan Jaafar turut berkongsikan pandangannya mengenai Ungku Aziz dari sudut sastera. Beliau meluahkan kekagumannya terhadap Ungku Aziz yang mengkaji sehingga 16,000 pantun dalam tempoh 20 tahun.\n\n\nMenurut Johan Jaafar, koleksi pantun yang diterbitkan oleh DBP melalui buku berjudul Kurik Kundi Merah Saga hanya mempunyai 5,635 buah pantun manakala buku Khazanah Pantun Melayu Riau pula hanya mempunyai 3,608 buah pantun sahaja. Beliau menyatakan keterujaannya apabila Ungku Aziz berjaya mengkaji sehingga 16,000 pantun\n\n\nUngku Aziz melihat pantun sebagai sesuatu yang luar biasa kerana ia menyerlahkan kebijaksanaan orang Melayu melalui sindiran dan humor. Menurut Johan, pantun menyerlahkan daya akal dan daya cipta yang canggih dalam kalangan masyarakat Melayu meskipun tradisi oral ini hadir dari rakyat.\n\n\n\n\n\u201d Pantun ini adalah kemuncak daripada satu pencapaian luar biasa dalam kalangan orang Melayu. Kita harus ingat, ini tradisi oral. Pantun ini bukan karya Istana. Pantun terhasil daripada golongan petani, daripada golongan rakyat dan ia sebahagian daripada sastera rakyat yang sangat popular \u201c\n\n\n\n\nTurut berkongsikan kisah mereka mengenai Ungku Aziz adalah Puan Khoo Siew Mun yang pernah menjadi pelajar Ungku Aziz. Selain itu, Prof Emeritus Abdul Rahman Embong dan Prof Dr. Mohd Hazim Shah juga berkesempatan memberi buah pandangan mengenai pemikiran dan jasa Ungku Aziz. Dr Muhammad Azwan Abdul Rahman menjadi pengacara manakala Prof Rashila Ramli menjadi moderator majlis.\n\n\nRekod Facebook menunjukkan majlis atas talian yang dijalankan bagi memperingati Ungku Aziz telah menarik diikuti lebih 4,000 penonton dan merupakan acara paling popular yang pernah dianjurkan oleh Persatuan Sains Sosial Malaysia\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUngku Aziz merupakan ahli akademik ulung di Malaysia dan pernah menjawat jawatan sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya selama 20 tahun. Beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja pada tahun 1978 dan terkenal dengan jasanya menubuhkan Tabung Haji, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.\n\n\nBeliau meninggal dunia pada 15 Disember tahun lalu pada usia 98 tahun di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur kerana sakit tua.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/mengapa-klasifikasi-pendapatan-b40-m40-dan-t20-begitu-bermasalah/", "title": "Mengapa Klasifikasi Pendapatan B40, M40 dan T20 Begitu Bermasalah?", "body": "\n\nShare it\nTanggal 24 Februari ini, tumpuan seluruh rakyat di negara ini akan terarah kepada pembentangan Bajet 2023 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Antara \u2018acara\u2019 yang paling ditunggu-tunggu setiap kali pembentangan belanjawan negara ialah pengumuman bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nLazimnya, bantuan-bantuan sebegini akan difokuskan kepada golongan yang menerima pendapatan dalam kategori 40% terbawah, juga disebut sebagai golongan B40. Bantuan sosial seperti ini juga secara kebiasaannya memerlukan pemohon untuk mengesahkan jumlah pendapatan isi rumah mereka terlebih dahulu untuk dinilai samada mereka layak ataupun tidak untuk menerima bantuan berkenaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun tidak dinafikan bantuan-bantuan ini banyak membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah di negara ini, sistem klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 yang digunapakai untuk membezakan kelas pendapatan antara rakyat Malaysia penuh dengan pelbagai kemusykilan dan persoalan yang wajar untuk dibangkitkan.\n\n\nSetiap satu kelas pendapatan ini mempunyai julat pendapatan bulanan yang tersendiri untuk membezakan antara mereka. Bagi isi rumah B40, pendapatan mereka di bawah RM4,360. Manakala bagi isi rumah M40, jumlah pendapatan isi rumah ialah antara RM4,360 hingga RM9,619. Bagi isi rumah yang memiliki pendapatan tertinggi 20%, pendapatan bulanan mereka adalah melebihi RM9,619.\n\n\nMengikut statistik terkini dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah Dan Insiden Kemiskinan 2020, jumlah isi rumah dalam kategori B40 dan M40 masing-masing sebanyak 2.78 juta, manakala terdapat 1.33 juta isi rumah T20.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi negara luar, sistem yang membezakan kelas pendapatan sebegini boleh dikatakan hampir langsung tidak wujud. Sistem yang sering digunakan di negara-negara maju lebih tertumpu kepada golongan termiskin yang mempunyai pendapatan lebih rendah daripada pendapatan garis kemiskinan.\n\n\nSekiranya kelas pendapatan dibezakan sekali pun, pengelasan itu hanyalah dibuat untuk melihat perbezaan jurang pendapatan antara rakyat, bukannya dijadikan sebagai asas mekanisme bagi menentukan kelayakan untuk menerima sesuatu bantuan.\n\n\nDari sudut sejarahnya, tidak begitu jelas bilakah terma B40, M40 dan T20 ini mula-mula diperkenalkan, sehinggalah menjadi obsesi buat pembuat-pembuat dasar di negara ini sejak beberapa tahun lepas. Hal ini kerana jika diamati dalam Rancangan-Rancangan Malaysia yang terawal, istilah B40, M40 dan T20 ini tidak wujud.\n\n\n\n\nPeningkatan ketidakseimbangan pendapatan antara Bumiputera dan kumpulan etnik Cina ini sebahagian besarnya disebabkan perbezaan pertumbuhan pendapatan isirumah bagi kumpulan 20 peratus tertinggi dan 40 peratus terendah. Bagi isirumah dalam kumpulan 40 peratus pertengahan, kedua-dua Bumiputera dan kumpulan etnik Cina mencatat kadar pertumbuhan pendapatan isirumah yang hampir sama. \u2013 Dokumen RMK-7, halaman 70\n\n\n\n\nIstilah B40, M40 dan T20 ini hanya dikesan muncul dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) (1996-2000) ketika pemerintahan Perdana Menteri Keempat Tun Dr. Mahathir Mohamad, seterusnya dipopularkan oleh Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Mohd Najib menerusi pemberian bantuan-bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang ditujukan kepada golongan B40.\n\n\nTidak Mengambil Kira Faktor Saiz Isi Rumah dan Kos Sara Hidup di Negeri yang Berbeza\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKlasifikasi pendapatan berdasarkan isi rumah sebegini juga menimbulkan masalah yang besar kerana tanggapannnya seolah-olah semua isi rumah di Malaysia ini memiliki saiz serta jumlah tanggungan yang sama. Sedangkan, realiti sebenarnya sungguh berbeza.\n\n\nDisebabkan ini, masalah sering timbul bagi menentukan siapakah yang lebih berhak dan layak dalam menerima bantuan-bantuan Kerajaan. Sebagai contoh, sebuah keluarga B40 yang menetap di luar bandar, serta mempunyai dua orang anak mungkin memiliki kehidupan yang lebih selesa berbanding sebuah keluarga M40 yang mempunyai empat orang anak, namun menetap di bandar.\n\n\nNamun apabila bantuan-bantuan diumumkan Kerajaan, keluarga di luar bandar ini yang menerima bantuan tersebut sedangkan mereka mungkin tidak begitu memerlukannya sepertimana keluarga yang menetap di bandar sebentar tadi, lebih-lebih lagi melihatkan kepada kos sara hidup yang jauh lebih tinggi di bandar.\n\n\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hampir 90% isi rumah di Malaysia ketika ini adalah mereka yang bersaudara iaitu ahli keluarga. Hampir 10% lagi merupakan isi rumah yang tidak bersaudara seperti individu bujang yang menyewa bilik di tengah ibu kota.\n\n\nPurata bilangan penerima pendapatan bagi sesebuah isi rumah ialah sekitar 1.8, ataupun jika digenapkan sebanyak dua orang bagi setiap isi rumah. Maka, bagaimana pula dengan individu bujang?\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSistem klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 ini sekali lagi menimbulkan masalah, terutamanya bagi individu bujang. Lebih merumitkan, struktur sesebuah isi rumah yang terdiri daripada individu-individu bujang ini juga berbeza kerana lazimnya mereka mempunyai tahap pendapatan dan perbelanjaan yang berlainan bagi setiap penyewa dalam sesebuah rumah sewa itu.\n\n\nMaka, konsep isi rumah secara kolektif seperti sesebuah keluarga ini boleh dikatakan tidak terpakai buat mereka. Cuba bayangkan sekiranya sebuah rumah sewa itu disewa oleh empat individu bujang yang masing-masing mempunyai pendapatan dalam lingkungan RM2,500 hingga RM3,000. Maka, jumlah pendapatan isi rumah mereka sudah tentu menyebabkan mereka ini tergolong dalam isi rumah kategori T20, walhal hakikatnya jauh sekali.\n\n\nDisebabkan inilah ramai dalam kalangan individu bujang di negara ini yang mempertikaikan sekiranya mereka tidak tersenarai untuk menerima bantuan-bantuan kewangan Kerajaan, kerana mereka sering menyangkakan bahawa mereka masih lagi tergolong dalam B40 walaupun sebenarnya tidak.\n\n\n\n\nContohnya, seorang pekerja bujang yang menerima gaji sebanyak RM2,500 sebulan mungkin beranggapan dia tergolong dalam kategori B40. Namun begitu, sekiranya gajinya didarab dengan 1.8 (purata bilangan penerima pendapatan isi rumah), jumlah pendapatannya menjadi RM4,500, melebihi julat pendapatan yang ditetapkan bagi kategori B40 (Follow us on\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/sampah-bukan-sekadar-sampah/", "title": "Sampah, Bukan Sekadar Sampah", "body": "\n\nShare it\nBagi mereka yang lahir antara tahun 1990an sehingga awal 2000an, pastinya biasa menonton filem animasi WALL-E yang ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2008. Filem animasi berdurasi 97 minit ini mengisahkan mengenai kehidupan sebuat robot yang bernama WALL-E, yang ditugaskan untuk mengutip timbunan sampah sarap yang begitu banyak di Bumi pada masa hadapan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nDigambarkan dalam filem animasi WALL-E ini, pada ketika itu manusia terpaksa berpindah dari planet Bumi kerana timbunan sampah sarap yang terlampau banyak ini menyebabkan Bumi tidak lagi sesuai untuk didiami manusia dengan selamat. Amalan membeli-belah serta pembaziran yang keterlaluan telah menyebabkan begitu banyak sampah terhasil sehingga memenuhi hampir keseluruhan kawasan Bumi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMungkin situasi planet Bumi pada ketika ini belum sampai tahap sebegitu teruk seperti yang digambarkan dalam filem animasi WALL-E. Namun, sedar ataupun tidak, sisa ataupun sampah semakin lama semakin banyak dihasilkan oleh manusia, baik yang berpunca dari aktiviti domestik isi rumah mahupun aktiviti komersial seperti aktiviti pertanian, projek pembinaan serta kilang pembuatan.\n\n\nMalaysia Bakal Kehabisan Ruang Pembuangan Sampah Menjelang 2050\n\n\nDi Malaysia misalnya, hampir 39,936 tan sampah dibuang setiap hari sepanjang tahun 2022, menurut data penjanaan kutipan sampah yang diterbitkan Harian Metro bertarikh 20 Julai 2021. Secara tahunannya, Malaysia menghasilkan hampir 13.5 juta tan sampah. Apa yang lebih merisaukan, angka ini semakin lama semakin bertambah seiring dengan pertambahan jumlah penduduk Malaysia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai perbandingan, hanya 19,000 tan sampah dibuang setiap hari di negara ini pada tahun 2005, atau secara puratanya seorang rakyat Malaysia membuang kira-kira 0.8kg sampah sehari. Walaubagaimanapun, angka purata itu meningkat kepada 1.1kg sampah sehari pada tahun lepas, bersamaan dengan 39,936 tan sampah sehari!\n\n\nMungkin bagi rakyat Malaysia secara amnya, apa yang penting dalam hal ini ialah membuang sampah di tempat pembuangan sampah yang sepatutnya. Namun begitu, meskipun wujud tempat pembuangan serta pelupusan sampah, sekiranya sampah sarap ini terus menerus bertambah saban tahun, maka tidak mustahil tempat pembuangan sampah ini akan kehabisan ruang suatu hari nanti.\n\n\nMenurut kenyataan Ketua Pegawai Operasi Alam Flora, Azahari Zainal Abidin, Malaysia dijangka kehabisan tempat pembuangan sampah menjelang tahun 2050 sekiranya trend peningkatan pembuangan sampah ini berterusan, lapor NST bertarikh 11 Mac 2023.\n\n\nLebih-lebih lagi, tidak semua sampah ini mempunyai tempoh pelupusan yang sama. Bagi sampah dalam kategori plastik misalnya, ada yang mengambil masa mencecah puluhan, malahan ratusan tahun untuk terurai secara semula jadi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMungkin ada yang beranggapan masalah sudah selesai apabila sampah ini dibuang ke tong sampah. Namun begitu, meskipun sampah ini berjaya dikumpulkan di tapak pembuangan sampah sekalipun, sebuah lagi masalah yang perlu dihadapi ialah pencemaran bau serta alam akibat pelepasan gas berbahaya seperti gas metana yang terhasil dari penguraian bahan kimia organik oleh bakteria.\n\n\nGas metana ini bersifat mudah terbakar serta berbahaya sekiranya dihidu oleh manusia. Beberapa tahun lepas, beberapa buah sekolah di Pasir Gudang, Johor terpaksa ditutup seketika apabila sekumpulan pelajar pengsan akibat terhidu gas metana yang dilepaskan ke sebuah sungai berhampiran oleh sebuah kilang yang tidak bertanggungjawab.\n\n\nDalam masa yang sama, segelintir rakyat Malaysia juga lebih suka membuang sampah merata-rata berbanding membuangnya di tempat pembuangan sampah yang sepatutnya. Golongan sebegini mempunyai tanggapan bahawa lambat-laun sampah tersebut akan dikutip juga oleh syarikat pengurusan sampah.\n\n\nSikap yang sedemikian menyebabkan kos menguruskan sampah menjadi lebih rumit serta mahal kerana sampah tidak dibuang di tempat yang sepatutnya. Sampah yang dibuang secara sesuka hati ini juga seringkali menjadi punca kepada longkang dan saluran air tersumbat, sehingga mengakibatkan fenomena banjir semakin memburuk sejak kebelakangan ini, terutamanya di bandar-bandar besar di seluruh negara.\n\n\nKos wang dan tenaga juga terpaksa dikeluarkan dengan begitu tinggi, semata-mata untuk membersihkan sampah yang terkumpul daripada sesuatu acara sambutan sahaja. Sebagai contoh, Alam Flora Sdn Bhd dilaporkan terpaksa mengutip hampir 9 tan sampah di sekitar KLCC, Bukit Bintang dan Dataran Merdeka ketika Sambutan Tahun Baru 2020.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengurusan Sampah di Malaysia Perlu Lebih Mampan dan Sistematik\n\n\nAntara jalan keluar bagi memastikan pengurusan sampah di Malaysia lebih mampan dan sistematik ialah dengan menyemak semula kaedah bagaimanakah sampah-sampah ini diuruskan dari mula sehingga akhir.\n\n\nDi Malaysia, undang-undang berkaitan pengurusan sampah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Akta ini mula dikuatkuasakan pada 1 September 2011 di seluruh Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan kecuali Labuan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.\n\n\nLazimnya, perkhidmatan pengurusan sampah dan kebersihan awam bagi sisa pepejal isi rumah diswastakan kepada syarikat-syarikat seperti Alam Flora Sdn Bhd (Pahang, Putrajaya dan Kuala Lumpur) dan E-Idaman Sdn Bhd (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), terutamanya di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan yang berada di bawah Akta 672.\n\n\nManakala di negeri-negeri yang tidak menandatangani Akta 672 seperti Selangor misalnya, syarikat yang dimiliki oleh Kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management Sdn. Bhd. (KDEB) diamanahkan bagi menguruskan sisa pepejal di negeri tersebut.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun ketika ini terdapat 176 tapak pelupusan sampah di seluruh negara, konsep yang sering digunakan dalam pengurusan sampah di negara ini lebih tertumpu kepada pendekatan linear semata-mata, iaitu pengumpulan, penghantaran serta pemprosesan sampah semata-mata.\n\n\nSedangkan di negara-negara maju, kebanyakannya sudah mula menggunakan konsep ekonomi pekeliling (circular economy) yang lebih mampan dalam menguruskan sampah. Apa yang menariknya, konsep sebegini tidak memandang sampah itu sebagai sesuatu yang layak dibuang semata-mata tanpa sebarang nilai. Bahkan, konsep ekonomi pekeliling ini cuba sedaya upaya untuk memanfaatkan sampah yang dihasilkan ini, dengan pendekatan \u2018waste-to-wealth\u2019.\n\n\nSebagai contohnya di Singapura, sampah dibakar menggunakan insinerator. Haba yang terhasil daripada pembakaran sampah dalam insinerator ini dimanfaatkan untuk menjana elektrik bagi kegunaan domestik, turut dikenali dengan konsep waste-to-energy (WTE). Insinerator di Singapura mempunyai kapasiti pembakaran sampah sebanyak 2.8 juta tan setahun.\n\n\nAbu yang terhasil daripada pembakaran sampah dalam insinerator ini seterusnya ditukarkan menjadi pasir yang dikenali sebagai NEWSand, yang boleh digunakan sebagai bahan projek-projek pembinaan. Penggunaan pasir ini dalam sektor pembinaan di Singapura lantas melengkapkan konsep ekonomi pekeliling tersebut.\n\n\nNamun, apa yang menyedihkan di Malaysia, konsep \u2018waste-to-wealth\u2019 ini tidak digunakan untuk menguruskan sampah domestik dengan berkesan. Sebaliknya, konsep ini seakan-akan disalah erti apabila sesetengah golongan kapitalis di Malaysia tidak segan silu mengimport sampah yang dihantar daripada negara-negara maju seperti UK, Canada dan Perancis.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nLebih ironi, negara-negara maju ini turut sama tidak segan silu menerbitkan data dan statistik pembuangan sampah, konon-kononnya negara mereka lah yang paling sedikit mengeluarkan sampah. Manakala, negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia ditampilkan seolah-olah antara yang paling banyak membuang sampah didunia.\n\n\nUndang-undang juga perlu dikuatkuasakan supaya insiden-insiden pembuangan sisa berbahaya seperti bahan kimia dan radioaktif oleh pihak industri yang tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi sehingga menjejaskan tahap kesihatan penduduk setempat serta mencemarkan alam sekitar. Hukuman yang lebih berat wajar dikenakan ke atas mereka sebagai satu pengajaran yang lebih berkesan.\n\n\nSebagai contoh, baru-baru ini Kerajaan telah meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dengan menaikkan denda pencemaran air daripada RM100,000 kepada RM1 juta kepada pelaku jenayah pencemaran air. Hukuman penjara juga dipanjangkan daripada hanya setahun kepada 15 tahun.\n\n\nPenggunaan Insinerator Mungkin Jawapannya, Namun Mampukah Malaysia?\n\n\nWalaupun penggunaan insinerator yang mengguna pakai konsep WTE ini kedengaran seperti solusi yang terbaik buat Malaysia, namun beberapa isu perlu dilihat dengan lebih mendalam. Antaranya ialah kos operasi yang mencecah jutaan ringgit. Selain itu, bayaran yuran tipping bagi insinerator juga melebihi RM100 bagi satu tan sampah, jauh lebih tinggi berbanding RM30-RM40/tan yang dikenakan oleh tapak pelupusan sampah ketika ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nInsinerator juga sesuai untuk dilaksanakan di Singapura kerana sisa makanan yang dihasilkan mereka begitu sedikit, kira-kira hanya 10% daripada keseluruhan sisa pepejal perbandaran (MSW) yang terkumpul. Manakala di Malaysia pada tahun 2018, lebih 15,000 tan sisa makanan dihasilkan dalam masa hanya satu hari, atau menyamai separuh daripada MSW yang dihasilkan, seperti yang disebut dalam sebuah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sisa makanan yang secara semula jadinya basah ini menimbulkan kesukaran untuk dibakar dalam insinerator.\n\n\nNamun, kajian UKM tersebut menekankan kepentingan kaedah pra-rawatan seperti pengeringan sisa makanan dijalankan terlebih dahulu supaya penggunaan insinerator akan menjadi lebih mudah untuk melupuskan sisa makanan ini. Hal ini kerana secara kebiasaannya, tidak ada masalah bagi insinerator untuk membakar sisa makanan. Apa yang menjadi masalah ialah jika sisa makanan itu basah, kerana akan menjejaskan haba dan tekanan insinerator tersebut.\n\n\nSebenarnya, sisa makanan juga berpotensi untuk ditukarkan menjadi pelet makanan haiwan ternakan dan peliharaan. Namun, disebabkan sisa makanan ini tidak diasingkan dengan begitu baik dan sering bercampur dengan sampah-sampah lain, maka proses dan kos untuk mengasingkan sisa makanan ini menjadi mahal dan rumit.\n\n\nMaka disebabkan inilah, di samping memupuk kesedaran rakyat Malaysia supaya tidak membuang sampah merata-rata, apa yang lebih penting ialah memupuk mereka supaya bersederhana dalam membeli belah, agar sisa makanan dapat dikurangkan, terutamanya ketika musim perayaan atau musim bulan Ramadan. Hal ini kerana ketika musim sebeginilah, jumlah pembuangan sampah, terutamanya makanan, melonjak dengan begitu ketara sekali. Menurut SWCorp, sisa makanan dari bazar Ramadan di Negeri Sembilan sahaja dijangka naik 15% tahun ini kepada 2,500 tan metrik.\n\n\nSekiranya semua pihak gagal memainkan peranan masing-masing dalam menguruskan sampah dengan lebih efektif dan mampan, maka tidak mustahil suatu hari nanti apa yang digambarkan dalam filem animasi WALL-E sebentar tadi akan benar-benar menjadi kenyataan di planet Bumi ini pada suatu hari nanti.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/scalpers-ulat-tiket-satu-malapetaka-buat-pengguna/", "title": "Scalpers (Ulat Tiket) \u2013 Satu Malapetaka Buat Pengguna", "body": "\n\nShare it\nTik\u2026tik\u2026tik\n halus kedengaran bunyi jarum saat jam bergerak. Anda sudah berada di hadapan komputer riba sejak 30 minit yang lepas menunggu beberapa minit sahaja lagi sebelum portal tiket konsert artis kegemaran anda dibuka. Laman sesawang yang sama turut dibuka di telefon pintar yang digenggam erat di sebelah tangan kiri.\n\n\n\n\n\n\n\n\nTiga minit, dua minit, satu minit, 10 saat\u2026Tepat jam 12 tengahari portal tersebut dibuka. Berbekalkan adrenalin yang tinggi, anda bergerak pantas dengan mengklik tiket yang mahu dibeli dan memilih slot tempat duduk yang diinginkan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHati menjadi teruja memikirkan konsert tersebut, namun tetap resah dan gelisah dengan seribu satu harapan agar urusan pembelian tiket ini lancar.\n\n\nNamun, tanpa diduga tiba-tiba laman sesawang tiket itu tergendala apabila anda mahu membuat pembayaran.\u00a0\n\n\nDengan berdebar-debar anda klik berulang kali butang \u2018refresh\u2019. Klik, klik, klik\u2026 Perhatian dialihkan pula kepada telefon pintar dengan harapan agar pembelian boleh dibuat menerusi telefon pintar pula.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun sama sahaja, beberapa minit sudah pun berlalu.\n\n\nApabila akhirnya anda berjaya memasuki semula laman sesawang itu, jualan tiket telah habis. Alangkah malangnya nasib\u2026.\n\n\nHiburan, satu perkara yang tidak asing dalam kehidupan seseorang manusia. Hiburan sering dijadikan sebuah \u2018escapisme\u2019 untuk lari sebentar daripada dunia realiti. Hiburan wujud dalam pelbagai jenis bentuk yang lazimnya berunsurkan sukan atau kesenian.\n\n\nSaban tahun, industri hiburan menjana berbillion-billion ringgit terhadap ekonomi negara. Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sub-sektor kesenian, hiburan dan rekreasi menjana output kasar bernilai RM11.0 billion pada tahun 2021, kira-kira 0.71% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang berjumlah RM1.55 trillion.\u00a0\n\n\nPecahan mengikut aktiviti mendapati output kasar bagi sub-sektor ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh sukan dan rekreasi (88.7%), diikuti muzium, hiburan dan kebudayaan (8.9%). Aktiviti kesenian, hiburan dan kreatif mencatatkan output kasar yang terendah sebanyak RM0.3 billion, atau 2.4% sahaja daripada keseluruhan output kasar sub-sektor ini. Persembahan secara langsung atau \u2018\nlive\n\u2019 seperti konsert, opera dan teater tergolong dalam aktiviti kesenian, hiburan dan kreatif ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi negara ini, sistem ekonomi dan urusan jual beli lazimnya dijalankan secara terbuka, dengan pemantauan berkala pihak berkuasa menerusi bidang kuasa masing-masing serta undang-undang sedia ada. Antara kelebihan yang wujud pada sistem ekonomi pasaran terbuka atau \u2018\nfree market\n\u2019 ialah kebebasan yang diberikan kepada mana-mana individu untuk membeli barangan yang dijual dalam pasaran secara sah, asalkan tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan. Perkara ini membolehkan sesiapa sahaja dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti jual beli dalam ekonomi.\n\n\nNamun, pasaran ini tidaklah sempurna, lebih-lebih lagi dengan sikap pengguna yang kadangkala sukar dijangka, walaupun secara teorinya mereka ini diandaikan bersikap rasional. Kelemahan yang ada pada sistem ekonomi ini menyebabkan sesetengah golongan mudah mengambil kesempatan dengan membolot sumber-sumber yang terhad demi keuntungan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan orang lain.\n\n\nBagaimana Golongan \u2018\nScalpers\n\u2019 Mengambil Kesempatan?\n\n\nMisalnya, baru-baru ini tular di akhbar dan media sosial mengenai jualan tiket konsert jelajah Coldplay: Music of the Spheres World Tour yang habis terjual dalam masa yang begitu singkat. Tidak lama selepas itu, ada sebahagian tiket-tiket ini dijual semula dengan harga yang berkali ganda lebih mahal berbanding harga asal. Misalnya, harga tiket termurah, iaitu RM228 (AS$67), dilapor telah dijual semula pada harga RM1,749, lapan kali ganda lebih tinggi dari harga asal, menurut akhbar The Star.\n\n\nIni bukanlah pertama kali masalah ini terjadi. Bahkan, konsert-konsert yang dijalankan sebelum ini di Malaysia melibatkan artis-artis ternama seperti Ed Sheeran dan BLACKPINK turut dicemari dengan insiden penjualan semula oleh golongan yang disebut sebagai \u2018\nscalpers\n\u2019 atau \u2018ulat tiket\u2019 ini. Bukan setakat konsert, bahkan jualan barangan dan perkhidmatan lain seperti konsol permainan PlayStation\u00ae5 dan Kad NFC Touch \u2018n Go juga tidak dapat lari dari menjadi mangsa kerakusan golongan \u2018\nscalpers\n\u2019 ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAntara taktik yang sering digunakan \u2018\nscalpers\n\u2019 dalam merebut slot pembelian atas talian ialah dengan menggunakan bot. Meskipun secara kebiasannya laman sesawang jualan mewajibkan setiap pembeli melengkapkan verifikasi manusia seperti sistem CAPTCHA (Completely Automated Public Turing Test to Tell Computers and Humans Apart), bot-bot yang digunakan \u2018\nscalpers\n\u2019 ini cukup bijak, terutamanya dalam memanipulasi alamat protokol Internet (IP) sehingga kelihatan seolah-olah dimiliki oleh individu-individu sebenar.\u00a0\n\n\nTidak cukup dengan itu, penggunaan bot-bot ini pada jumlah yang begitu banyak dalam satu masa yang sama menyebabkan laman sesawang jualan menjadi sesak, perlahan atau tidak berfungsi. Penggunaan bot-bot ini membolehkan \u2018\nscalpers\n\u2019 bergerak lebih pantas dalam merebut membeli tiket dalam kuantiti yang banyak berbanding pengguna biasa. Akibatnya, pengguna biasa yang penuh keterujaan setia menanti jualan tersebut tidak dapat membuat pembelian yang diidam-idamkan.\n\n\nGolongan \u2018\nScalpers\n\u2019 Wujud Kerana Terdapat Permintaan?\n\n\nNamun, jika diperhatikan dengan lebih mendalam, golongan \u2018\nscalpers\n\u2019 ini wujud kerana terdapat permintaan. Ada sesetengah individu yang mungkin dikategorikan sebagai \u2018\ndie-hard fans\n\u2019 ini tidak kisah sekiranya mereka terpaksa berbelanja ribuan ringgit, berkali ganda lebih mahal berbanding harga sebenar, asalkan mereka dapat apa yang mereka mahukan. Kewujudan \u2018\nscalpers\n\u2019 serta keinginan membuak pembeli-pembeli ini menyebabkan isu ini sukar ditangani kerana permintaan sentiasa ada.\n\n\nWalaubagaimanapun, perkara ini tidaklah boleh disalahkan sepenuhnya kepada peminat-peminat yang sanggup membeli pada harga yang mahal ini. Hal ini kerana umum diketahui Malaysia bukanlah sebuah negara pilihan utama apabila artis-artis ternama ini mahu mengadakan siri jelajah konsert, berbanding negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSebagai contoh, sebuah band rock dari UK, Artic Monkeys yang telah melangsungkan konsert jelajah Asia sekitar Februari hingga Mac tahun ini. Band ini mengadakan konsert di Singapura, Hong Kong, Filipina, Thailand, Jepun dan Indonesia, tetapi tidak di Malaysia. Begitu juga dengan Taylor Swift, penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu hits seperti Love Story, Anti-Hero dan All Too Well, yang bakal mengadakan konsert selama enam hari di Stadium Nasional Singapura pada awal Mac tahun hadapan. Singapura merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang menjadi destinasi pilihan konsert jelajah Taylor Swift bagi kalendar tahun 2024.\n\n\nDisebabkan inilah ada sesetengah golongan yang tidak kisah mahu membayar harga yang mahal, kerana mereka merasakan konsert-konsert ini jarang diadakan di Malaysia, berbanding di negara-negara jiran yang lain.\n\n\nUndang-Undang Lebih Tegas Diperlukan bagi Tangani Isu \u2018\nScalpers\n\u2019\n\n\nBapa ekonomi moden Adam Smith, yang mempopularkan teori ekonomi klasik pasaran bebas, percaya bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan diri atau \u2018\nself-interest\n\u2019. Menurut beliau, \u2018\nself -interes\nt\u2019 inilah yang menjadi kuasa \u2018tangan ghaib\u2019 atau \u2018\ninvicible hand\n\u2019 yang akan menggerakkan aktiviti ekonomi. Beliau berhujah kerana setiap manusia sudah tentu mahukan yang terbaik untuk diri sendiri; pembeli mahukan barangan yang berkualiti, penjual mahu meraih keuntungan. Maka, beliau percaya peranan Kerajaan dalam ekonomi sepatutnya terhad sahaja kerana dikhuatiri akan menjejaskan pasaran bebas ini dari berfungsi secara optimum.\n\n\nNamun, hakikatnya \u2018\nself-interest\n\u2019 yang melampau menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang lebih rumit dalam pasaran, termasuklah isu golongan \u2018\nscalpers\n\u2019 ini yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata. Maka, peranan Kerajaan diperlukan untuk mengawal selia daripada perkara ini terus berlaku. Tanggungjawab serta akauntabiliti juga harus dipikul pihak pengurusan jualan tiket bagi memastikan insiden sebegini setidak-tidaknya dapat dikawal dengan baik. Sebagai contoh, Ticketmaster Entertainment, sebuah syarikat jualan tiket atas talian di Amerika Syarikat, yang memberi jaminan akan membatalkan tiket sekiranya didapati dijual semula di pasaran.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDi Malaysia malangnya, tiada akta atau undang-undang khusus untuk mengawal aktiviti penjualan semula oleh golongan \u2018\nscalpers\n\u2019 ini. Hanya baru-baru ini sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Komunikasi dan Digital mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah rang undang-undang baharu akan digubal untuk mengatasi masalah ini.\u00a0\n\n\nPenggubalan rang undang-undang ini sememangnya diperlukan bukan sahaja untuk memelihara pengguna, bahkan untuk memastikan urusan penganjuran konsert di negara ini tidak dipenuhi dengan pelbagai isu yang berisiko menyebabkan Malaysia terus dipinggirkan dari menjadi destinasi pilihan penganjuran konsert artis-artis ternama.\n\n\nDi Amerika Syarikat, Akta Better Online Ticket Sales (BOTS) yang berkuat kuasa sejak tahun 2016 diluluskan bagi menghalang mana-mana individu atau organisasi dari menggunakan bot-bot bagi membeli tiket-tiket yang dijual atas talian secara pukal, lalu dijual berkali ganda lebih mahal. Akta di bawah kawal selia Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS ini menetapkan denda sebanyak AS$16,000 (RM74,656) kepada pesalah.\n\n\nManakala di Australia, akta Fair Trading 1987 dipinda dengan memasukkan sebuah undang-undang khusus yang menyentuh isu \u2018\nscalpers\n\u2019, diberi nama Fair Trading (Ticket Scalping) Amendment Act 2018. Menerusi pindaan akta ini, mana-mana pihak dilarang untuk menjual semula tiket pada harga yang melebihi 110% daripada kos asal tiket tersebut. Sekiranya didapati bersalah, denda ialah sebanyak A$100,000 (RM312,508) kepada korporat, serta A$20,000 (RM62,501) kepada individu.\n\n\nPenjualan semula tiket, atau apa-apa barangan dan perkhidmatan sebenarnya tidaklah salah sekiranya dijual pada harga yang wajar. Hal ini kerana sememangnya konsep dan amalan penjualan semula ini wujud dalam sistem ekonomi, digelar sebagai pasaran sekunder. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila jualan tersebut dieksploitasi pada harga yang terlampau mahal. Lebih memburukkan keadaan apabila pihak berkuasa gagal memainkan peranan dalam mengawal selia aktiviti-aktiviti sebegini. Masalah ini juga terus berlaku kerana wujudnya \u2018\nwiling seller\n\u2019 yang sanggup menekan harga tiket dengan melampau, serta dalam masa sama \u2018\nwilling buyer\n\u2019 yang rela membayar harga mahal demi sebuah pengalaman yang dirasakan tidak dapat dilepaskan seumur hidup.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTanpa kawal selia yang baik, industri kesenian, hiburan dan kreatif akan selamanya tidak mampu bersaing dengan negara-negara jiran lain. Potensi industri ini untuk menjana hasil yang signifikan buat negara juga bakal terjejas.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/sekolah-ditutup-42-minggu-akibat-covid-19-murid-di-malaysia-hilang-1-3-tahun-pembelajaran/", "title": "Sekolah Ditutup 42 Minggu Akibat Covid-19, Murid Di Malaysia Hilang 1.3 Tahun Pembelajaran", "body": "\n\nShare it\nOleh Jarud Romadan Khalidi dan Puteri Marjan Megat Muzafar\n\n\n\n\n\n\n\n\nKepelbagaian Isu Kanak-kanak Perlukan Perlindungan Terangkum\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan, Malaysia sekali lagi meraikan setiap anak, permata negara. Bagi menzahirkan keprihatinan terhadap kesejahteraan generasi harapan negara, isu kerentanan di awal usia perlu terus diketengahkan dan ditangani sewajarnya.\n\n\nKanak-kanak terdedah kepada kemiskinan\n\n\nZaman kanak-kanak merupakan peringkat kehidupan yang rentan kerana mereka perlu bergantung kepada orang dewasa untuk memenuhi semua keperluan semasa membesar. Kanak-kanak lebih terdedah kepada kemiskinan. Pada 2019, \n405 ribu isi rumah\n dikenalpasti sebagai miskin dan majoriti besar (\n335 ribu\n) isi rumah tersebut didiami kanak-kanak. \nKemiskinan dalam kalangan isi rumah yang mempunyai anak\n berada pada kadar 8.7%, hampir 7 titik peratusan lebih tinggi berbanding isi rumah tanpa kanak-kanak (2.1%).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBantuan sosial di Malaysia yang mensasarkan kanak-kanak miskin adalah sesuatu yang wajar. Namun jumlah yang layak mendapat bantuan adalah kecil memandangkan had kelayakan yang ditetapkan berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) adalah sangat rendah. Isi rumah yang berpendapatan melebihi had tersebut tidak layak mendapat bantuan, walaupun perbezaannya sangat kecil.\n\n\nKiraan \nInstitut Penyelidikan Khazanah\n mendapati jika PGK dinaikkan sekali ganda, kadar kemiskinan isi rumah dengan kanak-kanak naik mendadak 4.6 kali ganda, daripada 8.7% ke 39.8%. Ini bermaksud sejumlah besar isi rumah sangat mudah terjejas. Sedikit kejutan ekonomi sudah cukup untuk menjadikan ramai jatuh miskin.\n\n\nJurang pendidikan berterusan\n\n\nKemiskinan seterusnya boleh melebarkan jurang dari segi kadar penyertaan dan pencapaian dalam pendidikan. Walaupun \npencapaian gred purata nasional (GPN)\n bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bertambah baik sejak 2015, GPN murid bandar lebih cemerlang berbanding luar bandar. Perbezaan ini banyak berkait rapat dengan kekurangan infrastruktur dan sumber pengajaran di luar bandar.\n\n\nAkibat pandemik, isu kanak-kanak tercicir dalam pembelajaran adalah membimbangkan. \nBank Dunia \nmenganggarkan murid di Malaysia kehilangan 1.3 tahun pembelajaran akibat penutupan sekolah selama 42 minggu pada 2020 hingga 2021. Yang paling terkesan adalah kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah terutamanya di kawasan terpencil yang tiada kemampuan dan kemudahan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMasalah malnutrisi yang meruncing\n\n\nPemakanan yang baik adalah asas penting untuk kesihatan sepanjang hayat, terutamanya semasa tumbesaran. Kesihatan yang baik pula menjadi faktor penting penentu kejayaan dalam pelajaran dan pekerjaan apabila dewasa. Namun, kanak-kanak Malaysia menghadapi tiga cabaran malnutrisi iaitu (1) kekurangan zat makanan, (2) kekurangan vitamin dan mineral penting, dan (3) berat badan berlebihan atau obesiti.\n\n\nMenurut \nTinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi\n, pada 2019 pertumbuhan bagi 22% kanak-kanak berumur bawah 5 tahun terbantut akibat nutrisi tidak seimbang. Manakala 14.8% kanak-kanak berumur 5 \u2013 17 mengalami obesiti. Di sebalik kemakmuran yang dinikmati, Malaysia berada dikedudukan kedua tertinggi bagi kadar obesiti kanak-kanak di Asia Tenggara, di belakang Brunei.\n\n\nMalnutrisi kanak-kanak bukan terhad kepada golongan miskin tetapi merentasi kelas pendapatan. Kira-kira 22% dan 17% kanak-kanak dalam isi rumah B40 dan T20 adalah terbantut. Manakala 16% dan 18% kanak-kanak dalam isi rumah B40 dan T20 adalah obes. Ini bermakna kekurangan zat bukanlah masalah golongan miskin dan makan berlebihan bukanlah masalah golongan kaya semata-mata.\n\n\nPenderaan dan eksploitasi kanak-kanak\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSementara itu, kes-kes yang mengancam keselamatan kanak-kanak masih berlaku dan belum ditangani sepenuhnya. Antara 2010 hingga 2020, \nJabatan Kebajikan Masyarakat\n merekodkan peningkatan kes kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada penderaan dan pengabaian, daripada 3,257 kepada hampir 5,900.\n\n\nKemelut ekonomi sering mendorong keluarga untuk melibatkan kanak-kanak dalam situasi yang tidak wajar termasuk buruh kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur. Menurut \nUNICEF\n, antara 2007 dan 2017, kira-kira 15,000 perkahwinan bawah umur dilaporkan di Malaysia. \nLaporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu\n mendakwa adanya pengambilan buruh kanak-kanak di Malaysia. Malangnya, sejauh mana seriusnya masalah ini tidak jelas kerana tiada data rasmi.\n\n\nTangani isu kanak-kanak sekarang sebelum situasi bertambah buruk\n\n\nUnjuran penduduk\n oleh Jabatan Perangkaan menjangkakan warga dalam umur bekerja akan berkurang menandakan beban untuk menjaga warga emas dan kanak-kanak akan bertambah. Pada 2020, bagi setiap 100 orang umur bekerja, terdapat 44 kanak-kanak dan orang tua untuk dijaga. Angka ini dijangka meningkat kepada 51 pada 2050.\n\n\nBagi mewujudkan tenaga kerja yang sihat dan produktif, isu yang dihadapi oleh kanak-kanak terutamanya berkaitan kemiskinan, pendidikan dan kesihatan perlu ditangani secara proaktif. Kekurangan sokongan dari segi pemakanan, pembelajaran serta penderaan fizikal, emosi dan seksual akan merencatkan pertumbuhan kanak-kanak, lantas menjejaskan potensi mereka apabila dewasa terutamanya dari segi kerjaya dan pendapatan. Ini akan mewujudkan suatu kitaran kemiskinan, mengehadkan mobiliti sosial dan melebarkan jurang ketidaksamaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSemua kanak-kanak terdedah kepada kemiskinan dan isu kanak-kanak merentas kelas pendapatan. Namun, dari segi perlindugan sosial Malaysia masih belum mempunyai skim khusus untuk kanak-kanak yang didasari undang-undang. Kesannya, sistem bantuan bersasar yang ada sekarang hanya mampu mencapai liputan yang sangat terhad serta tidak menentu, sementara masih ramai terbiar tanpa bantuan sewajarnya.\n\n\nKanak-kanak tiada akses serta-merta kepada bantuan apabila ibu bapa mereka mengalami kejutan ekonomi seperti hilang pekerjaan ataupun jatuh sakit, melainkan penjaga ini mempunyai simpanan luar jangka atau ada mencarum ke dalam skim insurans sosial.\n\n\nOleh itu, adalah penting untuk menetapkan suatu lantai perlindungan sosial yang merangkumi semua kanak-kanak sebagai benteng yang memastikan tidak seorang pun ketinggalan dan semuanya dapat membesar dengan taraf hidup yang lebih setara. Lantai ini harus menyediakan \nmanfaat kanak-kanak sejagat\n, serta akses sejagat kepada pendidikan dan kesihatan. Sesuai dengan tema Hari Kanak-Kanak tahun ini, perlindungan sosial negara harus ditransformasi untuk mencapai \u201cKeterangkuman Dan Kepelbagaian Untuk Setiap Kanak-Kanak\u201d.\n\n\nJarud Romadan Khalidi\n dan \nPuteri Marjan Megat Muzafar adalah penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (Khazanah Research Institute, KRI). Pandangan adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan kedudukan rasmi KRI.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/sosialisme-kapitalisme-dan-islam/", "title": "Sosialisme, Kapitalisme dan Islam", "body": "\n\nShare it\nTulisan Prof Syed Farid Alatas\n\n\n\n\n\n\n\n\nIslam tidak menentukan sistem atau aturan ekonomi-politik yang seharusnya diamalkan umatnya. Yang ditentukan dan digalakkan Islam adalah suatu sistem adab dan akhlak yang seharusnya menggarisbawahi mana-mana dan setiap sistem ekonomi-politik yang didirikan oleh masyarakat Muslim.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam sejarah Islam, telah wujud pelbagai sistem ekonomi politik dari zaman Rasulullah Muhammad hingga sekarang. Pada awal perkembangan masyarakat Islam di Mekah dan Madinah, sistem ekonomi politiknya terdiri daripada sekurang-kurangnya dua jenis, iaitu, sistem atau ragam pengeluaran komoditi skala kecil (\npetty commodity mode of production\n) dan ragam pengeluaran pemgembara pastoral (\npastoral nomadic mode of production\n).\n\n\nPada zaman Khilafah Uthmaniyah, Empayar Safawiyah dan Kesultanan Melaka pada zaman pra-moden, sistem ekonomi-politiknya dicirikan, pada umumnya, oleh ragam pengeluaran perlungguhan (\nprebendal feudal mode of production\n).\n\n\nPada zaman sekarang pula, kebanyakan negara Islam mengamalkan sistem kapitalisme atau ragam pengeluaran kapitalis.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun begitu, pada zaman moden, sesetengah sarjana dan pemikir Muslim mempunyai kecenderungan terhadap sosialisme yang mereka menganggap jauh lebih sehaluan dengan nilai-nilai Islam berbanding dengan kapitalisme.\n\n\nDalam karya beliau,\u00a0\nIslam dan Sosialisme\n, Syed Hussein Alatas mengungkapkan pendapat bahawa sosialisme itu sudah ada dalam Islam, dalam erti bahawa Islam sememangnya bersifat sosialis. Pada umumnya, tiada pertentangan antara Islam dan sosialisme. Yang ditentang Islam ialah jenis-jenis sosialisme tertentu.\n\n\nDi sini kita perlu membezakan antara sosialisme beragama dan sosialisme yang tidak beragama, seperti yang dilakukan oleh tokoh Jawa terkenal, Haji Omar Said Tjokroaminoto, dalam karya beliau yang juga berjudul\u00a0\nIslam dan Sosialisme\n.\n\n\nSyed Hussein Alatas mengatakan bahawa kita sebagai orang Islam tidak seharusnya menyangkal pandangan materialisme dialektik secara keseluruhan, tetapi hanya segi-segi tertentu yang bertentangan dengan agama seperti fahaman materialisme dialektik mengenai asal-usul dan peranan agama, relativisme akhlak dan sebagainya.\n\n\n\u201d Nilai lebihan ( suprlus value ) inilah yang membolehkan para kapitalis memperolehi keuntungan \u201d \u2013 Prof Syed Farid Alatas\n\n\nSosialisme itu tidak seharusnya ditolak oleh sebab kaitannya dengan Karl Marx, pencipta materialisme dialektik. Ramai individu dan golongan masyarakat takut dengan gagasan-gagasan Marx dan Marxisme. Padahal, bukan segala pemikiran Marx bertentangan dengan Islam malah banyak gagasan penting telah dihasilkan oleh Marxisme yang dapat membantu kemajuan masyarakat kita.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMarx paling masyhur dengan karya penyelidikan tiga jilidnya yang berjudul\u00a0\nModal\u00a0\n(Jer.\u00a0\nDas Kapital\n). Tiada universiti terkemuka di dunia ini yang tidak mengajarkan teori-teori Marx mengenai kapitalisme. Marx dianggap salah satu pendiri bidang sosiologi moden. Dia merupakan ahli teori masyarakat kapitalis. Sebahagian besar daripada tulisannya bertujuan untuk memperlihatkan asal-usul, sifat dan akibat ragam pengeluaran kapitalis.\n\n\nKapitalisme dapat ditakrifkan sebagai suatu sistem di mana pekerja atau buruh menjual tenaga mereka kepada para pemilik modal. Marx percaya bahawa hal itu menjelmakan hubungan eksploitasi antara pemilik modal dan kelas buruh yang tidak memiliki modal. Melalui dasar eksploitasi, kelas buruh tidak diberikan kembali dalam bentuk upah nilai yang mereka memasukkan dalam proses pengeluaran.\n\n\nMasalah utama yang diperhatikan Marx ialah tempoh panjang hari kerja. Upah yang ditentukan oleh pasar buruh sedemikian rupa sehingga jumlah jam kerja seorang pekerja menciptakan nilai ekonomi yang melebihi upah yang dibayar oleh para kapitalis kepada para pekerja.\n\n\nNilai lebihan (\nsurplus value\n) inilah yang membolehkan para kapitalis memperolehi keuntungan. Pengambilan nilai lebihan ini ditakrifkan sebagai eksploitasi oleh Marx. Eksploitasi muncul daripada perbezaan antara upah yang dibayar kepada perkerja dengan nilai sebenar hasil usaha mereka.\n\n\nMarx juga membincangkan keterasingan (\nalienation\n) yang dialami orang dalam masyarakat kapitalis. Kemajuan teknologi menyebabkan pekerja yang melakukan pekerjaan yang sangat berhubungan dan saling bergantung, dan tidak memungkinkan mereka mencapai potensi penuh mereka sebagai manusia yang kreatif dan sensual.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam masyarakat seumpama ini, orang lebih banyak berhubung dengan mesin atau komputer daripada berhubung sesama manusia.\n\n\nEksploitasi dan keterasingan ialah dua penyakit utama masyarakat kapitalis moden. Menurut Marx, kelas buruh pada akhirnya akan menyedari keadaan mereka. Mereka akan memahami cara kerja sistem kapitalis. Ini bererti mereka akan memhami peranan mereka dalam penciptaan nilai, bagaimana upah ditentukan, dan bahawa mereka dieksploitasi. Kesedaran inilah disebut sebagai kesedaran kelas (\nclass consciousness\n) oleh Marx.\n\n\nDia percaya bahawa kapitalisme akan pada akhirnya memberi jalan kepada sistem yang lebih adil, iaitu sosialisme. Dari segi ini, sejarah telah membuktikan bahawa Marx salah. Namun begitu, Marx memang memiliki pengaruh besar terhadap masyarakat kapitalis.\n\n\nPenetapan 1 Mei sebagai Hari Buruh mempunyai banyak kaitan dengan usaha Marx.\u00a0Marx merupakan seorang penggiat dalam gerakan kelas pekerja. Dia telah mendirikan Persatuan Pekerja Antarabangsa pertama yang didirikan di London tahun 1864.\n\n\nMarx boleh dikatakan sebagai sumber ilham di belakang gagasan May Day atau Hari Buruh Antarabangsa yang jatuh pada 1 Mei di seluruh dunia.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun perhatian utama Marx adalah eksploitasi kelas pekerja, namun pemahamannya tentang kapitalisme dapat diperluas ke arah kritik pemerintah yang terlibat dalam rasuah, iaiti, pemerintah kleptokratik. Kleptokrasi secara harfiah mengacu pada aturan pencurian. Beberapa pemerintahan dikuasai oleh para ahli politik dan pegawai yang kleptokratik.\n\n\nMereka menyalahgunakan jawatan dan kekuasaan mereka untuk mengumpulkan modal dan kekayaan. Kekayaan tersebut digunakan untuk menambah pendapatan mereka dan proses pengumpulan modal. Dan modal adalah salah satu faktor pengeluaran.\n\n\nAmalan rasuah seperti penyuapan, pemerasan, nepotisme merupakan cara utama pengumpulan modal. Sebenarnya, rasuah merupakan salah satu faktor pengeluaran juga.\n\n\nTerlepas dari ramalan Marx yang salah tentang kapitalisme, Marx bukanlah ahli teori yang jahat dan ideologi ngeri komunisme yang disaksikan oleh Uni Soviet, Cina, atau Kamboja. Hanya orang yang tidak memahami secara betul gagasan Marx lah yang takut pada ajaran Marx. Mengajarkan gagasan Marx di sekolah atau tempat lain bukan untuk mengkhutbahkan komunisme, melainkan untuk mengkritik kapitalisme.\n\n\nEksploitasi, keterasingan dan rasuah merupakan masalah utama kebanyakan negara Muslim pada zaman moden ini. Gagasan-gagasan Marx dan para sosialis selainnya mengetengahkan masalah-masalah ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyed Hussein Alatas menunjukkan dalam buku beliau bahawa sebahagian daripada kerisauan para sosialis tidak lain daripada kerisauan tokoh-tokoh Islam zaman dahulu juga. Beliau menyeru masyarakat Islam supaya bersungguh-sungguh memikirkan dan menggiatkan nilai-nilai sosialisme demi mencapai keadilan sosial.\n\n\nProf Syed Farid Alatas merupakan pensyarah sosiologi yang berkhidmat di Universiti Kebangsaan Singapura.\u00a0\n\n\nIkuti saluran Telegram Ekonomi Rakyat untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di \nhttps://t.me/EkonomiRakyatMY\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/sumpahan-petroleum-pengajaran-dari-venezuela/", "title": "Sumpahan Petroleum \u2013 Pengajaran Dari Venezuela", "body": "\n\nShare it\nSuatu ketika dahulu, manusia terpaksa bergantung samada kepada kekuatan kaki sendiri ataupun tenaga haiwan tunggangan seperti kuda untuk pergi dari sebuah tempat ke tempat yang lain. Namun segalanya berubah apabila dunia memasuki fasa pengindustrian besar-besaran ketika Revolusi Industri sekitar abad ke 19.\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada ketika itu, pereka cipta, terutamanya di benua Eropah berlumba-lumba untuk membangunkan model kenderaan yang dapat membawa manusia pergi ke sebuah tempat yang jauh dengan lebih cepat. Perjalanan yang memakan masa berhari-hari bertukar menjadi beberapa jam sahaja hasil kemajuan teknologi yang menghasilkan pelbagai jenis kenderaan seperti kereta, kapal terbang dan keretapi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSejarah industri automotif moden bermula apabila seorang jurutera berbangsa Jerman, Carl Benz berjaya menghasilkan kereta moden pertama yang menggunakan minyak untuk bergerak pada tahun 1886. Penghasilan kenderaan secara besar-besaran dipelopori oleh syarikat Ford Motor Company, yang berjaya menghasilkan kereta Ford Model T yang begitu ikonik sekitar awal abad ke 20 sehinggakan Henry Ford menjadi orang paling kaya di dunia ketika itu.\n\n\nKepesatan pembangunan industri kenderaan ini turut datang bersama dengan penemuan minyak petroleum, yang pertama kali digali secara moden pada tahun 1859 oleh Colonel Edwin Drake, seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat. Bermula saat itu, petroleum menjadi sebuah komoditi yang cukup berharga buat sesebuah negara kerana sebahagian besar kenderaan moden beroperasi menggunakan produk-produk petroleum seperti petrol, diesel dan minyak tanah (kerosin).\n\n\nMalah sehingga ke hari ini, petroleum masih mengekalkan dominasi dalam industri pengangkutan global meskipun terdapat alternatif lain seperti kenderaan elektrik (EV).\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNegara-negara yang mempunyai petroleum boleh diibaratkan seperti mendapat \u2018durian runtuh\u2019 kerana komoditi petroleum seringkali mendatangkan hasil yang begitu besar buat kekayaan negara, dek kerana nilainya yang begitu berharga.\n\n\nBahkan, ada sesetengah negara pengeluar minyak seperti Brunei, Algeria, Venezuela dan Azerbaijan bergantung hampir sepenuhnya terhadap hasil yang dijana oleh eksport petroleum. Negara-negara sebegini mempunyai nisbah peratusan eksport minyak melebihi 90% daripada keseluruhan eksport negara.\n\n\nMungkin ada yang beranggapan ekonomi negara-negara pengeluar minyak ini lebih terjamin kerana mereka mempunyai minyak sebagai komoditi utama yang boleh menjana kekayaan buat negara. Namun, disebalik sumbangan besar yang dijana minyak terhadap ekonomi negara, satu aspek yang perlu dilihat dengan lebih mendalam ialah harga minyak mudah turun dan naik bergantung kepada sentimen semasa.\n\n\nHarga pasaran minyak sering terdedah kepada risiko ketidaktentuan ekonomi global\n\n\nSebagai contoh, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada awal 2020 telah menyebabkan harga minyak jatuh merudum. Hal ini disebabkan permintaan yang secara kebiasaannya tinggi, namun tiba-tiba menjadi perlahan dengan begitu drastik sekali akibat pelaksanaan sekatan aktiviti ekonomi di kebanyakan negara bagi membendung penularan virus tersebut. Kesannya, negara-negara pengeluar minyak terpaksa berhadapan dengan masalah lambakan stok minyak dalam simpanan masing-masing.\n\n\nPada Mei 2020, harga kontrak hadapan bagi West Texas Intermediate (WTI) jatuh kepada -AS$37 setong. Harga minyak mentah Brent jatuh serendah AS$9.12 setong pada April 2020. \n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKebergantungan yang terlalu besar terhadap hasil yang dijana daripada minyak semata-mata merupakan sebuah resipi terbaik bagi mengundang bencana terhadap ekonomi negara, lebih-lebih lagi sekiranya pengurusan kewangan negara dilingkari dengan penyelewengan dan rasuah.\n\n\nContoh yang terbaik dalam hal ini ialah Venezuela yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah negara yang menjadi kaya-raya hasil aktiviti pengeluaran minyak berskala besar. Venezuela memiliki rizab minyak terbesar dunia, sebanyak 303.47 billion tong setakat tahun 2021, lebih besar berbanding negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi (267.19 billion tong) dan Iran (208.60 billion tong), menurut data Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).\n\n\nBeberapa dekad lepas, ekonomi Venezuela masih mampu bertahan dengan bergantung hampir sepenuhnya kepada hasil minyak, terutamanya selepas harga minyak melonjak naik sekitar awal dekad 2000. Pada ketika itu, Venezuela merupakan negara yang paling kaya di benua Amerika Selatan. Ekonomi Venezuela berkembang dengan baik, sehingga berjaya menurunkan kadar kemiskinan sebanyak 20% antara tahun 2002 hingga 2008. Kerajaan yang dipimpin mendiang Presiden Hugo Chavez melaksanakan pelbagai dasar serta program sosial seperti pembinaan klinik percuma untuk golongan miskin, pemberian subsidi perumahan dan makanan, kesemuanya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat Venezuela.\n\n\nKeluaran Dalam Negara Kasar per Kapita Venezuela pada tahun 2010 lebih tinggi berbanding Malaysia\n\n\nHasilnya, Venezuela berjaya merekodkan KDNK per kapita antara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara industri, malah lebih tinggi berbanding Malaysia pada ketika itu. Venezuela mencatatkan KDNK per kapita setinggi AS$13,693 pada tahun 2010, lebih tinggi berbanding Rusia (AS$10,675), Argentina (AS$10,386), Malaysia (AS$8,880) dan Afrika Selatan (AS$8,060).\n\n\nVenezuela turut memberikan subsidi minyak yang begitu tinggi kepada rakyatnya, sehinggakan minyak boleh dibeli dengan harga yang begitu murah sekali, hanya AS$0.06 segelen pada tahun 2015 di Venezuela. Perbelanjaan untuk menampung subsidi ini menelan belanja sebesar 23% daripada hasil Kerajaan Venezuela.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun, segala mimpi indah rakyat Venezuela satu-persatu hancur lebur apabila harga minyak global turun dengan mendadak sekitar tahun 2016. Lebih memburukkan keadaan, sejak berdekad-dekad Venezuela terlalu selesa bergantung terhadap hasil minyak, menyebabkan mereka tidak mempunyai kepelbagaian (diversification) industri yang cukup kukuh bagi menyokong ekonomi sekiranya harga minyak jatuh.\n\n\nDalam masa yang sama, pengurusan kewangan Venezuela sering bocor akibat ketirisan-ketirisan yang berlaku seperti penyelewengan dan rasuah. Ekonomi Venezuela juga tidak mesra terhadap pelabur-pelabur yang ingin membuka perniagaan di negara itu.\n\n\nVenezuela berada pada ranking ke 180 daripada 185 buah negara dalam Laporan Doing Business 2013 yang diterbitkan oleh Perbadanan Kewangan Antarabangsa. Sebagai contoh, syarikat automotif terbesar Amerika Syarikat General Motors, terpaksa menutup kilang mereka di Venezuela pada April 2017 setelah dirampas secara tidak sah oleh Kerajaan Venezuela.\n\n\nAkibatnya, kadar inflasi di Venezuela melonjak ke paras yang langsung tidak masuk akal, sehingga memasuki tahap hyperinflasi. Kadar inflasi dilaporkan mencecah 1.35 juta peratus menjelang hujung tahun 2018. Kadar inflasi yang naik di luar kawalan ini menyebabkan Kerajaan Venezuela menghentikan penerbitan data inflasi mereka kerana tidak mampu lagi untuk mengenal pasti angka inflasi yang berubah begitu mendadak setiap hari.\n\n\nNilai matawang Venezuela bol\u00edvar jatuh begitu teruk akibat hyperinflasi yang menjejaskan keyakinan pasaran terhadap negara berkenaan, sehingga menyebabkan Kerajaan Venezuela membuat keputusan untuk menggantikan matawang rasmi negara sebanyak tiga kali sejak tahun 2008. Situasi yang berlaku di Venezuela ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap ekonomi negara, bahkan mencetuskan ketegangan sosial yang seringkali menyebabkan protes berdarah terjadi di negara itu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSama seperti Venezuela, Malaysia juga merupakan sebuah negara pengeluar minyak. Rizab minyak Malaysia adalah yang ke 27 terbesar di dunia. Rizab minyak Malaysia yang mungkin dan terbukti, atau diklasifikasikan sebagai rizab 2P (proven and probable) berjumlah 6.9 billion tong, setakat Februari 2023, menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen baru-baru ini.\n\n\nSyarikat utama minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Setiap tahun, PETRONAS menyumbangkan berbillion-billion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk bayaran dividen. Sejak 2009 hingga 2022, PETRONAS sudah membayar sejumlah RM419 billion dividen kepada Kerajaan Malaysia. Pembayaran dividen pada tahun lepas, sebanyak RM50 billion, adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah pernah dibayar PETRONAS kepada Kerajaan, susulan PETRONAS berjaya mencatatkan keuntungan bersih terbesar RM101.6 billion bagi tahun 2022.\n\n\nPeperangan Rusia-Ukraine yang tercetus sekitar Februari 2022 menyebabkan harga minyak global naik mendadak, lantas memberikan peluang kepada syarikat-syarikat minyak ini mengaut keuntungan terbesar dalam sejarah. Syarikat minyak dan gas Arab Saudi, Aramco misalnya, turut mencatatkan keuntungan bersih terbesar AS$161 billion tahun lepas.\n\n\nSelain dividen, PETRONAS turut menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Persekutuan menerusi cukai langsung seperti cukai pendapatan serta cukai tidak langsung seperti duti eksport produk petroleum. Secara keseluruhannya, hasil yang dijana daripada industri minyak dan gas di Malaysia bersamaan 28% daripada jumlah hasil yang dijana Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022.\n\n\nSebagaimana di Venezuela, subsidi minyak menelan belanja yang besar di Malaysia kerana pelaksanaannya dibuat secara universal, walaupun hakikatnya subsidi secara universal ini memberikan manfaat terbesar kepada golongan kaya berbanding golongan miskin. Sebanyak RM50.8 billion dibelanjakan untuk tujuan subsidi minyak petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sepanjang tahun 2022, menyamai hampir separuh daripada jumlah keuntungan bersih yang dicatatkan PETRONAS tahun lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerbelanjaan terhadap subsidi minyak yang menelan kos tinggi ini membebankan kewangan Kerajaan, serta tidak mencapai tujuannya yang sebenar untuk membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah kerana diberikan secara universal. Dalam masa yang sama, pemberian subsidi secara berterusan ini merupakan satu bentuk gangguan terhadap pasaran untuk beroperasi secara normal, serta menggalakkan lagi aktiviti-aktiviti penyeludupan yang semakin lama semakin membarah, terutamanya di neger-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.\n\n\nLangkah ke arah melaksanakan subsidi secara bersasar ini perlu dirangka dengan begitu kemas, bagi memastikan kewangan negara tidak terus terbeban, serta mengambil kira faktor risiko peningkatan kadar inflasi. Dalam masa yang sama, langkah juga perlu diatur dalam menambah baik sistem percukaian negara menjadi lebih progresif supaya asas hasil negara dapat dikembangkan dengan baik, lantas mengurangkan kebergantungan terhadap hasil daripada minyak semata-mata yang bersifat mudah turun naik.\n\n\nApatah lagi, nisbah hasil Kerajaan Persekutuan kepada KDNK bagi Malaysia diramal turun kepada 15% tahun ini, susulan permintaan global yang semakin perlahan serta penurunan harga minyak.\n\n\nMungkin ada yang berhujah tiada apa yang perlu dirisaukan kerana situasi di Malaysia ketika ini jauh lebih baik berbanding apa yang telah berlaku di Venezuela. Namun, sekiranya diteliti dalam laporan-laporan tinjauan ekonomi yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, Bank Dunia, Kementerian Kewangan serta pelbagai lagi institusi, sebuah isu yang sering disebut saban tahun ialah mengenai industri Malaysia yang sudah berpuluh-puluh tahun tersangkut dalam rantaian pengeluaran yang bernilai rendah. Kebanyakan pemain-pemain industri di Malaysia lebih selesa mengekalkan model pengeluaran berasaskan buruh, tanpa usaha proaktif untuk menuju ke arah pengeluaran berasaskan modal dan teknologi yang lebih bernilai tinggi dan produktif.\n\n\nSekiranya Malaysia enggan berganjak ke arah industri yang lebih bernilai tinggi, serta dalam masa yang sama terus dihantui oleh pelbagai isu penyelewengan dalam pengurusan kewangan Kerajaan, maka tidak mustahil nasib negara ini akan menjadi seperti Venezuela, Sri Lanka dan Nauru yang kesemuanya ini pernah pada suatu ketika dahulu pernah menjadi sebuah negara yang kaya.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/teknologi-digital-antara-sektor-berpotensi-di-pasaran-saham/", "title": "Teknologi & Digital Antara Sektor Berpotensi di Pasaran Saham", "body": "\n\nShare it\nSektor Teknologi & Digital Antara Yang Mempunyai Potensi Berkembang di Masa Hadapan\n\n\nKetua Pelaburan Syariah \nVI College\n, Helmy Kasim berkata saham-saham sektor teknologi dan digital antara yang berpotensi meningkat naik ketika ini. Menurut beliau, pandemik Covid-19 telah memberi perangsang kepada sektor ini kerana ramai pihak telah mempercepatkan penggunaan teknologi dan digital dalam aktiviti seharian.\n\n\n\n\n\n\n\n\nOrang ramai terpaksa mengadaptasi perubahan ketika dunia dilanda penularan Covid-19 dengan mengubah tabiat dan tingkah laku mereka. Langkah ini menurut Helmy telah menyebabkan berlaku peningkatan aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara atas talian.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u201d Situasi pandemik Covid-19 telah mengubah tabiat orang ramai. Orang berbelanja daripada rumah, belajar, bermesyuarat, seminar, latihan dan program-program hiburan juga dijalankan secara atas talian. Syarikat-syarikat yang mendapat manfaat daripada trend ini sudah tentulah syarikat yang mempunyai teknologi di dalam IT dan Digital. \u201c.\n\n\n\n\nKetika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat, beliau menyatakan sektor teknologi ini adalah sebuah sektor yang besar kerana mempunyai pelbagai cabang seperti semikonduktor, robotik, 5G dan sebagainya.\n\n\nSaham sektor-sektor ini menunjukkan peningkatan yang ketara sejak kebelakangan ini. Di Malaysia misalnya, indeks teknologi telah meningkat dari sekitar 24 mata pada Mac tahun lalu kepada lebih 96 mata ketika ini.\n\n\nIndeks Teknologi di Bursa Malaysia Terus Meningkat\n\n\nFenomena ini boleh dilihat dengan jelas melalui harga-harga saham syarikat teknologi di Malaysia. Saham syarikat Genetec telah meningkat 34 kali ganda dari RM1.07 kepada RM37.60. Manakala syarikat Malaysian Pacific Industries pula melonjak 4.5 kali ganda dari RM9.10 kepada RM50.00 sesaham.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSituasi yang sama berlaku di Amerika Syarikat, saham-saham syarikat teknologi meningkat tinggi akibat pandemik ini. Netflix yang merupakan penyiar kandungan hiburan secara atas talian misalnya menggandakan nilai saham mereka kepada $600 berbanding $300 pada Mac tahun lalu.\n\n\nSaham Zoom yang menyediakan platform panggilan video atas talian turut melonjak sejurus dunia dikejutkan dengan penularan virus Covid-19, meningkat kepada lebih $550 berbanding sekitar $105 ketika lewat Februari 2020. Sejak Mac tahun lalu, indeks teknologi di pasaran NASDAQ telah meningkat lebih 100% dari sekitar 4,030 mata kepada 9,176 mata.\n\n\nMenurut Helmy, pihak VI College turut menjalankan \nseminar pelaburan saham percuma\n kepada mereka yang berminat untuk mendalami \nfundamental penting di dalam pelaburan saham\n. Peserta yang mengikuti seminar berkenaan akan diberikan pendedahan tentang cara membuat penilaian terhadap saham sekaligus memberikan sedikit sebanyak \u2018\ninsights\n\u2018 sebelum pelabur membuat keputusan di dalam melabur di pasaran saham.\n\n\nIndeks Teknologi di NASDAQ Meningkat Lebih Dua Kali Ganda\n\n\nKetika ditanya mengenai pulangan pelaburan melalui pasaran saham, beliau menyatakan pelabur boleh meraih pulangan melalui dividen ataupun pulangan modal. Dividen merupakan agihan keuntungan yang diisytiharkan oleh syarikat manakala pulangan modal adalah keuntungan hasil jual beli saham yang disebabkan peningkatan harga saham.\n\n\nHelmy menasihatkan pelabur yang telah berusia untuk lebih memfokuskan saham-saham yang memberikan pulangan dividen. Hal ini kerana adalah amat penting bagi mereka untuk memelihara dan melindungi modal mereka daripada ketidaktentuan harga saham.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nManakala bagi golongan muda, beliau berkata mereka boleh mencuba untuk memiliki saham dengan pulangan modal yang tinggi tetapi perlu sedar dengan risiko yang bakal dihadapi.\n\n\nInflasi Meningkat 20.7% Sejak Tahun 2010\n\n\nBeliau menyarankan orang ramai yang mempunyai duit lebihan untuk mula melabur sekarang bagi melindungi wang daripada kesan inflasi.\n\n\n\n\n\u201d Boleh katakan setiap tahun kita alami isu inflasi ini. Harga naik, kadar tukaran matawang semakin lemah. Jadi kita boleh guna duit lebihan ini untuk melindungi nilai aset kita \u201c\n\n\n\n\nMenurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna ( CPI ) telah meningkat 20.7% dari tahun 2010 hingga 2020. Komponen makanan dan minuman meningkat lebih 37% dalam tempoh yang sama menunjukkan barangan-barangan harian seperti makanan lebih terdedah dengan kenaikan harga.\n\n\nPelaburan saham merupakan salah satu cara bagi memastikan nilai aset tidak dihakis dengan kesan inflasi. Menurut Helmy, fokus utama pelabur adalah mencari saham yang berada di bawah nilai perniagaan ataupun \nundervalue\n.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara mengetahui potensi saham-saham yang berkualiti serta ilmu-ilmu penting pelaburan saham, \nSeminar Labur Saham Syariah\n yang dijalankan secara PERCUMA merupakan program tepat yang perlu dihadiri oleh anda yang berminat untuk melabur di dalam pasaran ekuiti ini.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/tiga-pakar-ekonomi-tulis-surat-terbuka-kepada-perdana-menteri/", "title": "Tiga Pakar Ekonomi Tulis Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri", "body": "\n\nShare it\n\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\nPerang Menentang Covid-19 : Waktu Untuk Bertindak dan Berkepimpinan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPengenalan\n\n\n\n\nWabak Covid-19 boleh dikatakan sebagai peristiwa global terburuk pada masa ini. Impaknya terhadap ekonomi dan kualiti hidup tidak pernah terjadi sebelum ini. Kita tidak mengetahui sejauh mana wabak ini akan memberi kesan kepada Malaysia, namun, kemungkinan wabak ini untuk menjadi krisis yang lebih teruk terus meningkat hari demi hari. Dalam segenap aspek, berkemungkinan besar kesan langsung wabak ini akan bersama kita untuk sementara waktu, dan mungkin untuk tempoh 12 hingga 18 bulan lagi.\n\n\nWabak ini harus ditangani secara tegas, perancangannya harus diterangkan dengan jelas, dan dilaksanakan untuk memperbaiki integriti institusi-institusi di negara ini, serta keyakinan rakyat terhadap mereka. Mengekalkan keyakinan masyarakat serta perpaduan negara sama penting dengan menguruskan wabak ini dan kesannya.\n\n\nKepimpinan negara harus dilihat tegas dan konsisten dengan satu-satunya objektif untuk menjaga kepentingan rakyat. Kebijaksanaan serta membuat keputusan dengan segera merupakan perkara penting. Waktu ini bukan masanya untuk melakukan perkara-perkara kurang penting ataupun memilih untuk menyebelahi mana-mana pihak.\n\n\nKami akan membentangkan pandangan kami dalam tiga bahagian, direncanakan melalui tiga isu penting:\n\n\n\nMengurus pandemik : Langkah segera diperlukan untuk menguji, mengenalpasti serta merawat mereka yang dijangkiti dalam kadar segera. Ini memerlukan petugas-petugas barisan hadapan yang terlatih dan dilindungi, sumber-sumber lain serta kemudahan.\n\n\nMenguruskan mereka yang terkesan : Langkah segera perlu dilakukan untuk menangani mereka yang terkesan dengan impak ini dengan menguruskan wabak sambil memastikan kemudahan asas, utiliti awam dan perkhidmatan sosial terus disalurkan.\n\n\nMenguruskan ekonomi dan bersiap sedia untuk keadaan selepas krisis : Langkah yang perlu dilakukan untuk menguruskan wabak ini serta mereka yang terkesan akibat wabak ini perlu dijangka dan ditangani\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDalam memberi pandangan dan cadangan ini, kami ambil maklum terhadap situasi yang abnormal, umpama berada di waktu perang. Pertimbangan normal \u2013 menguruskan kekangan fiskal, defisit bajet, had hutang, sasaran pertumbuhan atau agensi penarafan \u2013 tidak terpakai. Rakyat Malaysia harus diutamakan. Kita harus menggerakkan segala sumber yang ada untuk melakukan apa saja.\n\n\n\n\nKeduanya, prinsip urustadbir untuk diberikan keutamaan adalah :\n\n\n\n\n\n\n\n\nPetugas kesihatan barisan hadapan perlu diberikan keutamaan\n\n\nSelain daripada itu, prinsip ekuiti harus diamalkan \u2013 dimana perkara untuk memanfaatkan orang ramai perlu diberikan keutamaan\n\n\nKita harus mengakui bahawa akan terhadap kompromi dan sebagainya, tetapi pada detik ini ini kita harus mengutamakan perkara keperluan\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKami mencadangkan \u2018 rangsangan fiskal \u2018 untuk menggerakkan perbelanjaan untuk membantu individu serta syarikat pada waktu yang sukar \u2013 bagi mengelakkan masalah aliran wang dari menjadi krisis kecairan yang akan mengakibatkan masalah pengganguran secara besar-besaran serta masalah-masalah yang lain.\n\n\n\n\nMenguruskan Pandemik\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nMeskipun kadar kematian Covid-19 lebih rendah berbanding virus epidemic yang lain seperti nipah, SARS1 dan MERS, ia amat mudah berjangkit. Menguruskan isu jangkitan ini memerlukan saringan awal, isolasi serta rawatan kepada mereka yang dijangkiti, terutamanya mereka yang lebih terdedah, iaitu golongan tua. Oleh itu, strateginya adalah untuk membendung jangkitan agar sistem kesihatan tidak sesak \u2013 yang dipanggil pendekatan \u2018 \nflattening the curve\n \u2018\n\n\nKKM telah merancang untuk meningkatkan kapasiti, melindungi petugas barisan hadapan serta membendung penularan wabak ini melalui Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dan untuk meningkatkan proses ujian serta saringan, KKM telah menggerakkan kedua-dua perkhidmatan sektor swasta dan awam. Korea merupakan satu-satunya pengecualian dimana mereka tidak mengenakan sekatan perjalanan, namun menggunakan teknologi untuk menjejaki pergerakan-pergerakan.\n\n\nKerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengambil langkah seperti mana Kerajaan Perancis lakukan dalam membantu dan melindungi staf barisan hadapan:\n\n\n\nSemua topeng muka dan kelengkapan perlindungan harus diutamakan kepada hospital, doktor-doktor, jururawat serta kesemua staf sokongan\n\n\nPeruntukan untuk pengangkutan, penginapan adalah untuk semua petugas barisan hadapan\n\n\nPenguatkuasaan yang tegas kepada mereka yang ingin mengambil untung terhadap kelengkapan dan perkhidmatan perubatan serta alatan perlindungan termasuk ujian\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSementara kita menguruskan keadaan kecemasan sekarang, perancangan harus dilakukan untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang selepas kita berjaya mengurangkan kadar jangkitan dan apabila Perintah Kawalan Pergerakan berakhir. Ini termasuk dalam keperluan untuk meningkatkan kapasiti perubatan untuk rawatan susulan yang panjang di rumah.\n\n\nKomunikasi oleh KKM, meskipun secara amnya professional, namun memberi kesan yang terhad. Cadangan kami adalah untuk langkah komunikasi disediakan oleh professional-profesional perubatan yang berlandaskan fakta dan sains. Walaubagaimanapun, banyak perkara perlu dilakukan terhadap media tradisional dan penyiaran serta di media sosial, terutamanya dalam memperbetulkan maklumat-maklumat yang salah yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang mana mungkin berbahaya. Satu jawatankuasa yang berdedikasi diperlukan untuk menyokong KKM dalam menangani isu ini.\n\n\n\n\nMenguruskan Mereka Yang Terkesan\n\n\n\n\nAkibat yang tidak dapat dielakkan dalam menangani Covid-19 adalah ia akan memberikan kesan negatif yang besar terhadap ekonomi. Langkah-langkah bersakala besar perlu dilakukan untuk menghentikan kemerosotan ekonomi.\n\n\n\n\nIndividu dan Isi Rumah\n\n\n\n\nPerintah Kawalan Pergerakan telah memberikan impak negatif kepada jutaan isi rumah yang berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai simpanan yang rendah meskipun pada waktu sebelum wabak Covid-19 berlaku. PKP telah mengurangkan pendapatan banyak peniaga-peniaga kecil yang menjual barangan-barangan makanan dan sebagainya. Sebagai contoh, pasar tani/malam merupakan sumber pendapatan untuk banyak peniaga serta merupakan tempat dimana banyak isi-rumah mendapatkan bekalan makanan dan barangan lain pada harga yang berpatutan.\n\n\nTerdapat juga mereka yang kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan akibat PKP, ini termasuk mereka yang terpaksa bekerja secara separuh masa atau mereka yang diberikan cuti tanpa gaji. Bagi individu dan isi rumah ini, langkah memanjangkan PKP akan menyukarkan lagi kehidupan mereka.\n\n\nLangkah-langkah yang segera perlu diambil untuk menyalurkan wang kepada mereka yang terkesan pada waktu ini. Pendekatan-pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negara lain perlu dipertimbangkan. MY Card, pangkalan data Bantuan Sara Hidup serta program e-wallet boleh digunakan untuk melaksanakan bantuan tunai. Pengumuman yang baru dilakukan oleh SOCSO berkenaan Program Pengekalan Pekerja ( Employee Retention Programme ) boleh diperluaskan untuk mengimbangi pekerjaan dan pendapatan yang hilang, termasuklah mereka yang bekerja sendiri.\n\n\nSelain wang tunai, mereka yang terkesan dengan PKP juga mungkin memerlukan tempat penginapan buat sementara waktu; kemudahan-kemudahan tersebut perlu disedia untuk digunakan. Terdapat kes dimana pelajar dan sebagainya terkadas akibat PKP.\n\n\n\n\nPerniagaan\n\n\n\n\nPerniagaan-perniagaan telah terkesan dengan teruk sekali, termasuklah perniagaan-perniagaan yang secara fundamentalnya kukuh. Bantuan perlu disalurkan untuk memastikan perniagaan-perniagaan boleh memempuhi situasi ini. Perkara ini amat penting untuk industri kecil dan Sederhana ( IKS ) \u2013 yang keseluruhannya merupakan majikan terbesar di negara ini. Mereka menggajikan lebih kurang 10 juta pekerja dan mempunyai hutang lebih RM300 bilion daripada bank. Meringankan kegusaran mereka membantu memberikan ruang untuk IKS serta pekerja-pekerja mereka. UK sebagai contoh, telah menjamin gaji sebanyak 80% untuk kesemua pekerja untuk mereka yang bergaji sehingga GBP2,500. Meskipun langkah-langkah untuk melindungi IKS telah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi ( PRE ) , banyak perkara boleh dilakukan untuk memastikan akses berterusan terhadap pembiayaan.\n\n\nSebagai contoh, dana yang disalurkan kepada institusi pembiayaan pembangunan ( DFI ) perlu disediakan juga kepada semua perniagaan. Pada waktu ini, kita sepatutnya menyokong keseluruhan ekonomi bukannya hanya sebahagian sektor sahaja. Ini kerana bukan sektor pelancongan sahaja yang terjejas dalam krisis ini. Hal ini bagi bagi memastikan risiko kegagalan perniagaan diminimumkan. Setiap perniagaan mempunyai majikan, pembekal dan pembeli. Pada waktu yang sukar ini, kita harus mengurangkan kegagalan perniagaan terutamanya IKS yang berdaya maju.\n\n\nLangkah mudah untuk menyalurkan bantuan kepada IKS adalah melalui pengunaan jaminan kerajaan yang dikeluarkan oleh bank. Langkah ini telah berjaya dilakukan dengan berkesan pada 2009 oleh Syarikat MoF Inc. , Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan Berhad, yang menguruskan jaminan kerajaan dan bekerjasama dengan bank.\n\n\nDua jenis perkhidmatan \u2013 Perkhidmatan kerajaan seperti pendaftaran, lesen, permit, dsb serta utiliti seperti air, elektrik dan telekomunikasi \u2013 masih diperlukan untuk ekonomi, namun caj untuk perkhidmatan haruslah diberikan diskaun buat sementara waktu bagi mengurangkan masalah aliran wang kepada kedua-kedua isi rumah dan juga IKS.\n\n\nKerajaan harus membentuk platform kerjasama untuk semua syarikat yang menyediakan perkhidmatan ini untuk memastikan bekalan yang berterusan di samping manangani isu kewangan yang diperlukan untuk melakukan langkah-langkah tersebut.\n\n\n\n\nRantaian Bekalan\n\n\n\n\nRantaian bekalan global telah terganggu sejak konflik perdagangan yang berlaku sebelum penularan Covid-19 lagi. Pandemik Covid-19 serta tindakbalas yang diambil untuk menangani masalah ini, terutamanya kawalan pergerakan, telah memburukkan lagi gangguan rantaian bekalan, yang begitu penting untuk negara yang mempunyai ekonomi terbuka seperti kita.\n\n\nKami gusar mengenai rantaian bekalan terhadap makanan dan barang-barangan keperluan yang lain. Malaysia mengimport RM50 bilion makanan \u2013 dari sayuran segar kepada daging, bijian termasuk beras, serta makanan yang diproses. Harus diingatkan bahawa banyak perniagaan akan beroperasi dengan kadar inventori yang minimum, gangguan rantaian bekalan akan semestinya memberikan kesan terhadap peruncit akhir. Ketiga-tiga kaedah pengangkutan \u2013 udara, laut dan darat \u2013 telah terganggu dengan serius.\n\n\nSenarai makanan keperluan dan keperluan yang lain harus dikeluarkan, dan bekalan mereka harus terjamin dengan menjangkakan keadaan semasa untuk berterusan untuk tempoh 12-18 bulan lagi. Langkah strategic untuk menyimpan stok mungkin diperlukan untuk menjamin kecukupan makanan.\n\n\nSekurang-kurangnya, kerajaan perlu menjamin bekalan makanan yang dikeluarkan di dalam negara termasuk ayam, telur dan pelbagai barangan yang dieksport serta makanan penting yang diimport termasuklah beras, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan.\n\n\n\n\nMenguruskan ekonomi dan Penetapan Semula Selepas Krisis\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nEkonomi mungkin akan menguncup tahun ini meskipun pelbagai langkah telah diambil. Ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan dan banyak perniagaan akan gagal. Terdapat juga kemungkinan yang landskap ekonomi selepas ekonomi pulih dari pandemik ini akan berbeza dari tahun-tahun yang lalu.\n\n\nKerajaan haruslah menangani isu gangguan yang berlaku akibat penularan wabak ini. Ketidaksepadanan buruh akibat perubahan teknologi, yang sudah pun berlaku, mungkin akan lebih memburuk akibat pandemik ini sekaligus mengakibat pengganguran pada masa hadapan sebagai isu besar.\n\n\nKeadaan kewangan ekonomi kerajaan dijangka menjadi teruk. Ia telah pun teruk. Dan akan menjadi lebih teruk selepas ini. Keutamaan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan.\n\n\nAgak jelas bahawa kita juga memerlukan kerjasama serantau, secara ekonomi dan lebih daripada itu, kedua-duanya untuk pertumbuhan pada masa hadapan serta untuk menangani sebarang krisis seperti ini pada masa akan datang. Krisis ini juga menunjukkan bertapa pentingnya untuk mengekalkan hubungan yang rapat dengan rakan-rakan dagang utama yang lain.\n\n\n\n\nKomunikasi dan Ketelusan\n\n\n\n\nTerdapat keperluan yang mendesak untuk mejadi lebih telus dan untuk berkomunikasi secara lebih efektif \u2013 secara berkala dan jujur. Komunikasi kerajaan harus berada dalam keadaan yang terbaik serta rakyat perlu mempunyai kepercayaan terhadapnya. Waktu ini merupakan waktu dimana kepercayaan amat diperlukan; jika kerajaan mengambil keputusan untuk menyembunyikan maklumat mengenai aspek penting tentang krisis kesihatan ini untuk apa pun alasan, pelanggaran kepercayaan dan kredibiliti akan mengakibat kesan yang tidak boleh dijangka.\n\n\n\n\nKesimpulan\n\n\n\n\nWaktu ini merupakan waktu untuk menyatupadukan negara serta politik tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Kemampuan kita untuk menangani pandemic ini serta akibatnya bergantung kepada sumber negara. Ia memerlukan lebih dari sekadar kepimpinan politik. Ia memerlukan kesemua rakyat Malaysia.\n\n\nKerajaan persekutuan mempunyai sumber yang luas dalam merancang dan melaksana, tetapi kedua-duanya harus dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan. Kelajuan pelaksanaan merupakan kunci utama, dan tidak sepatutnya dilakukan secara bersendirian. Karenah birokrasi harus diminimumkan buat sementara waktu.\n\n\nKami begitu risau tentang inisiatif yang kelihatan kurang jelas dan konsisten oleh kerajaan susulan krisis yang semakin meruncing ini. Kami terkejut dengan perspektif traditional berkenaan bajet berimbang oleh Perbendaharaan Negara, tatkala seluruh dunia, terutamanya Asia Timur, mengambil tindak langkah yang segera, kerana mengetahui bahawa saat ini berbeza berbanding waktu-waktu yang lain.\n\n\nPada 2009, berikutan Krisis Kewangan Global, kerajaan memperkenal pakej rangsangan berjumlah hampir RM60 bilion. Pakej tersebut adalah untuk merangsang ekonomi berikutan krisis kewangan tersebut. Apa-apa pakej yang kita perkenalkan sekarang bukan semata-mata untuk merangsang ekonomi, ia adalah untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi rakyat Malaysia dari masalah kesihatan. Jika kita sanggup berbelanja RM60 bilion untuk merangsang ekonomi dari krisis kewangan, sudah semestinya kita mampu berbelanja lebih daripada itu untuk melindungi rakyat Malaysia daripada krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.\n\n\nKami berharap pandangan yang kami kemukan adalah berguna dan kami bersedia untuk mengulas secara terperinci jika diperlukan. Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk menunjukkan keupayaan kepimpinan dan bertindak segera\n\n\n\n\nNungsari Ahmad Radhi\n\n\nHamdan Abdul Majeed\n\n\nMuhammed Abdul Khalid\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n23 Mac 2020\n\n\nDiterjemah oleh Ekonomi Rakyat\n\n\n\u00a0\n\n\nDR NUNGSARI AHMAD RADHI\n merupakan pakar ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Balik Pulau dari tahun 1995 sehingga 1999. Beliau memegang PhD dalam Ekonomi dari Purdue University.\n\n\nHAMDAN ABDUL MAJEED\n merupakan pengarah di Khazanah Nasional Berhad. Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Think City, badan pemikir berkenaan hal ehwal perancangan bandar. Beliau memegang ijazah Ekonomi dan Pengurusan dari University of London\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nDR MUHAMMED ABDUL KHALID\n merupakan pakar ekonomi dan pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Perdana Menteri Ke-7. Beliau juga merupakan penulis buku berkisarkan ketidaksamaan di Malaysia bertajuk The Colour of Inequality. Dr Muhammed memegang PhD dari SciencesPo, Perancis.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/topglove-belanja-rm774-juta-beli-balik-saham-raih-untung-rm1-8-bilion/", "title": "TopGlove Belanja RM774 juta Beli Balik Saham, Raih Untung RM1.8 Bilion", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nSyarikat pengeluar sarung tangan, TopGlove dilaporkan telah membelanjakan RM774 juta untuk membeli balik saham. Bulan ini saja, TopGlove membeli balik lebih RM400 juta saham daripada pemegang saham menjadikan jumlah saham yang dipegang oleh perbendaharaan syarikat itu kini sekitar 115 juta saham.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTopGlove mula membeli balik saham mereka sejak September tahun ini selepas harga saham mereka meningkat mendadak gara-gara pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan permintaan sarung tangan.\n\n\nAktiviti membeli balik saham ini seringkali dikritik kerana ia bertujuan untuk memberi pulangan luar biasa kepada pemegang saham sesebuah syarikat. Pemegang-pemegang saham memperoleh keuntungan besar apabila syarikat membeli balik saham pada harga semasa yang lebih tinggi.\n\n\nLangkah ini juga memberikan gambaran positif buat nilai sesebuah saham syarikat tersebut kerana meningkatkan Pendapatan bagi Setiap Syer ( Earnings Per Share ) disebabkan jumlah saham di pasaran terbuka yang berkurangan apabila syarikat membeli balik saham.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nTopGlove merupakan antara pengeluar sarung tangan yang menerima durian runtuh berikutan pandemik Covid-19. Saham syarikat ini meningkat 350% dari RM1.55 kepada RM7.01 sekaligus menjadikan nilai pasaran syarikat ini berjumlah RM57 bilion.\n\n\nSelain TopGlove, Supermax Berhad yang turut terjebak di dalam Glovemania turut dilaporkan membeli balik saham mereka. Syarikat yang dikuasai oleh Stanley Thai ini telah membeli balik saham mereka berjumlah RM132 juta sejak April lalu.\n\n\nNilai saham Supermax Berhad melonjak dengan tinggi apabila meningkat lebih 10 kali ganda dari RM0.69 kepada RM7.89. Artikel Ekonomi Rakyat beberapa bulan lalu menunjukkan pemegang saham terbesar Supermax, Stanley Thai meraih RM3.6 bilion kekayaan berikutan kenaikan harga saham Supermax lantas meletakkan beliau di tangga ke-15 sebagai orang terkaya di Malaysia.\n\n\nBanyak pihak berpandangan bahawa syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan ini perlu dikenakan cukai durian runtuh kerana meraih keuntungan yang begitu besar akibat Covid-19 ini. Jumlah RM400 juta yang ingin disumbangkan kepada kerajaan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat dianggap terlalu kecil untuk industri yang meraih keuntungan berbilion ringgit.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nUntuk tiga suku pertama tahun ini, keempat-empat syarikat sarung tangan terbesar ini meraih keuntungan bersih RM4.5 bilion. Ini bermaksud keuntungan syarikat-syarikat ini adalah sekitar RM1.5 bilion untuk setiap suku.\n\n\nBerdasarkan andaian di atas, syarikat-syarikat ini berpotensi untuk meraih keuntungan sekitar RM6 bilion pada tahun ini. Jika tambahan 25% cukai durian runtuh dikenakan terhadap keuntungan bersih syarikat-syarikat ini, kerajaan berpotensi meraih sekurang-kurangnya RM1.5 bilion cukai daripada mereka. Angka ini hampir empat kali ganda lebih besar dari sumbangan yang diberikan mereka kepada kerajaan.\n\n\nHasil daripada cukai durian runtuh ini boleh digunakan untuk membantu mereka yang terjejas secara langsung dan tidak langsung susulan Covid-19 ini. Kesannya terhadap syarikat-syarikat besar ini juga agak minimum kerana mereka masih lagi mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.\n\n\nRisiko untuk syarikat-syarikat ini memindahkan operasi mereka ke luar negara juga begitu rendah memandangkan rantaian bekalan yang kukuh di negara ini. Selain itu, tidak realistik untuk sesebuah syarikat untuk memindahkan operasi perniagaan hanya kerana cukai yang dikenakan secara \none-off\n.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/trend-beli-sekarang-bayar-kemudian-semakin-popular-tetapi-ada-risikonya/", "title": "Trend Beli Sekarang, Bayar Kemudian Semakin Popular\u2026\u2026. Tetapi Ada Risikonya", "body": "\n\nShare it\nHutang isi rumah meningkat kepada 93.3% berbanding KDNK pada tahun lalu \u2013 BNM\n\n\nSejajar dengan perkembangan perdagangan elektronik, skim beli sekarang, bayar kemudian yang ditawarkan oleh penjual-penjual produk semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Dari barangan seperti telefon, komputer riba, perkakas dapur hinggalah baju, hampir kesemua barangan kini mempunyai pilihan sedemikian.\n\n\n\n\n\n\n\n\nRamai yang gembira dengan pilihan ini kerana pengguna tidak perlu menabung untuk tempoh seketika sehinggalah mempunyai wang yang cukup untuk membuat pembelian secara tunai. Kaedah pembelian beli sekarang dan bayar kemudian juga lebih mudah diakses berbanding membuat permohonan kad kredit yang memerlukan pelbagai birokrasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nAda juga sebilangan produk yang tidak mengenakan sebarang faedah tambahan terhadap barangan yang dibeli. Pengguna hanya perlu membuat ansuran mengikut tempoh masa yang ditetapkan.\n\n\nBagi penjual, kebarangkalian untuk prospek pelanggan untuk membeli produk yang dijual lebih tinggi kerana pelanggan boleh menangguhkan pembayaran.\n\n\nNamun demikian, ada risiko yang perlu dibimbangkan. Program beli sekarang, bayar kemudian rata-ratanya tidak melakukan sebarang penilaian berkenaan latar belakang pelanggan mereka sekaligus merisikokan hutang mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPenggunaan program beli sekarang, bayar kemudian juga tidak dilaporkan di dalam penyata rekod kredit seseorang sekaligus meningkatkan lagi risiko terhadap permohonan pinjaman yang dibuat pengguna kelak terhadap institusi-institusi kewangan. Pengguna juga berisiko untuk dikenakan bayaran denda yang tinggi jika gagal membayar pada tempoh masa yang ditetapkan.\n\n\nHutang isi rumah kini sebanyak RM1.321 trilion\n\n\nLaporan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa golongan muda antara yang paling menggemari sistem pembelian sebegini. Kaedah pembayaran ansuran jangka masa pendek telah meningkat 215% pada dua bulan terawal tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.\n\n\nNilai transaksi barangan yang menggunakan kaedah beli sekarang, bayar kemudian juga meningkat dari $9.5 bilion pada 2019 kepada $19 bilion pada tahun lalu.\n\n\nDi Malaysia, hutang isi rumah berbanding KDNK telah meningkat dengan mendadak pada tahun lalu kepada 93.3% ( RM1.32 trilion ) susulan krisis Covid-19. Jika kadar pertambahan hutang semakin tinggi dan ekonomi berkembang perlahan, angka ini dijangka akan terus meningkat untuk tahun ini.\n\n\nBagi pengguna, skim beli sekarang, bayar kemudian merupakan satu kemudahan yang perlu digunakan secara berhemah dan bijak. Bagi peniaga, ia mungkin satu kaedah berkesan bagi melariskan produk mereka.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nNamun jika tidak dikawalselia dengan baik, kaedah pembayaran beli sekarang, bayar kemudian mungkin bakal mengundang masalah di kemudian hari.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/tubuhkan-danarumah-untuk-selamatkan-rakyat-malaysia/", "title": "Tubuhkan DanaRumah Untuk Selamatkan Rakyat Malaysia", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nPada tahun 1999, kerajaan Malaysia menubuhkan Danaharta, sebuah syarikat bertujuan khas (Special Purpose Vehicle-SPV) bertujuan untuk mengambil-alih pinjaman bermasalah (Non-Performing Loan \u2013 NPL) dari institusi kewangan di Malaysia. Danaharta mengeluarkan bon yang dijamin kerajaan, dan diberikan kepada institusi kewangan tersebut termasuk suntikan modal oleh kerajaan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIni membolehkan institusi kewangan yang nazak ketika itu bernafas, dan diselamatkan dari kerugian teruk lantaran NPL yang tinggi. Secara mudahnya, kerajaan menyediakan kemudahan kewangan kepada institusi kewangan bagi mengelakkan mereka berdepan masalah, dan memberi ruang untuk institusi kewangan ini memperbaiki kewangan mereka.\n\n\nMelihat situasi semasa kesan dari penularan wabak Covid-19, kami berpandangan kerajaan wajib menubuhkan sebuah SPV bagi membantu rakyat marhaen. Dengan jangkaan begitu ramai yang telah, sedang dan akan hilang pekerjaan dan sumber pendapatan, sudah pasti ramai yang bakal berdepan kesusahan membayar ansuran bulanan rumah mereka.\n\nProgram yang kami namakan DanaRumah ini bersifat pembiayaan terbalik (reverse mortgage). Secara mudahnya:\n\n\n1. Kerajaan menubuhkan DanaRumah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n2. DanaRumah akan membuat bayaran bulanan bagi mereka yang tidak mampu membayar ansuran bulanan kepada bank (dengan potongan diskaun daripada bank), dengan tempoh masa maksima 4 tahun (jangkaan konservatif untuk ekonomi pulih sekitar 3 tahun).\n\n\n3. Apabila pemilik rumah sudah mempunyai pendapatan yang stabil nanti, pemilik akan membuat pembayaran seperti biasa kepada bank. Dalam masa yang sama, pemilik juga perlu membayar ansuran kepada DanaRumah (dibahagikan kepada maksima 10 tahun dengan kadar keuntungan/faedah yang rendah).\n\n\n4. Jika pemilik berhasrat untuk menjual rumah yang dibiayai Dana Rumah, DanaRumah akan mempunyai bahagian daripada ekuiti yang dijual, tertakluk kepada jumlah pembiayaan yang disediakan DanaRumah.\n\n\n5. Pembiayaan ini terpakai hanya untuk sebuah rumah (rumah pertama). Rumah ini mesti bernilai RM450 ribu dan ke bawah di Lembah Klang, RM300 ribu dan ke bawah di bandar-bandar utama, dan RM200 ribu dan ke bawah di kawasan luar bandar.\n\n\n6. Sekiranya ada pemilik rumah yang di luar kategori (contohnya nilai rumah RM500 ribu) tetapi ingin turut serta dalam program ini, pemilik harus bersetuju menurunkan nilai rumah ke ambang yang ditetapkan. Ataupun, pemilik perlu membenarkan DanaRumah mengambil bahagian dalam ekuiti secara pertambahan penyertaan (Increasing Musharakah \u2013 Reverse Musharakah Mutanaqisah). Ini membolehkan DanaRumah mendapat keuntungan sekiranya ada penambahan nilai nanti. Namun tujuan asalnya haruslah untuk mengawal harga rumah.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSecara umumnya, program ini menyasarkan untuk membantu golongan terbawah (B70) yang mungkin berdepan masalah kewangan sementara. Dengan adanya program ini, pemilik rumah akan bebas dari tekanan kemungkinan rumah dilelong pada harga yang rendah, yang akan terus menambah beban hutang mereka.\n\n\nDengan ada kebarangkalian harga rumah akan meningkat dalam beberapa tahun yang mendatang, risiko untuk program ini adalah agak rendah. Jika pemilik gagal membayar ansuran dalam tempoh 5 tahun, DanaRumah boleh membayar baki pinjaman kepada bank dan mengambilalih rumah tersebut. Rumah itu dapat dijual pada nilai semasa, yang memungkinkan pemilik asal mendapat sedikit keuntungan dan bebas dari tekanan hutang.\n\n\nDr Mohd Ariff\n merupakan pemegang ijazah kedoktoran Kewangan Islam dari INCEIF dan telah melakukan penyelidikan yang mendalam mengenai isu rumah mampu milik di Malaysia\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/ulangtahun-pertama-ekonomi-rakyat-teguh-merakyatkan-pemikiran/", "title": "Ulangtahun Pertama Ekonomi Rakyat \u2013 Teguh Merakyatkan Pemikiran", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nEkonomi Rakyat, sebuah portal ekonomi atas talian telah menjangkau usia satu tahun pada 31 Januari 2021. Berkat sokongan pembaca terutamanya dari pengikut di Facebook dan Twitter, portal ini telah berjaya menjadi wadah buat wacana ekonomi di media sosial di dalam bahasa kebangsaan kita, Bahasa Melayu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKewujudan Ekonomi Rakyat diinspirasikan dari sikap dan gelagat sebilangan ahli ekonomi, penyelidik dan ahli akademik yang gemar membicarakan hal ehwal ekonomi di dalam Bahasa Inggeris dan secara elitis.\n\n\nAgak ironi, golongan ini kerap kali cuba menyelesaikan masalah orang-orang susah dari tingkat tiga belas di sebuah menara pencakar di langit di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.\n\n\nDi dalam kesejukan angin penyaman udara, mereka ini bertungkus lumus memerah idea dengan menggunakan jargon-jargon yang dipelajari ketika menuntut ilmu di sekolah ekonomi terkemuka di kota London untuk membincangkan permasalahan dari dapatan kajian terbaru mereka sambil menikmati juadah makan tengah hari yang dihidangkan secara buffet.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nFenomena seperti ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Puluhan laporan, kajian dan penyelidikan yang dikeluarkan dalam kalangan penyelidik sosial tidak dibincangkan secara terbuka. Proses \nadvocacy\n ataupun mendapatkan perhatian dan kesedaran orang awam hasil dari dapatan kajian sering tidak berlaku dalam kalangan penyelidik.\n\n\nEkonomi Rakyat hadir untuk merakyatkan pemikiran. Ilmu-ilmu ekonomi dan sosial boleh dibincangkan di dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa yang mudah dah ringkas sekaligus dapat menjangkau lebih ramai pembaca.\n\n\nSlogan \u2018Merakyatkan Pemikiran\u2019 ini pula diilhamkan dari kata-kata yang diungkapkan oleh Prof Jomo KS pada tahun 2019 ketika diwawancara di RTM dimana beliau mengkritik sikap elitis dalam kalangan orang-orang yang dikatakan terdidik ini.\n\n\n\n\n\u201d Itu tanggungjawab kita semua terutama sekali mereka yang menganggap diri mereka lebih terdidik. Tujuan kita \nmerakyatkan pemikiran\n, merakyatkan pengetahuan ini dan bukan kita cakap antara kita saja dan secara elitis dan tidak mempedulikan nasib rakyat dan jangan kita hina rakyat. Jangan kita sangka kerana orang tidak pergi universiti misalnya dia tidak boleh faham. Semua orang boleh faham kalau kita cuba jelaskan dengan baik \u201c\n\n\n\n\nDengan penembusan internet yang rancak belakangan ini, sudah tiba masanya untuk orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dihidangkan dengan bacaan-bacaan ekonomi dan sosial yang lebih berpaksikan sudut pandang rakyat.\n\n\nKetika Ekonomi Rakyat pertama kali menerbitkan artikel, ekonomi rakyat masih lagi stabil meskipun kes Covid-19 sudah disahkan di negara ini melalui pelancong asing. Namun beberapa minggu kemudian, virus ini telah menular ke seluruh pelusuk negara mengakibatkan kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nSemenjak itu, negara ini berada di dalam krisis ekonomi terburuk sepanjang penubuhan Malaysia. Ekonomi rakyat hampir hancur, ratusan ribu dibuang kerja manakala ratusan ribu lagi \nunderemployed\n. Ribuan perusahaan ditutup termasuk syarikat-syarikat besar. Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia jatuh 17.1% pada suku kedua 2020, terburuk di dalam sejarah.\n\n\nEkonomi Rakyat mula membincangkan mengenai polisi ekonomi kerajaan dari pandangan dan perspektif rakyat. Berbeza dengan ahli ekonomi ataupun penyelidik di luar sana yang gemar memetik istilah-istilah seperti \u2018 peratusan hutang negara berbanding KDNK \u2018 ataupun \u2018 tekanan fiskal \u2018 tatkala ditanya oleh akhbar mengenai pakej rangsangan yang baru diumumkan.\n\n\nPenerimaan pengikut Ekonomi Rakyat di media sosial pula boleh dikatakan memberangsangkan. Dalam tempoh setahun, lebih 11,000 pengikut telah mengikuti kami di Twitter dengan jutaan \nimpressions\n belakangan ini manakala Facebook kami diikuti lebih 4,000 orang.\n\n\nDengan kesempatan ini, Ekonomi Rakyat ingin merakamkan ribuan penghargaan buat pembaca dan pengikut Ekonomi Rakyat yang mengikuti kami sepanjang setahun yang lalu. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada penulis-penulis yang menyumbangkan artikel dan buah pandangan mereka melalui platform ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\u00a0\n\n\nEkonomi Rakyat\n\n\nKuala Lumpur\n\n\n31 Januari 2021\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/unicef-malaysia-kadar-pengangguran-ketua-isi-rumah-di-ppr-kl-meningkat-dua-kali-ganda/", "title": "UNICEF Malaysia \u2013 Kadar Pengangguran Ketua Isi Rumah di PPR KL Meningkat Dua Kali Ganda", "body": "\n\nShare it\n\n\n\n\n\n\n\n\nKadar pengangguran dalam kalangan Ketua Isi Rumah di Projek Perumahan Rakyat ( PPR ) sekitar Kuala Lumpur meningkat dua kali ganda kepada 15% pada Disember 2020 berbanding 7% pada September lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKajian berpanjangan yang dilakukan oleh UNICEF Malaysia dengan kerjasama UNFPA ini menunjukkan golongan rentan kekal sengsara apabila 42% daripada isi rumah ini berada di dalam kemiskinan meskipun pelbagai bantuan kerajaan diterima.\n\n\nSituasi lebih buruk menimpa Ketua Isi Rumah ( KIR ) yang diketuai oleh wanita dan Orang Kurang Upaya. Pendapatan isi rumah ini masing-masing telah menurun 20% dan 31% pada Disember berbanding September yang lalu.\n\n\nKadar kemiskinan dalam kalangan isi keluarga yang mempunyai KIR wanita pula meningkat dari 47% kepada 61% dalam tempoh yang sama. Bagi keluarga KIR Orang Kurang Upaya, kadar kemiskinan mutlak kekal tinggi iaitu pada 55% manakala hampir keseluruhan mereka tinggal di dalam kemiskinan relatif.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBantuan kerajaan sedikit sebanyak telah membantu golongan ini mengharungi pandemik Covid-19 yang kian berlarutan. Peratusan bantuan kerajaan berbanding pendapatan isi rumah telah meningkat dua kali ganda kepada 16% berbanding 8% pada sebelum krisis berikutan pemberian tunai Bantuan Prihatin Nasional pada tahun lalu. Purata bantuan zakat juga naik 27% kepada RM144.\n\n\n\n\nProgram Geran Khas Prihatin juga kelihatan tidak banyak membantu dalam kalangan golongan yang bekerja sendiri di PPR. Hanya 3% daripada keseluruhan pekerja yang bekerja sendiri menerima bantuan ini dan hampir 87% tidak menerima apa-apa bantuan yang disediakan kerajaan untuk pekerja yang bekerja sendiri.\n\n\nMeskipun kerajaan optimis dengan prospek perkembangan ekonomi pada tahun ini, namun pandangan berbeza diraih dalam kalangan KIR dari PPR ini. 41% responden menjangkakan masa depan kekal suram pada Disember 2020 berbanding 37% pada September lalu.\n\n\nBagi KIR wanita, sekitar 46% daripada mereka menjangkakan keadaan kewangan mereka bertambah buruk dalam tempoh enam bulan akan datang, meningkat dari 34% pada September yang lalu.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nData juga menunjukkan keadaan kesihatan mental bertambah buruk dari masa ke semasa. Kadar tekanan dalam kalangan responden telah meningkat dari 19% pada September kepada 24% pada Disember tahun lalu. Bagi KIR wanita, kadar tekanan meningkat 10% dari 23% kepada 33% dalam tempoh yang sama.\n\n\nKajian Families on the Edge ini merupakan siri yang ketiga dikeluarkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan temuramah dalam kalangan ketua isi rumah dijalankan dari 14 Oktober 2020 hingga 23 Disember 2020.\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/vaksinasi-perlahan-bank-dunia-turunkan-unjuran-pertumbuhan-ekonomi-malaysia/", "title": "Vaksinasi Perlahan, Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia", "body": "\n\nShare it\nBank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Kepada 4.5%\n\n\nBank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dari 6.0% kepada 4.5% untuk tahun ini susulan krisis Covid-19 yang berlanjutan selain proses vaksinasi yang perlahan.\n\n\n\n\n\n\n\n\nMenurut badan ini, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) memberikan kesan yang ketara terhadap perbelanjaan peribadi isi rumah di Malaysia. Prospek pertumbuhan ekonomi negara ini bergantung tinggi terhadap tiga faktor iaitu kawalan pergerakan, pengawalan pandemik dan kelajuan proses vaksinasi.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBank Dunia berharap kerajaan dapat melindungi golongan B40 yang amat terkesan dengan PKP ini termasuklah pekerja informal. Polisi fiskal kerajaan juga harus memberi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.\n\n\nLaporan Malaysia Economic Monitor yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran kekal tinggi iaitu berada di paras 4.8% pada suku pertama tahun ini. Isu \nunderemployment\n iaitu mereka yang bekerja dibawah kemahiran serta bekerja kurang daripada 30 jam seminggu juga kekal tinggi.\n\n\nBank Dunia turut berpendapat bahawa proses vaksinasi yang dikendalikan kerajaan berjalan dengan amat perlahan. Langkah-langkah pencegahan penularan yang tidak berkesan juga akan memberi kesan yang buruk terutamanya perniagaan yang berada di dalam sektor perkhidmatan.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nKegagalan Mengawal Penularan Wabak Memberi Kesan Yang Buruk Terhadap Ekonomi Malaysia\n\n\nLaporan ini juga memberi amaran bahawa bilangan isi rumah rentan yang tidak mendapat bantuan yang mencukupi akan bertambah terutamanya mereka yang berada di dalam golongan B40 dan peniaga-peniaga PKS.\n\n\nSelain itu, ketidaktentuan politik juga akan memberikan kesan negatif kepada pelabur dan mungkin akan merencatkan pemulihan ekonomi negara. Spekulasi mengenai pelanjutan darurat dan nasib serta masa depan gabungan pemerintahan sedia ada menyumbang kepada ketidakstabilan politik di negara ini.\n\n\nBank Dunia berharap agar reformasi-reformasi ekonomi dapat dijalankan susulan krisis ini. Jaringan keselamatan sosial perlu diperluaskan kepada mereka yang bekerja di sektor informal bagi memastikan isi rumah di Malaysia lebih berdaya tahan.\n\n\nSelain itu, reformasi struktural juga perlu dipertimbangkan termasuklah dengan meluaskan sumber pendapatan negara dengan mempertimbangkan cukai-cukai progresif seperti cukai kekayaan dan cukai keuntungan modal.\n\n\nEkonomi Malaysia Jatuh 0.5% Pada Suku Pertama Tahun Ini\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}
+{"url": "https://ekonomirakyat.com.my/wajarkah-sapura-diselamatkan-kerajaan/", "title": "Wajarkah Sapura Diselamatkan Kerajaan?", "body": "\n\nShare it\nSapura Rekodkan Kerugian RM8.9 Bilion Untuk Tahun Kewangan Berakhir 2022\n\n\nSapura Energy, sebuah syarikat perkhidmatan minyak & gas yang pernah mempunyai modal pasaran sebanyak RM28.5 bilion kini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM8.9 bilion untuk tahun kewangan berakhir 2022.\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerita ini bukanlah suatu khabar yang baik buat rakyat Malaysia. Permodalan Nasional Berhad ( PNB ), salah satu pengurus dana terbesar di Malaysia yang mewakili pelabur-pelabur awam di negara ini memiliki pegangan sebanyak 40% di dalam syarikat ini.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPNB meningkatkan kawalan syer mereka di dalam syarikat ini apabila melanggan syer tambahan yang diterbitkan Sapura Energy bagi membantu syarikat ini meneruskan operasi. Sebanyak RM2.68 bilion dilaburkan PNB pada awal tahun 2019 sekaligus menjadikan Sapura Energy sebagai syarikat kedua di dalam sektor tenaga dimana PNB mempunyai pegangan besar selepas Velesto Energy.\n\n\nKini, harga saham Sapura Energy hanya tinggal 3.5 sen, 88% lebih rendah berbanding harga saham pada awal tahun 2019 iaitu sekitar 29 sen sesaham. Modal pasaran Sapura Energy juga merudum kepada RM559 juta.\n\n\n*Kerugian atas kertas PNB dianggarkan sekurang-kurangnya RM2.48 bilion\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIsu kegawatan Sapura Energy bermula sejak tahun kewangan 2018 apabila syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM2.5 bilion. Pada tahun 2019, Sapura kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM203 juta setelah menjual 50% pegangan mereka di dalam anak syarikat eksplorasi dan pengeluaran menyebabkan Sapura meraih keuntungan daripada pelupusan sebanyak RM2.5 bilion.\n\n\nKerugian Sapura berterusan untuk tahun 2020 hingga 2022 dimana Sapura merekodkan kerugian sebanyak RM4.6 bilion, RM160 juta dan terkini RM8.9 bilion. Berdasarkan penyata kewangan yang diterbitkan beberapa hari lalu, kerugian terkumpul yang dicatatkan Sapura adalah sebanyak RM13.5 bilion.\n\n\nDengan liabiliti hampir RM16 bilion, masa depan Sapura Energy yang merupakan salah satu syarikat kebangaan Bumiputera suatu ketika dahulu kini menjadi tanda tanya.\n\n\nBekas Perdana Menteri, Najib Razak di dalam hantarannya di Facebook mencadangkan agar Kerajaan menyelamatkan Sapura Energy bagi melindungi para vendor dan pelabur Bumiputera yang melabur melalui PNB.\n\n\nTerdapat dua cadangan yang diutarakan, satu adalah dengan memberi pinjaman mudah ataupun memohon Kerajaan menjamin pinjaman Sapura. Keduanya adalah dengan mengarahkan PETRONAS ataupun Khazanah untuk mengambilalih Sapura.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nPersoalannya kini\u2026. Wajarkah wang pembayar cukai digunakan untuk mem\nbailout\n Sapura Energy?\n\n\nCadangan untuk menyelamatkan syarikat ini kelihatan tidak mendapat reaksi positif daripada orang ramai. Bendera merah pertama yang kelihatan mungkin kerana cadangan ini datangnya daripada bekas Perdana Menteri yang terpalit dengan pelbagai skandal pelaburan yang tidak menguntungkan seperti 1MDB.\n\n\nRM432.7 Juta Dibayar Kepada Shahril Dari Tahun 2014 Hingga 2020\n\n\nKeduanya, isu pampasan gaji yang terlalu tinggi oleh CEO Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin menyebabkan orang ramai tidak merasa kesian terhadap nasib syarikat ini. Sentimen orang ramai ini ada benarnya, dari tahun 2014 hingga 2020, Shahril yang mempunyai 12.8% pegangan di dalam syarikat ini menerima gaji keseluruhan sebanyak RM432.7 juta.\n\n\nIni bermaksud secara purata, beliau menerima gaji tahunan sebanyak RM61.8 juta sejak tahun 2014. Pada tahun 2018 misalnya tatkala Sapura mengalami kerugian RM2.5 bilion, gaji beliau kekal tinggi pada RM71.9 juta.\n\n\n*Laporan Suruhanjaya Sekuriti menunjukkan beliau merupakan CEO dengan gaji tertinggi di Malaysia selepas CEO Genting\u00a0\u00a0\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nHanya selepas tahun 2019 gaji beliau dikurangkan dengan drastik kepada RM12.8 juta dan RM9.6 juta pada tahun 2020 dimana Sapura mencatatkan kerugian RM4.565 bilion. Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Sekuriti yang dikeluarkan, gaji yang diterima Shahril ini masih dianggap besar kerana gaji penengah CEO di sektor tenaga hanyalah RM3.44 juta.\n\n\nBahkan CEO Maybank yang merekodkan keuntungan setinggi RM6.5 bilion pada tahun 2020 hanya meraih gaji sebanyak RM9.4 juta.\n\n\nLantas, kewajaran Sapura Energy memberi pampasan yang tinggi kepada CEO tatkala syarikat berada di dalam kegawatan sudah pasti akan dipersoalkan.\n\n\nRM375.9 Yuran Jenama Dibayar Sapura Kepada Pemilik Jenama Sapura dan Kencana\n\n\nBukan itu saja, Sapura juga dilaporkan telah membayar ratusan juta ringgit yuran jenama ( \nbranding fees\n ) kepada syarikat yang dimiliki oleh keluarga Tan Sri Shahril sendiri kerana menggunakan nama Sapura.\n\n\n*Nama Sapura diambil daripada nama \nisteri\n/ibu \npengasas\n/bekas CEO Sapura bernama Siti Sapura Husin\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerdasarkan laporan tahunan yang diterbitkan, Sapura Energy membayar RM83.4 juta kepada Sapura Holdings Sdn Bhd yang dimiliki secara peribadi oleh Tan Sri Shahril dari tahun 2018 hingga 2021.\n\n\nManakala sebanyak RM280 juta yuran jenama dibayar kepada Sapura Holdings Sdn Bhd dan Kencana Capital Sdn Bhd ( yang dimiliki oleh Mokhzani Mahathir ) untuk tujuan yang sama dari tahun 2014 hingga 2017.\n\n\n*SapuraCrest Petroleum & Kencana Petroleum bergabung pada tahun 2012\n\n\nLiabiliti\n\n\nNajib Razak di dalam hantarannya menyatakan bahawa kegagalan Sapura untuk meneruskan perniagaan akan mengakibatkan kesan yang besar kepada bank-bank yang turut dimiliki oleh PNB seperti Maybank.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nBerdasarkan penyata kewangan terkini, Sapura mempunyai keseluruhan liabiliti hampir RM16 bilion dengan pinjaman sebanyak RM10.7 bilion. Angka ini satu jumlah yang besar dan dapat dilihat terhadap kos pembiayaan Sapura yang menjangkau lebih RM500 juta setahun.\n\n\nWalaubagaimanapun, jika nasib Sapura kurang bernasib baik dimana syarikat terpaksa dicairkan, aset-aset Sapura bernilai RM16.2 bilion mungkin mampu menampung sebahagian besar pinjaman-pinjaman bank yang telah diberikan.\n\n\nIni seiring dengan amalan di seluruh dunia di mana pihak pemberi pinjaman antara kumpulan pertama yang akan menerima agihan hasil daripada pencairan aset syarikat-syarikat yang bankrap.\n\n\nKerugian langsung yang dialami oleh PNB juga dijangka tidak signifikan jika dibandingkan dengan saiz aset sebanyak RM322.6 bilion yang berada di bawah kelolaan PNB.\n\n\nPersoalan sama ada wajar Sapura diselamatkan hanya mampu dijawab oleh Kerajaan. Apa yang penting ketika ini, kepentingan orang ramai sebagai pelabur dan pembayar cukai perlulah diutamakan agar tidak berlaku pembaziran melibatkan dana awam hanya kerana ingin menjaga periuk nasi sebilangan pihak sahaja.\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\n\nIkuti Ekonomi Rakyat di Telegram\n\n\n\n"}